Isnin, 30 Mac 2009

Sumbangan RM67 Ribu Ringan Derita Gaza

Oleh: AIDA ABD RAHMAN


Tetamu Malam Rintihan Suara Anak Gaza terharu dengan persembahan pentomin keganasan Israel yang dipersembahkan oleh Akademi Seni dan Briged Seni Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Sikap prihatin masyarakat dan agensi kerajaan di Terengganu terbukti apabila RM67,585.90 berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Palestin yang baru dilancarkan kerajaan negeri, malam semalam (23 Mac).

Wang terkumpul berkenaan akan dihantar terus ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dibawa ke Palestin.


Dato' Ahmad mempamerkan bakat mengalunkan lagu ciptaan beliau mengenai keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Malah, bagi memastikan lebih banyak sumbangan dapat dikumpul, Tabung Palestin itu semalam diserahkan kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan daerah menerusi pegawai daerah masing-masing.
Pelancaran tabung sempena Malam Rintihan Suara Anak Gaza, di perkarangan monumen kubah As-Sakhrah, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud.

Majlis yang berlangsung lebih dua jam berselang seli dengan persembahan puisi, nyanyian daripada kumpulan Dendang Anak dan Pantomin yang mengkisahkan derita anak kecil Palestin yang hilang tempat bergantung akibat kekejaman tentera Israel.


Tetamu yang hadir pada Malam Rintihan Suara Anak Gaza di Taman Tamadun Islam.

Dalam majlis yang penuh simbolik itu juga, Menteri Besar turut tampil menyampaikan puisi dengan penuh puitis bertajuk `Rintihan Suara Anak Gaza’.
Beliau kemudiannya menyanjung keprihatinan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan negeri yang memberi sumbangan wang tunai bagi membantu dan meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Gaza.

“Wang yang dikumpul akan dihantar terus ke Kementerian Dalam Negeri untuk dihantar ke Palestin bagi membantu mereka yang sedang dilanda kesusahan untuk menyediakan makanan, pendidikan dan perubatan,” katanya yang kemudian menerima replika cek daripada penyumbang Tabung Gaza.


Pesuruhjaya JHEAT, Dato' Shaikh Harun Ismail menyampaikan sumbangan Tabung Palestin kepada Dato' Ahmad.

Antara pihak yang memberi sumbangan adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (RM17,585.90); Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (RM10,000); Terengganu Inc Sdn Bhd (RM5,000); TDM Plantation Sdn Bhd (RM5,000); Golden Pharos Sdn Bhd (RM5,000); Primula Beach Resort (RM5,000) dan Hotel Permai Inn (RM5,000).

Unit Komunikasi Negeri

Bukan mudah jadi isteri pemimpin

Oleh: SURIATI ALI

Memegang peranan sebagai isteri pemimpin bukan semudah yang disangka, kerana masalah rakyat sama ada kecil atau besar, mesti dihadapi bersama suami.

Hakikat ini diakui Puan Nik Aini Nik Soh, 30, isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat.



Puan Nik Aini yang berasal dari Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit itu berkata beliau sentiasa memberi sokongan dan memahami tugas suami, walaupun kadangkala terpaksa berjauhan sehingga dua minggu kerana Haji Kazan menghadiri mesyuarat dan menjalankan tugas di dalam dan luar negara.

“Sepanjang ketiadaan YB di Dewan Undangan Negeri (DUN), saya berperanan menjadi wakil bagi melaksanakan pelbagai tugas, termasuk menziarah penduduk kawasan yang kematian saudara, melawat pesakit dan menghadiri kenduri kahwin serta majlis kesyukuran.

“Saya suka dengan tugas yang diamanahkan itu walaupun pada mulanya agak kekok dan segan. Keadaan itu mungkin disebabkan tiada pengalaman memegang jawatan dalam pertubuhan atau persatuan,” ketika ditemubual GanuKita di rumahnya di Taman Kalungan Budi, Padang Nenas, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun dengan Haji Khazan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Madihah, 9; Mahirah, 7; Musyidah, 5, dan anak lelaki tunggal, Muhammad Ziyad, baru berusia setahun.

Madihah dan Mahirah kini sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan Pengadang Baru, Kuala Terengganu, kurang satu kilometer dari kediaman mereka.



Menurut Puan Nik Aini, bagi membiasakan diri bergaul dengan masyarakat secara bijaksana, beliau sentiasa meminta pendapat suaminya, selain mendapatkan pandangan isteri pemimpin lebih berpengalaman.

“Melalui pendekatan itu, saya dapat bergaul dengan masyarakat tanpa rasa kekok dan mampu menyesuaikan diri apabila hadir di majlis atau program membabitkan pemimpin negeri dan kerabat diraja,” katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa..



Katanya, selepas hampir enam tahun suami diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat, pelbagai progam dirancang dan dilaksanakan demi kebajikan penduduk.

“Kebanyakan program itu, YB akan hadir untuk beramah mesra dan merasmikan aktiviti yang diadakan. Jika suami mempuyai tugas luar atau terpaksa menghadiri mesyuarat, tugas itu akan diwakilkan kepada saya atau pembantu DUN.

“ Selama dua penggal suami menjadi Adun, tugas dipertanggungjawab tidak pernah kurang, terutama selepas dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri,” katanya.



Menurutnya, komitmen itu menjadi kebiasaan kerana beliau sudah faham apa yang dimaksudkan `YB untuk rakyat’.

“Apabila terlalu sibuk, kadangkala anak merungut dan bertanyakan abah pergi mana dan kenapa balik lambat.

“Ketika mempunyai masa terluang, YB akan guna sebaik mungkin untuk bersama keluarga, termasuk menyemak kerja sekolah anak dan keluar beriadah,” ujarnya yang gemarkan perwatakan YB Khazan suka bergurau dan bercerita.

X-TCS Mantapkan Hala Tuju Terengganu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said bermesra dengan bekas Pegawai Tadbir Negeri ketika hadir pada perasmian Mesyuarat Agung ke-5 Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Primula Beach Resort. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KERAJAAN negeri berharap bekas Pegawai Tadbir Negeri (X-TCS) dapat memberi pandangan bernas dan idea bagi memantapkan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013 berdasarkan portfolio tertentu.

Pengalaman dan kebolehan sepanjang berkhidmat dengan kerajaan dalam bidang masing-masing diharap dapat digunakan untuk memastikan pembangunan negeri dalam tempoh masa lima tahun lagi tercapai.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sedang merangka `Hala Tuju Terengganu' dalam tempoh masa lima tahun akan datang dan peringkat pertama melibatkan sesi `brainstorming’ antara jawatankuasa dengan pegawai tinggi kerajaan sudah selesai.



Perjumpaan Menteri Besar dengan bekas TCS negeri diharap dapat memperkasakan lagi hala tuju Negeri Terengganu.

Katanya, peringkat kedua sedang disediakan secara terperinci berdasarkan teguran yang dibuat oleh ahli panel, manakala peringkat ketiga melibatkan sektor korporat, pakar-pakar dan pensyarah universiti serta mereka yang berkebolehan untuk menilai untuk dimuktamadkan hala tuju bagi setiap portfolio itu.

“Saya memberi tawaran kepada ahli persatuan bekas pegawai tadbir yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, atas pengalaman ini kita minta mereka mewujudkan kalau ada beberapa puluh orang mintak wujudkan 10 kumpulan berdasarkan kepakaran masing-masing, kalau mereka berminat dalam bidang Kajian Tempatan dan Perumahan mereka boleh masuk kumpulan itu .

“Apabila kita panggil nanti, mereka boleh tengok `presentation’ yang dibuat, apakah teguran-teguran dan juga pandangan. Kalau dalam bidang pertanian, portfolio pertanian apakah yang sesuai, pengubahsuaian atau sudah baik,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-5 Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (22 Mac).
Dato' Ahmad bermesra dengan Presiden Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu.

Dato’ Ahmad berkata, penglibatan semua pihak termasuk bekas pegawai tadbir negeri diperlukan bagi memastikan kertas `Hala Tuju Terengganu’ padat, lengkap dan dikemaskini sebelum digunapakai.



Beliau berkata, `Hala Tuju Terengganu' dijangka dapat disiapkan pada Ogos ini sebelum dibentangkan dalam pembentangan Bajet 2010 di persidangan Dewan Undangan Negeri penghujung tahun ini.

Selain itu, Menteri Besar berkata, semua bekas pegawai tadbir yang terlibat akan dipanggil dari semasa ke semasa dan semua urusan perjalanan serta kemudahan mereka dalam setiap perjumpaan khas bagi membincangkan kertas `Hala Tuju Terengganu' akan dibiayai kerajaan negeri.

Unit Komunikasi Negeri

Susun semula jentera pilihan raya negeri, bahagian

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Perhubungan UMNO negeri mengambil langkah membuat penyusunan semula struktur jentera pilihan raya di peringkat bahagian serta negeri pada Mei ini selepas mengambil kira pelbagai faktor dan menjadikan kekalahan pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada Januari lalu sebagai panduan.



Malah, satu mesyuarat khas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dengan ketua-ketua Bahagian UMNO akan dijalankan pada awal Mac depan bagi memperincikan kedudukan dan perkembangan UMNO negeri keseluruhannya.

Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata UMNO Negeri akan memberi tumpuan untuk menyelaras jentera pilihan raya peringkat negeri dan penubuhan jentera pilihan raya peringkat parlimen di semua bahagian-bahagian di Terengganu.

Dato’ Rosli berkata, bagi memantapkan jentera pilihan raya peringkat negeri, 12 portfolio dan pengerusi dilantik bagi mengetuai portfolio berkenaan.

Katanya, selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO, sebahagian jentera UMNO negeri juga akan disusun bagi membantu pilihan raya kecil Barisan Nasional (BN) di Perak dan Kedah.



Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat Perhubungan UMNO negeri baru-baru ini, sudah mengenalpasti punca kekalahan UMNO Terengganu pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

“Mesyuarat UMNO peringkat perhubungan negeri memperakukan penemuan sebab musabab, kekalahan dan semua akan disiapkan dan kertas (sebab-musabab) akan hantar kepada setiausaha Agung BN Malaysia.

“Sebab terlampau banyak dan kita juga mengambil pandangan Adun-adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) angkat di setiap peti undi. Bagi kita pihanraya baru ini bukan kekalahan yang teruk tetapi ada masalah pengurusan pilihan raya, ramai antara Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu sendiri yang baru `first time’ jadi AJK Bahagian yang tiada pengalaman dalam pilihanraya dan cara gerak kerja itu perlu ditingkatkan,” katanya kepada GanuKita, di Dungun, baru-baru ini.


Katanya, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri (Dato’ Ahmad Said) akan mengambil perhatian berat dan memebro cakna yang seterusnya terutama di Bahagian Kuala Terengganu yang mana mengalami kekalahan di tiga Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, antara masalah di Kuala Terengganu adalah penyokong yang tidak keuar mengundi serta hampir 6,000 ahli UMNO yang belum berdaftar sebagai pemilih.

“Jadi tidak guna mempunyai ahli UMNO yang ramai tetapi tidak berdaftar sebagai pemilih. Dalam tahun ini, kita arahkan Bahagian Kuala Terengganu memastikan 5,000 lebih ahli UMNO yang belum berdaftar sebagai pemilih mendaftar,”katanya.

FCZ bakal diperbesar

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Keluasan kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ) yang dibangunkan di atas tanah seluas 20 hektar berhampiran lapang sasar di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LSTM), Kuala Terengganu, berpotensi untuk ditambah pada masa depan.

Malah, kerajaan negeri membuat perancangan teliti bagi memastikan FCZ di LTSM mampu mencapai piawaian sebenar dan menjadi hab kargo di Pantai Timur.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Malaysia Airline Cargo Sdn Bhd (MASKargo) selesai memberi taklimat kepada kerajaan negeri mengenai projek pembinaan FCZ bagi kemasukan kargo luar negara itu, kira-kira dua bulan lalu.

Manakala taklimat pusingan kedua melibatkan keperluan serta `lay out’ diperlukan kerajaan negeri bagi memastikan keluasan asal itu dapat ditambah lagi pada masa depan.

“Oleh itu, kita buat satu perancangan yang teliti bagi menjadikan LTSM sebagai hubkargo bagi kawasan Pantai Timur.

“Kita sedar bahawa hari ini kargo yang diperlukan dalam industri seperti petroleum dan gas di Terengganu yang dibawa ke Pelabuhan Kuantan, Kemaman dan Kerteh datang dari Singapura, Amerika Syarikat dan negara Eropah (dibawa) terus ke Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Makan Malam kepada Petugas Operasi Haji 1429H/2008M, Terengganu-Jeddah, di Dewan Konvesyen, Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Pengarah Kanan Lembaga Tabung Haji, Haji Mohd Salleh Abdul Mubin dan Pengurus Kanan Penerbangan Haji Terengganu-Jeddah, Dato’ Kapten Mohd Nawawi Awang.

Dato’ Ahmad berkata, kewujudan FCZ di Kuala Terengganu yang kini sedang dalam kerja menyiapkan tapak itu nanti mampu menjimatkan kos dan masa, berbanding jika barangan kargo itu dibawa dari Singapura.

Beliau berkata, peruntukan keseluruhan projek yang dibiayai kerajaan negeri itu berdasarkan keperluan dan kehendak semasa serta berasaskan pengalaman MASKargo.

“Kerajaan negeri akan menanggung kos pembinaan (FCZ) dan kerajaan sendiri akan dapat pulangan daripada penyewaan dan penggunaan kemudahan yang disediakan,” katanya.

Pada masa sama FCZ turut menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai tenaga mahir dan separa mahir, contohnya yang berasaskan penyelenggaraan kargo serta pekerja ICT berteknologi tinggi.

Ekspo pendidikan kumpul maklumat kerjaya

Oleh: ESAH ABDULLAH

Senario hari ini memperlihatkan wujudnya masalah semakin mencabar dalam bidang pendidikan dan hubungan dengan peluang kerjaya, terutama dalam suasana kelembapan ekonomi negara serta dunia.

“Isu pengangguran di kalangan siswazah selalu dibincang oleh pelbagai lapisan masyarakat,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada majlis perasmian Ekspo Pendidikan, Latihan dan Kerjaya (EDUCARE 2009) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Pengantarabangsaan UMT, Prof. Dr Aziz Deraman dan Pengerusi Ekspo, Prof Madya Dr Khalid Somo serta lebih 1,000 pelajar ibu bapa dan guru.

Menteri Besar berkata, perkara ini berlaku kerana wujudnya ketidakserasian antara program pengajian yang dipilih dengan peluang pekerjaan yang terdapat dalam pasaran kerja dan program sebegini bertepatan sebagai sumber bagi memperolehi seberapa banyak maklumat.

“Maklumat yang tepat dan komprehensif tentang pelbagai program pengajian dan kerjaya bukan sahaja diperolehi daripada pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dan swasta malah badan-badan korporat dan pihak swasta,” katanya.

Katanya, Petronas, Telekom Malaysia, serta unit beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga mampu menyalurkan maklumat kerjaya yang berguna kepada lepasan sekolah yang dalam proses membuat keputusan penting dalam mencorakkan masa depan mereka.

“Ekspo ini juga menjadi landasan kepada institusi pengajian tinggi memperkenalkan kepada pelajar dan ibu bapa serta guru mengenai program dan kursus baru yang ditawarkan,” katanya.

Selain itu, katanya, turut memberi maklumat mengenai potensi dan peluang pekerjaan berkaitan program pengajian yang ditawarkan pada masa kini.

Seminar selama tiga hari bermula 19 Februari itu disertai lebih 26 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta dari dalam dan luar Terengganu.

Di samping menyediakan khidmat nasihat kaunseling dan kerjaya pihak penganjur juga mengadakan ceramah kerjaya bagi membantu pelajar dan ibu bapa membuat pilihan berdasarkan keputusan peperiksaan masing-masing.

Pihak penganjur turut menyusun ceramah berkaitan bidang perubatan dan farmasi, kejuruteraan, perakaunan, penerbangan dan maritim untuk disajikan kepada para pengunjung.

Unit Komunikasi Negeri

Kerajaan bantu kaji pokok herba

Oleh: Esah Abdullah

Bukti kesungguhan kerajaan negeri menyelamatkan pokok-pokok herba ini daripada terus dilupakan, ia menawarkan bantuan kepada mana-mana pihak untuk membuat kajian R&D bagi mengenal pasti penggunaannya.

“Bumi Terengganu ada 3,000 jenis pokok herba yang telah dikenalpasti,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika merasmikan seminar Persijilan Halal dan Pendaftaran Produk Herba di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Prof Dato’ Dr Alias Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jabasingam Issace John dan Naib-Naib Canselor Universiti Malaysia (UM) Terengganu, UM Kelantan dan UM Pahang.

Katanya, jumlah ini mungkin lebih banyak dan masih terdapat pokok herba yang masih belum diketengahkan seperti pokok celaka, lampin budak dan ubi gadong yang isinya boleh dimakan, tetapi daunnya mengandungi sejenis racun.
“Saya percaya pihak universiti boleh buat kajian dan tidak mustahil suatu hari nanti kita juga boleh menjadi seperti negara China dan Korea yang popular dengan produk herbanya,” katanya.
Katanya, bila melawat China kita akan dibawa melawat kedai herba tradisi mereka seperti ginseng dan begitu juga kalau kita berkunjung ke Korea perkara sama mereka lakukan.

“Mengapa kita tidak lakukan perkara yang serupa, kita bawa pelancong luar yang berkunjung ke negeri ini ke kedai-kedai ubatan tradisi kita dan mencuba ubatan yang dikeluarkan masyarakat tempatan,” katanya.

Menteri Besar berkata, produk halal mempunyai permintaan yang tinggi dan terdapat 1.3 billion umat Islam seluruh dunia memerlukan pasaran produk halal ini, malah orang bukan Islam turut berminat menggunakan bahan produk halal.

“Kita perlu menerokai bidang ini dan merebut peluang untuk menjana pendapatan ekonomi rakyat, sekaligus memasuki pasaran dunia,” katanya.

Beliau kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara UDM yang diwakili Prof Dato’ Dr Alias Daud dengan EPERDC yang diwakili Dato’ Jabasingam Issace John.

Kemudahan Sekolah Sukan Terengganu Ditingkatkan

Oleh: Esah Abdullah

Menjadi ahli sukan boleh menjana pendapatan lumayan, boleh berjaya dalam hidup dengan syarat perlu betul-betul fokus dan menjaga disiplin.

“Cita-cita menjadi ahli sukan sahaja tidak cukup tanpa kesungguhan dan usaha,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis Pelancaran Prasarana Sukan, Sekolah Sukan Terengganu (SST), Bukit Nenas, Setiu baru-bau ini.

Katanya, sejumlah RM6 juta akan dibelanjakan bagi meningkatkan kemudahan prasarana di SST, satu-satunya sekolah sukan di negeri ini untuk kemudahan pelajar menjalani latihan sukan dengan lebih baik dan berkesan.

“Antara prasarana yang akan ditambah termasuklah membina gelanggang futsal berbumbung dan trek olahraga termasuk ubahsuai dewan sekolah sedia ada agar boleh digunakan pelbagai acara ‘indoor’ termasuk badminton dan pingpong,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri merangkap Pengerusi, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SST, Haji Ashaari Idris dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Sekolah yang menempatkan 435 pelajar tingkat satu hingga enam, mula beroperasi pada 2005 sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan kemudian diambilalih oleh kementerian pada 2006 untuk dijadikan sekolah sukan.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana pelajar di sekolah itu mampu mencatat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu serta berjaya membantu Terengganu menjadi juara dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 tahun lalu.

Menteri Besar juga turut memaklumkan cadangan pembinaan Sekolah Sukan Malaysia, di Gong Badak Kuala Terengganu berada di peringkat menunggu keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Kawasan seluas 30 ekar telah disediakan kerajaan negeri dan anggaran kos lebih kurang RM70 juta, jika semuanya berjalan lancar kerja-kerja merata tapak dijangka dapat dilakukan selewatnya tahun depan,” katanya.

Katanya, apabila sekolah itu siap kerajaan akan membuat pengambilan 80 peratus pelajar tempatan, manakala 20 peratus pelajar luar Terengganu.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Belia dilatih sukan berkuda

Oleh: Suriati Ali



Golongan belia terutama peminat sukan berkuda di negeri ini berpeluang mengasah bakat selepas Kelab Polo Terengganu (KPT) mengambil inisiatif membuka kelas latihan menunggang kuda peringkat asas, mahir dan profesional.

Pendekatan itu diambil selepas menyedari golongan itu yang sememangnya berbakat, tidak diberi pendedahan mendalam mengenai teknik menunggang secara betul.

Yang Dipertua KPT yang juga Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman, berkata suatu ketika dulu masyarakat menganggap sukan berkuda lebih dikenali sukan untuk kerabat Diraja dan golongan berada sahaja.

“Anggapan itu mungkin disebabkan kos mempelajari dan memiliki peralatan berkaitan sukan itu mahal dan sukar diperoleh.



“Sukan ini kini menjadi hobi dan rutin bagi penduduk membawa kuda menjalani latihan dan bersiar-siar di pantai walaupun tanpa menggunakan peralatan khas,” katanya ketika berucap di Program Pengenalan Kuda Kepada Belia di Terengganu Ekuestrians Resort (TERS), Kuala Ibai, baru-baru ini.

Sebanyak 50 peserta mengikuti program anjuran KPT. Pelbagai teknik diajar dan dipamer jurulatih profesional, termasuk cara menggunakan peralatan, teknik menunggang dan kaedah memikat kuda.

Lanjutan program itu, KPT akan membuka kelas latihan menunggang kuda kepada individu yang berminat bertujuan mengasah dan mencungkil bakat.

Jika mempamerkan displin yang baik, individu yang dilatih berpeluang mewakili negeri dan seterusnya mengharumkan nama Terengganu di peringkat global.



Tengku Baderulzaman berkata, tujuan kelas latihan dibuka adalah memberi tunjuk ajar kepada golongan belia untuk mempelajari cara dan teknik yang betul ketika menunggang kuda.

Katanya, golongan belia hari ini beruntung kerana di Terengganu pelbagai kemudahan sukan disediakan kerajaan negeri termasuk infrastruktur sukan berkuda bertaraf antarabangsa.

“Oleh itu, pihak kami menyarankan mana-mana individu perlu mengambil peluang dan manfaat sebaik mungkin apa yang ditawarkan.



“Saya menolak tanggapan segelintir individu yang menyatakan lokasi di TERS ini adalah untuk kerabat Diraja dan golongan berada sahaja dan bukannya bagi penduduk setempat menjalani latihan” katanya.

Menurutnya, walaupun nampak canggih dan moden, mereka yang berminat tidak perlu segan menggunakan kemudahan yang disediakan.

RM77 juta tingkat industri pelancongan

Oleh: AIDA ABD RAHMAN



Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM77 juta bagi meningkatkan industri pelancongan negeri sekaligus mencapai sasaran menarik 4 juta pelancong tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata dalam keadaan kemelesetan ekonomi dunia kerajaan negeri tetap menjangkakan lebih ramai pelancong ke Terengganu berdasarkan sambutan baik kehadiran pelancong sepanjang tahun lalu.

Pada tahun lalu, Terengganu mencapai sasaran 3.5 juta pelancong hasil promosi dan kerancakan aktiviti pelancongan yang dijalankan agensi dan badan pelancongan negeri.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat 4 juta pelancong kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai cara termasuk mewujudkan 10 pulau mengikut tema tersendiri, seperti Taman Rama-rama, Taman Orkid dan Santuari Gajah di Tasik kenyir.

“Ramai sudah mengetahui pelbagai projek pelancongan kini sedang giat dijalankan di Tasik Kenyir, selain zoo di Bukit Takal, Kemaman yang bakal dibuka Mac depan, di mana zoo itu dibina menggunakan kepakaran perunding dari Singapura.

“Kerajaan juga membelanjakan RM1.9 juta setahun dalam tempoh tiga tahun bagi memaparkan gambar keindahan pusat peranginan dan pelancongan yang dipamer di tempat meletak beg di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Sampai sahaja di KLIA mereka nampak Terengganu,“ katanya di Kerteh baru-baru ini.

Kerajaan negeri juga berhasrat membangunkan Pulau Bidong yang dulunya menjadi penempatan puluhan ribu pelarian Vietnam.

Pulau Bidong yang dibuka pada tahun 1975 merupakan pulau terkenal di dunia dan 5,000 pelarian yang pernah singgah di Pulau Bidong dikatakan sudah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing.

“Tidak kurang juga ada antara mereka menjadi jutawan di Kanada, Australia dan Amerika..padahal mereka mencari tempat berlindung di Pulau Bidong suatu masa dulu,” katanya.

Malah, Dato’ Ahmad berkata, kesediaan syarikat penerbangan komuniti pertama, Firefly mengadakan penerbangan terus Kerteh-Subang dan Kuala Terengganu-Subang juga mampu memberi impak kepada kemajuan pelancongan negeri.

Perkhidmatan yang disediakan Firefly dilihat tepat pada masanya ketika Terengganu semakin dikenali di peta dunia kerana sering menganjurkan pelbagai aktiviti peringkat antarabangsa yang melibatkan penyertaan rakyat asing seluruh dunia.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

10 penempatan baru di Telemong

Oleh: SURIATI ALI



Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong bakal menerima 10 penempatan baru selepas pemohon tanah Lay-Out mendapat hak milik tanah. membina rumah masing-masing.

Penempatan yang belum diberi nama itu berada di Kampung (Kg) Kuala Jeneris, Kg Pelam, Kg Nibong, Kg Tengkawang, Kg Payang Kayu, Kg Jenagor, Kg Baung, Kg Bukit Gemuruh, Kg Cheting dan Kuala Pueh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Telemong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Encik Rozi Mamat, meminta penduduk yang mendapat geran tanah dan membina rumah di kawasan berkenaan supaya bersatu hati menubuhkan jawatankuasa khas.

Katanya, apabila jawatankuasa diwujudkan, penempatan baru ini akan lebih tersusun dan sistematik, umpama perkampungan berada di kawasan bandar.
“Sebelum ini, setiap rumah dibina mengikut cita rasa pemilik dan tidak mementingkan faktor alam sekitar. Sebagai contoh, penduduk lebih gemar membina rumah membelakangi sungai atau jalan.

“ Apabila perkara itu berlaku, secara sendirinya sungai menjadi kotor selepas air kumbahan dibiarkan mengalir di kawasan itu selain sampah-sarap dibuang secara terbuka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jadual 5A Tanah Lay-Out Kampung Bukit Gemuruh, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 78 daripada 107 pemohon layak menerima jadual 5A itu selepas berjaya memenuhi beberapa syarat yang dikenakan untuk memohon tanah itu. Manakala 29 pemohon lagi masih dalam proses kelulusan.

Tanah seluas lebih lapan hektar dipecahkan menjadi 107 lot itu adalah tanah bukit milik kerajaan negeri dan dipohon penduduk kira-kira 33 tahun untuk menjadi hak milik mereka.

Encik Rozi kesal dengan sikap segelintir pemilik tanah Lay Out yang bertindak menjual tanah kepada individu tertentu tanpa memikirkan risiko bakal dialami.

Katanya, mereka tetap berdegil walaupun mengetahui tindakan itu menyalahi Peraturan Dasar Tanah Negeri yang mensyaratkan supaya tidak boleh menjual kepada mana-mana individu dalam tempoh 10 tahun.

“Perkara itu terbongkar selepas pembeli tanah itu merujuk masalah kepada saya selepas tidak dapat menukar nama untuk mendapat hak milik.

“Sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap pemilik yang menjual tanah itu, tetapi Pejabat Tanah dan Daerah tidak akan membenarkan mereka untuk memohonnya buat kali kedua,” katanya.

Nira Mocca masyhurkan Marang

Oleh: AIDA ABD RAHMAN




Kilang memproses nira nipah tunggal negara ini yang terletak di Kampung Kelulut, Marang, menjadi antara produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang kini menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk tempatan.

Selepas hampir tiga tahun beroperasi, pusat itu yang diseliakan Siti Aishah Mohamad @ Abd Aziz dengan dibantu operator pemprosesan, Fatimah Mohd, menjadi pengeluar air nira atau Nira Mocca terkenal di seluruh negara.

Air nira nipah itu diperolehi daripada pokok nipah sejenis tumbuhan kumpulan palma dikenali nama botaninya Nypa fruiticans, tumbuh di kawasan lembab dan berair tawar.


Bukan sahaja rasanya manis, nira nipah juga berkhasiat dan menjadi minuman asli yang mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu, tetapi kaum lain.

Antara khasiat nira nipah menurunkan suhu badan yang panas, mencuci buah pinggang serta mengubati penyakit gastrik, darah tinggi dan kencing manis.

Pada masa yang sama, perusahaan nira nipah memberi pendapatan sampingan kepada enam penduduk sekitar kampung Kelulut yang mengambil upah memungut air nira dengan kadar upah RM4 seliter.



Menurut Siti Aishah, lazimnya pembekal nira nipah menghantar 40 liter sehari dan setiap orang memperolehi antara RM600 hingga RM800 sebulan, bergantung kepada kuantiti nira terkumpul.

Hasil promosi giat yang diatur Cakna Sdn Bhd menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Nira Mocca laris terjual di ekspo dan pameran dalam mahu pun luar Terengganu.

Kilang pemprosesan yang mampu menghasilkan kapasiti 120 kilogram air nira atau bersamaan 700 botol nira mocca, juga mengeluarkan cuka nipah dengan jumlah antara 200 botol hingga 500 botol sehari.

Cuka nipah dengan isian 60 hingga 80 liter sebotol perlu melalui beberapa proses yang dilakukan pada waktu siang, di mana air nira nipah berkenaan perlu diperam selama 40 hari dan elok dihasilkan pada musim kemarau.

Nira Mocca dijual dengan harga RM2.50 sebotol atau RM31.20 sekaton boleh didapati di pusat pemprosesan berkenaan yang dibuka 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Selain Nira Mocca dan cuka nipah, pusat itu yang dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Ogos 2006 itu turut menghasilkan aiskrim nira.



Produk nira nipah sudah dipasarkan di serata tempat dan boleh dibeli di Mydin Mall, Giant, Taman Tamadun Islam, Nor Arfa Craft Compleks, kedai keropok di Losong dan Seberang takir, selain kedai runcit sekitar Terengganu.

Dalam program SDSI 2008 di Pusat Dagangan Terengganu, Mei lalu, perusahaan itu turut mendapat tempat pertama sebagai `Booth Cuka Nipah Terbaik’.

Pendekatan sesuai dengan status perbandaran

Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD) harus memainkan peranan menterjemahkan kepada orang ramai yang masih berfikiran sempit dan kabur mengenai peruntukan undang-undang dan kualiti pengurusan majlis perbandaran.



Wakil Khas kepada Menteri Besar merangkap Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata beberapa nilai pendekatan yang sesuai dengan status majlis perbandaran juga perlu diambil kira oleh semua ahli majlis perbandaran termasuk melunaskan tuntutan rakyat.

Dato’ Rosli juga mengingatkan ahli majlis supaya mewujudkan keserasian sesama ahli untuk menguruskan undang-undang dan membina kepimpinan yang bijaksana bagi menyelesaikan pelbagai masalah terutama melibatkan rakyat.

“Agenda utama panel Dungun Membangun sejak penubuhannya termasuk bagaimana hendak menjadikan Dungun sebagai kawasan perbandaran dan akhirnya dapat direalisasikan pada 20 Ogos 2008 lalu.

“MPD harus lebih `struggle’ dengan mencari sumber pendapatan sendiri seperti bayaran TNB (Tenaga Nasional Berhad) serta pembangunan di pesisiran pantai di Paka yang mana pelaksanaanya dapat diterjemahkan di peringkat perbandaran,” katanya pada majlis Terima Jawatan Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD), di Dewan MPD, Dungun, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Yang Dipertua MPD, Encik Zainal Abidin Hussin.

Seramai 22 Ahli Majlis MPD mengangkat sumpah dan menandatangani surat perakuan menerima tugas masing-masing.

Pada masa yang sama, Dato’ Rosli juga menasihatkan supaya ahli majlis tidak mengabaikan tiga aspek utama yang menjadi asas kepada perbandaran, iaitu kebersihan, pembinaan disiplin rakyat serta permuafakatan.



Katanya, pemilihan ahli majlis dari pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin politik, Ahli Bukan Kerajaan (NGO), aktivis, pendidik dan usahawan mampu menjadikan ahli majlis yang berkualiti tinggi dan mampu memantapkan MPD dalam semua aspek.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Dungun Membangun sedang berusaha memastikan dua projek dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang masih di peringkat awal iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bukit Tiong dan kampus UiTM Bukit Besi dapat direalisasikan segera.



“Prasarana menjadi teras kepada pembangunan di MPD. Saya sedang berusaha supaya projek membina MRSM Bukit Tiong menerusi RMK9 yang sudah dibuat `designnya’ dapat dibuat rundingan terus dengan syarikat tempatan (pemaju).

“Pembinaan Kampus UiTM Bukit Besi yang bernilai RM54 juta bagi fasa I akan direzabkan dan diserahkan kepada UiTM, selain tapak pembinaan akan dilawati oleh Menteri Pengajian Tinggi nanti bagi melihat perkembangan projek ini,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Firefly pacu ekonomi negeri

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Penerbangan dua hala yang ditawarkan syarikat penerbangan komuniti pertama negara, Firefly (Sdn Bhd) dari Kerteh – Subang menjadi tulang belakang bagi meningkatkan lagi sektor pelaburan berasaskan minyak dan gas serta pelancongan di Terengganu.

Perkhidmatan dua kali sehari mulai Isnin hingga Khamis mampu menjimatkan masa pekerja industri sekitar Kemaman dan orang ramai yang tinggal berhampiran Lapangan Terbang Kerteh untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Malah, Firefly dengan kerjasama kerajaan negeri juga sedang berusaha meluaskan rangkaiannya untuk mengadakan penerbangan terus Kuala Terengganu –Singapura menjelang Jun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata usaha Firefly menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran terutama di sekitar Kemaman dan Dungun mampu memacu industri minyak dan gas di Terengganu.

“Firefly yang membawa kira-kira 70 penumpang dalam penerbangan pertama ke Kerteh pada 12 Februari lalu juga dapat meningkatkan sektor pelancongan negeri pada masa depan serta menjadi tulang belakang ekonomi,” kata beliau ketika melancarkan Penerbangan Firefly ke Kerteh, di Lapangan Terbang Kerteh, Kemaman, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman.

Dato' Ahmad berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan dalam negara serta asing untuk mengadakan penerbangan terus ke Kuala Terengganu, termasuk mengecualikan bayaran pendaratan, bayaran parkir dan cukai lapangan terbang.

Dalam pada itu, laluan terbaru yang pertama ditawarkan oleh Firefly menjadikan penawaran dua destinasi ke Terengganu termasuk Kuala Terengganu-Subang yang bermula April 2007 lalu.

Pengarah Urusannya, Eddy Leong berkata, laluan baru ini merupakan komitmen berterusan Firefly menambah rangkaian serta menyediakan penerbangan alternatif dan murah kepada orang ramai.

''Objektif utama kami adalah menyediakan pengangkutan alternatif keluar masuk Kerteh yang lebih ekonomik dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

''Selain itu, laluan Kerteh ini dapat memudahkan orang ramai pergi bercuti kerana terdapat destinasi pelancongan terkenal di kawasan berhampiran seperti Kijal, Cherating, Teluk Gadung dan Pulau Tenggol yang terletak beberapa minit sahaja daripada Lapangan Terbang Kerteh,'' katanya.

Nilai terbaik tambang murah Firefly termasuk 20 kilogram (kg) bagasi dibenarkan untuk daftar masuk, tempat duduk yang ditetapkan selain makanan dan minuman ringan disediakan dalam pesawat termasuk pesawat baru ATR72-500.

Ahad, 29 Mac 2009

Ilmu Sains Kupas Kebesaran Allah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad memalu gong sebagai gimik perasmian Seminar Ulul Albab, Sains dan Astronomi Islam di Taman Tamadun Islam. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

KERAJAAN sedia membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk generasi hari ini mempelajari ilmu Sains dan meneroka alam cakerawala kerana ilmu Sains mampu mengupas setiap kejadian serta ciptaan Allah Taala yang penuh hikmah.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, hasrat kerajaan membentuk generasi ulul albab yang menjadi pakar rujuk masyarakat selain aset yang penting kepada perancangan dan kemajuan masa depan negara.

“Orientasi keilmuan dan keimanan kental yang mendasari keperibadian ulul albab menjadikan mereka memiliki ketajaman akal fikiran malah hati sentiasa terpaut pada kebesaran Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Seminar Ulul Albab, Sains dan Astronomi Islam, di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (22 Mac).


Sebahagian pelajar yang menyertai Seminar Ulul Albab, Sains dan Astronomi Islam din Taman Tamadun Islam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Abdul Majid Mohd Isa serta pengetua sekolah-sekolah, pelajar Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah.

Katanya, pembentukan genarasi ulul albab adalah menyatukan unsur ketuhanan serta nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran telah meletakkan umat Islam sebagai pelopor kemajuan Sains dan pelbagai cabang ilmu.

“Penampilan Melayu berorientasi ulul albab dalam pelbagai cabang ilmu bukan sebagai elitis yang akhirnya lupa daratan sebaliknya sebagai ilmuan Melayu Islam yang amanah bersulamkan roh jihad untuk memajukan bangsanya,” katanya.


Dato' Ahmad bersalaman dengan tetamu yang hadir pada seminar itu.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan menjadikan konsep ini sebagai batu asas dalam perlaksanaan sistem pendidikan di sekolah Imtiaz dengan sistem pembelajaran yang menggabungkan Quranik (al-Quran) Ijtihadik (pembangunan sahsiah) dan Ensaiklopedik.

“Gabungan tiga konsep ini mendedahkan pelajar membaca dan menghafal al-Quran dengan baik dan betul serta memahami makna disamping menggalakkan mereka menyertai pelbagai aktiviti sihat bagi pembentukan sahsiah diri yang kreatif dan berani,” katanya.

Akhirnya, beliau merakamkan penghargaan kepada penganjur seminar iaitu UMT dan TTI yang berusaha keras merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar berpengetahuan tinggi dan mampu menguasai pelbagai bahasa.

“Kita perlu melahirkan sebanyak mungkin cendekiawan yang mantap ilmu dalam bidang Sains dan teknologi serta teguh keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah SWT dan bersemangat juang bagi memacu kemajuan dan pembangunan negara,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Sehari MB Dampingi Rakyat

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said memasang dan memaku sendiri atap rumah bagi menggantikankan yang baru pada rumah seorang penduduk di Maras, Batu Rakit. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


BERKONGSI kepayahan, mengayuh basikal bertemu penduduk kampung dan memanjat bumbung rumah untuk menukar atap dan akhirnya sama-sama mengesat peluh sambil menghirup air di warong kopi.

Itulah yang telah dilakukan dan ingin diteruskan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said selagi ada hayat di badan untuk menyelami dan mendampingi rakyat yang telah mengangkat beliau pada kedudukan sekarang.

Program sehari bersama Menteri Besar, yang disusun sedemikian rupa ternyata memberi suatu kelainan kepada masyarakat apabila berpeluang melakukan kerja dan berkomunikasi secara telus dengan pemimpin tertinggi negeri.



To' Puan Norliza Mahmud menanya khabar seorang penduduk ketika meninjau sebahagian Kampung Maras.

Tempat pilihan adalah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Parlimen Setiu dan seawal jam lapan pagi penduduk kampung sudah menerima kehadiran tetamu istimewa iaitu Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud diikuti wakil rakyat kawasan berkenaan YB Haji Khazan Che Mat dan isteri, Hajah Nik Aini Nik Soh.

Program bermula dengan bergotong-royong bersama penduduk Kampung Maras dan Wakaf Catur menggantikan atap rumah yang rosak dikuti dengan majlis penyerahan geran tanah kepada 56 penduduk tempatan.


Menteri Besar menandatangani plug perasmian Pasar Maras.

Menteri Besar kemudiannya menunaikan solat zohor di masjid Kampung Bukit Wan dan makan tengahari, hidangan gulai kawah yang dimasak secara gotong-royong di Padang Bola Kampung Gong Lingai.

Selain itu, Menteri Besar turut menanam kelapa sawit di bawah program meningkatkan pendapatan rakyat di kampung Lingai dan membuat penyerahan 1,280 anak kelapa sawit kepada 64 peserta.

Pelbagai acara termasuk pertandingan sukanika, masakan tradisional, gubahan sirih, junjung, demontrasi memproses laksa secara tradisi turut menjadi tumpuan lebih 3000 penduduk sekitar.

Paling menyeronokkan apabila makanan kegemaran Menteri Besar ketika kecil iaitu ubi gadong dihidangkan pada majlis minum petang. Malah pelbagai kuih dihasilkan daripadakan ubi gadong turut disediakan seperti kuih lapis, puteri mandi serta bubur.


Dato' Ahmad mencuba membuat laksa cara tradisional.

Walaupun dalam keadaan hujan pada sebelah petang, beberapa acara termasuk pertandingan bola jaring tetap diteruskan dan Menteri Besar tidak melepaskan peluang turun ke padang yang basah untuk mengambil bahagian dalam perlawanan futsal antara pasukan Menteri Besar bertemu pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menggabungkan empat kampung, iaitu Bukit Wan, Bukit Nenasi, Lingai dan Gong Lingai.

Selesai solat Maghrib, tahlil dan tazkirah di Masjid Kampung Maras, Menteri Besar kemudian merasmikan Dewan Serbaguna dan Pusat ICT Kampung Maras.

Unit Komunikasi Negeri

Ahad, 15 Mac 2009

Gajah Liar Dilindungi

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad memberi makan kepada gajah betina yang diberi nama `Suria' ketika melawat Santuari Gajah di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


10 Mac 2009


SEMUA gajah liar yang berkeliaran di negeri ini akan ditangkap dan ditempatkan dalam satu kawasan perlindungan seluas 15,000 hektar di Sungai Ketiar, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Kawasan perlindungan ini akan dibahagi kepada tiga kompatmen dan setiap kompatmen (5,000 hektar) akan dikawal menggunakan pagar elektrik dan dibuka secara berasingan.

“Perbelanjaan dijangka mencecah lebih RM8 juta bagi membina pagar elektrik di sekeliling kawasan perlindungan gajah,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai Santuari Gajah di Sungai Ketiar, Tasik Kenyir.


Menteri Besar menaiki gajah jinak yang dipulihara di Tasik Kenyir, Terengganu.

Katanya, kerja-kerja membina pagar ini akan dijalankan secepat mungkin dan rundingan sedang dibuat dengan kontraktor bagi mendapatkan kos sebenar serta penggunaan tenaga solar bagi mengelak berlaku kejutan elektrik terhadap gajah.

Katanya, setiap kompatmen akan ditanam pelbagai jenis pokok untuk makanan gajah di mana hanya satu kompatmen akan dibuka pada satu-satu masa.

Menurutnya, kompatmen a,b dan c akan dibuka mengikut giliran dalam tempoh empat bulan bagi setiap kompatmen dan gajah akan dipindahkan ke kompatmen berikutnya untuk memulihkan pokok yang ada di kawasan itu.

“Kita sedang mengenal pasti laluan gajah-gajah liar ini supaya dapat merancang untuk membuka kompatmen mengikut pusingan tanpa menganggu kitaran makanan untuk haiwan itu,” katanya.

Tambah Menteri Besar, laluan selamat untuk pelancong juga sedang dikenal pasti agar lawatan ke Santuari Gajah ini dapat memberi kepuasan kepada pengunjung.


Santuari Gajah Tasik Kenyir di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu menjadi tarikan baru kepada pengujung.

Sepanjang tahun lalu 35,145 pengunjung termasuk 259 pelancong luar telah berkunjung ke Santuari Gajah di Sungai Ketiar di mana ia merupakan santuari pertama di negara ini.

Pembinaan tiga unit jejantas hidupan liar ‘animal viaduct’ yang dibuat khas untuk spesies hidupan liar bergerak merentasi kawasan hutan merupakan jalan raya pertama di Asia Tenggara yang memberi perhatian kepada keperluan pergerakan hidupan liar.

Terletak 135 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Terengganu dan 95 km dari bandar Kuala Berang, perjalanan ke Santuari Gajah boleh melalui jalan baru Kuala Berang – Tasik Kenyir – Aring – Guang Musang.

Dua ekor gajah iaitu Suria (betina) dan Chili (jantan) berusia antara tujuh dan lapan tahun menjadi tarikan di mana pengunjung boleh memberi makan, menunggang dan bergambar dengan Suria dan Chili.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Jabatan Kerajaan yang menyertai perarakan Maulidur Rasul dan Pelancaran Bulan Dakwah peringkat Negeri Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Pendekatan dan tugas berdakwah menjadi tanggung jawab setiap umat Islam dan tema ‘wadah pemangkin khaira ummah’ amat bertepatan dengan masyarakat hari ini kerana penyatuan dan perpaduan adalah tongkak utama dalam sesebuah negara.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman berkata demikian di majlis sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Bulan Dakwah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam (9 Mac).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Dato’ Mokhtar Nong.

Katanya, dalam masyarakat hari ini pelbagai agenda disusun untuk kepentingan masyarakat Islam yang dilaksanakan disetiap peringkat dan ia memerlukan muhasabah semua pihak supaya menjadi umat yang cemerlang dan disegani.


Kontijen Petronas berarak menuju ke Stadium Negeri dengan mengusung replika pintu gerbang.

“Sesungguhnya dalam meletakan sasaran menjadi khaira ummah memerlukan kepada komponen teras iaitu penguasaan ilmu yang dipimpin oleh iman dan takwa disamping komitmen sepenuhnya daripada individu dan masyarakat serta organisasi dalam sesebuah negara,” katanya.

Katanya, tanggung jawab melakukan yang terbaik serta mencegah yang mungkar tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja tetapi umat Islam seluruhnya dimana penyatuan dan perpaduan adalah aset utama sesebuah negara.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyeru setiap lapisan masyarakat agar menjadikan sambutan ini satu wacana ke arah penyatuan bangsa yang lebih baik dan pepaduan adalah kunci kepada keamanan dan kejayaan sesebuah negara.

“Sesungguhnya dalam menjalani kehidupan kita sebagai seorang Islam seharusnya Nabi Muhammad S.A.W dijadikan panduan dan rujukan dalam melahirkan insan yang cemerlang,” katanya.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Dakwah yang diadakan serentak sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan yang dibuat kali terakhir pada tahun 1978 dan dihidupkan semula atas kesedaran fungsi, peranan dan praktikal dakwah.

“Ianya sebagai satu medium berpengaruh yang dapat mencetuskan kesedaran dan keinsafan supaya menjadi hamba Allah yang patuh dan bertaqwa kepadaNya,” katanya.

Katanya, kerajaan telah mengatur program antaranya kempen solat berjemaah, wacana tokoh tharikat yang muktabar, seminar pengukuhan modal insan (akhlak) belia/remaja dan kempen halal hub kepada peniaga dan pengusaha kedai makan.

Majlis perarakan Maulidur Rasul dan pelancaran bulan dakwah disertai 92 kontijen dengan 3,800 peserta daripada jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, badan berkanun, swasta, pasukan berunifom, badan bukan kerajaan dan pelajar sekolah.

Kontijen Yayasan Islam muncul johan bagi anugerah khas perarakan dalam kategori jabatan kerajaan dan badan berkanun, menerima hadiah wang tunai RM2,000 beserta sijil, tempat kedua Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (RM1,500 dan sijil)) dan ketiga Yayasan Pembangunan Keluarga (RM1,000 dan sijil).


Peserta dari Pemint mengayuh beca roda tiga merupakan kelainan dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul di Kuala Terengganu.

Kategori Kerajaan Pusat dimenangi Jabatan Imigresen (tempat pertama), Mardi dan Jabatan Pembangunan Persekutuan manakala kategori Sekolah Menengah dan Institut Pengajian Tinggi dimenangi Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, SMA Khairiah dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali.

Majlis Belia Negeri menenangi kategori syarikat swasta dan badan bukan kerajaan manakala Akademik Bomba Wakaf Tapai johan kategori badan berunifrom.

Bagi pertandingan menulis esei dimenangi Haji Awang Koding, menulis khutbah dimenangi Puan Shalisah Harun dan johan pidato dimenangi Mohd Rozikin Zakaria dari SMA Zainal Abidin dan johan bercerita dimenangi adik Aini Aizira Azman dari Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Pelajar Aseni Lanjut Pelajaran ke IPTA

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pelajar Aseni mampu mengadakan persembahan yang hebat dan mantap hasil daripada ilmu seni muzik yang dipelajari di akademi itu. Gambar kecil Tengku Mohd Arifin.

Pelajar Akademi Seni Terengganu (Aseni) berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah dalam bidang khas seni muzik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebaik tamat latihan di akademi itu dua tahun lagi.

Sekumpulan 26 pelajar Aseni bagi kemasukan Februari lalu harus menghabiskan 60 jam kredit dalam tempoh dua tahun sebagai syarat utama sebelum meneruskan pengajian mereka di IPTA seperti Universiti Teknologi Mara, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Akademi Seni Kebangsaan.

Pemangku Pengarah Aseni, Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman, berkata kerajaan negeri mengambil inisiatif itu bagi memastikan pelajar Aseni dapat meningkatkan ilmu dalam bidang muzik mereka dengan lebih mendalam.

Katanya, pengambilan Aseni untuk kali keenam pada bulan lalu merupakan pengambilan sulung yang berpeluang meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi selepas Aseni mendapat pengiktirafan Malaysia Qualification Agency (MQA).

Beliau berkata, sejak pengambilan pertama pada Ogos 2006 lalu, pelajar Aseni harus menghabiskan latihan mereka selama setahun, kini mereka harus menghabiskan pelajaran dalam masa dua tahun dengan 60 jam kredit.

“Semoga pelajar yang lahir dari Aseni dapat mengembangkan bakat dan kebolehan mereka di peringkat lebih tinggi, sekaligus berupaya memartabatkan warisan seni Terengganu.

“Kita tidak menekankan kuantiti, sebab itu kita mengehadkan pengambilan disebabkan pelbagai faktor dan mengutamakan kualiti yang dihasilkan daripada perancangan rapi kerajaan negeri dalam memartabatkan industri seni tanah air,” katanya.

Selain itu, Aseni yang dipantau Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Haji Husain Embong, akan bergerak seiring dengan program pelancongan negeri termasuk bercadang mengadakan persembahan kebudayaan yang bergabung dengan penggiat kebudayaan lain seperti Briged Seni Muzium Negeri.

Katanya, Aseni juga merancang untuk mengadakan persembahan seperti kombo lagu-lagu rakyat secara berjadual di pentas kebudayaan di pekan budaya atau Bazar Warisan.


Pelajar Aseni ketika mengadakan persembahan di Program Sua Rasa 2009 di Syahbandar, Kuala Terengganu. Gambar GK

Unit Komunikasi Negeri

Rabu, 11 Mac 2009

Seni rodat masih ampuh

Oleh: AIDA ABD RAHMAN



Setiap negeri di Malaysia memiliki tradisi seni persembahan yang masih kekal sehingga kini. Melaka gemalai dengan dondang sayang, Johor tangkas dengan tarian Kuda Kepang, Kedah asyik menerusi dendangan Ghazal Parti, Pulau Pinang rancak dengan boria, Selangor nyaring dengan keroncong, Kelantan lantang dengan dikir barat serta wayang kulit, manakala Terengganu pula unik dengan kelembutan lenggok dan nyanyian rodat.

Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan dan pengaruh yang agak signikan.

Dalam konteks ini, pantun dikonsepsikan sebagai satu bentuk nasihat, adat, berbudi bahasa, jenaka, kasih sayang yang disampaikan dalam bahasa yang berirama serta indah dan mengasyikkan.

Seni persembahan tradisional ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat Terengganu dan dipersembahkan di majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pesta kebudayaan.

Pegawai Penyelidikan dan Inovasi Akademi Seni Negeri Terengganu (Aseni), Cik Nurul Nadia Narindi, berkata ia dipersembahkan dalam bentuk tarian, nyanyian serta paluan alat muzik yang dipanggil rebana tar atau tar rodat.

Beliau berkata, seni warisan pusaka nenek moyang yang mengalami perkembangan dan pembaharuan ini tidak dapat dibuktikan bila dan dari mana asalnya.

Namun begitu, menurut satu catatan di dalam Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu menyebut bahawa pada awal abad ke-19 didapati ada pedagang dari Sambas dan Pontianak datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket serta perkakas.

“Mereka berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil menyanyi-nyanyi (rodat) diiringi dengan sebuah alat muzik yang dipanggil rebana tar hingga lewat malam.

“Penduduk tempatan (Terengganu) tertarik mempelajari persembahan rodat selepas mendengar alunan lagu (rodat) serta suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik itu sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor dan berkembang dalam masyarakat,” katanya.


Dipercayai bahawa kawasan atau kampung yang mula-mula diperkenalkan seni rodat di daerah Kuala Terengganu adalah di Kampung Pasir Panjang dan Gong Tok Nasek.

Menurut Cik Nadia, setelah seni rodat ini masyhur dan popular di kalangan penduduk di Kuala Terengganu, ia tersebar di tempat lain seperti di Kampung Surau Panjang, Beladau, Kepong, Paya Resak dan beberapa tempat lain.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, hanya terdapat sebuah kumpulan rodat sahaja yang masih aktif menjalankan aktiviti persembahan ini, iaitu Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang, manakala yang lain telah berkubur begitu sahaja tanpa diwariskan kepada golongan muda.

Penggiat Rodat Kampung Surau Panjang, Razak Senik atau `Pok Jak’, 57, berkata kesenian rodat masih lagi berjaya dipertahankan kerana beliau terus memperjuangkannya sehingga kini.



“Saya sayangkan seni warisan ini. Malah, saya tekun memberi latihan dua kali seminggu kepada anak muda dan mereka mampu menguasai kemahiran persembahan rodat dengan tunjuk ajar saya,” katanya ketika ditemui GanuKita di tempat latihan rodat, di Kampung Surau Panjang, baru-baru ini.

Pok Jak mula menceburi bidang itu sejak berusia 16 tahun daripada seorang pelopor seni itu yang digelar sebagai `Pok Mi’ di kalangan penduduk kampung. Seni rodat yang dipersembahkan Pok Mi dan kumpulannya ketika itu menyebabkan kawasan sesak dengan penduduk tempatan yang setia menanti hingga tamat persembahan.

Katanya, ketika itu rodat membawa banyak lagu dan mengambil masa sehingga enam dan tujuh jam lamanya, berbanding sekarang hanya sejam atau lebih dalam satu-satu persembahan kebudayaan dan majlis keraian.

Menurut Pok Jak, selepas dua tahun mengikut tunjuk ajar Pok Mi, Pok Jak kemudiannya menurunkan pula ilmu kepada rakan sebaya serta golongan muda yang lain dengan hasrat seni itu terus berakar umbi hingga bila-bila.

Umumnya persembahan rodat terdiri daripada beberapa peringkat atau fasa persembahan. Namun pada dasarnya di awal penubuhan kumpulan rodat di Terengganu hanya terdapat dua watak atau kumpulan utama iaitu kumpulan pengadi selaku penepuk tar yang terdiri daripada golongan lelaki dan kumpulan pelenggok sebagai penyanyi dan penari yang juga daripada golongan lelaki.

Perubahan telah berlaku di era 40-an dengan memperkenalkan watak Mak Inang sebagai penari dan penyanyi yang terdiri daripada golongan wanita. Sehinggalah hari ini, corak persembahan rodat telah banyak mengalami perubahan sama ada dari segi struktur organisasi, lagu dan juga cara persembahan.



Menurut Pok Jak, biasanya struktur kumpulan utama rodat yang dipeloporinya terdiri daripada enam hingga lapan orang pengadi (pemukul rebana), lapan pelenggok (penari) dan lima orang mak inang.

“Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas,” kata Pok Jak yang bekerja tetap sebagai penjaja keropok .

Katanya, lagu yang sering digunakan ialah lagu selawat yang dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit. Setelah lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan `Bismillahi Muala Nab Tadaina’ iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan.

Kemudian para pengadi akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok. Begitulah seterusnya di mana lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

Seorang pelapis seni berkenaan yang juga anak didik Pok Jak, Mohd Hafizi Din, 16, berkata dia amat meminati seni rodat dan sudah empat tahun berjinak-jinak dengan seni itu sebagai pengadi (pemukul rebana).

“Saya tak mau seni ini hilang begitu saja tanpa ada pewarisnya. Sebab itulah saya bersungguh-sungguh menyertai kumpulan rodat ini dan akan meneruskannya sehingga dewasa kelak. Malah, saya harap lebih ramai rakan sebaya menyertainya,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang sudah menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan peringkat nasional mahupun antarabangsa seperti di Hong Kong, Taiwan dan Singapura.

Menurut Pok Jak, seni yang mengetengahkan lagu-lagu yang bersahut-sahutan yang diungkap dalam bahasa Arab yang dipetik dan disalin daripada kitab Hadrah.



Oleh yang demikian, sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila dilihat perkataan rodat itu sendiri wujud dalam perbendaharaan kata Arab yang membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga berbalas-balas.

“Seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul, “kata Pok Jak lagi.

Sebuah rumah seorang graduan

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri yakin hasrat membentuk masyarakat berilmu dan rakyat bermaruah dengan meletak sasaran “Sebuah Rumah Seorang Gaduan” (SRSG) akan menjadi realiti, tidak lama lagi.

Usaha berganda yang berterusan oleh kerajaan melalui pelbagai institusi pendidikan dan latihan, mampu memberi impak besar bagi mencapai cita-cita tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata kerajaan memberi komitmen besar untuk menjayakan hasrat berkenaan.

“Peruntukan RM149.11 juta akan dibelanjakan untuk pendidikan dan latihan bagi menambah nilai bidang pendidikan negeri tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan ini semata-mata ingin membina dan membangunkan generasi pelajar agar tahu merencana masa depan secara berhemah untuk keluarga dan negara.

Menurutnya, penambahan tiga bangunan fakulti baru di Tati Universiti College (TATiUC) di Teluk Kalong, Kemaman dengan peruntukan RM80 juta yang akan siap menjelang 2010 serta penambahan beberapa kursus kemahiran, antara usaha kerajaan menyediakan ruang lebih luas untuk anak tempatan menimba ilmu.

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) di Bukit Kor, Marang juga mula menawarkan kursus bertaraf diploma di bidang automotif serta beberapa bidang kemahiran lain, satu kelebihan bagi rakyat tempatan.

“Malah mereka yang mengikuti kursus di Tesdec berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di TATiUC atau universiti lain mengikut bidang yang mereka ambil,” katanya.

Sebuah politeknik baru sedang dalam pembinaan di Hulu Terengganu yang dijangka siap pada 2011 menjadikan tiga politeknik di negeri ini iaitu Politeknik Kota, Kuala Terengganu dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun.

Katanya, semua ini untuk menampung keperluan tempat pengajian khusus rakyat tempatan yang semakin hari semakin bertambah jumlahnya kerana meningkatnya bilangan pelajar cerdik di negeri ini.

Begitu juga dengan Terengganu Timber Industri Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu, melatih remaja lepasan sekolah yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPT.

Katanya, TTITC menyediakan kursus kemahiran di bidang perkayuan dan dengan sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran, dulu dikenali Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan atau MLVK, yang diperolehi di sini, mereka layak memohon untuk melanjutkan pengajian keperingkat diploma atau ijazah di TATiUC Kemaman.

“Peluang dan ruang dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan pelajar mencari hala tuju kehidupan yang lebih baik dan jika mereka kuat berusaha mereka layak mengikuti jejak sahabat yang cemerlang dan dapat masuk universiti,” katanya.

Melalui Yayasan Terengganu, bantuan melanjutkan pengajian ke IPTA disediakan dan RM8 juta disediakan termasuk bantuan kepada pelajar tingkatan enam atas yang tidak mendapat biasiswa, diberi tunai RM1,000 setiap orang.

Unit bergerak kutip cukai pintu

Oleh: ESAH ABDULLAH

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mewujudkan unit bergerak bagi mengutip cukai pintu, dalam usaha mengelak masalah tunggakan cukai pintu.

“Mungkin dengan cara ini kutipan cukai pintu dapat dilakukan lebih berkesan,” kata Datuk Bandar MBKT, Dato’ Mat Razali Kassim pada sidang media selepas menghadiri majlis Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli majlis MBKT 2009 – 2010 di Wisma Permint, baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan saranan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said baru-baru ini agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih proaktif untuk menggelakkan cukai tertunggak terlalu lama dan menjadi masalah kepada pihak pembayar sendiri.

“Dengan pendekatan yang diambil ini, masyarakat boleh membuat bayaran dengan lebih mudah kerana unit bergerak MBKT akan berada di tempat-tempat yang senang dikunjungi oleh orang ramai,” katanya.

Menurut Dato’ Mat Razali, sehingga ini sejumlah RM50 juta tunggakan cukai pintu sejak sekian lama dan pihak MBKT sudah mengeluarkan surat amaran (borang E) kepada individu, syarikat dan badan berkanun.

“Setakat ini MBKT berjaya mengutip RM3 juta pelbagai cukai setahun dan kebanyakan mereka terbabit akan membuat bayaran apabila menerima borang E daripada pihak kami,” katanya.

Menurut Dato’ Mat Razali, pihaknya juga akan mewujudkan tiga kawasan letak kereta bertingkat di sekitar bandar iaitu kawasan letak kereta kakitangan Wisma Darul Iman, di Stadium Sultan Ismail Nasharuddin Shah dan kawasan letak kereta Batas Baru.

“MBKT juga menerima peruntukan RM19 juta daripada kerajaan negeri untuk menjayakan aspek keceriaan dan kebersihan dalam kawasan bandar raya tahun ini,” katanya.

Dato’ Mat Razali seterusnya menyeru orang ramai memberi kerjasama untuk menjaga kebersihan dan MBKT akan mengenakan denda RM10 kepada mereka yang didapati membuang sampah di merata tempat.

Sementara itu, 25 orang termasuk 12 muka baru, dua daripadanya wanita yang mewakili parti UMNO dan MCA dilantik sebagai ahli majlis bagi tempoh 2009 – 2010 dan pengakuan menerima jawatan disaksikan Datuk Bandar.

PTG selesai 1,086 permohonan tanah

Oleh: SURIATI ALI

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berjaya menyelesaikan 1,086 kes daripada sejumlah 3,580 permohanan penduduk tempatan bagi mendapatkan hak milik tanah di seluruh negeri, tahun lalu.

Baki 2,494 kes permohanan mendapatkan hak milik tanah terpaksa ditangguh atas sebab tertentu, selain pemohon didapati gagal memenuhi peraturan dan syarat kelayakan seperti ditetapkan kerajaan negeri.

Berdasarkan perangkaan, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah permohonan tanah tertinggi dengan 1,020 kes, diikuti Kemaman (860 kes), Marang (478 kes), Besut (471 kes), Dungun (422kes), Setiu (174 kes) dan Hulu Terengganu (155 kes).

Kes permohonan tanah yang berjaya diselesaikan mengikut daerah ialah Kuala Terengganu 299 kes, Marang (259 kes) Kemaman (193 kes), Dungun (171 kes), Besut (104 kes), Setiu (43 kes) dan Hulu Terengganu (17 kes).

Bagi tahun 2007, PTG menerima permohonan 8,852 kes daripada penduduk bagi tujuan sama dan daripada jumlah itu, 7,313 kes berjaya diselesaikan selepas membuat penelitian terperinci daripada pihak berkaitan.



Pengarah PTG, Dato’ Abdul Razak Ismail, berkata penduduk di Kuala Terengganu paling banyak membuat permohonon memiliki tanah disebabkan kepadatan penduduk selain keinginan mencuba mendapatkan tanah kerajaan.

“Semua permohanan itu diterima, tetapi tidak semestinya mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan berikutan Kuala Terengganu dan daerah lain kini mengalami kekurangan tanah,” katanya ketika dihubungi GanuKita.

Dato’ Abdul Razak berkata, kategori tanah perumahan dan pertanian adalah jumlah paling tinggi dipohon penduduk yang mahu tanah berkenaan menjadi hak milik masing-masing.

Sebelum meluluskan permohonan orang ramai, PTG mengambil kira pelbagai aspek termasuk perlu mengemukakan bukti serta butiran lengkap berkaitan tanah dipohon selain mendapat persetujuan Exco kerajaan negeri ketika mengadakan mesyuarat mingguan.

“Mereka yang belum pernah memiliki tanah kerajaan, berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan ramai akan diberi keutamaan.