Selasa, 28 April 2009

Muzik Barat Lalaikan Remaja

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Datuk Za'abar memalu beduk sebagai gimik perasmian Pameran Evolusi Alat Muzik Malaysia sambil diperhatikan oleh Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusuf Abdullah (kiri). -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Muzik barat antara punca kebanyakan remaja gemar mengamalkan hidup bersosial serta lalai berkaitan ajaran Islam.

Kebanyakan mereka lebih cenderung menghayati muzik barat iaitu blues, instrumental, jazz, rock dan pop sehingga lalai dengan tanggungjawab masing-masing.

Muzik banyak kebaikan jika diamalkan dengan kaedah betul dan mengikut lunas Islam, ia termasuk mampu merangsang otak dan minda.,


Orang ramai melihat alat muzik yang dipamerkan pada Pameran Evolusi Alat Muzik Malaysia di Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Dato’ Mohd Adib, berkata muzik memberi pelbagai manfaat dan tidak kurang juga kesan negatif terhadap masyarakat yang menyalahguna bidang itu.

Katanya, muzik barat seperti pop rock, balada dan jazz berupaya melalaikan seseorang individu jika tidak tahu menghayati tujuan sebenar.

“Oleh itu, pemimpin masyarakat terutama ibu bapa perlu menilai mana baik dan sebaliknya sebelum membenarkan anak masing-masing menceburkan diri dalam bidang muzik.


Datuk Za'abar melihat alat muzik yang dipamerkan pada Pameran Evolusi Alat Muzik Malaysia di Muzium Negeri Terengganu.

“Lebih membimbangkan, antara punca utama peratusan gejala negatif meningkat setiap tahun adalah disebabkan menyalahguna bidang muzik,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pemeran Evolusi Alat Muzik Malaysia, di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini (28 April).

Pelbagai alatan muzik tradisional dipamerkan sepanjang sebulan pameran itu berlangsung, ia termasuk alatan gendang, surunai, seruling dan rebana ubi.

Pameran anjuran Lembaga Muzium Negeri dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan berakhir 30 Jun itu dijangka mendapat sambutan mengalakkan terutama peminat dan penggiat seni.

Datuk Za’abar berkata, apabila seseorang individu itu berfikiran singkat dengan menjadikan seni dan muzik sebagai bahan untuk bersosial, ia akan merosakkan akhlak selain terpesong daripada ladasan sebenar.

“Tidak salah untuk berhibur tetapi perlu ada batasan dan tahu adat mengenainya. Bagi mengelak kekeliruan dan padangan serong sesetengah pihak perkara ini wajar diperjelaskan secara terperinci oleh mana-mana individu berpengalaman,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Semai Tabiat Cintakan Bumi Hijau

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad Said menuai kacang bendi yang ditanam di kebun sayur di Sekolah Menengah Tersat, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri akan menjadikan sektor pertanian sebagai sektor komersial yang menjana ekonomi negeri selaras dengan dasar kerajaan menjadikan sektor ini sebagai agen pertumbuhan ekonomi yang ketiga terbesar.

“Langkah awal adalah membangunkan kawasan sawah terbiar yang berpotensi untuk dibaikpulih dan dinaiktaraf bagi penanaman padi,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis perasmian program Bumi Hijau Peringkat Sekolah Negeri Terengganu, di Sekolah Menengah Tersat, Hulu Terengganu, semalam (27 April).


Menteri Besar ketika merasmikan Program Bumi Hijau Peringkat Sekolah Negeri Terengganu.

Sehubungan itu anggota masyarakat di negeri ini diminta mengambil sikap cintakan bumi hijau dengan menyemai tabiat suka bercucuk tanam di sekeliling rumah untuk kegunaan sendiri.

“Tidak rugi, malah boleh menjimatkan belanja dan kebersihan terjamin serta mengekalkan kesegaran sayuran berbanding yang terdapat di pasar-pasar tani,” katanya.

Katanya, di samping menggalakkan orang ramai mengusahakan aktiviti pertanian pihak sekolah juga disyorkan memenuhi kawasan lapang di sekolah dengan tanaman sayur-sayuran.

Sehingga ini, katanya, terdapat 90 buah sekolah seluruh negeri menyertai program ini dan sembilan daripadanya di daerah Hulu Terengganu yang turut mengambil bahagian dengan mewujudkan kebun sayur di sekolah.


Pelajar turut disemai semangat cintakan bumi hijau dengan menanam di halaman sekolah masing-masing.

Katanya, banyak kelebihan bila bidang pertanian menjadi pilihan, dengan harga di pasaran yang agak memuaskan, masyarakat boleh buat pilihan untuk mengusahakannya secara kecil atau besar-besaran.

“Mereka hanya perlu mencari kawasan untuk memulakan usaha. Dari segi benih, baja dan jentera, kerajaan akan beri bagi pusingan pertama. Manakala pusingan seterusnya mereka perlu berdikari,” katanya.

Dalam majlis tersebut Dato’ Ahmad menyampaikan kit bumi hijau berisi peralatan pertanian kepada Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Besut serta Hulu Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

CCTV Jamin Keselamatan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad Said (depan) melihat fungsi CCTV selepas melancarkannya di Majlis Daerah Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Aplikasi sistem keselamatan Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) mampu menguatkan keyakinan rakyat bahawa keselamatan dan ketenteraman terjamin dan sesuatu lokasi selamat dikunjungi.

“Kerajaan prihatin dengan keperluan keselamatan pengunjung di bandar-bandar utama yang telah menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis perasmian CCTV Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di perkarangan pejabat itu, hari ini (27 April).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Rozi Mamat; Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Aziz Mamat dan Yang Dipertua MDHT, Encik Mohd Nor Ibrahim.



Katanya, walaupun keadaan jenayah terkawal dan ketenteraman awam terjamin, kita tidak boleh leka dengan isu keselamatan dan pencegahan jenayah. Malah, dengan adanya CCTV di sekitar bandar Kuala Berang, rakyat akan rasa lebih selamat menjalankan aktiviti harian mereka.

Dato’ Ahmad mengucapkan syabas kepada MDHT yang tergolong antara pihak berkuasa tempatan paling cepat dan berjaya menyahut saranan kerajaan dalam usaha memperkasakan ciri-ciri keselamatan bagi kawasan liputannya.

“Sejumlah RM1.56 juta dibelanjakan bagi tujuan pemasangan CCTV di 17 lokasi termasuk pusat kawalan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Balai Polis Ajil dan MDHT sendiri,” katanya.

Sehingga ini, Majlis Daerah (MD) Besut, Marang dan Setiu telah siap, manakala Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu dijangka siap tidak lama lagi.

“Antara lokasi lensa CCTV yang terdapat dalam kawasan MDHT ialah di tempat tumpuan umum ini termasuklah di Stesen Bas Kuala Berang, Masjid Sultan Mahmud, taman rekreasi, pejabat pos, Sekolah Menengah Ajil dan Seri Berang, beberapa pejabat kerajaan serta laluan bersimpang,” katanya.

Katanya, dengan adanya sistem ini rakaman semula CCTV banyak membantu pihak polis dan penguasa tempatan untuk mengesan pesalah lalu lintas, peragut dan kecurian.


Pemantauan melalui CCTV dapat mengurangkan kegiatan yang tidak diingini di sekitar Hulu Terengganu.

“Saya percaya kadar jenayah dapat dikurangkan selain memantau kegiatan mereka yang suka merosakkan harta kerajaan dan yang suka membuang sampah serta puntung rokok di merata tempat,” katanya.

Katanya, usaha ini bertepatan dengan kehendak kerajaan mewujudkan persekitaran bandar yang bersih terutama kawasan tarikan pelancong dan bandar Kuala Berang merupakan pintu masuk pelancong ke Tasik Kenyir.

Menteri Besar kemudiannya bersetuju meluluskan RM1 juta untuk membina laluan baru ke Terminal Bas – Jalan Besar bagi tujuan kemudahan orang awam serta mengurangkan kesesakan di kawasan bandar Kuala Berang.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Khamis, 23 April 2009

Tak Akan Lupa Jasa Kerajaan – Mangsa ribut

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (tengah) melihat keadaan rumah yang terkena ribut di Kampung Penarik, Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


“Alhamdulillah..Saya bersyukur dengan pemberian ini. Inilah kerajaan yang ambik berat dan cakna kepada rakyat yang dalam kesusahan.

“Saya tidak akan lupa jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan akan terus menyokong pemimpin hari ini kerana sanggup membantu tanpa mengira tempat dan masa,” kata Shukri Sood, 50, mangsa ribut di Kampung Penarek, Setiu, hari ini (21 April).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said melawat dan menghulurkan sendiri bantuan berupa keperluan dapur dan wang tunai bagi meringankan beban kira-kira 20 mangsa ribut di kawasan itu, hari ini (21 April).

Kira-kira 40 rumah penduduk sekitar Penarek mengalami kerosakan terutama pada bumbung akibat ribut yang melanda kawasan itu, kira-kira jam 4 petang.

Ada di kalangan mangsa ribut berkenaan turut mendapat kelulusan segera daripada kerajaan negeri bagi membaiki rumah dan membina rumah baru berikutan keadaan rumah yang uzur dan tidak selamat apabila berlaku ribut.

Dalam lawatan singkat itu, Dato’ Ahmad turut melawat rumah penduduk miskin selain menemui rakan lama beliau, Wan Mansor Mohamad, 71, yang sedang uzur.


Dato' Ahmad bersama Datuk Mohd Jidin turut meninjau beberapa rumah uzur di Setiu.

Sementara seorang lagi mangsa ribut, Aminudin Nawi yang bertugas sebagai penjawat awam turut terkejut apabila menerima kunjungan Menteri Besar yang meninjau keadaan rumahnya.

Aminudin menyifatkan tindakan pemimpin negeri yang sanggup berjalan jauh bagi melawat rumah mangsa ribut sekitar kampung itu sesuatu yang jarang dibuat pemimpin lain dan membuktikan kerajaan BN yang prihatin dengan kebajikan rakyat.

Seorang surirumah, Nurul Ayuni Mohamad, 31, juga gembira dengan perkembangan itu apabila rumah keluarganya yang turut rosak akibat ribut akan segera diperbaiki.

“Saya sudah berkeluarga dan tinggal di kampung lain. Selepas mendapat berita mengenai kejadian ini saya bergegas pulang untuk melihat keadaan sebenar bagaimanapun mujurlah tiada berlaku kemalangan nyawa.


Mangsa ribut mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri.

“Kami sekeluarga juga tidak tahu Menteri Besar akan datang dan beri bantuan. Terima kasih kepada yang membantu,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Anuar Manan Hadiahkan Kemenangan Buat Negeri Kelahirannya Terengganu




22 APRIL 2009
KUALA TERENGGANU: Anak jati Terengganu, Anuar Manan yang mewakili pasukan Azad University menghadiahkan kemenangan peringkat empat Jelajah Malaysia (JM) 2009 buat penduduk negeri kelahirannya apabila menakluki perlumbaan hari ini dari Pasir Mas ke Kuala Terengganu.


Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu tiba mendahului 95 pelumba yang sama-sama menamatkan perlumbaan dengan merekodkan masa 4 jam 9 minit dan 21 saat.

Anuar, 23, berkata sokongan yang ramai dari penduduk Terengganu hari ini menambah semangat beliau untuk sampai dahulu ke garisan penamat.

"Saya memang mensasarkan untuk menang dan saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang bekerja keras dari awal untuk kemenangan hari ini. Pada awal perlumbaan ramai pelumba yang sudah melakukan serangan bagaimanapun saya berjaya untuk memintas pelumba lain di garisan penamat," katanya.

Katanya pelumba luar dan pelumba tempatan memberikan saingan sengit di sepanjang perlumbaan sejauh 177.5km.

"Ramai yang melakukan serangan di sepanjang perlumbaan, bagaimanapun saya tidak dapat menambah mata untuk jersi hijau di zon pecutan kerana memang ingin menyimpan tenaga menuju ke garisan penamat.

"Pada mulanya semasa 50 meter ke garisan penamat, pelumba dari Polygon Sweetnice, Sergey Kudentsov cuba untuk menghalang kemaraan saya. Saya bagaimanapun berjaya melepaskan diri," katanya.

Dalam perlumbaan hari ini, semua pemenang jersi bagaimanapun masih mengekalkan jersi masing-masing.

Jersi kuning dan jersi raja pecut masih dipegang oleh Mehdi Sohrabi dari pasukan Azad university manakala jersi putih masih disarung oleh Suhardi Hassan dari pasukan kebangsaan Malaysia.

"Laluan peringkat empat dari Pasir Mas ke Kuala Terengganu adalah landai. Alhamdulillah saya dapat pertahankan jersi putih ini apabila tiba dalam kelompok pertama.

"Semasa 500 meter menuju ke garisan penamat, saya berjaya mengelakkan kemalangan yang berlaku antara empat pelumba dan berjaya untuk mendapatkan kedudukan yang baik," kata Suhardi.

Pelumba tempatan dari pasukan Trek Marco Polo, Ahmad Haidar Anuawar yang merupakan penyarung jersi hijau dan jersi putih pada peringkat pertama JM 2009 terlibat dalam kemalangan itu dan mengalami patah bahu kanan.

Perlumbaan peringkat lima esok pasti lebih mencabar apabila para pelumba terpaksa berkayuh di laluan pinggiran pantai dan menghadapi rintangan angin dalam perlumbaan terpanjang yang bermula dari Kuala Terengganu ke Kuantan dengan jarak perlumbaan sejauh 199.5km.

Perlumbaan JM 2009 yang dianjurkan oleh Ten Speed Events Sdn Bh disertai 21 pasukan yang terdiri pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Thailand, Malaysia B, LeTua Cycling Team, TerengganuToshiba-Bike Labz, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jelly Belly Cycling Team (USA), Azad University Continental Team (Iran), Savings & Loan Cycling Team (Australia), Shimano Racing Team (Jepun), Polygon Sweetnice Team (Indonesia), Tabriz Petrochemical Team (Iran), Aisan
Racing Team (Jepun), Ride Sport Racing (Australia), Giant Asia Cycling Team (Taiwan), Bridgestone Anchor (Jepun), Trek Marco Polo Cycling Team (China), Doha Team (Qatar), Tinelli Colossi Cycling (New Zealand) dan JazySports Beacon (Filipina).

JM 2009 mempertandingkan lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,240km dengan saingan peringkat pertama dari Kuala Selangor ke Ipoh, peringkat dua (Ipoh-Sungai Petani), peringkat tiga (Gerik-Tanah Merah), peringkat empat (Pasir Mas-Kuala Terengganu), peringkat lima (Kuala Terengganu-Kuantan), peringkat enam (Kuantan-Bera), peringkat tujuh (Tanjung Malim-Genting) sebelum menamatkan perlumbaan peringkat lapan iaitu perlumbaan kriterium di Dataran Merdeka.

PETIKAN PEMENANG PERINGKAT EMPAT

Pemenang Peringkat Empat: Anuar Manan
Tadi saya tengok ramai yang menyokong saya setibanya di tempat kelahiran saya di Terengganu. Saya memang mensasarkan untuk menang dan saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang bekerja keras dari awal untuk kemenangan hari ini.


Jersi Kuning: Mehdi Sohrabi
Saya gembira kerana dapat mempertahankan jersi kuning ini. Anuar juga merupakan seorang pakar pecut yang bagus dan itu tidak menjadi masalah untuk saya.

Jersi Polka Dot Merah: Abbas Saeditanha
Perlumbaan hari ini sangat panas untuk kami kerana di iklim di Iran sejuk berbanding di sini. Pada setiap peringkat persaingan semakin sengit. Tahniah kepada Anuar Manan dan semua penduduk di tempat kelahirannya yang keluar memberi sokongan. Saya gembira dengan kemenangan Anuar kerana pasukan kami sudah mensasarkan kemenangan
Anuar.

Jersi Putih: Suhardi Hassan
Laluan peringkat empat dari Pasir Mas ke Kuala Terengganu adalah landai. Alhamdulillah saya dapat pertahankan jersi putih ini apabila tiba dalam kelompok pertama. Semasa 500 meter menuju ke garisan penamat, saya berjaya mengelakkan kemalangan yang berlaku antara empat pelumba dan berjaya untuk mendapatkan kedudukan yang baik.


Dipetik dari Jelajah Malaysia

Selasa, 21 April 2009

RM234.3 Juta Untuk Infrastruktur Telekomunikasi

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Yahya Khatib menerima cenderamata daripada Mohd Shafie pada majlis perasmian Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil Bagi Infrastruktur Telekomunikasi Kawasan Pembagunan Baru di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri mendapat peruntukan sejumlah RM234.3 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tempuh 2008 hingga 2010.

Antara projek yang akan dilaksanakan ialah Perpustakaan Jalur Lebar, Pusat Jalur Lebar Komuniti, pembinaan menara selular serta penyediaan telefoni asas di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, YB Yahya Khatib Mohamad berkata demikian di majlis perasmian Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil bagi Infrastruktur Telekomunikasi di Kawasan Pembangunan Baru, di Grand Continental, Kuala Terengganu hari ini (21 April).

Turut hadir, Pengarah Kanan SKMM, Encik Mohd Ali Hanafiah; Pengarah Wilayah Timur, Encik Mohd Shafie Harun; Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Puan Aminah Abdul Rahman dan Ketua Penolong Setiausaha (Kerajaan Tempatan dan Tugas-tugas Khas) Wan Mohamad Lotfi Wan Ismail.


Sebahagian peserta yang menghadiri Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil Bagi Infrastruktur Telekomunikasi Kawasan Pembangunan Baru di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.

Katanya, dari jumlah tersebut RM137.2 juta untuk pembinaan 98 menara baru di bawah program TIME 3 manakala RM72 juta lagi untuk mewujudkan 48 Pusat Jalur Lebar Komuniti.

“Sehingga ini 12 Pusat Jalur Lebar Komuniti telah memulakan operasi termasuk di Kampung Mercang, Marang yang telah dirasmikan oleh Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Dato’ Shaziman Abu Mansor pada 5 Januari lalu,” katanya.

Tambahnya, 21 perpustakaan desa akan dinaik taraf sebagai Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti dimana sembilan daripadanya telah siap yang mendapat peruntukan RM5.5 juta.

“Manakala RM15.6 juta lagi untuk penyediaan 5,200 talian individu jalur lebar di kawasan-kawasan terpilih dan RM4 juta untuk penyediaan Akses Telekomunikasi Asas kepada Kumpulan Kurang Upaya yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

Katanya, disamping inisiatif Kerajaan Pusat, kerajaan negeri juga sedang melaksanakan beberapa insiatif dalam menyokong plan broadband nasional contohnya projek T@WAN – perkhidmatan jalur lebar wayarles serta bercadang menyediakan gentian fiber optic di semua pejabat daerah.

“Bagi meningkatkan liputan perkhidmatan selular SKMM sedang melaksanakan TIME 3 yang membabitkan pembinaan 98 menara baru, telah bermula pada suku keempat tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2010,” katanya.

Menurut YB Yahya Khatib, perlaksanaan program TIME 3, membolehkan perkhidmatan selular diperluaskan ke semua kawasan penempatan penduduk terutamanya di kawasan luar bandar contohnya beberapa kawasan di Setiu, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Marang.

“Dengan adanya seminar ini saya berharap agar garis panduan baru dapat digunapakai dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak yang terlibat dalam penyediaan kerja-kerja kejuruteraan sivil bagi infrastrukut telekomunikasi,” katanya.

Akhirnya, beliau berharap agar semua pembangunan hartanah di negeri ini akan dilengkapi kemudahan telekomunikasi yang mencukupi.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Ahad, 19 April 2009

Azizulhasni Dapat Tanah dan Wang Tunai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said memakaikan tengkolok tanda penghargaan tertinggi Kerajaan Negeri Terengganu buat pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang kerana kejayaannya di pentas dunia. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sumbangan berharga pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang yang mengharumkan nama negara dan Terengganu di pentas dunia menyebabkan kerajaan negeri mengumumkan insentif berbaloi berupa wang tunai RM20,000 serta satu lot tanah untuk tapak rumah kepada atlet itu.

Azizulhasni, 21, dari Dungun berjaya memenangi pingat perak pada Kejohanan Basikal Trek Dunia 2009 di Pruszkow, Poland, penghujung bulan lalu.


Menteri Besar menyampaikan replika cek berjumlah RM20,000 kepada jaguh pecut berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang pada majlis penyampaian insentif di Wisma Darul Iman.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika mengumumkannya berkata kerajaan negeri akan berunding dengan Pejabat Tanah Dungun untuk mencari dan mengenalpasti kawasan yang sesuai bagi dihadiahkan kepada pelumba basikal kelahiran Dungun itu.

"Kerajaan negeri bersetuju memberikan sebidang tanah kepada Azizulhasni yang dapat digunakan untuk menjamin masa depannya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada Azizulhasni di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (12 April).

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Dato’ Zolkples Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun sebanyak 30 peratus kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) dengan serta merta.

Sementara itu, Azizulhasni amat terharu dan berterima kasih atas perhatian kerajaan negeri serta MSN yang telah memberikan sumbangan kepadanya.

"Saya mengucapkan terima kasih kerana ini satu penganugerahan yang amat besar dalam karier saya sebagai pelumba basikal.

“Sumbangan ini saya akan gunakan sebaik mungkin bagi tujuan peribadi serta membantu keluarga,” katanya.

Azizulhasni sebelum itu disambut dan diarak dengan meriah ke dalam dewan besar Wisma Darul Iman dan dipakaikan tengkolok serta selimpang oleh Menteri Besar.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Khamis, 16 April 2009

Persidangan Dewan Undangan Negeri (Hari Ketiga)

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad beramah mesra dengan pelajar yang mengikuti Persidangan Dewan Undangan Negeri selepas persidangan selesai. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

GLC Untuk Kepentingan Rakyat

Visi dan misi Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) seperti Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, TDM Berhad dan Golden Pharos (GP) Berhad adalah jelas untuk menjadi sebuah entiti yang unggul dan berjaya bersandarkan ketelusan dalam semua pengurusan.

“Sebagai sebuah syarikat ianya mampu menyumbang kepada usaha meningkatkan dan membangun taraf sosial negeri,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika menjawab soalan yang diajukan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ketiga, di Wisma Darul Iman, hari ini (15 April).


Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari ketiga berjalan lancar dengan kehadiran semua ahli dewan.

Contohnya EPIC Berhad, visi dan misinya amat jelas untuk menjadi sebuah entiti pelbagai yang unggul melalui pemantapan kerjaya sebagai nadi kejayaannya di samping memantapkan mutu pekerjaan serta keberkesanan kos dan keuntungan pada rangkaian nilai pemegang saham.

Manakala, TDM Berhad adalah syarikat utama yang mengemudikan perniagaan dalam bidang perdagangan di negeri ini yang berjaya diperingkat tempatan dan global serta mampu memberi pulangan dividen maksimun kepada pemegang saham yang tidak terhad kepada bidang kewangan malah peluang pekerjaaan kepada masyarakat dan usahawan tempatan.

Begitu juga GP Berhad yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan yang berinovasi dan bermutu tinggi serta menjadi sebuah organisasi perniagaan perkayuan Malaysia yang unggul dan bersepadu.

“Turut menggunakan kedudukan syarikat sebagai sebuah organisasi perkayuan yang bersepadu dengan mengeluarkan produk dan perkhidmatan bermutu tinggi serta berusaha secara berterusan membaiki produk dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.


Dato' Ahmad berbual dengan Ahli Dewan Negara yang baru dilantik, Hajah Zainun A.Bakar selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Dato’ Ahmad berkata, GLC Terengganu sedang menjalankan proses penyusunan semula dengan matalamat lebih terperinci seperi fokus perniagaan industri yang memberi pulangan tinggi berpandukan kepada sumber dan kekuatan serta kelebihan yang ada.

Katanya, di samping memperkemaskan operasi aktiviti teras ke arah ketulusan yang disokong oleh warga kerja yang berkebolehan dan berintergriti, ianya turut memantapkan entiti sedia ada serta memberi fokus kepada proses cantuman dan pengambilalihan juga penggulungan.

“Penyusunan ini juga bertujuan membendung pembaziran dan kebanjiran sumber dengan memantapkan sistem kawalan keseimbangan dan pengurusan dengan menggunakan sistem berkaedah baik dan berhemah berpandukan perundangan dan peratusan yang berkuatkuasa,” katanya.

Katanya, koordinasi dan penyusunan semula persefahaman serta perjalanan semula agensi dan anak syarikatnya.adalah dijangkakan selari dan mendapat pulangan secepat mungkin kepada rakyat dan penyusunan semula ini akan selesai pada Jun depan.

Menjawab soalan tambahan daripada wakil yang sama mengenai rasionalnya tindakan kerajaan memindahkan sebahagian besar operasi GLC dari bandar Kuala Terengganu.

Dato’ Ahmad, berkata fokus sebenar ialah kepada perniagaan contohnya EPIC di mana sebahagian besar perniagaannya dalam Kemaman Supply Base (KSB) dan ianya lebih menjimatkan kos kerana KSB ada pejabatnya sendiri yang dilengkapi semua kemudahan, tidak perlu disewa atau beli bangunan baru

“Tidak menjadi masalah pada bangunan yang ditinggalkan kerana boleh digunakan untuk disewa atau dibuat hotel dan ini akan memberi pendapatan kepada EPIC,” katanya.

Menurutnya, menjadi perkara biasa apabila melakukan penyusunan semula dan atas kepentingan tertentu saya mengakui ada pegawai kerajaan telah memegang lebih daripada satu jawatan sebelum ini.

Katanya, beliau perlukan orang-orang yang bertanggungjawab dan berintegriti dalam menguruskan syarikat kerajaan negeri kerana ramai di kalangan kita jujur dan ikhlas sebelum memegang jawatan tetapi bila sudah memegang jawatan lupa akan tanggungjawab dan ketelusan yang dilaungkan.

“Saya tidak mahu bersubahat dengan penyelewengan dan sesiapa yang ada maklumat mengenai salah laku dalam anak-anak syarikat tolong beritahu kerana saya tidak mahu melihat adanya perlakuan pecah amanah serta mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (Hari Kedua)

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said ditanya pemberita ketika sesi rehat Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan Negeri Terus Tuntut Baki Royalti

Jumlah keseluruhan royalti yang sepatutnya dibayar dan diganti kepada Terengganu bermula 2000 hingga Mac 2009 sebanyak RM15,847,995,084.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukan oleh Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini (14 April).

Haji Abdul Wahid ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai bayaran Royalti Petroleum oleh Petronas kepada Kerajaan Terengganu dan jumlah yang sepatut dibayar dari tahun 2000 hingga 2008.

Sehubungan itu kata Dato’ Ahmad dalam tempoh enam bulan pertama bermula September 2008 hingga Mac 2009 kerajaan menerima hasil royalti berjumlah RM1,394,052,251.

“Yang terkini (semalam) kerajaan telah menerima RM650 juta lagi royalti di samping RM3.4 billion yang telah diterima sebelum ini, oleh itu saya minta semua perlu bersabar termasuk YB dari pembangkang.

“Walau bagaimana pun proses rundingan masih berjalan dan di atas sebab itulah kerajaan negeri masih belum menarik kesnya di mahkamah dan berharap baki daripada lebihan itu perlu dikembalikan,” katanya.

Menurut Dato’ Ahmad terdapat beberapa masalah teknikal dan perundangan yang belum dimuktamatkan dan dijangka dapat diselesaikan pada Mei depan.

Katanya, dan apabila semua rundingan selesai insyaalah kita akan menerima keseluruhan wang yang menjadi milik kita serta tambahan-tambahna lain dan semua pihak tidak perlu khuatir kerajaan akan membelanjakan wang ini untuk rakyat.

Sementara itu ketika menjawab soalan daripada Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rending) yang ingin tahun jumlah sumbangan kerajaan negeri kepada Tabung Kemanusiaan Pelastin.

Dato’ Ahmad berkata sejumlah RM1 juta telah diberi dan wang ini telah dihantar melalui akaun Amanah Kemanusiaan Pelastin, Kementerian Luar Negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menyalurkan bantuan melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kerana lebih yakin bahawa Kementerian Luar Negara lebih mengetahui situasi sebenar dan menghantarnya mengikut saluran yang betul.

Ketika menjawab soalan daripada Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) mengenai senarai projek ECER yang telah siap dilaksanakan di negeri ini, Dato’ Ahmad
memberitahu buat masa sekarang tiada projek ECER yang telah siap kerana semuanya masih dalam perlaksanaan.


Pemerhati yang terdiri daripada pelajar sekolah mengikuti perjalanan Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman.

Penurunan Mendadak Masalah Disiplin Pelajar

Masalah disiplin dan salahlaku pelajar di sekolah-sekolah menengah seluruh negeri ini telah berlaku penurunan secara mendadak dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini (2008-2009), berikutan program dan tindakan yang diatur oleh kerajaan dan pihak sekolah berjaya mencapai sasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains. Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas – Batu Burok) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang berlangsung di Wisma Darul Iman hari ini (14 April).

Katanya antara program yang dilaksanakan termasuklah program jati diri untuk pemulihan yang dijalankan di Pusat Kor, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“Sebenarnya mereka yang digantung dan dibuang sekolah tidak dipinggirkan tetapi ditukarkan ke sekolah lain dan diberi pemulihan, hasilnya kini dalam masa tiga bulan telah berlaku perubahan yang amat memberangsangkan,” katanya.

Katanya usaha turut dilakukan seperti program permuafakatan bagi menangani gejala disiplin dengan kerjasama ibu bapa dan guru (PIBG) , Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah.

Menurut YB Ahmad Razif, turut diadakan operasi anti ponteng yang mendapat kerjasama semua pihak serta siri ceramah dari masa ke semasa dalam usaha menyekat peningkatan ponteng sekolah.

Selain itu katanya,turut diadakan kursus literasi undang-undang kepada guru-guru disiplin yang membabitkan 135 orang guru disiplin seluruh negeriserta melaksanakan sistem kawalan murid membabitkan lapan buah sekolah menengah iaitu dua di kuala Terengganu dan masing-masing satu di setiap daerah.

Katanya, mengikut bancian kes disiplin dan salah laku di sekolah-sekolah di negeri ini ialah 15,447 kes pada 2004 berbanding 14,829 pada 2005 (penurunan 4.7 peratus). Sementara pada 2006 sebanyak 14,318 kes (turun 3.45 peratus) dan pada 2007 direkodkan sebanyak 15,107 kes (meningkat 5.15 peratus). Manakala pada tahun lalu 12,393 kes direkodkan ( turun 17.94 peratus berbanding sebelumnya).

Tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah ke atas pelajar-pelajar yang melanggar disiplin dan salah laku selain amaran dan kaunseling adalah merotan, menggantung persekolahan dan buang sekolah.

“Masalah diiplin pelajar ini sebenarnya bukan hanya berlaku di negeri ini sahaja tetapi semua sekolah diseluruh negara namun sejak kebelakangan ini sudah berlaku penurunan,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Selasa, 14 April 2009

Kesedaran Umat Islam Meningkat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Tengku Seri Panglima Raja merasmikan istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Kedua, Dewan Undangan Negeri Yang Ke-12 di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Usaha yang dijalankan ke arah penghayatan agama Islam berhasil apabila semakin ramai umat Islam mengeluarkan zakat berdasarkan perangkaan kutipan zakat pada 2008 meningkat kepada RM66.2 juta, iaitu rekod pungutan tertinggi sehingga kini.

“Tahniah kita ucapkan kepada semua pihak terutamanya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), “ kata Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja dalam ucapan beliau sempena Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Kedua, Dewan Undangan Negeri Yang Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (13 April).


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menyerahkan teks ucapan perasmian kepada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja.

Hadir sama mengiringi beliau, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan isteri, To’ Puan Rahmah Abdul Rahman serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan isteri, To’ Puan Halijah Ali.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu; Orang-orag Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai kerajaan negeri.

Tengku Seri Panglima Raja sebelum itu memeriksa barisan kawalan kehormat diiringi Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisiner I, Dato’ Mohd Shukri Dahlan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tahun 2009, difahamkan bahawa Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam negeri-negeri termasuk Bahagian Baitulmal MAIDAM telah diputuskan sebagai badan penerima Wang Subhah daripada Pengurus Dana Unit Amanah Syariah oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan yang bersidang pada awal 2009.

“Dalam hubungan itu, kita berharap MAIDAM dapat membuat perancangan bagi memudahkan proses penyaluran wang subhah, iaitu wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur perkara yang dilarang oleh syariah.

“MAIDAM juga disarankan supaya bekerjasama dengan Islamic Malaysian SDn Bhd yang ditubuhkan oleh Bank Negara dan dilantik oleh banyak Pengurus Dana unit Amanah Syariah sebagai penasihat syariah bagi menasihati pengurusan unit amanah dalam aktiviti pelaburan mereka termasuklah pelaburan yang melibatkan wang subhah,” katanya.

Katanya, maklumat terperinci perlu dibekalkan bagi memudahkan cara proses penyaluran wang subhah terutamanya kepada Syarikat Pengurus Dana Unit Amanah Syariah serta bank tempatan lain khusus di Terengganu yang disediakan oleh Bahagian baitulmal MAIDAM.

Di samping itu, beliau berkata, MAIDAM perlu mengadakan kaunter mesra rakyat, mewujudkan `hot line’ ataupun memberi kesan insentif tambahan kepada syarikat yang sentiasa mengeluarkan wang subhah kepadanya. Wang subhah ini boleh digunakan untuk apa jua tujuan termasuk bagi aktiviti dan program pembangunan negeri.

Dalam pada itu, Tengku Seri Panglima berkata, berdasarkan pemerhatian, pembangunan bandar perlu diberi perhatian yang serius dan inilah masanya kerajaan Terengganu perlu mengimplementasikan perancangan yang dibuat sebelum ini.

“Bagi Bandar Raya Kuala Terengganu perkembangan terkini memerlukan pembukaan kawasan baru. Pembangunan kawasan Bukit Besar/ Padang Hiliran perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Kita difahamkan proses mengambil balik bagi sebahagian agensi sudah bermula dan kajian terperinci sedang dijalankan bagi menjadikan Kuala Nerus Daerah Kelapan di Terengganu,” katanya.

Dato' Ahmad Said bersama Tengku Seri Panglima Raja selepas selesai perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, pembangunan di kawasan itu boleh diasaskan kepada sektor pendidikan yang sinonim di situ termasuk Universiti Darul Iman; Universiti Malaysia Terengganu, Institut Latihan Petronas, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Dato’ Razali Ismail.

Menurut beliau lagi, pembangunan perlu dirancang dari sekarang, lebih-lebih lagi Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 2) yang berakhir di kawasan Kuala Nerus sebelum memasuki Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Dalam pada itu, bandar lain di negeri ini perlu diberi perhatian yang sama. Kita ingin menyarankan supaya setiap daerah terutama yang berhampiran ibu daerah dirancang secara menyeluruh supaya boleh menjadi pemangkin kepada daerah itu.

“Asas-asas aktiviti ekonomi perlu diketengahkan dan dibangunkan seperti aset aktiviti pelancongan Tasik Kenyir dan aktiviti pertanian di Hulu Terengganu, pertanian dan pelancongan di Setiu serta aktiviti berlaitan di daerah masing-masing,” kata beliau lagi.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Ahad, 12 April 2009

Terengganu Mampu Gamit Ramai Pelancong

oleh : Kamaruddin bin Mat Akib

Terengganu mampu menggamit lebih ramai pelancong dari luar negara jika promosi lebih menyeluruh dilakukan di bidang pelancongan.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Raja, Tengku Sri Panglima Raja yakin dengan sokongan kerajaan negeri serta pihak swasta dan penggiat pelancongan, negeri ini mampu menjadi destinasi pelancongan yang maju di masa depan.

”Kita harus fikir bagaimana untuk menjadi agen pelancongan yang mampu meletakkan Terengganu di dalam senarai peta pelancongan dunia. Saya yakin Terengganu amat mampu mengambil tempat dan disifatkan sebagai truly Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kutipan Dana Pembinaan Wisma Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) di Primula Beach Resort, malam tadi (11 April).

Tengku Sri Panglima Raja berkata, Terengganu kaya dengan anugerah alam dan mempunyai banyak kelebihan yang perlu dipugarkan bagi menarik pelancong.

”Sebagi contoh, apabila disebut Kenyir, terbayang kepada kita ia merupakan tasik buatan manusia terbesar. Pembangunan pada peringkat awal hanya untuk membina sebuah empangan hidroelektrik, tetapi sebenarnya potensi pelancongan bagi Kenyir jauh lebih hebat.

”Hari ini Kenyir menjadi tarikan eco-tourism yang berpotensi dengan aktiviti memancing, berkayak, malah boleh juga diselitkan dengan adventure tourism seperti ’moutain climbing’, ’jungle tracking’, ’water rafting’ dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, PPNT menerima sumbangan berjmlah RM46,000 bagi pembinaan wismanya iaitu Kerajaan Terengganu (RM10,000), Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (RM10,000), Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (RM10,000), Yayasan Pembangunan Usahawan (RM6,000), Primula Beach Resort (RM5,000) dan Norarfa Batik (RM5,000).

Unit Komunkasi Negeri Terengganu.

Terengganu Lancar Kedai Serbaneka T-Shoope Bulan Depan

KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Terengganu akan membelanjakan kira-kira RM500,000 bagi melancarkan empat buah kedai serbaneka yang menggunakan jenama T-Shoope awal bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata kedai yang akan beroperasi selama 24 jam itu akan dibuka di Marang, Kuala Terengganu, Kemaman dan Kuala Berang.

"Pelancaran kedai serbaneka ini akan dilakukan Menteri Besar Datuk Ahmad Said di Kuala Berang pada 4 Mei ini diikuti di Kuala Terengganu, Kemaman dan Marang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed berkata T-Shoope akan menjual pelbagai barang yang dihasilkan oleh penduduk tempatan seperti batik, songket, tembaga serta barang makanan kering dan ringan.

Melaui T-Shoope, para pengusaha kraf tempatan juga dapat memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa pada masa depan, katanya.

Bagi rancangan jangka panjang, Mohamed berkata T-Shoope akan dibuka di Melaka dan Kuala Lumpur sebelum diperluaskan di negeri lain.

"Matlamat kita ialah untuk mewujudkan rangkaian T-Shoope di seluruh negara pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

21 Pasukan Sertai Kejohanan Sepak Takraw Dunia

KUALA TERENGGANU, 10 April (Bernama) -- Sebanyak 21 buah negara mengesahkan untuk menyertai Kejohanan Sepak Takraw Dunia yang akan diadakan buat pertama kali di Terengganu, bulan depan.

Pasukan berkenaan ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Laos, Vietnam, Myanmar, Filipina, Sri Lanka, India, Kanada, Perancis, Korea Selatan, Jepun, China, Oman, Australia, Hungary, Jerman, Switzerland dan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata kejohanan itu akan berlangsung dari 25 hingga 31 Mei di Stadium Negeri di sini.

"Terengganu buat pertama kalinya telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kejohanan sepak takraw bertaraf dunia ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 800 pegawai dan pemain dari negara berkenaan akan menyertai kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM250,000.

Abdul Rahin berkata antara acara yang akan dipertandingkan ialah berpasukan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

Beliau berkata kerajaan negeri bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu kerana sepak takraw merupakan antara sukan yang popular di Terengganu.

"Kita harap dengan berlangsungnya kejohanan dunia ini akan menyuntik semula minat di kalangan rakyat Terengganu untuk mempopularkan sukan berkenaan," katanya.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Ahmad Said akan merasmikan kejohanan itu, yang dianjurkan bersama oleh kerajaan Terengganu dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

-- BERNAMA

Terengganu Majukan Pelancongan Sebagai Tulang Belakang Ekonomi Negeri

KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menjadikan sektor pelancongan sebagai tulang belakang pembangunan ekonomi negeri itu pada masa depan, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata Terengganu tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber minyak dan gas semata-mata kerana bahan api itu kemungkinan akan habis.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, ia memberikan gambaran bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung kepada hasil minyak dan gas kerana harga bahan api itu turun secara mendadak baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada media mengenai kemajuan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi Terengganu di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ECER Datuk Jebasingam Issace John.

Ahmad berkata kerajaan perlu memberi ruang yang secukupnya dalam bidang pelancongan dengan memajukan sumber alam yang ada seperti tasik, pulau dan pantai melalui dana yang disediakan ECER.

"Hasil rundingan dengan Firefly baru-baru ini, syarikat penerbangan itu akan membuat penerbangan timbal balik membawa pelancong dari Singapura ke Terengganu bermula Jun ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengenalpasti beberapa penerbangan daripada syarikat penerbangan lain terutama dari China untuk membawa pelancong terus ke negeri ini.

Dalam usaha mempromosi Terengganu, beliau berkata beberapa iklan yang memaparkan pemandangan pulau, tasik dan pantai negeri itu akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain pelancongan, Ahmad berkata Terengganu juga akan memberi tumpuan dalam bidang petrokimia dan industri berasaskan minyak dan gas yang telah menarik pelaburan sebanyak RM195 juta di Taman Plastik Kertih (KPP).

Beliau berkata KPP dijangka beropersi sepenuhnya pada 2015 dan mampu menarik pelaburan berjumlah RM2 bilion serta menjana peluang pekerjaan untuk 7,000 pekerja.

-- BERNAMA

Program rapatkan jurang muda, tua

PERMAISURI: Program sepakat 'Saya Anak Terengganu' mampu merapatkan jurang antara golongan muda dan tua serta diyakini dapat membentuk kemesraan berkeluarga dengan penghayatan nilai murni serta muhibah dalam kehidupan bermasyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris, berkata melalui program itu, ia dapat mencungkil bakat anak muda melalui program antara generasi serta memupuk bakat dan ketrampilan dalam institusi keluarga dan masyarakat.

"Pembangunan golongan muda yang maju dan seimbang bercirikan 'Saya Anak Terengganu' akan melahirkan generasi berdaya saing, harmoni, bersahsiah unggul serta bertanggungjawab pada diri, keluarga dan masyarakat.

"Ia juga akan melengkapkan generasi baru dengan nilai murni masyarakat Terengganu khususnya dari aspek pembangunan mental, sosial, rohani dan jasmani," katanya ketika berucap merasmikan Program Sepakat Saya Anak Terengganu di Kampung Gong Terap, Setiu semalam.

Program sehari itu dianjurkan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dan Pejabat Daerah Setiu.

Asha'ari berkata, ia juga bertujuan mendekatkan diri kumpulan sasar, khususnya penduduk setempat yang terdiri daripada komuniti warga emas, golongan belia dengan pemimpin di peringkat akar umbi.

Dipetik dari Berita Harian Online.



Terengganu Dapat Jurulatih Renang Dari China

KUALA TERENGGANU, 4 April (Bernama) -- Terengganu yakin mampu untuk muncul sebagai kuasa baru dalam acara renang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) apabila pasukan itu mendapat khidmat jurulatih China, Wang Li Gen.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Rosdi Awang berkata Terengganu telah mendapat khidmat jurulatih berusia 46 tahun itu yang sebelum ini pernah berkhidmat di kapit, Sarawak, sejak lima tahun lepas.

Wang akan melaksanakan program pembangunan sukan renang serta penasihat skuad Sukma Terengganu 2010 di Melaka, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan seorang jurulatih asing bagi acara terjun bagi melengkapkan sukan aquatik negeri.

-- BERNAMA



Terengganu Guna Khidmat Jurulatih Thailand Untuk Sukma 2010

KUALA TERENGGANU, 1 April (Bernama) -- Terengganu akan menggunakan khidmat jurulatih dari Thailand bagi membimbing pasukan sepak takraw negeri dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata langkah tersebut selaras dengan matlamat pasukan berkenaan untuk membawa pulang pingat emas pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

"Kali pertama kita menggunakan khidmat jurulatih Thailand ialah pada Sukma di Terengganu tahun lepas dan berjaya meraih pingat gangsa. Matlamat kita tahun depan ialah untuk memenangi pingat emas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memilih jurulatih dari Thailand bagi mempersiapkan pasukan Terengganu kerana negara berkenaan mempunyai ramai jurulatih berkualiti serta berwibawa.

" Tambahan pula, mereka berminat untuk datang dan melatih pasukan Terengganu," katanya.

Mohd Shapian berkata Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) turut memberikan kerjasama dalam mengenalpasti jurulatih tersebut serta membiayai segala perbelanjaannya.

Mengikut perancangan, beliau berkata jurulatih berkenaan akan melatih pasukan Terengganu mulai Julai ini, sehingga berakhirnya Sukma tahun depan.

Katanya pegawai MSNT dan PSTNT akan berlepas ke Bangkok, Thailand dalam tempoh terdekat bagi mengenalpasti jurulatih tersebut.

"Kita turut mendapat kerjasama yang baik daripada pegawai-pegawai persatuan sepak takraw Thailand dalam mencari jurulatih yang diperlukan itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PSTNT akan menganjurkan Kejohanan Bawah 21 tahun, bulan depan bagi mencungkil bakat baru untuk mewakili Terengganu pada Sukma 2010.

"Walaupun kita sudah mempunyai barisan pemain Sukma lepas, kita perlu mencari beberapa pemain baru untuk memantapkan pasukan Terengganu bagi menghadapi temasya tersebut," katanya.

-- BERNAMA

Khamis, 9 April 2009

Kerajaan Peruntuk RM2.2 Juta Kaji Ubi Gadong

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


IMBUHAN...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menyampaikan peruntukan kepada pengusaha produk ubi gadong selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KERAJAAN negeri meluluskan peruntukan RM2.2 juta bagi membiayai kajian mengenai penghasilan produk berasaskan ubi gadong yang akan dilaksanakan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata peruntukan bagi tempoh dua tahun dan sebagai permulaan sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan tahun ini untuk membolehkan pihak UDM membuat kajian mengenainya.

Dato’ Ahmad turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM20,000 kepada dua pengusaha produk ubi gadong daripada Kampung Bukit Wan (RM10,000) dan Bukit Nenasi (RM10,000), Batu Rakit, sebagai dorongan kepada mereka melipatgandakan usaha menghasilkan produk makanan berasaskan ubi gadong.


Pokok ubi gadong menjadi kajian pihak UDM dan bakal dikomersialkan melalui penghasilan produk-produk makanan.

“Mengikut kajian UDM, terdapat 1,137 spesis ubi gadong di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (8 April).

Katanya, UDM akan membuat kajian dalam tiga bidang iaitu pengeluaran makanan, perubatan dan bahan untuk kegunaan tumbuhan seperti racun, di mana ketiga-tiga bidang ini berasaskan ubi gadong.

“Sebenarnya banyak kuih yang boleh dihasilkan daripada ubi gadong seperti kek, binka, onde-onde, puteri mandi, bait, kerepek, loklik, tepung gomak dan bubur yang dihasilkan secara tradisional serta `muffin’ yang dikeluarkan oleh UDM,” katanya.

Di samping makanan, ubi ini juga boleh dijadikan ubatan dan hasil kajian juga turut berpotensi menghasilkan bahan ubatan pencegah kehamilan, penyakit kencing manis dan penambahan hormon dalam badan.

“Mungkin suatu hari nanti ubi ini boleh diproses untuk dijadikan tepung dan dapat menggantikan tepung gandum untuk membuat lebih banyak produk,” katanya.

Menteri Besar juga turut menyarankan pihak UDM untuk membuat kajian bagaimana cara mempercepatkan proses makanan ini selain daripada secara tradisional yang dilakukan sekarang.

“Saya yakin kuih yang diperbuat daripada ubi gadong ini boleh diketengahkan dan berharap pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk membuat penjenamaan dan pemasaran bagi produk ini,” katanya.

Dato’ Ahmad seterusnya mengulangi hasrat untuk menjadikan makanan daripada produk ubi gadong ini sebagai makanan rasmi dalam majlis-majlis anjuran kerajaan negeri.

Katanya, pokok ubi gadong yang tumbuh berkeliaran mampu mengeluarkan hasil antara 10 hingga 25 kilogram ubi sepokok dan berharap dengan penemuan baru ini masyarakat kampung dapat menambah pendapatan keluarga.

Terdahulu, Menteri Besar telah menerima replika kunci rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin daripada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH) Malaysia, Tan Sri Abi Musa Ashaari Mohd Nor.

Dato’ Ahmad melahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada LTH yang telah membina 12 buah rumah PPRT untuk membantu rakyat miskin di negeri ini memiliki rumah sendiri.


Menteri Besar menerima replika kunci rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin daripada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH) Malaysia, Tan Sri Abi Musa Ashaari Mohd Nor.

Rumah berukuran 560 kaki persegi telah siap dibina di Kampung Taman Tasek, Kuala Besut dengan harga RM25,000 sebuah dan merupakan projek perintis LTH.

“Saya amat mengalu-alukan sumbangan LTH kepada rakyat di negeri ini dan akan menyediakan tanah untuk kemudahan LTH membina lebih banyak rumah kepada keluarga miskin di negeri ini,” kata Dato’ Ahmad.

Sementara itu, Tan Sri Abi Musa Ashaari berkata di samping membantu golongan PPRT pihaknya turut membelanjakan RM100 juta subsidi kepada jemaah haji serta membantu golongan kurang upaya membiayai kaki palsu dan sebagainya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan program PPRT di tempat lain selepas ini dan memberi keutamaan kepada keluarga miskin yang mempunyai tanah untuk membina rumah.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Saya Anak Terengganu Bentuk Jati Diri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Kempen derma darah turut diadakan pada program Saya Anak Terengganu di Kampung Gong Terap, Setiu. -Foto YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA.

Kejayaan ramai anak Terengganu di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang seharusnya perlu menjadi ikutan dan pendorong kepada golongan muda meneruskan kesinambungan itu dengan mengekalkan tradisi nilai murni.

Bagi memastikan perkara itu dapat direalisasi, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu menganjurkan program Saya Anak Terengganu (SAT), di Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, pada 4 April lalu.


Konvoi motosikal berkuasa tinggi memeriahkan lagi program Saya Anak Terengganu.

Program itu antara usaha kerajaan negeri membentuk generasi muda yang bangga menjadi anak Terengganu yang sarat dengan nilai-nilai murni dan tradisi.

Pengarah YPK, Encik Mohd Shafaruddin Mustafa, berkata kejayaan profesionalisme anak-anak Terengganu hari ini ramai berlatar belakangkan keluarga dengan nilai-nilai murni dan tradisi tersebut.


Gulai kawah disediakan secara gotong-royong oleh penduduk kampung pada program Saya Anak Terengganu di Kampung Gong Terap.

Katanya, golongan muda perlu ada pencapaian yang seimbang tanpa meminggirkan budaya hormat menghormati, sepakat dalam masyarakat, bermaruah dan berakhlak serta ada semangat anak Terengganu yang berjaya serta mempunyai jati diri.

YPK dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Kebajikan dan Wanita Negeri serta Pejabat Daerah Setiu menganjurkan SAT secara bersepadu bagi memupuk bakat dan mempamerkan potensi diri khususnya untuk golongan muda yang dijayakan melalui pendekatan inter-generasi (jalinan mesra golongan muda dan tua) dalam bentuk penghayatan nilai-nilai murni orang Terengganu terdahulu dengan semangat mahabbah dalam masyarakat dan kekeluargaan.

Seramai 2,000 peserta mengikuti aktiviti yang dijalankan melibatkan aktiviti `outdoor’ dan `indoor’. Aktiviti indoor Persembahan Kreatif dan Inovasi seperti merekacipta logo SAT dan proses menghasilkan animasi (3-D), peraduan mewarna murid-murid sekolah, Dialog Keluarga Mithali, Pengkisahan Sejarah serta Bicara Usahawan Muda sementara aktiviti “outdoor” pula ialah Pameran Motosikal berkuasa besar dan Motosikal klasik, Klinik Servis Motosikal, Kempen Keselamatan Jalanraya, Pameran Agensi Kerajaan, Persembahan Kebudayaan dan Kesenian dan lain-lain lagi.

Perasmian program oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Wanita Negeri, Haji Asha’ari Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap.

Hadir sama, adalah Penolong Setiusaha Kerajaan (PSU) Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Wanita Negeri, Encik Fadli Yusoff serta wakil Pegawai Daerah Setiu. Turut terlibat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan belia Kampung Gong Terap, Kampung Chalok Kedai, Kampung Bukit Mak Som, Kampung Bukit Merah, Kampung Bukit Kecil, Kampung Bukit Putera, Kampung Sungai Lerek dan Kampung Rahmat dan kampung-kampung dalam DUN Langkap.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Masalah Rumah Kuala Besut Diselesai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


DITERUSKAN...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said diberi penerangan mengenai kawasan Universiti Darul Iman Malaysia di mana projek itu akan terus dibangunkan dengan bantuan Kerajaan Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Dato' Ahmad Said merasmikan tapak Tumah Pangsa di Kuala Besut.

Masalah perumahan yang kian menghimpit penduduk di Kuala Besut bakal diatasi dalam tempoh 18 bulan lagi apabila kerajaan negeri bersetuju untuk menyegerakan pembinaan kira-kira 150 unit Rumah Pangsa Kuala Besut, di Jalan Semerak, Kuala Besut.

Rumah pangsa empat tingkat berkenaan merupakan projek yang dicadangkan sejak Mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh dan diteruskan sebagai kesinambungan menyelesaikan masalah rakyat serta memastikan rakyat tidak terpinggir dalam arus pembangunan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar untuk menentukan reka bentuk yang sesuai menerusi perundingan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri.


Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh (kiri) mendengar apa yang diperkatakan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said ketika hadir pada majlis Jamuan Rakyat di Kuala Besut.

“Kita akan pastikan projek perumahan rumah pangsa antara 120 ke 150 unit berkenaan dapat siap dalam tempoh 18 bulan dari sekarang. Ia termasuk dalam 4,500 unit rumah yang akan dibina seluruh Terengganu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Pangsa Kuala Besut, di Jalan Semarak, kelmarin (1 April).


Mesyuarat Mingguan Exco turut diadakan di luar Kuala Terengganu dan pertama kalinya di Bilik Gerakan Daerah Besut.

Beliau juga mahu supaya pembinaan rumah pangsa berkenaan dimajukan oleh kontraktor tempatan.
Hadir sama, Dato’ Seri Idris, Dr A Rahman dan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sebelum itu menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Pejabat Daerah Besut.

Majlis pecah tanah itu merupakan antara Program Sehari Bersama YAB Menteri Besar di Daerah Besut. Menteri Besar sebelum itu menghadiri taklimat pembangunan daerah di Pejabat Daerah Besut.


Ribuan penduduk sekitar Hulu Besut hadir mendengar dan pertama kalinya berjumpa dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said ketika majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Keruak.

Beliau juga melawat Jerteh Souq selepas meninjau perkembangan projek pembangunan Universiti Darul Iman dan Taman Ilmu, di Tembila, Besut.

Sejurus kemudian, beliau menyerahkan sijil hak milik tanah kepada 33 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Awek, Darau dan Hulu Besut, di Dataran Keruak, Hulu Besut. Hadir sama, Dato’ Seri Idris dan Adun Hulu Besut, Haji Nawi Mohamad.

Menteri Besar dalam ucapannya di depan kira-kira 2,000 penduduk, mengumumkan akan meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Keruak, Hulu Besut dengan Gunung Bongsu, Hulu Terengganu dengan peruntukan RM500 juta.

Dalam lawatan itu juga, Menteri Besar turut meluangkan masa membaiki atap rumah penduduk miskin yang terpilih di kawasan Kuala Besut.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.



Terengganu Beri Insentif Kepada Azizulhasni Awang

BESUT, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan memberikan insentif kepada pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang sebagai mengiktiraf kejayaannya memenangi pingat perak pada Kejohanan Trek Dunia di Poland, yang berakhir dua hari lepas.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata bentuk insentif itu akan diumumkan apabila pelumba basikal kelahiran negeri ini, pulang ke Terengganu tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengadakan majlis bagi menyambut kepulangan Azizulhasni di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

"Kita akan beri sambutan meriah kepada Azizulhasni. Kita hargai dan mengiktiraf kecemerlangannya dalam sukan lumba basikal," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak rumah pangsa Kuala Besut di sini, Rabu.

Pada Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, Poland, skuad negara mencipta sejarah apabila meraih dua pingat.

Azizulhasni menyumbangkan pingat perak dalam acara pecut individu manakala seorang lagi pelumba negara, Mohd Rizal Tisin memenangi gangsa dalam acara 1km ujian masa individu.

-- BERNAMA

Nurul Sa’adah Ceria Dilawati Isteri Pemimpin

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


CERIA...warga tua Nurul Sa'adah, Tok Dor, Besut, gembira selepas menerima kunjungan isteri Menteri Besar, To Puan Norliza Mahmud ke penempatan mereka. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

LAWATAN pertama kali isteri pemimpin nombor satu negeri, To’ Puan Norliza Mahmud ke penempatan warga tua Nurul Sa’adah, Tok Dor, Besut, menceriakan 60 penghuni dari seluruh Terengganu termasuk dari Kelantan yang tinggal di penempatan itu.

To’ Puan Norliza turut menyampaikan cenderahati kepada semua penghuni dalam lawatan rasmi beliau yang turut diiringi isteri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sempena lawatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.


AMAN...To' Puan Norliza melawat kawasan perumahan penghuni Nurul Sa'adah.

Seorang penghuni, Mek Ibrahim, 77, dari Kampung Pasir Akar, yang sudah lebih dua tahun menetap di penempatan itu berhasrat untuk terus menghuni di Nurul Sa’adah sambil mendalami ilmu agama Islam menerusi guru agama sukarela yang mengajar di situ.

“Makcik rasa tenang dan selesa di sini bersama kawan-kawan. Boleh belajar agama, malah keluarga juga selalu menziarahi makcik walaupun tinggal berasingan.

“Suka jugak apabila ada tetamu datang dan buktikan sikap ambik berat kepada kami golongan tua,” katanya.

Sementara Saadiah Putih, 79, dari Kampung Tok Dor, Jertih, pula bersyukur dengan keprihatinan pelbagai pihak yang sentiasa menjaga kebajikan Nurul Sa’adah sejak dua tahun menetap di situ.


MESRA...penghuni Nurul Sa'adah berbual mesra dengan isteri Menteri Besar sambil melihat kawasan dalam rumah.

“Tok tiada masalah, ramai cakna dan ambil berat kebajikan kami di sini. Belajar agama pun mudah dan sekarang daripada kurang ilmu sudah semakin bertambah ilmu sejak tinggal di sini,” katanya.

Pengerusi Penempatan Nurul Sa’adah, Mohd Harun Husain, berkata kunjungan isteri Menteri Besar pada kali ini diharap memberi sinar baru kepada penghuni di situ yang kebanyakan daripada mereka datang daripada keluarga miskin dan sederhana.

Katanya, jika pada waktu pemerintahan pembangkang beberapa tahun lalu, isteri pemimpin pembangkang turut datang melawat tetapi mereka sekadar berkunjung dengan tangan kosong.

Bagaimanapun, beliau berbesar hati apabila kunjungan rombongan isteri Menteri Besar kali ini turut disertakan dengan sumbangan cenderahati berupa wang tunai dan hamper kepada penghuni.

Dalam pada itu, pertubuhan Kebajikan Warga Tua Nurul Sa’adah, Tok Dor yang ditubuhkan sejak 7 November 1998 menerima penghuni berusia 55 tahun ke atas yang sihat dan memiliki waris serta berminat mendalami ilmu agama.

Selain itu, penghuni di situ berpeluang mendapatkan bantuan khidmat nasihat, kemudahan serta memupuk silaturahim dan hidup bermuafakat.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Piala Monsun Menang Anugerah Antarabangsa

Oleh : Kamaruddin bin Mat Akib



Piala Monsun yang dianjurkan di Terengganu sejak 2005 mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Brand Laureate Country Branding 2008-2009 pada satu majlis di Kuala Lumpur, 1 April lalu.

Pulau Duyong merupakan antara venue siri Kejohanan Jelajah Lumba Perahu Layar Dunia (WMRT) yang diadakan khusus bagi memperkenalkan Terengganu dan Malaysia di peringkat dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib yang mewakili Piala Monsun, menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Anugerah berkenaan yang dianjurkan Asia Pasific Brands Foundation (APBF), memberi pengiktirafan dan penghargaan terhdap peranan yang dimainkan oleh sesuatu acara atau ikon bagi mempromosikan dan memantapkan jenama Malaysia.

Anugerah itu juga memberi peingiktiafan kepada acara yang dianjurkan dengan cemerlang di bidang dan disiplin masing-masing hingga berjaya meletakkan Malaysia dip eta dunia atau ikon dalam bentuk mercu tanda, tanda perniagaan dan harta yang diiktiraf dengan mudah oleh dunia sebagai identiti Malaysia.

APBF dalam penilaiannya mendapati Piala Monsun yang dianjurkan pada musim tengkujuh pada setiap penghujng tahun, telah dianjurkan dengan jaya dan mampu menarik ramai penonton melalui siaran televisyen di seluruh dunia.

Menurut Za’abar, Piala Monsun 2009 akan ditonton lebih 600 juta isi rumah di kira-kira 90 negara melalui siaran media.

Perlumbaan itu yang merupakan pusingan ke-10 dan terakhir WMRT, akan berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dari 1 hingga 6 Disember depan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.