Khamis, 5 Mac 2009

Pegawai kanan pantau projek negeri

Oleh: KAMARUDIN MAT AKIB

Dua pegawai kanan kerajaan negeri diarah supaya memantau pasukan pemantau yang ditubuhkan kerajaan benar-benar melaksanakan tugas mereka memastikan setiap projek Kerajaan Terengganu melibatkan sekurang-kurangnya 60 peratus anak tempatan.

Langkah itu bertujuan memastikan peluang pekerjaan yang luas disediakan kepada anak-anak tempatan, khususnya di kalangan mereka yang masih menganggur.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, selepas dilantik memegang jawatan itu beliau mengeluarkan arahan mana-mana projek kerajaan negeri, pekerjanya hendaklah sekurang-kurangnya 60 peratus daripada anak tempatan.

“Kalau selama ini saya lihat hampir 100 peratus pekerja (yang melaksanakan projek kerajaan) datangnya daripada pendatang-pendatang (asing).

“Hari ini sekali lagi dalam mesyuarat Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) tengahari tadi saya mengarahkan Dato’ Setiausaha Kerajaan (Dato’ Mokhtar Nong) dan juga Pegawai Kewangan Negeri (Dato’ Mazlan Ngah) bukan sahaja memastikan berdasarkan 60 peratus itu diamalkan, tetapi ada satu pasukan pemantau bagi memastikan projek dapat beri ruang pekerjaan kepada 60 peratus rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha kerajaan negeri menangani masalah ekonomi global dalam temuramah rancangan Hello Malaysia yang disiarkan Bernama-TV baru-baru ini.

Selain itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri meneruskan projek rancangan pembangunan di Terengganu yang dirancang sejak dulu lagi dengan membina 32 masjid baru setiap tahun.

Katanya, langkah ini akan memberi ruang pekerjaan kepada anak tempatan dengan syarat-syarat projek berkenaan perlu melibatkan sekurang-kurangnya 60 peratus anak tempatan.

“Ketiga, kita lihat kita juga ada projek kecil, baru-baru ini pengagihan 583 projek kecil yang diserahkan kepada kontraktor kelas F di Kuala Terengganu sahaja.

“Bayangkan kalau 583 projek, kalau dah minima lima orang satu projek, maknanya dah hampir 3,000 orang dapat kerja daripada projek ini sahaja.

“Ini saya katakan bahawa Insya-Allah dengan keadaan ekonomi yang masih lagi dapat bertahan di negara termasuk juga Terengganu, tidak akan menghadapi masalah serius.

“Cuma tinggal lagi cabarannya ialah sama ada `orang kita’ nak bekerja atau tidak merebut peluang ini,” tambahnya.

Mengenai prestasi Exco negeri ini, setakat ini Menteri Besar berpuas hati dengan apa yang dilakukan mereka, tetapi sebagai orang baru sudah tentulah mereka memerlukan pengalaman masa untuk membuat lonjakan.

“Nampaknya mereka (Exco) bekerja keras untuk membolehkan mereka menunjukkan kebolehan masing-masing. Sudah tentu mereka ingin meneruskan kedudukan Exco dalam pilihan raya akan datang.

“Sebab itu ia merupakan cabaran kepada mereka. Rombakan dan pertukaran adalah perkara biasa, lumrah dan kita melihat apa juga kebaikan amat kita hargai,” ujarnya.

Cikgu Awi Prihatin


“Sikap cakna kepada rakyat sewajarnya dimiliki setiap wakil rakyat dalam menjaga kebajikan penduduk apabila diberi mandat oleh rakyat.

“Tidak kira sesibuk mana sekalipun, kita mesti pandai meluangkan masa dengan rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Encik Zawawi Ismail kepada GanuKita ketika melawat rumah penduduk, Puan Fatimah Botak, 48, yang hilang punca pendapatan selepas suaminya meninggal dunia, baru-baru ini.

Suami Puan Fatimah, Allahyarham Razali Bakar, meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Kuala Berang, lebih dua minggu lalu, sebelum ini bekerja di kilang papan Wakaf Tapai.

Menurut Fatimah, dia mempunyai dua anak perempuan, Nur Fatih Azwa Razali, 17, pelajar Sekolah Menengah (SM) Dungun dan Nur Fazilah Aimin, 12, yang masih belajar di Sekolah Kebangsaan Tanggol, Marang.



Dalam lawatan itu, Zawawi yang dikenali “Cikgu Awie” menasihatkan agar keluarga berkenaan mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengurangkan bebanan mereka.

Cikgu Awie kemudian menghulurkan bantuan peribadi kepada keluarga berkenaan dan akan membantu keluarga tersebut pada masa akan datang.

Terengganu sasar 60 pingat emas.

Oleh: SURIATI ALI

Kerajaan negeri yakin atlet yang bakal bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) 2010, di Melaka nanti mampu mengharumkan nama Terengganu buat kali kedua dengan meraih kedudukan tempat pertama dengan sasaran 60 pingat emas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Abdul Rahin, yakin atlet Terengganu mampu melakukan yang terbaik kerana mereka mendapat latihan secukupnya daripada jurulatih berpengalaman serta menggunakan peralatan terkini .

Katanya, pada SUKMA 2010 yang akan berlangsung di Melaka, kerajaan negeri mensasarkan 60 pingat emas dengan beberapa acara penting, termasuk bola sepak, lumba basikal, akuatik, pencak silat, olahraga dan karate.

“Walaupun angka itu tidak melebihi daripada jumlah pingat emas yang diraih negeri ini pada SUKMA XII lalu iaitu 61 pingat, pihaknya yakin Terengganu tetap unggul dan berjaya menduduki tempat pertama.

“Sasaran itu dirasakan memadai berikutan pelbagai acara terpaksa dikurangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu 32 kepada 25 acara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Peralatan SUKMA XII kepada Majlis Sukan Negeri (MSN), di Kompleks Sukan Negeri (KSN), Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA, Haji Arpin Draman, Pengarah MSN Encik Rosdi Awang dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Peralatan SUKMA XII yang membabitkan kos RM6.47 juta itu diserahkan kepada MSN untuk melatih sebaik mungkin atlet yang bakal bertanding di SUKMA 2010, di Melaka nanti.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyampaikan imbuhan RM115,000 kepada 96 Pegawai Teknikal Utama yang terlibat dalam SUKMA XII lalu. Imbuhan itu diagihkan bagi menghargai jasa pegawai itu yang mengharumkan nama Terengganu.

Dato’ Rahin berkata, kerajaan negeri menyokong keputusan KBS yang mengurangkan tujuh acara penting yang bakal dipertandingkan dalam SUKMA 2010 nanti.

“Tindakan itu dilihat positif kerana ia mampu memperkemaskan dan mengurangkan kos untuk sukan itu,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Rahin turut menyatakan persetujuan kerajaan negeri menganjurkan pelbagai jenis sukan di waktu malam bertujuan menghidupkan suasana KSN selain mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja.

“Sukan itu akan dianjurkan pada setiap bulan dengan melibatkan 12 acara termasuk olahraga, bola jaring, boling, badminton, futsal dan sepak takraw,” katanya.

Bermula April nanti, kerajaan negeri akan membuka klinik boling bagi memantapkan kebolehan peminat sukan itu yang masih dianggap baru di negeri ini. Ratu boling negara, Shalin Zulkifli akan diamanahkan untuk tujuan itu.

Akademi GPMS bakal beroperasi

Oleh: SURIATI ALI

Akademi Kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Batu Rakit, Kuala Terengganu, yang bakal menjadi tempat belia menjalani pelbagai kursus kepimpinan dan motivasi, mula beroperasi Mac ini.



Sehingga ini, fasa pertama projek yang dimulakan Disember 2004 itu hampir siap.
Pengerusi GPMS negeri yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata walaupun pembinaan akademi bernilai RM8.1 juta itu dijangka siap sepenuhnya awal 2010, akademi itu akan dibuka secara berperingkat.

“Bagi menyahut saranan kerajaan supaya mempelbagaikan program belia, GPMS mengambil keputusan menyegerakan penggunaan akademi ini walaupun baru fasa pertama disiapkan.

“Apabila beroperasi kelak, pelbagai aktiviti berfaedah termasuk kursus kepimpinan dan motivasi akan dirancang bertujuan menyedarkan golongan belia supaya tidak leka dengan kehidupan dunia dan arus permodenan,” katanya.

Fasa pertama projek itu mengandungi asrama lelaki dan perempuan, kantin dan dewan besar manakala fasa kedua membabitkan bangunan asrama tambahan untuk lelaki dan perempuan, pejabat pentadbiran dan surau.

Mohd Nasir berkata, pembinaan akademi memberi pelbagai manfaat kepada GPMS kerana ia bukan sahaja menawarkan kursus kepada belia malah menjadi sumber kewangan di atas perkhidmatan sewaan bangunan.



“Mana-mana pertubuhan atau persatuan yang ingin menggunakan akademi ini boleh menghubungi bahagian pentadbiran GPMS dan sewa yang dikenakan berpatutan,” katanya.

Menurutnya, GPMS bangga kerana akademi itu merupakan yang terbesar serta termoden di negara ini dan bakal menjadi lokasi tumpuan bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk belia berusia bawah 40 tahun.

Sementara itu, Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamed, berkata bermula 6 hingga 7 Mac ini, GPMS Terengganu akan menganjurkan Kursus Pemukiman Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.

“Kursus melibatkan 30 ahli jawatankuasa GPMS itu bakal membentangkan tiga kertas kerja oleh individu berpengalaman.

“Tajuk kertas kertas kerja itu adalah penubuhan Koperasi Warisan GPMS Terengganu Berhad, pelaksanaan program pemantapan aktiviti di akademi kepimpinan dan penyediaan pelapis kepimpinan,” katanya.

Isteri Exco faham tugas suami

Oleh: SURIATI ALI

Ungkapan `mesti faham dan perlukan pengorbanan’ sentiasa tersemat di sudut hati Puan Harlina Zakaria, terutama ketika suami, Encik Ahmad Razif Abd Rahman lebih seminggu tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga.

Sebagai isteri wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Harlina faham suaminya terpaksa melebihkan masa kepada masyarakat berbanding keluarga.



“Saya tidak hairan dengan tugas dan tanggungjawab suami kerana sebelum berkahwin lagi, YB sudah aktif dengan pelbagai aktiviti sosial ketika memegang jawatan penting dalam pertubuhan dan persatuan.

“Kesibukan YB adakalanya membuatkan anak-anak, terutama yang bongsu, Shahrul Imran, 8, merungut kerana abah mereka jarang berada di rumah, “ katanya ketika ditemubual GanuKita, di rumah beliau, di Kampung Baru, Seberang Takir.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kerunsingan anak-anak ditangani secara jujur dengan menyatakan abah mereka terpaksa bekerja dan berkhidmat untuk orang ramai.

“Saya menyokong penuh tugas suami yang ingin melihat masyarakat hari ini hidup cemerlang dan berfikiran kelas pertama setanding dengan rakyat di negara maju.

“Matlamat dan komitmen itu diiringi doa, semoga Allah S.W.T memberkati usaha yang dilaksanakan suami,” katanya.



Harlina berkata, walaupun belum cukup satu penggal menjalankan tugas yang ditanggungjawabkan, beliau yakin suaminya mampu melaksanakan amanah itu sebaik mungkin kerana Ahmad Razif gemar membuat kajian, mendengar dan menimba ilmu daripada pemimpin berpengalaman.

Beliau yang berasal dari Kedah berkata, kerjayanya sebagai guru yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir bagaikan secocok dengan tugas dipertanggungjawabkan kepada suami sekarang.

“Sekiranya mempunyai masalah berkaitan tugasan itu, kami bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

“Begitu juga jika penduduk kampung memerlukan bantuan, saya sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada YB bagi menyelesaikan masalah sebaik mungkin. Kadang-kadang kami perlu kami turun padang untuk mengetahui punca,” katanya.

Menurutnya, mencatat masalah yang dikemukakan penduduk adalah antara pendekatan dilakukan ketika ketiadaan suami sebelum ianya dirujuk kepada Ahmad Razif untuk diselesaikan sebaik mungkin.

“Menjadi kebiasaan setiap Khamis hingga Sabtu, rumah akan dikunjungi penduduk untuk mengadu pelbagai hal, kerana hari itu dikhaskan untuk bertemu rakyat.

“Semua masalah ditangani secara bijak oleh YB termasuk perkara kecil seperti penduduk tidak cukup wang untuk membayar bil elektrik, air dan sewa rumah,” katanya.

Gerhana matahari Minggu Falak 2009

Minggu Falak (Astronomi) Terengganu 2009 di Taman Tamadun Islam selama tiga hari mulai 25 Januari lalu, menumpukan kepada fenomena gerhana matahari berikutan kejadian itu mampu dilihat secara jelas di Terengganu.

Fenomena gerhana matahari separa dapat dilihat dengan jelas hampir semua kawasan di Asia Tenggara, termasuk Terengganu dan ia pernah disaksikan penduduk tempatan pada 1998.



Tahun ini dua kali fenomena gerhana matahari berlaku, termasuk pada 26 Januari lalu. Ia berlaku pada magnitud 60 peratus manakala pada 22 Julai depan pada magnitud 20 peratus.



Turut hadir menyaksikan fenomena itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Dato’ Abdul Latiff Awang dan Pengarah Urusan PSKT, Dr. Mohd Zaki Mohd Said.

Sempena program itu, Universiti Darul Iman (UDM) turut menyediakan kelengkapan alat cerap bagi memberi peluang orang ramai menyaksikan sendiri fenomena gerhana matahari di perkarangan Tasik al-Jazari, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, 26 Januari lalu.



Tepat jam 4.37 petang fenomena tersebut mula kelihatan sehingga jam 7 malam dan ia dijangka berlaku lagi pada tahun 2031.



Khazan berkata, program yang diadakan itu mampu mengembalikan minat orang ramai, terutama pelajar mengetahui perkara-perkara yang berlaku di bidang sains dan teknologi.



“Ini satu langkah bijak diambil pihak terlibat pada hari ini dan diharap ia menjadi pencetus kepada kebangkitan dunia Sains Islam yang kini dikuasai dunia Barat,” katanya.

Zoo Terengganu dibuka Mac ini

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Zoo terbesar di Pantai Timur, di Bukit Takal, Kemaman, yang menempatkan 100 spesis haiwan akan dibuka kepada orang ramai akhir bulan depan.

Beberapa spesis haiwan seperti burung unta, merak, beruang, landak, burung helag, kucing hutan,rusa dan ular sedang dikuarantin untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di zoo berkenaan.

Binatang lain yang akan dipamerkan termasuk beberapa spesis beruang, banteng, seladang, kijang, kambing gurun, orang utan, buaya dan beberapa spesis harimau serta kuang raya.

Zoo yang terletak di kawasan seluas 135 ekar (54 hektar) bersempadan dengan kawasan kunag-kunang yang terletak di Kampung Yak Yah, Kemaman bakal mejadi antara 10 zoo terbaik di rantau ini dan keadaan hutan sekunder di kawasan pembangunan itu memberi kelebihan dari segi persekitaran.

“Kita akan membeli binatang-binatang tersebut dari zoo-zoo tempatan dan luar negara. Kemungkinan besar, zoo di Bukit Takal akan mejadi kawasan pembiakan beberapa spesis binatang tempatan yang hampir pupus utnu dilepaskankembali ke habitat asal mereka atau dijual kepada zoo lain yang berminat.

“Saya menjangkakan tarikan utama zoo itu nanti adalah menaiki gajah mengelilingi kawasan zoo, harimau putih dan aviari burung cenderawasih (bird of paradise),” kata Dato’ Ahmad Said dalam kenyataan akhbar kepada media, baru-baru ini.

Beliau berkata, beberapa zon tema akan memberi pilihan kepada pengunjung dan juga petunjuk kepada tempat-tempat yag menarik di kawasan itu.

Antara taman tema itu adalah Taman Herba, Taman Pokok Hutan, Taman Tropikal, Taman Cendawan, Taman Buah-buahan, Taman Orkid, Taman Bonsai dan Taman Akuatik.

Dato’ Ahmad berkata, beberapa kemudahan awam akan disediakan seperti tram ataubuggy untuk memudahkan perjalanan di kawasan yang luas, restoran, kawasan riadah utnuk kanak-kanak dan kolam renang utnuk keluarga.

Bukit Takal dipilih kerana kawasan itu terdapat kebun buah-buahan tempatan seperti duku, manggis, sentul, mangga, tampoi dan tanaman kopi yang menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung.

Konsep terbuka Zoo Bukit Takal yang mengambil kira zoologi setiap binatang akan memberi keselesaan kepada pengunjung untuk melihat binatang liar yang dipamerkan dalam keadaan semula jadi tetapi selamat.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri serius dalam membangunkan industri pelancongan dan sektor ini akan diberi tumpuan supaya menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri selepas petroleum.

“Sektor pelancongan adalah satu-satunya sektor di manarakyat dapat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung. Ini menepati kehendak kerajaan negeri untuk `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’,” katanya.