Khamis, 5 Mac 2009

TTI jana ekonomi negeri

Oleh: KAMARUDIN MAT AKIB

Seramai 2.02 juta pengunjung dari dalam dan luar negara melawat Taman Tamadun Islam (TTI), di Pulau Wan Man, sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan perangkaan itu, matlamat pembinaannya tercapai kerana taman tema bercirikan ketamadunan Islam pertama di Asia itu kini mampu menjadi daya penarik di bidang pelancongan, sekaligus menjana ekonomi negeri.

Fakta itu menolak anggapan sesetengah pihak kononnya pembinaan TTI yang mula beroperasi 1 Februari tahun lalu, memberi peluang pekerjaan tetap kepada 160 orang, kebanyakannya daripada penduduk tempatan.

“Pada masa yang sama kewujudan TTI juga memberi peluang kepada 204 pengusaha tempatan membekal pelbagai jenis barangan seperti makanan, minuman dan cenderamata yang diperlukan di taman ini,” kata Pengarah Urusan TTI Management Sdn Bhd, Engku Md Azmi Abd Rahman dalam pertemuan dengan GanuKita, baru-baru ini.

Selain itu, pembinaan Dewan Konvensyen yang mampu menampung 2,200 orang di TTI banyak menyediakan peluang pekerjaan seperti penyajian makanan dan antara 20 hingga 30 kakitangan sambilan turut diambil bekerja.

Engku Md Azmi berkata, pada tahun lalu 265,611 pelawat TTI memasuki kawasan monumen dengan bayaran tiket RM10 bagi dewasa dan RM5 kanak-kanak.

“Tahun ini kita merancang menarik 480,000 pelawat ke kawasan monumen yang mempamerkan 21 replika monumen senibina Islam unik dari seluruh dunia,” katanya.

Antara monumen yang mendapat perhatian pengunjung ialah Taj Mahal, Masjidil Haram, Masjid Suleyman (Turki) dan Masjid Nabawi (Madinah), Alhambra (Sepanyol), Menara Kalyan (Uzbekistan), Masjid Besar Qairawan (Tunissia) dan Makam Abu Nasr (Afghanistan).

Masjid Kristal yang memukau pengunjung dalam dan luar negara, bukan saja menjadi tumpuan pelawat, tetapi menjadi tempat majlis akad nikah pasangan umat Islam yang mahu kelainan untuk merakamkan peristiwa bersejarah mereka.

Dalam usaha menggamit lebih ramai pengunjung ke TTI, pihak pengurusan akan memperhebatkan promosi di seluruh negara serta mengadakan lebih banyak program menarik di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, antara daya penarik baru yang dirancang pengurusan TTI ialah memperkenalkan perkhidmatan ‘River Cruise’ mulai 1 Mac depan.

“Orang ramai berpeluang menyusuri Sungai Terengganu sama ada secara persendirian atau berkumpulan menggunakan perkhidmatan ini dengan kadar sewa berpatutan,” ujarnya.

Katanya, pihak pengurusan TTI kini berbangga kerana taman itu bukan setakat menjadi ikon Terengganu dan Malaysia, tetapi mampu menjana ekonomi negeri, terutama sewaktu ekonomi tidak menentu sekarang ini.

Ikon Anak Terengganu

Prof Izi – perunding motivasi santai

Oleh: AIDA ABD RAHMAN



Mungkin ramai yang sudah sebati dengan `tagline’ - `Renung-renungkan dan selamat beramal’. Mendengar kata-kata itu pastinya gerangan individu yang sering melontarkan ungkapan tersebut juga turut dikenali ramai.

Beliau tidak lain dan tidak bukan, pakar motivasi, Prof Madya Md Izuddin Ali atau lebih dikenali sebagai Prof Izi yang sering ke udara setiap pagi dalam rancangan Motivasi di Radio Hot FM dan Muqadimah di saluran TV9.



Penampilan yang sentiasa menarik, `lain dari yang lain’ serta gaya santai anak jati Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu yang sentiasa mengukir senyuman manis itu berjaya memikat ramai pendengar dan penonton untuk terus `jatuh cinta’ dengan rancangan yang menampilkan beliau menerusi kaca televisyen.

Selain lima kali seminggu ke udara di Hot FM, Prof Izi turut diundang menjadi tamu menerusi radio IKIM, Klasik Nasional, Kelantan FM, Terengganu FM dan panel di televisyen termasuk di TV3 menerusi Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini dan Motivasi Pagi, di TV9 dalam program Halaqah, Cari Menantu, Nasi Lemak Kopi O, Galaksi dan Motivasi.



Manakala di saluran Astro seperti Modal Insan, WW, Perspektif, Sudut Pandang, Kalam Suci dan Malam Ini Z & R. Di TV1 pula muncul untuk rancangan Fitrah Kasih; Inspirasi Pagi; Selamat Pagi Malaysia; Fenomena Seni; Dari Wanita Untuk Wanita dan Stylo di TV2.

Tiket bergelar pensyarah di UiTM Shah Alam (1989-1992), sebelum ditukarkan ke UitM Dungun sebaik tamat Diploma Lanjutan Ijazah Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 1988 hingga 1989 memberi ruang luas untuk beliau menggapai cita-citanya sebagai pakar motivasi.

“Ketika belajar di luar negara lagi saya sering bertanya kepada diri sendiri bagaimana cara untuk saya memberi kesedaran dan ingatan kepada mereka yang `hanyut’ dan akhirnya hasrat direalisasi selepas banyak diundang menjadi panel perunding motivasi untuk pelajar dan semua golongan di institusi pendidikan serta rancangan di TV dan radio.



“Saya memulakan langkah kanan dengan tugasan pertama ketika menjadi panel jemputan rancangan Prisma di RTM pada 22 November 1997 dan di Radio Terengganu yang memberi peluang untuk saya terus melebar impian,” katanya ketika ditemui wartawan GanuKita, di pejabatnya di UiTM, Dungun, baru-baru ini.

Kesibukan sebagai penceramah lebih 16 tahun lamanya di bidang motivasi pelajaran, kekeluargaan dan komunikasi, di pelbagai peringkat sekolah, jabatan kerajaan, badan korporat di seluruh negara serta perunding motivasi untuk Telaga Biru Sdn Bhd tidak mengganggu tugas hakiki beliau sebagai Pensyarah Kanan di UiTM Dungun.

Berbekalkan sokongan isteri yang dikahwininya sejak 15 tahun lalu, Roziah Shafiai serta pihak pentadbiran UiTM, beliau bijak mengatur jadual yang sentiasa padat.

Pun begitu, ketika menceritakan pengalaman dan latar belakang pendidikan yang sentiasa menghasilkan rekod cemerlang, beliau yang dilahirkan pada 29 Mac 1964 juga tidak lepas daripada mengalami kegagalan ketika awal persekolahan.

Sikap acuh tidak acuh beliau ketika Peperiksan Penilaian Darjah Lima di Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu, menyebabkan beliau hanya meraih 1A, 3B dan 1C berbanding rakan sebaya yang cemerlang dengan keputusan 5A dan sekurang-kurangnya 4A, 1B.



Episod duka itu menyebabkan beliau menyimpan sesal yang menggunung ditambah pula status anak lelaki tunggal dalam enam beradik menjadikan beliau menjadi harapan keluarga terutama bapa beliau yang bertugas sebagai guru.

“Masih saya ingat, bapa saya begitu kesal dan marah dengan keputusan peperiksaan saya. Malah daripada situ, saya tanam nekad untuk berjaya dan selepas empat tahun menunggu bersandarkan usaha sendiri tanpa bantuan mana-mana tuisyen, saya membuktikan saya mampu berjaya. Itulah hadiah yang cukup bernilai untuk keluarga saya,” katanya.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran dalam jurusan Sains Pertanian di Sekolah Menengah Tengku Bariah. Tanpa menoleh kepada kegagalan lalu, beliau muncul sebagai pelajar pintar dan pelajar pertama dalam kelas serta kedua bagi keseluruhan kelas.



Beliau seterusnya menjadi pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran (SRP) ketika itu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Sains Terengganu (kini) Sekolah Menengah Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Keputusan cemerlang yang dicapai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, melayakkan anak muda itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan Matematik di Humboldt State University, Arcata, California (1981-1985) (Ijazah Pertama) sebelum melanjutkan pengajian di bidang yang sama di California State University, Fresno pada 1986 higga 1988.

Bakat beliau sebagai penceramah mula terserlah apabila sentiasa berucap di khalayak dalam program usrah dan ceramah ketika menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Humboldt State University dan Presiden Persatuan Islam Malaysia di California State University Fresno.

Malah, beliau yang dinaikkan pangkat sebagai Pensyarah Kanan pada 1 Ogos 1999 dan dianugerahkan Prof Madya oleh UiTM pada 1 Julai 2001, juga aktif menghasilkan buku dan cakera padat video (VCD). Antara bahan terbitan beliau termasuk 1999 Mutiara Kata Yang Ditemui, Words Of Wisdom To The Top, Berucap Penuh Yakin dan Jalan Pintas Ke Arah Pelajar Cemerlang serta penerbitan buku, koleksi tazkirah `Renung-renungkan dan Selamat Beramal’ yang dijangka dapat dipasarkan Ogos depan.



Sepanjang berkhidmat di UiTM, beliau turut menerima Anugerah Khidmat Cemerlang pada 1994, 2001 dan 2005 serta pernah diamanahkan sebagai Koordinator Pengajian Jarak Jauh, Ahli Jawatankuasa Kualiti, Penyelaras Program Bimbingan Belajar dan Panel Penilai Pengambilan Pensyarah Baru UiTM.

Prof Izi yang berpegang kepada falsafah `penambahbaikan tanpa batasan’, berhasrat terus memberi khidmat motivasi kepada pihak yang memerlukan terutama kepada anak negeri sendiri.



“Kalau ada peluang saya nak lebih banyak memberi motivasi kepada belia dan beliawanis, terutama anak Terengganu yang tidak tahu hala tuju kehidupan mereka kerana saya berkeyakinan mereka memiliki peluang cerah untuk berjaya dalam hidup.

“Banyak kemudahan dan ruang disediakan pihak berwajib terutama kerajaan dan agensi berkaitan, tinggalnya bagaimana memupuk, merangsang dan memantau mereka untuk memilih jalan yang betul melalui motivasi diri,” katanya mengakhiri bicara dan menyambung tugas memasuki kelas sebagai pensyarah pula.

e-Munakahat versi baru

Oleh: ESAH ABDULLAH

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengeluarkan kad pintar perkahwinan atau e-Munakahat versi baru yang mempunyai sistem chips atau ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi, mulai Mac depan.



“Versi baru ini dibuat setelah mengambil kira beberapa kelemahan yang terdapat pada kad lama di samping turut membuat perubahan bentuk dan menambahbaik ciri-ciri keselamatan,” kata Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam) JHEAT, Encik Ismail Abdul Ghani, ketika diwawancara GanuKita, baru-baru ini.

Dengan kelengkapan sistem chips berteknologi tinggi JHEAT berharap tidak berlaku kes-kes pemalsuan seperti yang dilaporkan di beberapa negeri lain dan tindakan pantas jabatan itu dapat menyekat perkara tersebut daripada menular ke negeri ini.

“Kad baru ini akan diproses dan dicetak sendiri oleh JHEAT, usaha ini dibuat kerana mengambil kira rungutan ramai, kad sebelum ini mengambil masa dua hingga tiga bulan baru siap dan antara sebabnya proses dibuat di Kuala Lumpur,” katanya,



Sehingga ini, katanya, 55,366 orang atau 27,683 pasangan berkahwin di negeri ini memiliki e-Munakahat selepas JHEAT mewajibkan kepada setiap pasangan berbuat demikian berkuatkuasa pada 2006.

“Mula diperkenalkan pada 1999 dengan pengeluaran kad biasa di mana setiap pasangan berkahwin hanya diberi pilihan, justeru tidak ramai yang berminat berbuat demikian,” katanya.

Setiap pasangan dikenakan bayaran RM33 untuk mendapatkan e-Munakahat dan bayaran ini dikatakan paling rendah berbanding negeri lain, termasuk Kelantan RM50 dan Selangor RM60.

Katanya, dengan dilengkapi sistem chips ianya dapat mengatasi masalah kelambatan proses pendaftaran kerana perlu merujuk kepada pelbagai dokumen asal secara manual.

“E-Munakahat mula diperkenalkan pada 2005 menggantikan kad kahwin tanpa chips yang dikeluarkan pada 1999 dan mulai 2006 JHEAT mewajibkan kepada semua pasangan yang berkahwin memiliki e-munakahat,” katanya.

Dengan adanya e-Munakahat yang menyimpan data perkahwinan, memudah dan menyenangkan setiap pasangan membawa dokumen perkahwinan mereka.

Beliau berkata, sambutan daripada pasangan lama berkahwin setakat ini hanya lima peratus sahaja sejak ianya diperkenalkan pada 1999 dan pihaknya akan melaksanakan beberapa hebahan sama ada melalui siaran radio dan jurunikah mukim.

Encik Ismail berharap pasangan yang telah lama berkahwin digalakkan memiliki kad pintar ini dengan mengisi borang yang boleh didapati di pejabat agama daerah masing-masing atau di rumah jurunikah mukim yang bertauliah.

RM1 Juta setahun bantu penjaja kecil

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1 juta setahun bagi Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Pinjaman Khas kanopi (SPKK) sejak 2006 bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh Terengganu meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.

Sehingga kini, seramai 394 peminjam menyertai SSPM dengan pinjaman RM1,089,000, manakala 206 peniaga menyertai SPKK dengan pinjaman RM72,884.

SSPM memperuntukkan RM3,000 bagi seorang peminjam tanpa apa-apa cagaran dengan bayaran balik selama 15 bulan dan SPKK memperuntukkan pinjaman sehingga RM5,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan itu merupakan skim yang diperkenalkan di bawah Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu II (TPUT II).

Skim lain adalah Skim Pinjaman Langsung (SPL) yang dilancarkan sejak April 1999, di mana skim itu sudah membiayai pinjaman 14 peniaga berjumlah RM120,000.

Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF) diperkenalkan sejak Mac 2000 pula melibatkan 56 peminjam berjumlah RM2,829,947.05, Skim Pinjaman Kecil (SPK) membabitkan 534 peminjam dengan pembiayaan RM1,942,000 sejak diperkenalkan pada Januari 2002.

Manakala sebanyak RM268,500 kepada 132 peminjam untuk Skim Pinjaman Peniaga Pasar Malam (SPPPM) sejak dilancarkan Ogos 2003.



Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik, berkata TPUT adalah satu usaha dan suntikan kerajaan negeri menerusi YPU bagi menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan dan modal kerja kepada usahawan seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi peluang dan melakukan penambahbaikan bagi merancakkan ekonomi rakyat tempatan dengan memperkenalkan pelbagai skim yang mampu disertai mereka.

Malah, skim yang disediakan itu sentiasa mendapat sambutan amat baik daripada peminjam di Kuala Terengganu dan Marang serta rekod baik pembayaran menerusi skim yang ditawarkan menyebabkan TPUT diteruskan dengan peruntukan RM1 juta bagi 2009.

“Bagi memastikan semua orang menikmati peluang yang disediakan ini, kita (YPU) akan menyediakan khidmat nasihat dan rundingan di kaunter menerusi `roadshow’ dengan kerjasama pejabat daerah khususnya di Pekan Budaya Daerah seluruh Terengganu.

“Usaha ini selaras dengan misi kerajaan negeri `merakyatkan pembangunan’ iaitu memastikan semua rakyat dapat menikmati faedah yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan hasil pendedahan yang lebih menyeluruh apabila kita membuka kaunter ke kawasan berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya.

Haji Azmi berkata, kerajaan negeri juga sedang mengenalpasti premis tetap bagi memudahkan runding cara dan urusan perkhidmatan YPU dengan orang ramai di daerah yang jauh dari Kuala Terengganu seperti di Kemaman.

“Kita sudah ada bangunan yang boleh kita `upgrade’ bagi menempatkan cawangan YPU bagi meletakkan `brochures’ dan pegawai kita terutama di Kemaman dan Paka. Mereka dari kawasan itu tidak perlu lagi datang ke sini apabila kemudahan itu siap sepenuhnya nanti,”katanya.

Halau kanak-kanak tadika bukan lakonan


Pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengarahkan kanak-kanak tadika Kemajuan Masyarakat (Kemas) `berlakon’ mengeluarkan beg serta peralatan persekolahan mereka sewaktu PAS yang memerintah negeri ini, menutup tadika berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menafikan dakwaan segelintir pihak yang beranggapan tindakan kanak-kanak tadika dihalau dan tadika dikunci pada tahun 2000 adalah lakonan bagi memburuk-burukkan PAS.

“Tidak silap saya, Haji Hamzah ini Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah dan dia melihat dari segi persepsi PAS. Sebenarnya saya nak menyatakan bahawa kami tidak pernah berlakon dan mengarahkan budak tadika berlakon mengeluarkan beg dan peralatan sekolah.

“Inilah realiti berlaku di Terengganu, sebab itu Haji Hamzah barangkali mendapat gambaran tidak benar. Sebab itu saya kalau Haji Hamzah betul-betul seorang Islam, kalau sanggup bersumpah dengan al-Quran, datang sendiri tengok apakah ini bukan merupakan satu penghinaan dan kezaliman PAS kepada rakyat Terengganu,” kata Menteri Besar sebagai mengulas dakwaan yang dilemparkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah ketika ditemuramah dalam rancangan Hello Malaysia yang disiarkan menerusi Bernama TV, baru-baru ini.

Dato’ Ahmad berkata, Haji Hamzah hanya melihat dari persepsi PAS berdasarkan gambar yang diberikan, tetapi beliau (Dato’ Ahmad) menghadapinya sendiri dan tidak berbohong serta (sanggup) bersumpah dengan al-Quran.

Menurut beliau, PAS Terengganu sanggup mengunci pagar tadika dan kelas-kelas Kemas menyebabkan anak-anak kecil berkenaan terpaksa dibawa keluar dan ditempatkan sementara di bilik lain untuk belajar.

“Ini berlaku Tuan Haji (Hamzah) sebab itu saya katakan ini bukan pembohongan ini realiti. Sebab itu saya minta Tuan Haji datang ke Terengganu, jumpa saya kita boleh tunjukkan,” katanya.

Malah, Menteri Besar berkata pemimpin PAS berkenaan turut mendakwa kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-11 (2004) yang lalu tidak Islamik, juga tidak berasas kerana jelas Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan demokrasi serta memberi keadilan kepada semua pihak yang seharusnya mampu menerima kenyataan dan ketentuan ALLAH SWT.

Beliau berkata demikian kerana melihat PAS menilai dari kaca mata mereka sendiri. Contohnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini, PAS mendakwa kehadiran ramai polis menimbulkan ketakutan kepada orang ramai, selain SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang dikatakan tidak telus.

Bagaimanapun, apabila PAS menang mereka berterima kasih kepada SPR, kepada polis dan apabila kalah (akan) timbul cerita lain.

“Begitu juga dikatakan 40,000 tanah diagihkan oleh PAS kepada rakyat Terengganu. Saya sebagai seorang (bekas) Penolong Pentadbir Tanah Daerah dan saya bekerja mengenai undang-undang tanah, saya salah seorang yang menjadi sumber rujukan dari segi undang-undang tanah ini.

“Apa yang dibuat oleh PAS tak betul. PAS buat di Terengganu di mana 40,000 ekar diagihkan ini diberi kepada pihak swasta untuk mengukur dan mengutip duit. Apabila bagi kepada swasta pastinya (swasta) nak duit,” katanya.


Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Katanya, ketika PAS mentadbir negeri ini mereka tidak tahu kedudukan tanah dan aspek peraturan tanah di mana, apabila keluar Jadual 5 ada empat perkara yang perlu diselesaikan iaitu pertama, bayar harga tanah; kedua, upah kerja ukur tanah; ketiga bayar tanda batu sempadan dan keempat cukai tanah bagi tahun pertama.

Katanya, apabila Jadual 5 dikeluarkan barulah nama pemohon boleh didaftarkan bagi mendapat hak milik.

“Ini dia (PAS) kutip duit tidak diberi kepada Pejabat Tanah sebagai pemegang amanah, dibayar kepada juruukur berlesen,” katanya.

Beliau berkata, kadangkala kita boleh bercakap politik tetapi jangan dipolitikkan semua perkara kerana ada benda yang tidak betul perlu dibincang dan diselesaikan dengan cara yang betul.

Katanya, sebagai orang Islam, kita perlu ikhlas dan jangan berbohong kepada rakyat serta melemparkan pelbagai tuduhan kepada pihak lain kerana akhirnya kita kembali kepada Allah SWT.

Bantuan pelajar masuk IPTA

Oleh: ESAH ABDULLAH

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) membelanjakan berjuta ringgit bagi bantuan anak-anak negeri ini melanjutkan pengajian ke Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuk bantuan kepada pelajar tingkatan enam atas yang tidak mendapat biasiswa.

“Tahun lepas RM2.254 juta dibelanjakan untuk 2,254 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” kata Pengerusi Jawatankuasa, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya, pelajar ini diberi tunai RM1,000 setiap seorang dan tahun ini akan diteruskan bagi memastikan kecemerlangan dalam pendidikan mereka,”

Katanya kerajaan juga sedang membuat bancian terperinci bagi mengenal pasti jumlah sebenar graduan lulusan diploma dan ijazah yang belum mendapat kerja di negeri ini.

“Beberapa siri latihan sambil kerja akan diberikan kepada graduan menganggur dan keutamaan diberi bagi mengisi kekosongan jawatan di jabatan kerajaan dan mereka yang dapat ijazah dengan kepujian kelas satu akan dilatih dan ditawar ke jawatan pegawai tabdir,” katanya.

Fokus sekarang katanya, adalah untuk mendapat maklumat tepat jumlah anak Terengganu yang tidak ada kerja dan mereka yang ada kelulusan komputer akan ditawar sebagai pegawai teknikal dibawah program e-books di sekolah-sekolah.

Banyak tumpuan diberi terhadap golongan remaja lepasan SPM dan peruntukan RM100,000 disediakan bagi membiayai program maklumat kerjaya, pengiklanan serta memberi laluan kerjaya bagi merialisasikan hasrat kerajaan untuk menempatkan 60 peratus rakyat tempatan dalam sektor pekerjaan di negeri ini.

Katanya, promosi secara besar-besaran akan dilakukan ditempat-tempat awam termasuk di stesyen bas untuk menarik golongan remaja menyertai program-program latihan kerjaya untuk membantu mereka memilih jalan terang kearah masa depan yang gemilang.


YB Ahmad Razif seterusnya melahirkan rasa yakin dengan usaha yang berterusan serta sokongan padu daripada semua pihak ibu bapa guru dan pelajar hasrat kerajaan untuk melihat setiap rumah mempunyai seorang graduan berjaya dicapai.





PBT diminta lebih proaktif

Oleh: Esah Abdullah

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta lebih proaktif dalam usaha menarik orang ramai supaya membayar cukai pintu dengan kaedah lebih mudah dan sesuai.

“PBT boleh ikut cara Pejabat Tanah yang pergi ke kampung-kampung mengutip hasil,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis pengakuan menerima jawatan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong, Ahli-ahli Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Dato’ Ahmad berkata, PBT boleh meminta kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Masjid untuk membuat hebahan dan mengadakan hari membayar cukai atau seumpamanya.

“Kadang-kadang bukan mereka tak mahu bayar tapi kerana kesuntukan masa atau malas nak datang ke pejabat PBT, akhirnya hasil tertunggak bertahun-tahun,” katanya.

Dato’ Ahmad kemudiannya mengingatkan Yang Dipertua Majlis Daerah(YDP) seluruh negeri supaya lebih bertanggung jawab dan sering memantau kerja-kerja membabitkan kebersihan agar imej bandar tidak tercemar di mata umum.

“Dalam soal kebersihan tak kira ketua atau pekerja semuanya perlu bertanggung jawab memastikan sampah sarap tidak bertaburan di tempat awam dan kebersihan tandas sentiasa terjaga,” katanya.

Katanya, setakat ini kerja-kerja pembersihan seperti memungut dan membuang sampah serta membersih longkang diberikan kepada kontraktor yang sama dan ditender setiap tiga bulan.

“Selepas cuti hari minggu atau cuti umum orang ramai akan merungut, sampah tak dikutip, malah ada sampai berulat, perkara sebegini tak timbul jika penguatkuasa dan kontraktor menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan longkang tertutup bersaiz enam kaki akan ditingkatkan tahun ini dalam usaha mengelak berlaku limpahan air dan masalah sampah tersumbat,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyaksikan akuan menerima jawatan lima YDP daripada tujuh daerah iaitu daerah Kemaman, Haji A.Rahman Yahya; Mohd Nor Ibrahim (Hulu Terengganu); Haji Wan Mustafa Wan Husain (Besut); Mohd Elias Nik (Marang) dan Haji Harun Mohamad (Setiu).