Selasa, 19 Mei 2009

Institusi Guru Terus Diperkasakan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Kerajaan hari ini mengumumkan keputusan mengenai laluan kerjaya bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dengan meluluskan pertambahan kuota guru dan pengetua cemerlang bagi PPP siswazah di sekolah menengah berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran,Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin berkata kerajaan prihatin pentingnya aspek kebajikan guru serta insentif yang boleh mendorong mereka untuk terus mengamalkan budaya kerja yang cemerlang.

“Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru, kerajaan telah meluluskan pertambahan kuota guru dan pengetua cemerlang,” kata Tan SriMuhyiddin di Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Ke-38 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini (16 Mei) dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa.



Sambutan Hari Guru yang disambut meriah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti sampingan sepanjang minggu bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, Guru Cemerlang Gred (GCG) Khas C akan ditambah daripada 24 kepada 36; GCG DG54 ditambah daripada 100 kepada 134; GCG DG52 daripada 250 kepada 336; GCG DG48 daripada 1,000 kepada 1,345 dan GCG DG44 ditambah daripada 4,000 kepada 5,379 jawatan.

“Pengetua Cemerlang Gred (PCG) JUSA C pula mendapat pertambahan 100 peratus iaitu daripada 10 kepada 20 jawatan, manakala PCG DG54 pula ditambah daripada 200 kepada 475 jawatan dan PCG DG52 dikekalkan sebanyak 400 jawatan,” katanya.

Selain daripada itu katanya, kerajaan juga telah bersetuju mewujudkan beberapa jawatan guru cemerlang bagi PPP siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah iaitu GCG DG48 sebanyak 173 jawatan dan GCG DG44 sebanyak 1,737 jawatan.

Namun begitu katanya, PPP bukan siswazah juga akan menikmati elaun kerjaya yang sama apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi.

Katanya selaras dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat penyayang, kerajaan akan memanjangkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada pasangan pegawai yang berkhidmat di sekolah-sekolah pendalaman mulai 1 Mac lalu.

“Kerajaan juga menghargai pengorbanan anggota khidmat sokongan terutamanya Pembantu Pengurusan Murid (PPM) yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Intergrasi di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah,” katanya.



Katanya, bayaran insentif kepada PPM sebanyak RM200 sebulan akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2009.

Tan Sri Muhyiddin seterusnya menyeru seluruh warga pendidik supaya terus gigih berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan serta berkhidmat dengan penuh ikhlas dan jadikan profesion perguruan sebagai medan perjuangan untuk majukan anak bangsa.

Sehubungan itu Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat telah diumumkan sebagai Tokoh Khas Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2009. Allahyarham yang meninggal pada 8 Mac 2007 ketika usia 61, akibat serangan jantung telah diwakili isteri Puan Sri Fadilah Ishak.

Manakala Tan Sri Dato’ Asiah Abu Samah, 62, diumum sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan tiga lagi terpilih sebagai Tokoh Guru 2009 iaitu Dato’ Abdul Rahim Tahir (Terengganu) ; Encik Phua Seng Tiong (Johor) dan Encik Shahul Hamid Mydin Shah (Perak).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Selasa, 12 Mei 2009

Maidam Kumpul Zakat RM66.2 juta

Oleh : SURIATI BINTI ALI



Kejayaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) memungut wang zakat tertinggi RM66.2 juta pada tahun lepas membuktikan masyarakat mula sedar kewajiban masing-masing.

Berdasarkan rekod, jumlah itu adalah tertinggi berbanding pungutan tahun sebelum ini. ia memberi impak positif kepada Maidam bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan terutama berkaitan fakir miskin.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad said, berkata peningkatan membanggakan ini memberi gambaran jelas betapa pentingnya membayar zakat dikalangan masyarakat Islam.

Katanya, wang zakat yang dikumpul akan diagihkan sebaik mungkin bagi menjaga kebajikan golongan fakir miskin.

“Agihan itu disalurkan melalui pelbagai bantuan, antaranya membina dan membaikpulih rumah, rawatan diri, membiayai kelengkapan sekolah dan pelajaran serta kewangan untuk membeli kelengkapan hari raya dan bulanan.



“Kesedaran masyarakat membayar zakat dapat membantu usaha kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan di Terengganu,” katanya ketika berucap merasmikan program Maidam Bersama Masyarakat, di Kampung Paya Berenjut, Kemaman.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbadaran Kemaman (MPK), Haji Abdul Rahman Yahya, Pegawai Daerah Kemaman (PDK), Haji Kamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman dan beberapa pegawai kanan kerajaan

Kira-kira 60 keluarga dikategori miskin menerima barangan kelengkapan dapur, termasuk beras, minyak, gula, kicap dan milo.

Program anjuran Maidam dengan kerjasama PDK itu diadakan bagi meringankan beban penduduk terutama yang dikategori fakir miskin.



Dato’ Ahmad berkata, tanpa kerjasama dan kesedaran, sudah tentu kadar pungutan zakat tidak dapat mencapai tahap seperti yang disasarkan.

“Pada tahun lalu harga kelapa sawit berada di tahap memuaskan, faktor ini mendorong kepada peningkatan pembayaran itu.

“Kerajaan negeri tidak memberi jaminan pungutan zakat akan meningkat setiap tahun kerana ia bergantung kepada keadaan ekonomi semasa. Jika berada ditahap kurang memuaskan, pungutan tahunan zakat bermungkinan akan turut terjejas atau menurun,” katanya.

Sementara itu, Wan Harujan, berkata program yang dilaksanakan ini kerana mampu mendekatkan kakitangan bersama masyakarat yang sebelum ini kebanyakan daripada mereka kurang faham fungsi Maidam.

“Bagi meringankan beban, pihaknya memperuntukan RM30 ribu bagi membaikpulih tiga rumah penduduk dan RM10 ribu kepada pengurus bagi membina kelas pengajian al-Quran kanak-kanak dan dewasa,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Penasihat Terbaik Demi Masa Depan Suami

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad ketika berucap menutup Kepimpinan Serikandi di Pulau Gemia, Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Isteri wakil rakyat harus memainkan peranan sebagai penasihat terbaik kepada suami dalam memartabat dan mengungguli masa depan suami sebagai pemimpin masyarakat.

Mereka sebagai individu paling dekat dengan suami perlu bijak mengambil peluang memberi teguran dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya suami mendapat gambaran yang betul serta berfikir matang dalam membuat keputusan.

“Kalau boleh, biarlah si isteri menjadi air yang mampu menyirami api atau mengubah kehangatan kepada situasi sejuk dan tenang,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, ketika berucap dalam perasmian penutup Kursus Kepimpinan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), di Gem Island Resort & Spa, Pulau Gemia, Marang, semalam (9 Mei).


Sebahagian ahli Serikandi yang menyertai Kursus Kepimpinan Serikandi di Pulau Gemia, Marang.

Dalam pada itu, isteri wakil rakyat perlu didedahkan dengan kursus kepimpinan kerana menerusinya boleh menjadi manifestasi ke arah masa depan yang lebih baik dan cemerlang.

Beliau berkata, isteri wakil rakyat juga harus sedar dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran dalam situasi politik yang tidak menentu dan menggalas tanggungjawab sebagai isteri pemimpin dengan sebaik mungkin.

Sehubungan itu juga, mereka juga harus peka dan sedar bahawa konsep merakyatkan pembangunan bukan sekadar cogan kata, sebaliknya ia harus diterjemahkan dengan tindakan yang betul supaya rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap usaha pembangunan.

“Kita harus sedar bahawa kuasa rakyat lebih besar dalam menentukan pemimpin mereka. Dalam pilihan raya, contohnya sebuah keluarga nelayan jika sepuluh orang dalam keluarga berkenaan layak mengundi, maka sepuluh undian itu memainkan peranan penting untuk menentukan kemenangan,” katanya.

Oleh itu, sebagai isteri pemimpin, mereka wajar memikul peranan dan tanggungjawab suami untuk mendekati masyarakat setempat walaupun tanpa suami di sisi bagi memastikan kebajikan dan keprihatinan rakyat tidak terabai.

“Peranan isteri masuk kampung dan keluar kampung untuk beri sumbangan mengikut kemampuan suami seperti sediakan hamper untuk masuk kampung.

“Jangan abaikan mereka walaupun mereka pembangkang, kerana harapan kita agar satu masa nanti mereka lembut hati dan memilih kita (Barisan Nasional), memberi kemenangan pada kita (pada pilihan raya),” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Norliza Mahmud, berkata menerusi kursus sedemikian, peserta mendapat input yang mampu memberi kesedaran mengenai peranan suami sebagai pemimpin serta kesan yang besar bagi memastikan perjuangan dan pelaksanaan yang digalas suami selaku wakil rakyat.

Katanya, isteri wakil rakyat harus mengamalkan sikap rendah diri, mesra dan berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja supaya disenangi semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, dalam situasi senario semasa, isteri harus mengambil langkah terbaik untuk menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan, selain bersedia menjangka perkara yang bakal berlaku serta sentiasa belajar dari masa ke semasa.

“Sebagai isteri wakil rakyat, bukan sedikit kesabaran yang dituntut bahkan perlu keikhlasan supaya setiap perlakuan kita mendapat ganjaran daripada Allah Taala selain sentiasa berdoa dan pohon keberkatan daripada Ilahi.

To’ Puan Norliza berkata, tindakan isteri juga memberi reflek atau kesan kepada perjalanan karier suami kerana suami dan isteri sentiasa saling melengkapi antara satu sama lain.

Malah katanya, jatuh bangun karier suami akan ada isteri di sisi yang harus menyokongnya sama ada ketika susah atau senang.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu

MB Masuk Kampung Kelahiran Datuk

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kelihatan bersemangat dan teruja ketika masuk kampung yang menjadi tempat kelahiran datuk beliau Allahyarham `Che Ali’ yang juga pengasas atau individu yang bertanggungjawab membuka Kampung Che Ali, di Rhu Rendang, Marang, hari ini (7 Mei).

Dalam lawatan kira-kira sejam di kampung itu, beliau berkesempatan melawat dan menyedekahkan doa di depan pusara Allahyarham `Che Ali’ bersempena Program Sehari Bersama Menteri Besar, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Parlimen Marang.



Program kali ini merupakan program ketiga Menteri Besar bersama rakyat di seluruh parlimen, selepas program yang sama di Maras, Setiu pada 7 Mac dan diikuti Parlimen Besut pada 1 April lalu.

Beliau yang diiringi beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, pegawai kanan kerajaan, ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan sukarelawan dari kalangan masyarakat kampung serta penjawat awam bergotong-royong menggantikan atap baru di 28 buah rumah keluarga miskin di sekitar Rhu Rendang.



Dalam program kebajikan itu, Menteri Besar sempat memanjat dan memaku sendiri atap beberapa rumah yang dikunjungi beliau. Sebanyak 12 rumah di kampung Paya, masing-masing empat rumah di Bandar Marang, Kijing dan Che Ali.

Sebelum itu, Dato’ Ahmad meluangkan masa kira-kira sejam menikmati minum pagi bersama rakyat di kedai makan Marang Waterfront. Sejurus kemudian, beliau melawat dan meninjau perkembangan pembinaan Pasar Baru Bandar Marang tidak jauh dari jeti Marang.



Sementara itu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membina lima balai raya baru di kawasan Rhu Rendang bagi kemudahan penduduk setempat menjalankan aktiviti dan mendapatkan maklumat.

Kelulusan serta-merta dibuat oleh Menteri Besar selepas hasrat pemimpin dan masyarakat kampung sekitar Rhu Rendang itu disampaikan kepada beliau menerusi Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.



“Kita luluskan lima buah balai raya dengan satu RM200,000. Dia (Nik Dir) mintak 10 untuk kampung yang tiada balai raya atau terlalu uzur dan sebagainya. Jadi tahun ini kita lulus lima buah dulu dengan peralatan-peralatan di balai raya itu,” kata beliau selepas merasmikan Balai Raya Baru Kampung Seberang Marang, Marang.

Dalam majlis itu, Menteri Besar turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menyediakan kelengkapan dan peralatan komputer untuk digunakan masyarakat kampung di balai raya itu.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Prihatin Nasib Penduduk

Oleh : SURIATI BINTI ALI


To' Puan Norliza dan rombongan menziarah seorang pesakit yang memerlukan bantuan di Kampung Darat Pok Chang, Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD

“Keprihatinan isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud serta rombongan menjenguk keadaan diri saya didahulukan ribuan terima kasih.

“Bantuan yang dihulur itu akan digunakan sebaik mungkin bagi membeli ubat dan lampin pakai buang di mana kini menjadi barangan keperluan sejak menghidapi penyakit diabetis ,” kata ibu tunggal Kamsah Ibrahim, 54, ketika ditemui di rumahnya, Medan Jaya, Marang.

Beliau yang sudah kematian suami mengihidapi penyakit itu kira-kira enam tahun lalu, disebabkan tidak mampu menguruskan diri dan berjalan, kamsah dijaga tiga anak perempuan.


To' Puan Norliza menziarah Kamsah yang uzur di Kampung Medan Jaya, Rusila, Marang.

Kamsah antara enam penduduk uzur menerima kunjungan To’ Puan Norliza bersama 40 rombongan lain, termasuk wakil Jabatan Kebajikan Masyarkat, Wanita Umno Bahagian dan Puteri Umno.

Kunjungan mesra rakyat itu adalah sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang. Lawatan sama bakal dilaksanakan di kawasan lain secara bulanan.

Warga emas Hajjah Esah Abu Bakar, 80, yang menghidapi penyakit darah tinggi berkata dia bagaikan tidak percaya kerana menerima kunjungan isteri pemimpin dan beberapa rakan seperjuangan lain.

Katanya, kunjungan ini memberi semangat bagi dirinya untuk lebih sihat dan dia akan mengingati hingga ke akhir hayat.

“Walaupun badan kurang sihat, saya masih mampu melakukan amal ibadat dan melakukan kerja yang tidak memerlukan kudrat,” kata Hajjah Esah yang memilki 17 cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suami Allahyarham Haji Abdullah Mohd.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Selasa, 5 Mei 2009

Projek ECER Mengikut Jadual

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Pelbagai projek termasuk dalam sektor pelancongan, pertanian, minyak dan gas serta pembuatan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjalan mengikut perancangan dengan sebahagian besarnya akan bermula menjelang akhir tahun ini.

Menerusi Rancangan Malaysia ke-9, sebanyak 44 projek dikenalpasti di bawah ECER untuk dijalankan di Terengganu melibatkan 33 projek dijalankan dalam negeri, manakala selebihnya projek antara sempadan membabitkan negeri jiran.

Daripada jumlah itu, 21 projek dimulakan pada tahun lalu, sementara 11 projek akan dilaksanakan pada pertengahan tahun dan 10 projek lagi bermula akhir tahun ini serta dua projek akhir akan dilaksanakan awal tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Jawatankuasa Pelaksanaan ECER Peringkat Negeri Terengganu yang pertama kali bermesyuarat (tahun ini) membincangkan secara terperinci empat perkara utama, iaitu mengenai projek yang dirancang di bawah ECER Terengganu serta projek pertanian dan infrastruktur.



Katanya, perbincangan juga melibatkan satu kaedah bagaimana membangunkan tanah-tanah masyarakat Melayu dalam kawasan ECER serta penubuhan One Stop Center yang bertujuan mempercepatkan proses pengurusan pembangunan di bawah ECER.

“Mesyuarat pelaksanaan ini supaya kita dapat `monitor’ segala program yang dirancang di bawah ECER dan kita bermesyuarat sekurang-kurangnya setiap empat bulan bagi memastikan segala perancangan berjalan mengikut jadual,” katanya selepas merasmikan Pejabat ECERDC negeri Terengganu, di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, petang semalam (3 Mei).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John berkata kemudahan penyediaan infrastruktur di Terengganu telah dimulakan dan ECER sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi menarik pelabur.



Pegawai Majlis Pembangunan ECER dan pegawai kerajaan negeri baru kembali dari misi pelaburan di Eropah bersama pegawai negeri yang memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti pelancongan, pembuatan, industri halal, teknologi bio dan minyak, gas dan industri hiliran petrokimia yang mampu memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.

"Taman Plastik Kertih iaitu taman plastik bersepadu sepenuhnya pertama di negara ini, dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 2015 dengan menarik pelaburan bernilai RM2 bilion dan membuka lebih 7,000 peluang pekerjaan," katanya.

Dalam sektor pembuatan, Kemaman akan dibangunkan sebagai taman industri berat Terengganu dengan mewujudkan kemudahan bersepadu termasuk kawasan khusus untuk pembuatan, industri membina dan membaiki bot, zon perdagangan bebas dan Jambatan Bukit Kuang yang baru bagi memudahkan perhubungan.

ECER juga menggunakan sebuah ladang sebagai model bagi program pertanian yang meliputi penyemaian benih sehingga ke tahap penanaman, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk bagi pasaran tempatan dan antarabangsa, katanya.

Datuk Issac John berkata, ECER sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk menganjurkan seminar dan latihan bagi meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam pelbagai inisiatif komersial dan perindustrian.

"Antara inistiatif yang digaris pada tahun ini termasuk kerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad bagi memperkenalkan program pembangunan francais bagi melahirkan sekurang-kurangnya 50 pemegang francais di Terengganu dengan kumpulan sasaran adalah para graduan, golongan muda dan wanita," katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

EECMI Terus Sokong Kerajaan Negeri

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Toh mengadakan pertemuan dengan Hugh W.Thompson (dua dari kiri) serta rombongan di pejabat beliau di Wisma Darul Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan negeri mengalu-alukan kesediaan Exxonmobil Exploration Corporation Malaysia Incorporated (EECMI) yang akan terus memberi sokongan bagi melaksanakan beberapa program pembangunan dan penyelidikan di negeri ini.

Selaras dengan visi korporat EECMI sebagai satu tanggungjawab sosial dalam menjalankan kajian mengenai alam sekitar, pembangunan modal insan dan pendidikan selain pembangunan di bawah ECER.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw, ketika ditemui di pejabatnya selepas menerima kunjungan Pengerusi EECMI yang baru Encik Hugh W. Thompson, hari ini (4 Mei).

“Kesediaan mereka untuk terus memberi sokongan dalam dua aspek ini akan membantu kerajaan negeri dalam memastikan kelancaran program di bawah ECER, selain meneruskan kerja-kerja pengeluaran minyak di perairan Terengganu untuk tempoh 30 tahun lagi,” katanya.

Tanggungjawab sosial EECMI termasuk memberi bantuan dan geran untuk penyelidikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta program memantapkan penggunaan bahasa Inggeris di negeri ini.

YB Toh berkata, kerajaan akan memastikan hubungan ini akan berterusan dan meningkatkan kerjasama serta memberi menafaat kepada rakyat di negeri ini.

Pada masa yang sama, beliau juga menaruh keyakinan EECMI lebih berpengalaman dan pakar pakar dan bidang tertentu termasuk membabitkan kajian dan penyelidikan bagi membangunkan ekonomi negeri.

Katanya, biarpun operasi EECMI telah bertukar ke Kuala Lumpur tetapi agensi itu tetap memainkan peranan khususnya dalam kajian alam sekitar yang mampu memperkenalkan negeri ini kepada pelabur luar.

“Kerjasama yang terjalin ini memberi banyak kelebihan kepada kita, kerana EECMI mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat serta hubungan dengan banyak negara,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.