Khamis, 23 April 2009

Tak Akan Lupa Jasa Kerajaan – Mangsa ribut

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (tengah) melihat keadaan rumah yang terkena ribut di Kampung Penarik, Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


“Alhamdulillah..Saya bersyukur dengan pemberian ini. Inilah kerajaan yang ambik berat dan cakna kepada rakyat yang dalam kesusahan.

“Saya tidak akan lupa jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan akan terus menyokong pemimpin hari ini kerana sanggup membantu tanpa mengira tempat dan masa,” kata Shukri Sood, 50, mangsa ribut di Kampung Penarek, Setiu, hari ini (21 April).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said melawat dan menghulurkan sendiri bantuan berupa keperluan dapur dan wang tunai bagi meringankan beban kira-kira 20 mangsa ribut di kawasan itu, hari ini (21 April).

Kira-kira 40 rumah penduduk sekitar Penarek mengalami kerosakan terutama pada bumbung akibat ribut yang melanda kawasan itu, kira-kira jam 4 petang.

Ada di kalangan mangsa ribut berkenaan turut mendapat kelulusan segera daripada kerajaan negeri bagi membaiki rumah dan membina rumah baru berikutan keadaan rumah yang uzur dan tidak selamat apabila berlaku ribut.

Dalam lawatan singkat itu, Dato’ Ahmad turut melawat rumah penduduk miskin selain menemui rakan lama beliau, Wan Mansor Mohamad, 71, yang sedang uzur.


Dato' Ahmad bersama Datuk Mohd Jidin turut meninjau beberapa rumah uzur di Setiu.

Sementara seorang lagi mangsa ribut, Aminudin Nawi yang bertugas sebagai penjawat awam turut terkejut apabila menerima kunjungan Menteri Besar yang meninjau keadaan rumahnya.

Aminudin menyifatkan tindakan pemimpin negeri yang sanggup berjalan jauh bagi melawat rumah mangsa ribut sekitar kampung itu sesuatu yang jarang dibuat pemimpin lain dan membuktikan kerajaan BN yang prihatin dengan kebajikan rakyat.

Seorang surirumah, Nurul Ayuni Mohamad, 31, juga gembira dengan perkembangan itu apabila rumah keluarganya yang turut rosak akibat ribut akan segera diperbaiki.

“Saya sudah berkeluarga dan tinggal di kampung lain. Selepas mendapat berita mengenai kejadian ini saya bergegas pulang untuk melihat keadaan sebenar bagaimanapun mujurlah tiada berlaku kemalangan nyawa.


Mangsa ribut mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri.

“Kami sekeluarga juga tidak tahu Menteri Besar akan datang dan beri bantuan. Terima kasih kepada yang membantu,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan