Memaparkan catatan dengan label cakna rakyat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cakna rakyat. Papar semua catatan

Ahad, 11 Januari 2009

Kerajaan BN Terbukti Bela Nasib Rakyat

Oleh:Aida Abd Rahman


Dato' Seri Mohd Najib dan Dato' Sri Dr Ng Yen Yen membantu mengenakan talipinggang kepada seorang kanak-kanak cacat sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad pada majlis perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan sebarang label dalam menjaga kebajikan rakyat kerana sudah terbukti sentiasa membela nasib rakyat berbanding pembangkang yang hanya mampu melabelkan mereka memperjuangkan `negara kebajikan’.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata kerajaan BN menjadi pembela, menjaga kepentingan dan memberi pertolongan setiap detik kepada rakyat sejak lahir sehingga ke liang lahad lagi.

“Tak payah melabelkan negara kita..Ada pihak kata bahawa dia nak memperjuangkan negara kebajikan. Dalam pilihan raya yang lalu pun, mula-mula dia main isu hukum hudud.

“Dia ada kawan baru, senyap..Timbul pulak negara kebajikan, kalau menang nak jadi negara kebajikan,” kata beliau ketika merasmikan Program Cakna Rakyat, di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam, Kuala Terengganu, hari ini (11 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad said; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Noriah Kasnon.


Orang ramai yang hadir pada perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan BN dapat melaksanakan segala program kebajikan untuk rakyat dengan kemampuan kewangan dan ekonomi negara yang kukuh.

Katanya, hasil pengurusan kewangan yang baik dan kukuh membolehkan pendapatan dan hasil kerajaan bertambah. Daripada situ, bukan sahaja boleh melaksanakan program sebagaimana cakna rakyat, tetapi juga mampu kembalikan hak royalti minyak kepadarakyat Terengganu.


Dato' Seri Mohd Najib menyampaikan bantuan kepada seorang penerima sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad pada majlis perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

“Jadi inilah usaha-usaha kita dan InsyaAllah dengan usaha-usaha ini bila kita nak sebut basmi kemiskinan tegar menjelang 2010 melalui program memperluaskan jaringan keselamatan sosial ini. InsyaAllah dengan usaha ini kita boleh menghapuskan kemiskinan tegar dalam negara,” katanya.


Dato' Seri Mohd Najib membantu seorang wanita uzur menggunakan kerusi roda untuk naik ke Klinik Bergerak LPPKN pada majlis perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu juga, Dato’ Seri Mohd Najib berkata, Program Cari-cari yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengenalpasti rakyat yang kurang bernasib baik termasuk miskin, cacat dan kurang upaya menunjukkan pertambahan daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000 isi rumah yang perlu diberi perhatian dan bantuan.

Isnin, 5 Januari 2009

Pemimpin Cakna Keperluan Rakyat

Oleh: Esah Abdullah

Rakyat Terengganu boleh berbangga mempunyai pemimpin seperti Dato’ Wan Ahmad Farid yang sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan rakyat dan mendengar rintihan masyarakat.

“Dia calon terbaik menggantikan Allahyarham Dato’ Razali yang begitu disenangi oleh semua golongan,” kata Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek di Majlis Penyerahan Komputer Kepada Komuniti Bestari Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu petang, semalam (4 Januari).

Katanya, penduduk dalam Parlimen Kuala Terengganu perlu pilih Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan kesinambungan tugas pemimpin terdahulu dan untuk kesejahteraan semua kaum.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Abdullah Morad.

Dato’ Ahmad Shabery berkata, perlunya ada kelompok masyarakat yang bestari sebagai peneraju maklumat komuniti akar umbi yang bermaklumat dan bijaksana sejajar dengan wawasan negara.

“Masyarakat bestari tidak sekadar bergantung kepada pembinaan prasarana yang bagus-bagus serta pembangunan lainnya tetapi golongan masyarakat cakna dan berpengetahuan,” katanya.

“Sebagai ahli masyarakat perlu pastikan tidak ada kalangan kita yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat dan sentiasa ambil peduli suasana keliling,” katanya.

Katanya, setiap pusat komuniti menerima RM16,000 setahun atau RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan pentadbiran dan aktiviti kemasyarakatan yang boleh memberi kebaikan kepada masyarakat sekeliling.

Dalam majlis itu, sebanyak 23 unit Komuniti Bestari dalam daerah Kuala Terengganu menerima satu set komputer untuk kemudahan penyebaran maklumat serta kegiatan lainnya.

Unit Komunikasi Negeri