Isnin, 21 Februari 2011

Usaha Cari Gali Artifak Di Gua Bewah Diteruskan

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Usaha mencari gali bahan-bahan sejarah di kawasan Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Lebih banyak artifak berharga dijangka bakal ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir, apabila usaha mencari gali bahan-bahan sejarah di kawasan tersebut diteruskan tidak lama lagi.

Usaha mencari gali artifak di kawasan tersebut yang diuruskan pakar pengkaji bahan-bahan sejarah, merupakan kesinambungan kerja-kerja mencari gali yang dilakukan pada tahun 2009.

Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran Perbadanan Muzium Negeri Terengganu, Mohd Saberi Muda, berkata pihaknya yakin Gua Bewah menyimpan banyak khazanah berharga berdasarkan hasil penemuan usaha cari gali di kawasan itu yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, pada pencarian yang dilakukan dua tahun lalu muzium itu berjaya menemui pelbagai bahan sejarah, termasuk satu rangka manusia yang dipercayai berusia 11,000 tahun.



Penemuan itu berjaya menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahamd Said, yang turut melawat kawasan berkenaan bersama-sama pegawai kanan kerajaan dan Pengarah Muzium negeri, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Mohd Saberi berkata, Gua Bewah merupakan batu kapur yang menjadi penempatan terawal manusia zaman pra-sejarah di negara ini.

Sebanyak 613 artifak ditemuki hasil kerja mencari gali di kawasan tersebut yang dimulakan pada 2009 hingga tahun lepas.

Kerajaan negeri mahu mengekalkan artifak manusia kuno itu di Gua Bewah sebagai daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir, khususnya di kalangan pencinta sejarah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan