Selasa, 24 Februari 2009

Rombongan MB Berlepas Ke Tanah Suci

Oleh: Suriati Ali


MOHON RESTU...Menteri Besar, isteri dan rombongan menadah doa sebelum memulakan perjalanan ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan umrah. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Suasana ceria bercampur sedih menyelubungi perasaan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika bersalaman sambil bertanya khabar saudara dan kenalan, sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah, hari ini (19 Februari).

Beliau bersama 39 Jawatankuasa Petugas Operasi Haji Musim 1429 Hijrah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 10.15 pagi.

Jawatankuasa itu terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemimpin masyarakat yang ditawar mengerjakan umrah bagi menghargai perkhidmatan mereka menguruskan jemaah haji tahun lalu.

Mereka yang merupakan kumpulan pertama diberi penghargaan itu, sebelum ini menguruskan sembilan penerbangan jemaah haji menaiki pesawat Boieng 747-400 secara terus dari LTSM ke Mekah.

Turut sama menunaikan umrah, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat serta Timbalannya Haji Muhammad Ramli Nuh.

Rombongan itu juga disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Adzlan Mohd Dagang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Mat Razali Kassim; Ketua Imam Masjid Negeri, Encik Aizi Saidi Abdul Aziz dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar berkata,beliau dan rombongan akan berada di Tanah Suci selama tujuh hari dan kembali ke tanah air pada 27 Februari depan.

“Sepanjang peninggalan diharapkan tiada musibah dan perkara buruk berlaku di Terengganu terutama membabitkan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan cemerlang jawatankuasa berkenaan menguruskan jemaah haji tahun lalu, kerajaan negeri menawarkan pakej umrah kepada mereka.

“Oleh itu, diharapkan mereka bersyukur dan menghargai peluang yang diberikan kerana pakej seumpama ini mungkin tiada di negeri lain,” katanya.

Sebelum memasuki balai berlepas, Ketua Imam Negeri membacakan doa selamat pergi dan pulang kepada rombongan.

Unit Komunikasi Negeri

Pelancong Tasik Kenyir Meningkat Sekali Ganda 2009

Oleh: Aida Abd Rahman


Peserta kursus Pengendalian Bot Pelancong anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri bergambar selepas majlis penutup kursus itu di Pulau Petang, Tasik Kenyir. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Jumlah pelancong ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 2009 dijangka meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu apabila lima taman utama menerusi Kenyir Island Hoping (KIH) siap sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Pada tahun lalu, jumlah pelancong yang memasuki Tasik Kenyir secara berdaftar menerusi Pengkalan Gawi berjumlah 133,000 orang.

Timbalan Pengurus Besar Operasi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Haji Wan Mat Amin Wan Daud, berkata perkembangan kunjungan pelancong ke Tasik Kenyir amat positif kerana dalam tempoh tidak sampai dua bulan tahun ini, jumlahnya sudah mencapai 20,000 orang.

“Kita jangka apabila siapnya KIH yang dibangunkan di sepuluh pulau di Tasik Kenyir dengan lima taman utama nanti pastinya mampu menarik lebih ramai pelawat dan dijangka meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.

“Kita (Ketengah) telah bentang (kertas kerja KIH) kepada YAB (Menteri Besar) dalam Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri yang dipengerusi YAB sendiri pada tahun lepas dan telah dipersetujui akan dilaksanakan,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sijil kepada 40 peserta kursus pengendalian bot pelancong, di Pulau Petang, Tasik Kenyir, hari ini (19 Februari).

Hadir sama, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

KIH akan menempatkan lima taman utama - Taman Ekopark, Taman Rama-rama, Taman Buah-buahan, Taman Burung dan Taman Orkid.

Pada asasnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta untuk membangunkan KIH, yang mana Ketengah dipertanggungjawabkan memantau program itu dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen).

“Beberapa siri mesyuarat sudah selesai dijalankan dan dua projek yang akan bermula dalam masa terdekat.Yang pertama, Taman Burung sudah peringkat akhir dan dijangka akan dibangunkan tidak lama lagi,” katanya.

Manakala projek kedua, Taman Buah-buahan yang diselaraskan bersama Mardi, akan dibentangkan kepada kerajaan negeri sebelum dilaksanakan.

Pembangunan tiga taman lain akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sementara itu, Encik Ahmad Fathil berkata, Kementerian Pelancongan memperuntukkan RM5.98 juta untuk eko pelancongan di Tasik Kenyir melibatkan pelbagai penganjuran acara dan juga latihan kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pelancongan negeri.

“MTPN dengan kerjasama jabatan dan penggiat pelancongan negeri berusaha serta menjalinkan kerjasama padu bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan utama negara,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Cadang Wujud UiTM Kampus Baru

Oleh: Esah Abdullah


YB Ahmad Razif melawat gerai pameran selepas merasmikan Edu-Care 2009 di UMT. - Foto Ihsan SINAR HARIAN

Cadangan mewujudkan sebuah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Kuala Nerus antara usaha kerajaan untuk mengimbangi pembangunan pendidikan di Terengganu Utara.

“Kawasan seluas 100 ekar telah dikenal pasti di Sungai Ikan, Tepoh dan berharap ianya mendapat persetujuan daripada kementerian,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman pada sidang media, selepas merasmikan Ekspo Pendidikan dan Latihan Kerjaya (edu-care 2009) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (19 Februari).

“Perundingan antara Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengenai dua perkara berkaitan kampus UiTM mendapat keputusan yang positif,” katanya.

Katanya, pembinaan UiTM kampus Bukit Besi yang tergendala kerana kos menimbus tanah yang tinggi, akan diteruskan dan usaha mewujudkan sebuah lagi cawangan kampus UiTM dalam Parlimen Kuala Nerus turut mendapat komitmen daripada kementerian.

“Usaha mewujudkan satu lagi Kolej Komuniti di kawasan Terengganu Utara turut menjadi fokus kerajaan kerana kebanyakkan penuntut di kolej datangnya daripada penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.

Katanya, kerajaan berpendapat perlu ada keseimbangan dari segi pembangunan pendidikan antara daerah-daerah yang selama ini banyak tertumpu dalam kawasan bandar Kuala Terengganu sahaja.

“Pendidikan adalah agenda utama kerajaan negeri dan hanya ilmu pendidikan mampu merubah masyarakat disamping mampu memberi sumber ekonomi kepada penduduk tempatan,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri.

Isnin, 23 Februari 2009

SIARAN AKHBAR - 23/02/2009

KENYATAAN AKHBAR MAJLIS PENASIHAT SANTUARI PENYU NEGERI TERENGGANU OLEH Y.B DATO’ PENGERUSI MAJLIS PENASIHAT SANTUARI PENYU NEGERI (Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu)

1. Majlis Penasihat Santuari Penyu Negeri Terengganu telah bermesyuarat kali pertama bagi tahun ini pada 9 Februari 2009. Majlis ini bertanggungjawab bagi segala bentuk perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan penyu di Negeri Terengganu Darul Iman.
2. Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah agensi utama yang melaksanakan aktiviti pemuliharaan Penyu dan Tuntung Laut, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pula terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan Tuntung Sungai. WWF-Malaysia pula terlibat dengan aktiviti penyelidikan dan pendidikan.
3. Beberapa kaedah seperti system pajakan dan mengupah pekerja bagi satu kawasan yang diseliakan sepenuh masa oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah dilaksanakan. Menurut laporan, pendaratan Penyu Belimbing telah meningkat pada tahun 2008 iaitu sebanyak 9 sarang telah Berjaya direkodkan dan sebanyak 419 biji telur Penyu Belimbing telah dieramkan di Pusat Penerangan Penyu Rantau Abang.
4. Pengurusan penyu di Negeri Terengganu mempunyai lima objektif yang dilaksanakan. Objektif-objektif tersebut adalah melibatkan pengurusan pantai penyu, pemantauan populasi, penetasan dan pelepasan, kawal selia dan penguatkuasaan, penyelidikan dan pendidikan dan kesedaran awam.
5. Pada tahun 2008, pihak Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM112,000.00 bagi peruntukan mengurus dan pembangunan. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM636,000.00. Antara kerja-kerja yang dilaksanakan adalah membuat kerja-kerja persiapan poster penyu di Pusat Penerangan Penyu Rantau Abang, pembayaran gaji pekerja mengikut kawasan pembelian telur penyu, pembinaan 2 buah bangunan pelawat dan informasi di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah Kerteh, peningkatan bahan pameran, kelengkapan projek penetasan, pembelian alatan, kemudahan asas pusat penetasan dan lain-lain yang melancarkan program tersebut.
6. Dari sejumlah 35 kawasan pajakan, seramai 13 orang pemajak telah menender kawasan-kawasan pajakan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dan selebihnya Kerajaan Negeri telah menyerahkan kepada Jabatan Perikanan bagi tujuan pemantauan dan pengawasan.
7. Pada tahun 2008, sebanyak 12 pantai penyu telah direzabkan kepada Jabatan Perikanan untuk pengurusan dan pemuliharaan. Daripada jumlah ini, hanya kawasan pantai penyu Rantau Abang dan Ma’Daerah sahaja telah diwartakan secara perundangan sebagai Santuari Penyu. Walau bagaimana pun, setiap pemajak hendaklah menyerahkan kesemua telur Penyu Belimbing kepada Jabatan Perikanan Negeri.
8. Menurut laporan, pendaratan Penyu Belimbing dan Penyu Agar bagi semua kawasan pajakan dan rezab bagi seluruh Negeri pada tahun 2008 sehingga 31.12.2008 iaitu bilangan pendaratan Penyu Belimbing sebanyak 9 pendaratan, Penyu Agar 2,023 pendaratan (tidak termasuk kawasan Chagar Hutang, Pulau Redang) Penyu Karah 4 dan Tuntung Laut sebanyak 245 pendaratan.
9. Menurut laporan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, 38 ekor penyu dan 2 ekor tuntung laut telah mati pada tahun 2008. Sumber ini telah diperolehi daripada aduan orang awam dan kakitangan jabatan. Punca kematian penyu adalah disebabkan oleh penggunaan peralatan menangkap ikan dan pukat pari. Kawasan paling tinggi mencatat kematian penyu adalah Daerah Setiu, Kuala Terengganu, Kerteh dan Kemaman.
10. Program penetasan dan pelepasan adalah program berterusan yang telah dijalankan oleh Jabatan Perikanan sejak tahun 1960 bagi menghasilkan peratus penetasan yang baik. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengeramkan telur penyu dan Tuntung Laut adalahi dengan kadar lebih selamat tetapi bukan kawasan hatchery ) dan dipindahkan ke kawasan lain yang lebih selamat tetapi bukan kawasan hatchery ) dan dalam kotak styrofoam (bagi pendaratan luar musim dan pendaratan di kawasan-kawasan terpencil).
11. Bekalan telur-telur penyu juga didapati daripada pemajak-pemajak luar musim. Sebanyak RM2,688.10 telah dibelanjakan bagi tujuan pembelian telur. Harga baru pembelian telur penyu yang ditawarkan oleh Jabatan Perikanan pada tahun 2009 adalah ditetapkan pada RM5.00 sebiji bagi telur Penyu Belimbing, RM4.00 sebiji bagi telur Penyu Karah dan Lipas manaka telur Penyu Agar dan Tuntung Laut akan dibeli dengan kadar RM2.00 sebiji. Tujuan harga bayaran telur penyu ini ditingkatkan adalah untuk menggalakkan lebih ramai pemajak menjual telur tersebut kepada pihak Jabatan Perikanan bagi tujuan pemuliharaan.
12. Aktiviti kawal selia dan kerjasama di antara pemajak, orang perseorangan, NGO dan Unit Penguatkuasaan, Pejabat Perikanan Negeri Terengganu untuk mengawal kawasan pantai dan perairan pantai penyu b ertelur di Negeri Terengganu masih lagi diteruskan. Selain itu, beberapa pameran beserta program publisiti untuk mengenal penyu bagi mendidik dan menyebarkan pengetahuan mengenai pemuliharaannya telah dilaksana pada tahun 2008.
13. Sepanjang tahun 2008, seramai 8,116 orang pengunjung telah melawat Pusat Penerangan Penyu, Rantau Abang. Seramai 2,763 orang terlibat dengan lawatan bertaklimat yang terdiri daripada pelbagai intitusi dan agensi seperti institut pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan swasta. Manakala selebihnya merupakan pelawat harian ke Pusat Penerangan Penyu Rantau Abang. Sementara itu, lawatan VIP pula melibatkan 20 orang sempena lawatan British High Commissioner ke Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah dan 300 orang sempena pelancaran SOP penyu di Pusat Penerangan Penyu, Rantau Abang.
14. Pada tahun 2008, pihak Jabatan telah bekerjasama dengan beberapa agensi dan organisasi untuk mengadakan Kem Kesedaran di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah, Kemaman dan Mak Kepit, Pulau Redang. Peserta yang terlibat terdiri dari dalam dan luar Negeri Terengganu. Manakala program kesedaran bersama nelayan telah dilaksanakan di Pejabat Perikanan Daerah Kemaman. Objektif kem kesedaran ini adalah untuk member i penerangan dan penjelasan mengenai biologi, populasi dan masalah yang dihadapi penyu serta usaha-usaha pengurusan dan pemuliharaan penyu.
15. Masalah dan isu yang sering timbul dalam menangani kepupusan penyu adalah disebabkan oleh tahap kesedaran yang rendah di kalangan orang awam khususnya penduduk tempatan, pembangunan yang tidak terkawal khususnya di kawasan pantai pendaratan penyu, pencemaran di kawasan perairan (laut) dan pantai pendaratan penyu, ketidakseimbangan system ekologi hidupan marin. Justeru, masalah kekurangan pendaratan penyu dan kes kecurian telur penyu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Rabu, 18 Februari 2009

SIARAN AKHBAR 18/02/2009

KURSUS MENINGKATKAN PRESTASI DAN INTEGRITI 6,500 KAKITANGAN AWAM

KUALA TERENGGANU, 18 FEB: Kerajaan Negeri Terengganu akan menghantar kesemua 6,500 kakitangannya untuk mengikuti kursus pupuk semangat secara berperingkat sebagai usaha meningkatkan prestasi dan integriti.

Kursus ini akan dimulakan sebaik sahaja kerja-kerja menaik taraf Pusat Pupuk Semangat di Telok Kalong, Kemaman siap pada pertengahan tahun ini.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said berkata selain melalui latihan kerohanian, peserta kursus akan menjalani latihan fizikal yang bertujuan untuk meningkatkan daya ketahanan diri dan membina semangat kerja berpasukan.

“Elemen yang paling penting adalah untuk menyerapkan semangat setiakawan dalam organisasi atau jabatan masing-masing serta mempertingkatkan integriti kakitangan kerajaan di semua peringkat.

“Kita juga berharap dapat menanam semangat sayangkan organisasi (sense of belonging) dan pembina jalinan (networking) kerjasama yang lebih efektif antara jabatan,” katanya.

Di Pusat Pupuk Semangat ini juga peserta kursus yang beragama Islam akan bersolat jemaah bila tiba solat Fardhu lima waktu.

“Selain di Mekah, peserta di Pusat Pupuk Semangat akan dapat melakukan solat berjemaah berturut-turut selama 40 hari. Ini adalah ciri-ciri solat yang membentuk persefahaman dan kesatuan di mana niat dan tujuan adalah sama,” katanya.

Kursus yang akan memakan masa antara dua minggu hingga satu bulan ini juga akan memberi penekanan kepada disiplin dan peserta diwajibkan mengikuti program motivasi yang akan dikendalikan oleh pakar-pakar motivasi.

Dato’ Ahmad berkata setiap peserta akan dinilai prestasi dan komitmen oleh jurulatih. Peserta yang cemerlang dan menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang tinggi akan menerima penghargaan di akhir setiap sesi.

“Prestasi mereka yang cemerlang akan dipantau dan jika kekal cemerlang, ini akan dijadikan salah satu pertimbangan KPI (key performance indicator) untuk kenaikan merit atau kenaikan pangkat atau pun Gred,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata prestasi kakitangan awam perlu unggul kerana mereka bukan sahaja akan dinilai oleh rakan di pejabat atau ketua-ketua jabatan masing-masing, tetapi oleh rakyat.

“Jika kita efisyen, rakyat akan menilainya. Oleh itu, pentadbiran Kerajaan Negeri tiada ruang untuk mereka yang berkerja hanya sekadar untuk makan gaji atau menjadi penumbang dalam pentadbiran.

“Di zaman yang amat mencabar ini, kita perlu berfikir serta bertindak untuk membantu membangunkan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

“Ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan,” katanya.




Disediakan oleh :
Bahagian Perhubungan Awam dan Seranta
Unit Komunikasi Negeri Terengganu
18 Februari 2009

Isnin, 16 Februari 2009

Kerajaan Negeri Tawar Bantuan Kaji Pokok Herba

Oleh: Esah Abdullah


MENTERAI...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (belakang kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara UDM dengan ECERDC di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri sedia menawarkan bantuan kepada universiti tempatan untuk membuat kajian R&D terhadap pokok-pokok herba yang banyak terdapat di negeri ini.

“Sebenarnya bumi Terengganu ada 3,000 jenis pokok herba yang telah dikenal pasti,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika merasmikan seminar Persijilan Halal dan Pendaftaran Produk Herba di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (16 Februari).

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Prof Dato’ Dr Alias Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jabasingam Issace John dan Naib-Naib Canselor Universiti Malaysia (UM) Terengganu, UM Kelantan dan UM Pahang.

Dato’ Ahmad berkata, mungkin lebih banyak lagi pokok herba masih belum diketengahkan termasuk pokok celaka, lampin budak dan ubi gadong yang isinya boleh dimakan tapi daunnya mengandungi sejenis racun.

“Saya percaya pihak universiti boleh buat kajian terhadap perkara ini dan tidak mustahil suatu hari nanti kita juga boleh menjadi seperti negara China dan Korea yang popular dengan produk herbanya,” katanya.

Katanya, bila melawat China kita akan dibawa melawat kedai herba tradisi mereka seperti ginseng dan begitu juga kalau kita berkunjung ke Korea perkara sama mereka lakukan.

“Mengapa kita tidak lakukan perkara yang serupa, kita bawa pelancong luar yang berkunjung ke negeri ini ke kedai-kedai ubatan tradisi kita dan mencuba ubatan yang dikeluarkan masyarakat tempatan,” katanya.

Menteri Besar berkata, produk halal mempunyai permintaan yang tinggi dan terdapat 1.3 billion umat Islam seluruh dunia memerlukan pasaran produk halal ini, malah orang bukan Islam turut berminat menggunakan bahan produk halal.

“Kita perlu menerokai bidang ini dan merebut peluang untuk menjana pendapatan ekonomi rakyat, sekaligus memasuki pasaran dunia,” katanya.

Beliau kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara UDM yang diwakili Prof Dato’ Dr Alias Daud dengan ECERDC yang diwakili Dato’ Jabasingam Issace John.


Unit Komunikasi Negeri.

Ramli Fokus Program Masyarakat

Oleh: Farezul Fadzal




Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh kini akan memberi lebih fokus kepada program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk kampung secara langsung.

Justeru itu, beliau bercadang untuk bertemu dengan setiap ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui program yang akan disusun dalam masa terdekat.

Beliau berpendapat langkah itu mampu menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan apabila bertemu muka dengan JKKK dengan lebih kerap.

Langkah itu juga secara tidak langsung mendekatkan wakil rakyat dengan penduduk setempat, seterusnya mendapatkan maklum balas dari mereka mengenai permasalahan yang dihadapi secara terus.

“Saya juga akan menggalakkan pihak JKKK di kawasan terlibat agar mengadakan aktiviti di kawasan masing-masing dengan penyertaan penduduk setempat seterusnya dapat merapatkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui wartawan GanuKita di pejabatnya, di DUN Tepoh, baru-baru ini.

Jelasnya, sebagai wakil rakyat, walaupun dibebani pelbagai tugas di pejabat, wakil rakyat mesti mendekatkan diri kepada penduduk walau apa cara sekali pun.

“Nak tak nak, mesti kena turun padang, jumpa penduduk, dah jadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat,” ujarnya.



Menyentuh mengenai bantuan yang diterima penduduk di kawasan Tepoh, Ramli berkata, pihaknya baru sahaja selesai mengagihkan bantuan atap kepada penduduk kampung yang layak.



“Berdasarkan kepada kos yang dibuat, hampir 50 buah rumah menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga telah menyerahkan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menambah bantuan kepada mangsa banjir di DUN Tepoh yang berlaku baru-baru ini.

“Kita harap pihak terlibat memandang serius isu itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, DUN Tepoh kini mengalami pertumbuhan pesat ekoran pembangunan rancak di kawasan tersebut yang telah dilaksanakan pihak kerajaan.

“Banyak projek perumahan kini wujud di DUN ini, termasuk perumahan awam dan swasta,” ujarnya.



Antara perumahan swasta yang telah wujud termasuk Taman Perumahan Wakaf Tengah, Perumahan Alur Jambu, Perumahan Gong Badak Empat, Perumahan Gong Badak Tiga dan Perumahan Wakaf Tembesu manakala bagi perumahan awam pula terdapat di Padang Air dan Tok Jiring.

“Kira-kira tujuh projek perumahan baru dirancang di kawasan ini dan dua daripadanya sedang dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, projek perumahan untuk golongan miskin tidak dipinggirkan dan syarikat perbankan tempatan, Affin Bank Berhad melalui tugas tanggungjawab sosial kepada masyarakat (CSR) akan membina 45 buah rumah kos rendah di Kampung Padang Nenas.

Bagi projek tersebut, segala kemudahan infrastruktur telah pun disediakan termasuk jalan serta tanah dan hanya menunggu kontraktor terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan rumah tersebut.

“Projek itu adalah daripada wang zakat Affin Bank dan apabila siap kelak rumah tersebut akan ditadbir Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya.

Ramli yang lebih mesra dengan panggilan ustaz di kalangan penduduk juga menyatakan keperluan penduduk setempat di DUN Tepoh untuk mengadakan pelbagai program di tempat yang sempurna kini amat diperlukan.



Jika sebelum ini, program yang dianjurkan dilakukan di dewan yang disewa pihak penganjur, tetapi dengan kesediaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk membina dewan serbaguna amatlah dialu-alukan.

Dengan adanya usaha untuk membina dewan serbaguna di atas tapak pasar lama dekat sini mampu merealisasikan harapan dan keperluan penduduk yang kian mendesak.

Tambahnya, projek pembinaan dewan berkenaan akan dibuat tidak lama lagi memandangkan tender projek tersebut akan dibuka pada bulan Jun ini.

“Untuk projek itu, sebanyak RM1.7 juta disediakan dan apabila siap kelak, sudah tentu dapat memenuhi keperluan penduduk tempatan untuk menganjurkan pelbagai program dan rakyat akan dapat manfaat secara langsung,” katanya.

DUN Tepoh kini mempunyai kepadatan penduduk hampir 70,000 dan mempunyai taburan penduduk yang melakukan pelbagai pekerjaan.

Dengan adanya institusi pengajian tinggi awam di kawasan berkenaan, golongan professional yang tinggal di DUN tersebut menjadikan lokasi berkenaan didiami pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita dah ada golongan nelayan, petani, kaki tangan kerajaan, swasta, usahawan malahan golongan professional menjadikan DUN Tepoh semakin kompleks,” katanya.

Jika kerajaan negeri sebelum ini berhasrat mewujudkan daerah baru di Kuala Nerus, ianya menjadi langkah yang tepat dan wajar direalisasikan.

“Apabila wujudnya daerah baru, segala kemudahan baru seperti pejabat daerah, pejabat kesihatan, pejabat tanah dan banyak lagi kemudahan akan dinikmati oleh penduduk di sini,” jelasnya.

Katanya, langkah tersebut dilihat wajar memandangkan Kuala Nerus kini dilengkapi dengan pelbagai prasarana serta taburan penduduk yang kian meningkat.

“Dengan wujudnya daerah baru, kemudahan dan perkhidmatan untuk penduduk di Parlimen Kuala Nerus akan bertambah baik,” katanya.

Ahad, 15 Februari 2009

Firefly Pacu Industri Minyak dan Pelancongan Terengganu

Oleh: AIDA ABD RAHMAN


Pesawat Firefly mendarat di Lapangan Terbang Kerteh. -Foto SHUHAIMI AHMAD

Penerbangan dua hala `Firefly’ dari Kerteh – Subang menjadi platform bagi memacu industri pelaburan berasaskan minyak dan gas serta pelancongan di Terengganu.

Perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penerbangan komuniti pertama negara, Firefly (Sdn Bhd) dua kali sehari mulai Isnin hingga Khamis mampu menjimatkan masa kakitangan perindustrian di sekitar Kemaman dan pengguna yang tinggal berhampiran Lapangan Terbang Kerteh untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Malah, Firefly dengan kerjasama Kerajaan Negeri juga sedang berusaha meluaskan rangkaiannya dengan mengadakan penerbangan terus Kuala Terengganu –Singapura menjelang Jun depan.


Dato' Ahmad menyambut penumpang Firefly pada majlis pelancaran penerbangan Firefly ke Kerteh dari Subang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata usaha Firefly menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran terutama di sekitar Kemaman dan Dungun mampu memacu industri minyak dan gas di Terengganu.

“Firefly yang membawa kira-kira 70 penumpang dalam penerbangan pertama ke Kerteh pada 12 Februari lalu juga dapat meningkatkan sektor pelancongan negeri pada masa depan serta menjadi tulang belakang ekonomi,” kata beliau ketika melancarkan Penerbangan Firefly ke Kerteh, di Lapangan Terbang Kerteh, Kemaman, petang semalam (16 Februari).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman.

Dato' Ahmad berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan dalam negara serta asing untuk mengadakan penerbangan terus ke Kuala Terengganu, termasuk mengecualikan bayaran pendaratan, bayaran parkir dan cukai lapangan terbang.


Dato' Ahmad berbual dengan juruterbang pesawat Firefly pada penerbangan pertama pesawat itu ke Kerteh dari Subang.


Dalam pada itu, laluan terbaru yang pertama ditawarkan oleh Firefly itu menjadikan penawaran dua destinasi ke Terengganu termasuk Kuala Terengganu-Subang yang bermula April 2007 lalu.

Pengarah Urusannya, Eddy Leong berkata, laluan baru ini merupakan komitmen berterusan Firefly menambah rangkaian serta menyediakan penerbangan alternatif dan murah kepada orang ramai.

''Objektif utama kami adalah menyediakan pengangkutan alternatif keluar masuk Kerteh yang lebih ekonomik dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

''Selain itu, laluan Kerteh ini dapat memudahkan orang ramai pergi bercuti kerana terdapat destinasi pelancongan terkenal di kawasan berhampiran seperti Kijal, Cherating, Teluk Gadung dan Pulau Tenggol yang terletak beberapa minit sahaja daripada Lapangan Terbang Kerteh,'' katanya.

Nilai terbaik tambang murah Firefly termasuk 20 kilogram (kg) bagasi dibenarkan untuk daftar masuk, tempat duduk yang ditetapkan selain makanan dan minuman ringan disediakan dalam pesawat termasuk pesawat baru ATR72-500.

UNIT KOMUNIKASI NEGERI


Tabung Kecemasan Bantu Nelayan

Oleh: Esah Abdullah




Kewujudan Tabung Kecemasan dan Kebajikan yang diumumkan baru-baru ini merupakan suatu rahmat kepada golongan nelayan di negeri ini sebagai pelindung ketika mereka ditimpa musibah.

Pengumuman RM1 juta dana permulaan bagi tujuan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada majlis perhimpunan dengan nelayan di Kompleks Pelabuhan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Chendering, Kuala Terengganu baru-baru ini.

“Kewujudan dana ini amat penting untuk membantu lebih 6,000 nelayan di seluruh negeri meliputi beberapa kemalangan seperti menghadapi kematian diri dan keluarga, bot tenggelam, rumah terbakar dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, melalui tabung itu kerajaan boleh membantu nelayan berkenaan di bawah kendalian LKIM dan ini merupakan satu lagi usaha kerajaan meringankan beban kehidupan nelayan dan kaedah bantuan akan ditentukan.

“Kerajaan sedar kerja sebagai nelayan sangat banyak dugaan dan cabaran jadi ada faktor-faktor di luar kawalan seperti cuaca buruk dan terpaksa mengharungi lautan yang boleh bertukar keadaan bila-bila masa sahaja,” katanya.

Berdasarkan kepada risiko inilah, katanya, amat sesuai diwujudkan satu tabung kecemasan dan kebajikan yang boleh membantu para nelayan ketika menghadapi kesusahan.

Katanya, kerajaan akan menambah peruntukan bagi tujuan itu pada bila-bila masa jika didapati tabungnya kekurangan wang dan dana RM1 juta ini hanya permulaan.

Selain tabung kecemasan, elaun sara hidup RM200 sebulan turut diberi kepada nelayan tulen yang berdaftar dengan LKIM untuk menambah pendapatan keluarga nelayan terutama pada musim hujan.



“Harga minyak diesel dijual lebih rendah kepada nelayan, bantuan insentif dan pampasan kerugian apabila ditimpa musibah serta pemberian input sehingga RM120,000 untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Katanya, kerajaan sanggup lakukan apa saja semata-mata untuk membela nasib golongan nelayan dan berharap mereka sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan keluarga.

Daftar Untuk Peroleh Keistimewan

Oleh: Suriati Ali



Sifat malu melampau dan kurangnya pengetahuan mengenai keistimewaan mendaftar menyebabkan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini tidak mendapat pembelaan dan hak yang sewajarnya.

Pendaftaran penting untuk memberi gambaran sebenar mengenai bilangan dan jenis kecacatan OKU selain memudahkan agensi yang dilantik merancang program serta menyediakan pelbagai kemudahan.

Jumlah OKU yang mendaftar di Terengganu adalah 14,608 dan angka itu bukan bilangan sebenar OKU di Terengganu.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, mengangarkan terdapat kira-kira 2,000 OKU pelbagai kategori masih belum mendaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Ashaari Idris, berkata pendaftaran penting bagi OKU bertujuan memudahkan kerajaan negeri merancang faedah dan kemudahan yang bakal disumbangkan.

Katanya, sekiranya ibu bapa OKU atau golongan itu sendiri mengasingkan diri, mereka tidak akan mendapat hak yang sewajarnya.

“Bagi mencapai hasrat untuk membantu golongan ini, kerajaan negeri menyeru kepada ibu bapa, saudara atau jiran supaya tampil untuk mendaftar mana-mana OKU yang belum berbuat demikian.

“OKU mendaftar bukan sahaja menerima pelbagai manfaat malah akan menjadi insan berkeyakinan dan bersemangat waja selepas melalui aktiviti yang dirancang,” katanya.

Ashaari berkata, bagi mencapai hasrat kempen, kerajaan melancarkan `Program Cari dan Dapat’ di mana pegawai yang dilantik mengelola program itu akan mengandakan usaha mencari OKU di seluruh daerah terutama kawasan pendalaman.

Katanya, bagi OKU yang mendaftar, mereka boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan sektor kerajaan dan swasta.

“Kemudahan itu termasuk bantuan alat tiruan dan sokongan; elaun pekerja cacat, penjaga pesakit yang terlantar, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), sekolah Pendidikan Khas dan OKU tidak mampu bekerja.

“Pendaftaran OKU adalah secara sukarela dan ia boleh dilakukan di mana-mana pejabat JKM dan PDK,” katanya.

Satu hati gambarkan sikap Malaysia

Oleh : Farezul Fadzal



Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata perasaan sedih rakyat terhadap apa yang berlaku di Palestin menggambarkan rakyat Malaysia bersatu hati dalam isu keganasan.

Walaupun berlainan bangsa dan agama, rakyat Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perbuatan Israel menyerang Palestin dan berharap serangan tersebut akan berakhir.

“Kita sama-sama rasa keganasan adalah satu jenayah yang mesti dihentikan dan dihapuskan. Semua (rakyat Malaysia) satu pandangan dan sikap menggambarkan sikap rakyat Malaysia dalam menentang keganasan,” katanya.

Dato’ Seri Abdullah berkata demikian selepas menunaikan solat Maghrib dan hajat bersama rakyat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, 15 Januari lalu.

Menurut Dato’ Abdullah, pada waktu ini rakyat Palestin sedang menghadapi kesusahan serta kesengsaraan akibat perbuatan rejim Zionis.

“Apa yang berlaku itu menyayat hati rakyat Malaysia dan seluruh dunia. Maka dengan itu, kita terpanggil dengan rasa sedih kita menunaikan solat hajat dan berdoa agar pihak penceroboh(Zionis) dapat berundur,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri menyumbangkan RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang disampaikan kepada Duta Palestin Ke Malaysia, Abd. Aleziz Aboughosn.

Majlis yang dimulakan dengan solat Maghrib diimamkan Timbalan Mufti Negeri, Imam Abd. Halim Awang dan disertai hampir 700 penduduk tempatan.

Industri Tembaga Terus Bertahan

Oleh: Farezul Fadzal


Sudah lebih 30 tahun Encik Suhaini melibatkan diri secara aktif dalam industri pembuatan tembaga.

Kemahirannya tidak dapat dinafikan lagi, walaupun usianya sudah mencecah 51 tahun, beliau tidak pernah berasa jemu untuk meneruskan pekerjaan itu walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan.

Ketika menceritakan perusahaan tembaga di Kampung Ladang, Kuala Terengganu suatu ketika tahun 1980an, hampir 70 pengusaha tembaga di kawasan sekitar Kampung Ladang.

Namun kini hanya tinggal 19 pengusaha tembaga di kawasan sekitar Kampung Ladang.

“Tidak ramai anak muda yang sanggup menceburi bidang ini, kerana ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi,” katanya.

Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa remaja datang untuk belajar tentang proses pembuatan tembaga, tetapi kebanyakannya tidak dapat bertahan lama.

“Paling lama pun seminggu je, lepas tu tak datang-datang. Ada yang merungutla..macam macam,” katanya yang telah bekerja di Wanisma Craft & Trading sejak 30 tahun lalu.



Sementara itu, En. Ali Abdullah, 45, berkata, remaja masa kini lebih gemar menghabiskan masa dari mempelajari sesuatu yang boleh diwarisi seperti pembuatan tembaga.

Tambahnya yang mempunyai empat orang anak, sikap sedemikian akan menyebabkan warisan berharga yang diwarisi sejak berzaman itu akan lenyap dan pupus begitu sahaja.

Menurut En. Ali, proses menghasilkan barangan tembaga memang sukar dan ia memerlukan kesabaran yang tinggi serta minat.

“Untuk menghasilkan sesuatu barangan tembaga yang berkualiti memakan masa selama dua bulan bagi satu-satu produk dihasilkan,”katanya yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun.

Rabu, 11 Februari 2009

Pustaka Mini Di Kampung Orang Asli

Oleh: Suriati Ali


Ahmad Razif melihat kanak-kanak menggunakan kemudahan di Sudut Siber Kanak-kanakdi PPAT Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri akan membina perpustakaan mini di perkampungan Orang Asli terpilih di negeri ini bagi meningkatkan mutu pendidikan masyarakat itu.

Selain itu, perkhidmatan perpustakaan bergerak dilengkapi kemudahan komputer disediakan di perkampungan masyarakat itu, bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Encik Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya bangga dengan prestasi pendidikan masyarakat Orang Asli yang semakin meningkat setiap tahun.

“Pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) lepas ada anak Orang Asli memperoleh keputusan 5A manakala beberapa pelajar berjaya masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Berdasarkan peningkatan membanggakan itu, pelbagai perancangan dan program akan dilaksanakan, termasuk membina perpustakaan mini dan menyediakan perkhidmatan perpustakaan bergerak,” katanya.


Exxonmobil menyumbangkan RM55,000 bagi mewujudkan Sudut Siber Kanak-Kanak dan pembelian pelbagai peralatan serta membaikpulih komputer yang rosak yang diterima Ahmad Razif.

Kerajaan negeri percaya melalui pendekatan itu, kehidupan orang asli akan lebih maju dan berdaya saing setanding dengan masyarakat luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sudut Siber Kanak-kanak di Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Kuala Terengganu, hari ini (10 Februari).

Hadir sama, Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah dan Pengurus Perhubungan Awam ExxonMobil, Encik Mokhtar Daud dan beberapa pegawai kerajaan.

Wujudnya sudut siber itu adalah di atas inisiatif PPAT dengan kerjasama Exxonmobil yang ingin melihat pelajar di negeri ini celik IT, berilmu dan berdaya saing.

Melalui sudut yang dilengkapi 15 komputer dan satu pencetak laser itu, pelajar mampu meneroka pelbagai ilmu selain mempelajari secara mendalam penggunaan komputer menggunakan pembelajaran interaktif.


Kanak-kanak didedah dan diasuh secara percuma bagi melahirkan insan celik IT.

Sejumlah RM55,000 disumbangkan Exxonmobil bagi tujuan itu dan pembelian pelbagai peralatan serta membaikpulih komputer yang rosak.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, penggunaan IT ini akan diperluaskan kepada pelajar miskin yang tidak mampu mengeluarkan belanja untuk menggunakan kemudahan itu di pusat siber swasta.

“Program khas termasuk membawa mereka melawat ke beberapa tempat menarik seperti Taman Tamadun Islam (TTI) dan PPAT secara percuma akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Bagi menjayakan program ini, kerajaan negeri akan melantik pegawai untuk mencari mereka yang disasarkan dan berdasarkan pemantauan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman,” katanya

Menurutnya, kerajaan negeri yakin matlamat memperluaskan ilmu kepada semua golongan dan peringkat umur akan berjaya jika dilakukan secara serius dan mendapat kerjasama masyarakat.

“Sekiranya satu pihak sahaja berusaha mencapai matlamat itu, ia akan menjadi sia-sia walaupun jutaan ringgit dibelanjakan.

“Nekad serta kesungguhan masyarakat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dengan menikmati hidup lebih selesa adalah perkara paling penting dan membanggakan kerajaan negeri ,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Aktiviti tangani gejala sosial

Oleh: Suriati Ali



Sikap masyarakat, terutama belia yang gemar mengamalkan gaya hidup kurang sihat dan tidak peka terhadap program membina minda menyebabka golongan itu terus hanyut dengan dunia masing-masing.

Bagi menangani masalah itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil pendekatan mewujudkan pelbagai program yang boleh merangsang minda sekaligus menghapus gejala sosial.

Sehubungan itu, peruntukan RM99,000 disumbangkan kepada 33 Persatuan Belia dan Sukan di Kuala Terengganu di mana setiap persatuan memperoleh RM3,000.

Melalui perutukan itu, persatuan dapat mempelbagai program yang ingin dan bakal dirancang. Jika sumbangan itu masih tidak mencukupi mereka boleh kembali memohon kepada KBS.

Bagi tujuan yang sama, KBS turut meluluskan perutukan RM1.12 juta bagi menyediakan lapan gelanggang pelbagai guna di daerah ini di mana setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) disediakan dua gelanggang.

Kompleks Belia dan Sukan Negeri, di Pasir Panjang, Kuala Terengganu turut dinaiktaraf membabitkan kos RM4.2 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata belia sewajarnya berterima kasih di atas pemberian bantuan untuk memperkasakan persatuan belia dan sukan di negeri ini.

“Kesungguhan kementerian untuk melihat belia hari ini terus maju serta bersih daripada gejala dadah dan jenayah perlu dipandang serius.

“Kerajaan negeri akan bersama-sama menyahut hasrat itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti mencegah jenayah serta sukan yang boleh membina minda masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Memperkasa Persatuan Belia dan Sukan peringkat Kuala Terengganu, di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Kuala Terengganu.

Datuk Abdul Rahin berkata, perancangan terbaru kerajaan negeri adalah untuk mewujudkan pelbagai kejohanan yang boleh diadakan pada waktu malam dan sukan sesuai untuk wanita.

“Ketika zaman pemerintahan PAS, sukan pada waktu malam agak asing kerana tiada sokongan daripada agensi tertentu, sebaliknya kebanyakan belia lebih gemar melepak dan menghabis masa dengan kegiatan lumba motor.

“Kerajaan negeri percaya sekiranya terdapat aktiviti berfaedah seperti kejohanan futsal, boling, sepak takraw dan bola jaring yang diadakan pada waktu malam, ia mampu menurunkan kadar jenayah dan gejala sosial di negeri ini,” katanya.

Datuk Rahin berkata, untuk tahun ini beberapa strategi dilakukan kementerian bertujuan meningkatkan peranan serta memperkasakan pertubuhan belia dan sukan untuk terus maju serta lebih agresif dalam melaksanakan pelbagai program.

Katanya, belia menjadi nadi negara, oleh itu mereka perlu memanfaatkan sebaik mungkin program yang dirancang kerajaan selain menjayakan konsep `Belia Sebagai Rakan’ dan `Persatuan Belia Sebagai Rakan Kongsi’.

“Selain itu kerajaan turut mewujudkan program `Satu Komuniti Satu Persatuan’ yang bertujuan mempelbagaikan aktiviti di setiap kampung dan menggalakan belia aktif dalam persatuan,” katanya.

Skim wakaf tunai suburkan amalan sedekah

Oleh: Esah Abdullah

Amalan wakaf merupakan ibadat berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf hingga ke akhirat dan dengan amal soleh ini pewakaf akan mendapat pahala berterusan selagi harta yang diwakafkan kekal dan dimanfaatkan.

Oleh itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mewujudkan Skim Wakaf Tunai dalam usaha menyuburkan amalan wakaf yang merupakan sedekah jariah yang sangat dituntut oleh Islam.

“Skim ini menyediakan kemudahan dan altenatif kepada umat Islam untuk menyertainya walaupun tanpa melibatkan wakaf yang berbentuk aset kekal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.
Katanya, melalui skim ini orang ramai digalakkan menyumbang dan membuat pelaburan sebagai sedekah jariah tanpa had minimum untuk kebajikan dan kemaslahatan umat Islam secara menyeluruh.

“Sekaligus dapat menanamkan dan mendidik sikap, semangat dan kerjasama yang erat sesama umat Islam berkonsepkan ukhuwwah Islamiah dan semangat taawun dalam Islam,” katanya.

Mereka yang ingin menyertai skim ini perlu mengisi borang B1, yang boleh diambil di kaunter Maidam atau melalui tabung-tabung yang ada di unit wakaf atau pusat zakat Maidam di daerah-daerah.

Sumbangan boleh diberikan tanpa mengira jumlah yang penting peluang melaksanakan ibadat wakaf secara berkelompok serta dapat mengambil bahagian dalam pelaksanaan strategi pembangunan harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang luas, dinamik dan bersepadu.

Katanya, sumbangan wang tunai yang terkumpul akan disatukan ke dalam satu akaun khas dana wakaf tunai dan ia akan ditukar kepada aset atau harta kekal.

“Penukaran ini dibuat dalam bentuk pembangunan hartanah, pembangunan harta wakaf yang sedia ada, pembinaan bangunan pejabat, rumah kedai, sekolah agama, rumah orang tua dan anak yatim di samping pembangunan perladangan, pertanian, penternakan atau perkilangan,” katanya.

Sesiapa saja, katanya, boleh menyertai skim ini dalam bentuk wang tunai kerana tidak semua umat Islam di negara ini mempunyai harta kekal seperti tanah dan bangunan.

Justeru, katanya, rebutlah peluang keemasan ini untuk bersama-sama mengumpul bekalan dan saham akhirat melalui skim yang mudah dan semoga kita mendapat ganjaran pahala yang dijanjikan Allah Taala.

Wang Royalti : Tiada Pembaziran

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Tiada pembaziran wang ehsan yang menyebabkan kerugian kepada rakyat. Demikian ditegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, kepada GanuKita, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan semua wang royalti digunakan untuk rakyat, bukan semata-mata untuk tujuan sembarangan dan tiada hala tuju.

“Rasa-rasanya setakat ini yang kita ketahui wang itu (royalti) tidak ada yang menyebabkan pembaziran yang menyebabkan kerugian kepada rakyat.

“Semuanya digunakan untuk rakyat, bukan semata-mata untuk tujuan sembarangan dan tiada hala tuju, wang ini telah mengikut prosedur ditetapkan sebab kita sebagai sebuah kerajaan,” katanya.

Menurutnya, setiap perbelanjaan kerajaan dibawa usul dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dari segi akaun untuk pengesahan.

“Maknanya wang itu tidak digunakan secara membazir dan dakwaan wang yang digunakan secara pembaziran (oleh pembangkang) adalah tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Mokhtar mengingatkan kakitangan kerajaan supaya sentiasa memberi perkhidmatan yang cepat, cekap dan berkualiti kepada rakyat serta membaiki sebarang kelemahan dalam sistem penyampaian, agar kerajaan dapat memberi khidmat terbaik.

Beliau berkata, setiap kakitangan kerajaan sudah diberi kefahaman dan ingatan berterusan supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Saya sentiasa memberi pengajaran supaya mereka sentiasa memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada untuk memberi yang terbaik kepada rakyat, kepada siapa sahaja yang jadi pelanggan kita.

“Kita sebagai pentadbiran, kita amat bersetuju dan melaksanakan apa keputusan yang diambil oleh kerajaan iaitu `merakyatkan pembangunan’,” katanya.

Beliau berkata, di segi positifnya konsep itu amat tepat dalam membantu dan membangunkan rakyat. Malah, di segi pentadbiran sebarang slogan yang baik dan mendatangkan kebaikan akan diterima dan sememangnya pentadbiran negeri mempunyai misi demikian.

Pada masa yang sama beliau juga mahu menekankan konsep `merakyatkan pentadbiran’ dengan mengutamakan sistem penyampaian supaya kakitangan kerajaan dapat memberi perkhidmatan terbaik.

Dato’ Mokhtar berkata, sehingga kini dianggarkan terdapat 60,000 kakitangan kerajaan negeri termasuk kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan badan-badan berkanun di bawah kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri akan memantau usaha menyalurkan wang menerusi Perbendaharaan Negeri dengan Petronas bagi memastikan pemulangan wang sampai dengan betul dan selaras dengan kehendak pentadbiran.

Menurutnya, inilah keistimewaan rakyat Terengganu yang mana bernasib baik mempunyai pemulangan royalti berbanding negeri-negeri lain kecuali Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, wang royalti itu sekiranya digunakan dengan baik, ia akan membantu pentadbiran dan pembangunan negeri Terengganu.

Gong Baru kampung aktif

Oleh: Farezul Fadzal



Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek merupakan kampung paling aktif menganjurkan pelbagai program bagi manfaat penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.



Setiap tahun, lebih 20 aktiviti dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan.



Pengerusi JKKK, Haji Hanapiah Ismail, berkata pihaknya mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk syarikat swasta bagi menganjurkan program sama ada berbentuk sukan atau motivasi.



“Pada bulan ini kita telah menganjurkan beberapa program, antaranya program cakna remaja yang bertujuan membentuk sahsiah remaja,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui GanuKita di Teratak Desa Kampung Gong Baru, baru-baru ini.



Beliau berkata, program itu yang turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO), menunjukkan hasil yang positif.



“Remaja yang menyertai program ini telah menunjukkan perubahan positif setelah mengikuti program berkenaan. Maklum balas baik daripada ibu bapa remaja terlibat mendorong kami untuk terus menganjurkan program itu,” ujarnya.



Tambahnya, kebanyakan program yang dirangka berasaskan kemudahan yang terdapat di kampung tersebut.

“Contohnya kemudahan tali air yang terdapat di sepanjang kampung ini, membolehkan kita menganjurkan pertandingan memancing saban tahun,” katanya.



Kampung tersebut yang mempunyai penduduk seramai 1,743 orang dengan majoritinya Melayu, turut mengharumkan nama negeri Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, kampung itu menerima Anugerah KRT peringkat kebangsaan Kategori (Pengurusan) pada November lalu di Kuala Lumpur.

Industri tembaga masih bertahan

Oleh: Farezul Fadzal

Industri tembaga di Terengganu yang kini berusia hampir 300 tahun merupakan satu-satunya perusahan barangan berkenaan yang terdapat di Malaysia.

Satu-satunya industri yang memerlukan kemahiran dan sentuhan halus kreatif penghasilnya memberikan nilai astetik yang tinggi bagi dijadikan bahan perhiasan.

Kampung Ladang di Kuala Terengganu menjadi lokasi unik bagi industri tembaga tersebut, di tengah-tengah pembangunan pesat Bandaraya Kuala Terengganu dan masih bertahan walaupun menghadapi pelbagai masalah.


Pemilik syarikat Wanisma Craft & Trading, Wan Mahadi Wan Ismail, 46, merupakan generasi keenam yang gigih meneruskan perusahaan pembuatan produk tembaga menggunakan teknologi tradisional walaupun berdepan dengan pelbagai masalah.

Beliau yang mewarisi peninggalan bapanya, Wan Ismail Wan Idris, seorang pembuat tembaga terkenal dan memiliki 25 pekerja, meminta kerajaan menyelamatkan industri tembaga yang kian pupus.

Katanya, tidak ramai pengusaha tembaga meneruskan perniagaan tersebut disebabkan kesukaran mendapatkan pekerja mahir serta tiada sokongan berterusan daripada kerajaan.



“Industri tembaga merupakan imej Terengganu kerana apabila sebut sahaja mengenai tembaga, tidak ada di tempat lain di Malaysia kecuali di Terengganu iaitu di Kampung Ladang, Kuala Terengganu,” katanya kepada wartawan GanuKita ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, nilai industri tembaga amat tinggi kerana skil pembuatannya amat berbeza berbanding industri tradisional lain, termasuk pembuatan bot.



Katanya, disebabkan produk tembaga mempunyai nilai sejarah amat tinggi dan mampu menjadi tarikan pelancong, ia perlu dilindungi dan mendapat perhatian kerajaan.

Menurutnya, sebelum ini terdapat beratus-ratus pengusaha tembaga di kawasan itu, namun kini hanya tinggal 19 pengusaha sahaja.



Beliau yang menjadi rujukan banyak pihak dan telah melahirkan beberapa pekerja mahir namun bakat tersebut kini hilang begitu sahaja kerana kelesuan industri itu sendiri.

Katanya, pihak terlibat perlu turun padang dan berbincang dengan semua pengusaha tembaga di kawasan itu bagi membincangkan segala permasalahan agar industri warisan ini terus bernafas pada masa depan.

“Apa yang lebih penting adalah kerajaan melindungi industri ini bukan setakat memberi bantuan semata-mata,” ujarnya.

Dato' SUK : Terengganu sering menjadi model kepada Kerajaan Pusat

Banyak kejayaan dicapai di bumi Terengganu yang berjaya membuka mata ramai pihak dan tidak kurang menjadikan negeri ini sebagai ikon dalam pelbagai aspek terutama bidang pendidikan. Wartawan GanuKita, AIDA ABD RAHMAN menemubual SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI (SUK), DATO’ MOKHTAR NONG sebagai ketua pentadbiran negeri untuk mengetahui sejauh mana usaha dan dasar pentadbiran yang memacu ke arah kejayaaan Terengganu sehingga kini.

S : Boleh Dato’ jelaskan mengenai tumpuan pentadbiran kerajaan pada masa kini?

J : Kerajaan negeri pada masa ini memberi tumpuan untuk melaksanakan setiap perkara yang diputuskan kerajaan. Pentadbiran akan melaksanakan semua agenda, program dan aktiviti yang sudah diputuskan termasuk perkara-perkara sebelum ini (kepimpinan terdahulu). Saya sudah maklum kepada pegawai kita supaya meneruskan apa yang lama dan mampu mendatangkan kebaikan kepada semua.

S : Bagaimana dato’ melihat kesan dan perubahan selepas pertukaran pegawai dalam jabatan dan agensi kerajaan negeri?



J : Kebanyakannya tidak ada masalah. Kemungkinan seorang dua mungkin ada yang tidak puas hati, kurang selesa. Tapi majoritinya tidak ada masalah kerana saya selalu menekankan bahawa setiap kakitangan hendaklah memberi perkhidmatan yang terbaik dan mengikut setiap arahan kerajaan di mana semua kakitangan hendaklah setia kepada kerajaan atau pemimpin.

S : Apa pendekatan baru dari segi slogan baru iaitu `merakyatkan pembangunan dan pentadbiran’, apa pandangan Dato’ ?

J : Kita sebagai pentadbiran, kita amat bersetuju dan melaksanakan apa keputusan yang diambil oleh kerajaan iaitu merakyatkan pembangunan. Dari segi positifnya adalah membantu. Ini bermakna pembangunan adalah bertujuan untuk faedah rakyat.

Dari segi pentadbiran, walau slogan apa sahaja, perkara yang baik dan mendatangkan kebaikan kita terima dan sememangnya kita melaksanakan ke arah itu.

S : Bagaimana dengan slogan `merakyatkan pentadbiran’ selaras dengan hasrat Menteri Besar untuk `merakyatkan pembangunan’. Bagaimana dari segi perkhidmatan dan penyampaian dalam pentadbiran kerajaan supaya lebih mudah serta lancar berurusan?



J : Saya masih lagi menggunakan konsep `delivery system’. Setiap kakitangan faham dan sepatutnya memberi perkhidmatan yang terbaik. Selain itu mesti cepat, cekap, terbaik dan berkualiti khususnya kepada kakitangan kerajaan negeri kerana saya sentiasa memberi pengajaran supaya mereka sentiasa memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada untuk memberi yang terbaik kepada rakyat, kepada siapa sahaja yang jadi pelanggan kita.

S : Berapa jumlah kakitangan yang ada sekarang ini? Apakah program dan latihan yang dirancang kepada kakitangan untuk memantapkan lagi perkhidmatan dan kualiti mereka?


J : Kakitangan kerajaan negeri kira-kira 12,000 orang. Jumlah kakitangan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan kira-kira 60,000 orang. Ini termasuk kakitangan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan badan-badan berkanun di bawah kerajaan negeri. Dari segi konsep latihan, kita di negeri di samping latihan-latihan yang diberikan oleh Persekutuan, negeri juga mengadakan latihan secara persendirian. Malah kita juga merancang, mengenalpasti dan menyelaras aktiviti-aktiviti latihan dalam dan luar negeri yang bersesuaian. Selain kursus-kursus Induksi Khusus dan Umum, kompetensi dan merangka kemajuan kerjaya serta menyediakan `succession planning’ bagi skim-skim perkhidmatan di Pentadbiran Kerajaan Negeri.

S : Jika Dato’ lihat dari segi pemulangan wang royalti dan arah tuju bagi membasmi kemiskinan rakyat menerusi wang royalti itu. Bagaimana mahu diselaraskan dengan pentadbiran agar hasrat itu dicapai pada masa yang dirancangkan?

J : Wang royalti memang semua dikembalikan dan InsyaAllah akan dipantau segala usaha menyalurkan wang menerusi pihak perbendaharaan dengan Petronas. Inilah keistimewaan rakyat Terengganu yang mana bernasib baik mempunyai pemulangan royalti berbanding negeri-negeri lain kecuali Sabah dan Sarawak dan wang royalti itu sekiranya digunakan dengan baik, maka ia akan membantu.

Setakat yang kita ketahui penggunaan wang itu, tidak ada yang menyebabkan pembaziran, yang menyebabkan kerugian kepada rakyat. Semuanya digunakan untuk rakyat, bukan semata-mata untuk tujuan perseorangan, badan tertentu atau parti politik. Wang ini telah mengikut prosedur ditetapkan sebab kita sebagai sebuah kerajaan.

Apa-apa perbelanjaan kita masuk kepada dewan, apa-apa dari segi akaun kita sahkan dulu untuk melihat kebenarannya. Maknanya wang itu tidak digunakan secara membazir dan dakwaan segelintir pihak wang royalti disalahguna adalah tidak benar.

S : YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ada menyebut semalam (13 Januari 2009) mengenai kertas bagaimana cara wang tersebut (royati) dibelanjakan termasuklah di dalam TIA (Terengganu Investment Authority). Siapakan yang menyediakan TIA?

J : Bagi pihak kerajaan negeri kita hanya mengawasi kertas TIA dan ia sebenarnya dibuat oleh Kerajaan Pusat. Difahamkan kertas TIA sudah dibawa ke mesyuarat Kabinet dan kami telah bersetuju dan InsyaAllah apabila sudah lengkap dan mendapat maklumat, kertas ini akan dibawa semula kepada negeri untuk kita lihat dari segi penerangan dan pelbagai aspek bagaimana TIA ini berfungsi.

S : Bagaimana bahagian Kewangan Negeri menyalurkan dan menjamin duit ini dibelanjakan dengan betul?

J : Caranya mudah sahaja, duit royalti kita masuk dalam satu akaun kewangan dan apa-apa tidak boleh dibelanjakan kecuali mendapat kelulusan menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri. Itu menunjukkan kerajaan menghormati cara yang telah dibuat menerusi keputusan Dewan Undangan Negeri.

S : Dari perspektif Dato’ sendiri mengenai perhubungan antara kerajaan negeri dengan pusat apabila adanya pemulangan wang royalti tersebut?

J : Bagi saya, saya telah mengalami perkara tersebut. Setakat ini, apabila mempunyai kerajaan yang sama dari segi parti politik adalah lebih mudah, berbanding dengan kerajaan yang tidak sama antara Persekutuan dengan negeri (pembangkang) mengalami banyak masalah-masalah untuk mentadbir. Sama ada hubungan kita dengan kerajaan negeri dan pusat begitu juga pusat dengan negeri. Tapi apabila Negeri Terengganu mempunyai politik yang sama, caranya lebih mudah. Kita bersuara kepada Persekutuan dan Persekutuan boleh mendengar suara kita. Begitu juga arahan-arahan yang diberikan oleh Persekutuan mudah diterima oleh kita.

S : Bagaimana pula dari segi peruntukan Persekutuan kepada negeri ketika zaman pembangkang dahulu? Adakah perbezaan politik memberi kesan kepada sumber kewangan?



J : Pengalaman dulu masa dengan pembangkang (PAS) walau kita bawa Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) bersama dan jumpa ketua pentadbiran hendak minta peruntukan, kita selalunya akan dapat keputusan yang tidak boleh dibanggakan. Konsep yang sama tetapi dari segi pelaksanaan agak berbeza dan bermasalah. Contohnya, dari segi pertukaran kakitangan juga menghadapi masalah. Misalnya PBT kekurangan ‘engineer’ (jurutera), kurang dari segi pegawai penilaian, kita juga kurang pegawai-pegawai perancang bandar, tetapi berbanding dengan Persekutuan, kita boleh guna pegawai perancang bandar di ibu pejabat, kita boleh guna `engineer’ di bawah kerajaan tempatan jika politik yang sama. Dulu memang tidak boleh dan tidak dilayan kekurangan-kekurangan yang kita hadapi berbanding sekarang lebih mudah dan lancar.

S : Bagaimana hubungan Dato’ dengan ketua dan pegawai Persekutuan ketika ini?

J : Hubungan saya dengan Persekutuan memang mudah, hubungan amat baik dengan pentadbiran pusat khususnya dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.


S : Boleh Dato’ berikan contoh pengalaman lain dari aspek pentadbiran dan pembangunan ketika `bergelap’ di bawah PAS?



J : Sewaktu pemerintahan PAS banyak perkara melibatkan pentadbiran dan kakitangan tidak mencapai kata sepakat dan keseragaman. Misalnya bantuan kerajaan untuk Kusza (Kolej Agama Sultan Zainal Abidin yang kini Universiti Darul Iman Malaysia), di mana Kerajaan Persekutuan akan diberi secara terus ke dalam tabung Kusza bukan menerusi negeri. Kerajaan Pusat mengawal perbelanjaan yang diperuntukkan untuk pentadbiran Kusza dan ia tidak menjadi hasil kerajaan negeri ketika itu.

Berbanding kini, hubungan baik negeri dan Pusat juga memberi impak kepada proses pembangunan di Terengganu yang sering menjadi model kepada Kerajaan Pusat dalam pelaksanaan dan kejayaan sesuatu projek.

Program Kanak-Kanak Pintar al-Quran dan e-Book umpamanya adalah antara contoh projek yang dibangunkan kerajaan negeri dan menjadi bahan ikutan negeri lain serta Kerajaan Pusat.

Maidam kutip zakat RM66.2 juta

Oleh: ESAH ABDULLAH



Pertumbuhan ekonomi yang pesat disertai kesedaran orang ramai terhadap tanggung jawab membayar zakat, menyokong kepada meningkatnya kutipan zakat di negeri ini.

Jumlah keseluruhan kutipan zakat negeri ini tahun lalu ialah RM66.2 juta, merupakan rekod tertinggi yang pernah dikutip Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman ketika ditemui di pejabatnya berkata, kutipan tahun lalu merupakan yang terbaik dengan lonjakan 14.8 juta melebihi tahun 2007.

Pada 2007 Maidam berjaya mengumpul RM51.4 juta manakala tahun sebelumnya (2006) ialah RM42.8 juta.



“Kutipan melebihi sasaran ini berkat usaha yang berterusan mendidik, menggalak dan mendorong umat Islam di samping menyediakan kemudahan pembayaran zakat seperti mewujudkan pusat-pusat pungutan zakat di setiap daerah seluruh negeri,” ujarnya.

Selain itu orang ramai boleh membuat bayaran zakat melalui online dengan Bank Islam, EON Bank, CIMB Bank, Maybank, Bank Rakyat dan RHB Bank di samping kaunter Pejabat Pos dan Bank Muamalat.

Menurut Haji Wan Harujan, daerah Kuala Terengganu menjadi penyumbang terbesar zakat iaitu RM44 juta, berjaya mengatasi kutipan zakat negeri pada 2006 iaitu RM42.8 juta.

Katanya, zakat perniagaan telah menyumbang sebanyak 30.92 peratus daripada jumlah keseluruhan merangkumi pelbagai aktiviti ekonomi yang berlaku dalam daerah ini.

“Kewujudan pusat membeli belah dan kerancakan aktiviti perniagaan dalam kawasan bandar raya ini membolehkan peniaga mendapat untung lebih dan mengeluarkan zakat,” katanya.

Katanya, kuasa membeli yang ada pada penduduk tempatan ditambah dengan kemasukan pelancong luar menjana pendapatan para peniaga.

Lain-lain daerah yang turut meningkat kutipan zakat ialah Kemaman RM10, 524,500.55; Dungun RM4,149,237.23; Besut RM3,870,701.35; Hulu Terengganu RM1,560,381.23; Marang RM1,349,881.26 dan Setiu RM646,208.99.

Sebenarnya sejak empat tahun kebelakangan ini, kutipan terus meningkat bagi daerah Kuala Terengganu, contohnya RM21,364,134.93; (2004) RM23,563,151.79 (2005); RM27,541,811.14 (2006); RM34,323,053.50 (2007) dan RM44,099,504.53 pada 2008.

“Sasaran Maidam untuk mengagihkan kesemua wang zakat yang dipungut kepada asnaf-anaf yang berhak iaitu faqir, miskin, riqab, amil, al-gharimin, fisabilillah, ibnussabil dan mualaf di samping meningkatkan taraf hidup umat Islam,” katanya.

Senarai agihan mengikut asnaf seperti berikut fakir RM3,242,647.27; miskin RM13,545,505.02; amil RM9,430,289.01; muallaf RM1,053,404.84; riqab RM145,766.87; al-qharimin RM68,012.84; fisabilillah RM8,325,483.65 dan ibnussabil RM13,100.

Pelbagai bentuk agihan lain seperti saraan bulanan, pelajaran, membina dan membaiki tempat kediaman, agihan berdikari, rawatan kepada pesakit, latihan kepada miskin dan agihan serta merta melibatkan kes-kes segera kepada miskin.

Memberi pendidikan dan ilmu yang secukupnya kepada masyarakat merupakan jalan ke arah mengurangkan kadar kemiskinan dan hanya dengan ilmu mampu merubah kehidupan.



Sepanjang tahun lalu Maidam membelanjakan RM1.2 juta untuk membiayai pelajar anak-anak Terengganu ke luar negara dan RM786,000 kepada pelajar dalam negeri.

Beliau seterusnya berharap masyarakat Islam di negeri ini terus membuat pembayaran zakat kepada Maidam bagi membolehkan agihan dibuat kepada penerima yang betul-betul berkelayakan dan dikenal pasti secara tepat.

Maidam juga mempunyai beberapa jabatan dibawah naungannya iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, satu inisiatif diambil dengan mengadakan perancangan enam tahun sebagai garis panduan dan rujukan mana-mana pihak yang berkepentingan termasuk orang ramai.

Erti merakyatkan pembangunan dan pentadbiran

Oleh: RUSLAN ABD RAHMAN



Rakyat bukanlah suatu perkataan yang asing bagi kita semua. Sejak dahulu lagi kita pernah mendengar “sekolah rakyat”, “bank rakyat”, “balai rakyat”, bahkan kini pula berbagai-bagai jurusan dijenamakan dengan perkataaan “rakyat”. Merakyatkan seni, merakyatkan ekonomi, merakyatkan sukan dan sebagainya.

Kita semua adalah rakyat sebenarnya. Bagaimanapun istilah rakyat dalam konteks yang difahami ramai ialah golongan bawahan atau rakyat biasa yang taraf hidupnya agak miskin atau sederhana. Apa yang jelas, “rakyat” tidaklah merujuk kepada golongan elit atau bangsawan, walaupun sebenarnya golongan itu adalah komponen rakyat juga.

Pendekatan dan fokus kepada rakyat adalah menjadi cita-cita dan harapan pemimpin yang tulus dan berjiwa rakyat. Lebih-lebih lagi kalau pemimpin itu lahirnya dari kalangan rakyat yang memahami pahit getir kehidupan, susah-senang sebuah perjuangan untuk kelangsungan hidup, tentunya perjuangan demi rakyat menjadi keutamaan.

“Saya pernah hidup susah…saya pernah jual kuih…saya pernah cari ubi gadung dalam hutan ketika musim hujan, makan lempeng…semua itu perkara biasa kerana ketika itu kehidupan memang susah,” kata Menteri Besar, Dato’Ahmad Said dalam satu wawancara dengan media sebaik saja dilantik menjadi Ketua Kerajaan Terengganu.

Justeru itu kita lihat, bagaimana pendekatan dan fokus beliau kepada rakyat dalam setiap pembangunan mahupun pengurusan pentadbiran beliau.

Pengalaman beliau dalam pentadbiran awam, pernah menjadi penolong pegawai daerah dan pegawai pentadbir tanah digabungkan dengan pengalaman pahit getir kehidupan di zaman kanak-kanak, lalu terbina dalam dirinya iltizam yang tinggi untuk “MERAKYATKAN PEMBANGUNAN” dan “MERAKYATKAN PENTADBIRAN”.

Merakyatkan pembangunan sudah sering diperkatakan iaitu setiap pembangunan mahu dipastikan mendatangkan faedah yang maksimum kepada rakyat. Tidak mahu sama sekali dibuat pembangunan yang tidak menguntungkan apa-apa kepada rakyat sehingga mencetus kemarahan dan menoktahkan sokongan rakyat kepada parti pemerintah.

Pentadbiran bukan sekadar mentadbir secara rutin, menjalankan tugas-tugas di jabatan atau agensi dan kemudian dibayar gaji atau upah. Pegawai dalam bidang pentadbiran bukanlah bermakna mengejar pangkat dan kedudukan; ia bukanlah mahkota, melainkan perkhidmatan dan tugas yang dijalankan itu adalah semata-mata untuk membantu rakyat.

Demikian yang diharapkan oleh Dato’ Ahmad Said. Terengganu era baru di bawah kepimpinannya meletakkan rakyat sebagai keutamaan, rakyat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

Renunglah petikan ucapan Dato’ Ahmad ketika berjumpa kakitangan perkhidmatan awam Kerajaan Negeri pada 17 April 2008, di Wisma Darul Iman:

“Apa yang kita (kakitangan perkhidmatan awam) lakukan akhirnya hendaklah dikembalikan kepada rakyat. Kita hendak MERAKYATKAN PERKHIDMATAN kita, kita hendak MERAKYATKAN apa jua PEMBANGUNAN yang kita lakukan.”



Di sini bermaksud, pentadbiran mesti dipermudahkan untuk rakyat. Pentadbiran mesti bersifat menolong rakyat, pentadbiran berorentasikan faedah dan kepentingan rakyat. Justeru itu pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam perlulah juga berjiwa rakyat, bukan sahaja pemimpin atau ahli politik yang berjiwa rakyat.

Bolehlah dicadangkan dibuat satu slogan ‘merakyatkan pembangunan dan pentadbiran’ di akhir surat rasmi yang di tulis oleh jabatan-jabatan di Terengganu, guna mengingatkan semua tentang tugas dan peranan mereka kepada rakyat.

Ketuanan rakyat atau ‘people’s supremacy’ adalah suatu era baru Terengganu yang dicetuskan pemimpin yang dilahirkan dari perkampungan nelayan Kijal, Kemaman. Ia tidak lain ialah Dato’ Ahmad Said. Di kedai kopi, merata ceruk pekan dan kampung, rakyat menyebut-nyebut namanya dengan senang sekali iaitu “Mat Said” yang cukup sinonim sekali nama itu dengan rakyat Terengganu.