Rabu, 11 Februari 2009

MBKT bina jalan RM60 juta

Oleh: SURIATI ALI



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang membina jalan raya berkembar bernilai RM60 juta yang menghubungkan Jalan Balik Bukit ke Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

Projek berskala besar itu bakal memberi kemudahan kepada penduduk tempatan dan pelancong untuk berkunjung ke pulau itu yang menempatkan pelbagai khazanah dan kebudayaan Terengganu.

Selain ke Pulau Warisan, jalan sepanjang 700 meter itu bakal menjadi laluan pilihan pengguna ke beberapa destinasi lain termasuk Pasar Besar Kedai Payang, Bazar Warisan, Dataran Shah Bandar dan Bukit Puteri.

Jalan raya berkembar yang bermula dari Jalan Balik Bukit dan berakhir di Jalan Banggol itu, dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.

Apabila siap kelak, ia akan membawa imej positif di mata pelancong yang sering merungut dengan menyatakan jalan ke pusat bandar kini bertambah sibuk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemajuan Awam Negeri, Encik Yahya Khatib, berkata bagi tujuan sama, kemudahan tempat letak kereta bawah tanah mengandungi 300 lot di Shahbandar, turut disediakan.

Beliau berkata, bagi menaikkan imej Terengganu supaya terus gah di mata pelancong, kerajaan negeri turut membina restoran di puncak Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu yang dinamakan `Panorama Cafe’.

Selain restoran, di puncak itu nanti bakal menempatkan menara tinjau, laluan berjalan kaki, kawasan riadah dan tandas. Projek yang membabitkan kos RM7.5 juta itu dijangka siap akhir 2010.

Menurutnya, sepanjang tempoh setahun bandar Kuala Terengganu dinaiktaraf sebagai bandar raya, pelbagai pembangunan disediakan MBKT bagi keselesaan penduduk tempatan.

“Kerajaan negeri membelanjakan RM44 juta bagi tujuan pembangunan di kawasan pentadbiran MBKT sepanjang tahun lalu,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan