Isnin, 16 Februari 2009

Kerajaan Negeri Tawar Bantuan Kaji Pokok Herba

Oleh: Esah Abdullah


MENTERAI...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (belakang kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara UDM dengan ECERDC di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri sedia menawarkan bantuan kepada universiti tempatan untuk membuat kajian R&D terhadap pokok-pokok herba yang banyak terdapat di negeri ini.

“Sebenarnya bumi Terengganu ada 3,000 jenis pokok herba yang telah dikenal pasti,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika merasmikan seminar Persijilan Halal dan Pendaftaran Produk Herba di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (16 Februari).

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Prof Dato’ Dr Alias Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jabasingam Issace John dan Naib-Naib Canselor Universiti Malaysia (UM) Terengganu, UM Kelantan dan UM Pahang.

Dato’ Ahmad berkata, mungkin lebih banyak lagi pokok herba masih belum diketengahkan termasuk pokok celaka, lampin budak dan ubi gadong yang isinya boleh dimakan tapi daunnya mengandungi sejenis racun.

“Saya percaya pihak universiti boleh buat kajian terhadap perkara ini dan tidak mustahil suatu hari nanti kita juga boleh menjadi seperti negara China dan Korea yang popular dengan produk herbanya,” katanya.

Katanya, bila melawat China kita akan dibawa melawat kedai herba tradisi mereka seperti ginseng dan begitu juga kalau kita berkunjung ke Korea perkara sama mereka lakukan.

“Mengapa kita tidak lakukan perkara yang serupa, kita bawa pelancong luar yang berkunjung ke negeri ini ke kedai-kedai ubatan tradisi kita dan mencuba ubatan yang dikeluarkan masyarakat tempatan,” katanya.

Menteri Besar berkata, produk halal mempunyai permintaan yang tinggi dan terdapat 1.3 billion umat Islam seluruh dunia memerlukan pasaran produk halal ini, malah orang bukan Islam turut berminat menggunakan bahan produk halal.

“Kita perlu menerokai bidang ini dan merebut peluang untuk menjana pendapatan ekonomi rakyat, sekaligus memasuki pasaran dunia,” katanya.

Beliau kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara UDM yang diwakili Prof Dato’ Dr Alias Daud dengan ECERDC yang diwakili Dato’ Jabasingam Issace John.


Unit Komunikasi Negeri.

Ramli Fokus Program Masyarakat

Oleh: Farezul Fadzal




Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh kini akan memberi lebih fokus kepada program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk kampung secara langsung.

Justeru itu, beliau bercadang untuk bertemu dengan setiap ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui program yang akan disusun dalam masa terdekat.

Beliau berpendapat langkah itu mampu menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan apabila bertemu muka dengan JKKK dengan lebih kerap.

Langkah itu juga secara tidak langsung mendekatkan wakil rakyat dengan penduduk setempat, seterusnya mendapatkan maklum balas dari mereka mengenai permasalahan yang dihadapi secara terus.

“Saya juga akan menggalakkan pihak JKKK di kawasan terlibat agar mengadakan aktiviti di kawasan masing-masing dengan penyertaan penduduk setempat seterusnya dapat merapatkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui wartawan GanuKita di pejabatnya, di DUN Tepoh, baru-baru ini.

Jelasnya, sebagai wakil rakyat, walaupun dibebani pelbagai tugas di pejabat, wakil rakyat mesti mendekatkan diri kepada penduduk walau apa cara sekali pun.

“Nak tak nak, mesti kena turun padang, jumpa penduduk, dah jadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat,” ujarnya.



Menyentuh mengenai bantuan yang diterima penduduk di kawasan Tepoh, Ramli berkata, pihaknya baru sahaja selesai mengagihkan bantuan atap kepada penduduk kampung yang layak.



“Berdasarkan kepada kos yang dibuat, hampir 50 buah rumah menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga telah menyerahkan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menambah bantuan kepada mangsa banjir di DUN Tepoh yang berlaku baru-baru ini.

“Kita harap pihak terlibat memandang serius isu itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, DUN Tepoh kini mengalami pertumbuhan pesat ekoran pembangunan rancak di kawasan tersebut yang telah dilaksanakan pihak kerajaan.

“Banyak projek perumahan kini wujud di DUN ini, termasuk perumahan awam dan swasta,” ujarnya.



Antara perumahan swasta yang telah wujud termasuk Taman Perumahan Wakaf Tengah, Perumahan Alur Jambu, Perumahan Gong Badak Empat, Perumahan Gong Badak Tiga dan Perumahan Wakaf Tembesu manakala bagi perumahan awam pula terdapat di Padang Air dan Tok Jiring.

“Kira-kira tujuh projek perumahan baru dirancang di kawasan ini dan dua daripadanya sedang dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, projek perumahan untuk golongan miskin tidak dipinggirkan dan syarikat perbankan tempatan, Affin Bank Berhad melalui tugas tanggungjawab sosial kepada masyarakat (CSR) akan membina 45 buah rumah kos rendah di Kampung Padang Nenas.

Bagi projek tersebut, segala kemudahan infrastruktur telah pun disediakan termasuk jalan serta tanah dan hanya menunggu kontraktor terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan rumah tersebut.

“Projek itu adalah daripada wang zakat Affin Bank dan apabila siap kelak rumah tersebut akan ditadbir Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya.

Ramli yang lebih mesra dengan panggilan ustaz di kalangan penduduk juga menyatakan keperluan penduduk setempat di DUN Tepoh untuk mengadakan pelbagai program di tempat yang sempurna kini amat diperlukan.



Jika sebelum ini, program yang dianjurkan dilakukan di dewan yang disewa pihak penganjur, tetapi dengan kesediaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk membina dewan serbaguna amatlah dialu-alukan.

Dengan adanya usaha untuk membina dewan serbaguna di atas tapak pasar lama dekat sini mampu merealisasikan harapan dan keperluan penduduk yang kian mendesak.

Tambahnya, projek pembinaan dewan berkenaan akan dibuat tidak lama lagi memandangkan tender projek tersebut akan dibuka pada bulan Jun ini.

“Untuk projek itu, sebanyak RM1.7 juta disediakan dan apabila siap kelak, sudah tentu dapat memenuhi keperluan penduduk tempatan untuk menganjurkan pelbagai program dan rakyat akan dapat manfaat secara langsung,” katanya.

DUN Tepoh kini mempunyai kepadatan penduduk hampir 70,000 dan mempunyai taburan penduduk yang melakukan pelbagai pekerjaan.

Dengan adanya institusi pengajian tinggi awam di kawasan berkenaan, golongan professional yang tinggal di DUN tersebut menjadikan lokasi berkenaan didiami pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita dah ada golongan nelayan, petani, kaki tangan kerajaan, swasta, usahawan malahan golongan professional menjadikan DUN Tepoh semakin kompleks,” katanya.

Jika kerajaan negeri sebelum ini berhasrat mewujudkan daerah baru di Kuala Nerus, ianya menjadi langkah yang tepat dan wajar direalisasikan.

“Apabila wujudnya daerah baru, segala kemudahan baru seperti pejabat daerah, pejabat kesihatan, pejabat tanah dan banyak lagi kemudahan akan dinikmati oleh penduduk di sini,” jelasnya.

Katanya, langkah tersebut dilihat wajar memandangkan Kuala Nerus kini dilengkapi dengan pelbagai prasarana serta taburan penduduk yang kian meningkat.

“Dengan wujudnya daerah baru, kemudahan dan perkhidmatan untuk penduduk di Parlimen Kuala Nerus akan bertambah baik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan