Selasa, 10 Februari 2009

Zoo Terengganu Dibuka Bulan Depan

Oleh : Aida Abdul Rahman


Dato' Ahmad bermain dengan burung kakak tua di Zoo Bukit Takal, Kemaman yang bakal dibuka kepada pengunjung pada Mac ini. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


KUALA TERENGGANU : 10 FEB; Kerajaan Negeri Terengganu akan membuka zoo pertamanya dan akan menjadi yang terbesar di Pantai Timur, di Bukit Takal, Kemaman pada akhir bulan hadapan.

Zoo yang terletak di kawasan seluas 135 ekar (54 hektar) bersempadan dengan kawasan kunang-kunang yang terkenal di Kampung Yak Yah, Kemaman akan mempamerkan sekurang-kurangnya 100 spesis haiwan apabila dibuka sepenuhnya kepada orang ramai kelak.

Beberapa spesis haiwan seperti burung unta, merak, beruang, landak, burung helang, kucing hutan, rusa dan ular sedang dikuarantin untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru di kawasan zoo tersebut.

Binatang-binatang lain yang akan dipamerkan termasuk beberapa spesis beruang, banteng, seladang, kijang, kambing gurun, orang utan, buaya dan beberapa spesis harimau serta kuang raya.

Menteri Besar, Dato' Ahmad Said berkata, Zoo Bukit Takal bakal menjadi antara 10 zoo yang terbaik di rantau ini apabila siap sepenuhnya dan keadaan hutan sekunder di kawasan pembangunan itu memberi kelebihan dari segi persekitaran.

"Kita akan membeli binatang-binatang tersebut dari zoo-zoo tempatan dan luar negara".

"Kemungkinan besar, zoo di Bukit Takal akan menjadi kawasan pembiakan beberapa spesis binatang tempatan yang hampir pupus untuk dilepaskan kembali ke habitatnya atau dijual kepada zoo-zoo lain yang berminat".


Pekerja zoo memberi makan kepada burung unta yang turut terdapat di dalam zoo pertama di Terengganu.

"Saya menjangkakan tarikan utama di zoo ini nanti adalah menaiki gajah mengelilingi kawasan zoo, harmau putih dan aviari burung cenderawasih (bird of paradise)," katanya.

Beliau juga berkata beberapa zon tema akan memberi pilihan kepada pengunjung dan juga petunjuk kepada tempat-tempat yang menarik di kawasan itu.

Antara taman tema itu adalah Taman Herba, Taman Pokok Hutan, Taman Tropikal, Taman Cendawan, Taman Buah-buahan, Taman Orkid, Taman Bonsai dan Taman Akuatik.

Dato' Ahmad berkata beberapa kemudahan awam akan disediakan seperti tram atau buggy untuk memudahkan perjalanan di kawasan yang luas, restoran, kawasan riadah untuk kanak-kanak dan kolam renang untuk keluarga.

Bukit Takal dipilih kerana kawasan itu sedia ada kebun buah-buahan tempatan seperti duku, manggis, sentul, mangga, tampoi dan tanaman kopi, yang akan menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung.

Konsep terbuka Zoo Bukit Takal yang mengambil kira zoologi setiap binatang akan memberi keselesaan kepada pengunjung melihat binatang liar yang dipamerkan dalam keadaan semula jadi tetapi selamat.


Jambatan gantung turut disediakan di dalam zoo Bukit Takal, Kemaman bagi memudahkan pengunjung meninjau pelbagai spesies binatang dan alam semulajadi.

Dato' Ahmad berkata Kerajaan Negeri serius dalam membangunkan industri pelancongan dan sektor ini akan diberi tumpuan supaya menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri selepas petroleum.

"Sektor pelancongan adalah satu-satunya sektor di mana rakyat dapat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung. Ini menepati kehendak Kerajaan Negeri untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan", katanya.


SIARAN AKHBAR
Bahagian Perhubungan Awam dan Seranta,
Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

10 Februari 2009





MBKT Bentuk Unit Bergerak Kutip Cukai Pintu.
Oleh: Esah Abdullah


Datuk Bandar, Dato' Mat Razali bergambar bersama ahli majlis MBKT 2009-2010 selepas majlis Pengakuan Penerimaan Jawatan di Menara Permint. -Foto: ZAMRI ABD. RAHMAN (MBKT)

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mewujudkan unit bergerak bagi mengutip cukai pintu, dalam usaha mengelak berlaku masalah tunggakan cukai pintu.

“Mungkin dengan cara ini kutipan cukai pintu dapat dilakukan lebih berkesan,” kata Datuk Bandar , Dato’ Mat Razali Kassim pada sidang media selepas menghadiri majlis Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli majlis MBKT 2009 – 2010 di di Menara Permint, Kuala Terengganu hari ini (8 Februari).

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan saranan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said baru-baru ini agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih proaktif untuk menggelakkan cukai tertunggak terlalu lama dan menjadi masalah kepada pihak pembayar sendiri.

“Dengan pendekatan yang diambil ini, masyarakat boleh membuat bayaran dengan lebih mudah keran unit bergerak MBKT akan berada di tempat-tempat yang senag dikunjungi oleh orang ramai,” katanya.

Menurut Dato’ Mat Razali, sehingga ini sejumlah RM50 juta tunggakan cukai pintu sejak sekian lama dan pihak MBKT sudah mengeluarkan surat amaran (borang E) kepada individu, syarikat dan badan berkanun.

“Setakat ini MBKT berjaya mengutip RM3 juta pelbagai cukai setahun dan kebanyakan mereka terbabit akan membuat bayaran apabila menerima borang E daripada pihak kami,” katanya.

Menurut Dato’ Mat Razali, pihaknya juga akan mewujudkan tiga kawasan letak kereta bertingkat di sekitar bandar iaitu kawasan letak kereta kakitangan Wisma Darul Iman, di Stadium Sultan Ismail Nasharuddin Shah dan kawasan letak kereta Batas Baru.

“MBKT juga menerima peruntukan RM19 juta daripada kerajaan negeri untuk menjayakan aspek keceriaan dan kebersihan dalam kawasan bandar raya tahun ini,” katanya.

Dato’ Mat Razali seterusnya menyeru orang ramai memberi kerjasama untuk menjaga kebersihan dan MBKT akan mengenakan denda RM10 kepada mereka yang didapati membuang sampah di merata tempat.

Sementara itu, 25 orang termasuk 12 muka baru, dua daripadanya wanita yang mewakili parti UMNO dan MCA dilantik sebagai ahli majlis bagi tempoh 2009 – 2010 dan pengakuan menerima jawatan disaksikan Datuk Bandaraya.


Catatan : UKOM

Jaga Diri dan Keluarga

Oleh: Suriati Ali


Alex membantu memakaikan tali pinggang kepada seorang penumpang kereta pada Kempen Kesedaran Memakai Tali Pinggang Kaledar di Jambatan Sultan Mahmud.

Kelab Kebudayaan dan Sukan Kuala Terengganu (KESUN-KT) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan Kempen Kesedaran Memakai Tali Pinggang dan Keselamatan Jalan Raya di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam (8 Februari)
Presiden KESUN-KT, Alex Ong Yeok Leng, berkata kempen yang diadakan sempena perayaan Tahun Baru Cina itu bertujuan menyedarkan pengguna jalan raya betapa pentingnya menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika memandu.


Petugas Ukom, Suriati Ali mengagihkan buletin GanuKita kepada pengguna kenderaan.

Sebanyak 300 risalah berkaitan itu dan 20 kotak limau mandarin diagihkan kepada pengguna jalan raya.

Pada kesempatan itu, Unit Komunikasi Negeri (Ukom) turut mengedar 2,000 buletin GanuKita bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai berkaitan pembangunan dan manfaat yang disediakan Kerajaan Negeri.


Catatan : UKOM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan