Isnin, 2 Februari 2009

PBT Diminta Lebih Pro-Aktif

Oleh: Esah Abdullah


TAHNIAH...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (tengah) bersama Yang DiPertua PBT Negeri Terengganu selepas majlis pengakuan menerima jawatan di WDI. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta lebih pro-aktif dalam usaha menarik orang ramai supaya membayar cukai pintu dengan kaedah yang lebih mudah dan sesuai.

“PBT boleh ikut cara Pejabat Tanah yang pergi ke kampung-kampung mengutip hasil,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis pengakuan menerima jawatan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini (1 Februari).

Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong, Ahli-ahli Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Katanya, notis pemberitahu boleh dibuat dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Masjid serta mengadakan hari membayar cukai atau seumpamanya.

“Kadang-kadang bukan mereka tak mahu bayar tapi kerana kesuntukan masa atau malas nak naik pejabat PBT, akhirnya hasil tertunggak bertahun-tahun,” katanya.

Dato’ Ahmad kemudiannya mengingatkan Yang Dipertua Majlis Daerah(YDP) seluruh negeri supaya lebih bertanggung jawab dan sering memantau kerja-kerja membabitkan kebersihan agar imej bandar tidak tercemar dimata umum.

“Dalam soal kebersihan tak kira ketua atau pekerja semuanya perlu bertanggung jawab memastikan sampah sarap tidak bertaburan ditempat awam dan kebersihan tandas sentiasa terjaga,” katanya.

Katanya, setakat ini kerja-kerja pembersihan seperti memungut dan membuang sampah serta membersih longkang diberikan kepada kontraktor yang sama dan ditender setiap tiga bulan.

“Selepas cuti hari minggu atau cuti umum orang ramai akan merungut, sampah tak dikutip malah ada sampai berulat, perkara sebegini tak timbul jika penguatkuasa dan kontraktor menjalankan tanggung jawab masing-masing dengan sempurna,” katanya.


Lima YDP daripada daerah Kemaman, Haji A.Rahman Yahya; Mohd Nor Ibrahim (Hulu Terengganu); Haji Wan Mustafa Wan Husain (Besut); Mohd Elias Nik (Marang) dan Haji Harun Mohamad (Setiu) angkat sumpah.

Katanya, kerja-kerja pembinaan longkang tertutup bersaiz enam kaki akan dipertingkatkan tahun dalam usaha mengelak berlaku limpahan air dan masalah sampah tersumbat,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyaksikan akuan menerima jawatan lima YDP daripada tujuh daerah iaitu daerah Kemaman, Haji A.Rahman Yahya; Mohd Nor Ibrahim (Hulu Terengganu); Haji Wan Mustafa Wan Husain (Besut); Mohd Elias Nik (Marang) dan Haji Harun Mohamad (Setiu).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan