Rabu, 28 Januari 2009

MB Iring Jenazah Pelajar Ke Tanah Perkuburan

Oleh: Kamarudin Mat Akib


MENTERI Besar, Dato' Ahmad Said bersama penduduk Kampung Pulau Manis mengangkat jenazah pelajar Malaysia yang meninggal dunia di Mesir, sebaik kereta jenazah dari Kuala Lumpur tiba kira-kira jam 8.30 pagi. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengiringi jenazah pelajar Malaysia yang meninggal dunia di Mesir, empat hari lalu, ke Tanah Perkuburan Kampung Pulau Manis, Manir, pagi ini (27 Januari 2009).

Sebelum itu, kira-kira jam 9 pagi, beliau turut menyertai lebih 100 penduduk tempatan menunaikan solat jenazah Alahyarham Mohd Hatta Mohd Hanafi, 22, di masjid kampung berkenaan.

Dato’ Ahmad yang diiringi isteri, To’ Puan Norliza Mahmud, tiba di rumah keluarga Alahyarham Mohd Hatta, kira-kira jam 8 pagi. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail.


Ibu kepada pelajar yang meninggal dunia di Mesir tidak dapat menahan perasaan terharunya sebaik jenazah anaknya tiba di rumahnya di Kampung Pulau Manis, Manir.

Kira-kira setengah jam kemudian, van jenazah van yang membawa mayat tiba di rumah berkenaan dan disambut Menteri Besar dan ahli keluarga Alahyarham Mohd Hatta.

Jenazah berkenaan kemudiannya dibawa ke masjid untuk solat jenazah dan dikebumikan di tanah perkuburan tidak jauh dari situ.

Pelajar jurusan Usuluddin di Universiti al-Azhar itu meninggal dunia pukul 1.20 pagi, 24 Januari lalu dan mayatnya tiba di KLIA jam 9 malam tadi.


Dato' Ahmad Said mengaminkan doa sebaik jenazah pelajar mesir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Manis.

Alahyarham yang memulakan pengajian di universiti berkenaan September tahun, tinggal di Asrama Darul Iman Hayyuhasir di Kaherah dan mendapat tajaan YT.

Menteri Besar berkata, sebagai tanda simpati kerajaan negeri terhadap keluarga, YT akan menanggung semua perbelanjaan penghantaran jenazah alahyarham ke tanah air.

Unit Komunikasi Negeri



Gerhana Matahari di Minggu Falak 2009
Oleh : Farezul Fadzal


YB Ustaz Khazan melihat fenomena gerhana matahari yang berlaku pada petang 26 Januari 2009 di Taman Tamadun Islam. Gambar kecil ialah urutan fenomena gerhana matahari antara jam 4.37 petang dan 5.50 petang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Minggu Falak (Astronomi) Terengganu 2009 yang berlangsung bermula 25 hingga 27 Januari memfokuskan kepada fenomena gerhana matahari berikutan fenomena tersebut mampu dilihat jelas di Terengganu.

Fenomena gerhana matahari separa dapat dilihat jelas hampir semua kawasan Asia Tenggara termasuklah di Terengganu dimana fenomena tersebut juga pernah disaksikan penduduk tempatan pada tahun 1998.

Pada tahun ini sebanyak dua kali fenomena gerhana matahari berlaku termasuklah pada 26 Januari berlaku pada magnitud 60 peratus manakala pada 22 Julai pada magnitud 20 peratus.

Turut hadir menyaksikan fenomena tersebut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Yb. Khazan Che Mat; Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Dato’ Abdul Latiff Awang dan Pengarah Urusan PSKT, Dr. Mohd Zaki Mohd Said.


Pelajar Universiti Darul Iman menggunakan cermin mata khas untuk melihat fenomena gerhana matahari di Taman Tamadun Islam.

Sempena program tersebut, Universiti Darul Iman (UDM) turut menyediakan kelengkapan alat cerap untuk orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri fenomena gerhana matahari tersebut di perkarangan Tasik al-Jazari, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, hari ini (26 Januari).

Tepat jam 4.37 petang fenomena tersebut mula kelihatan sehinggalah jam 7.00 petang dan fenomena tersebut dijangkakan berlaku lagi pada tahun 2031.

YB. Khazan ketika ditemui berkata program yang diadakan itu mampu mengembalikan minat terutamanya para pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

“Ini satu langkah bijak yang diambil oleh pihak yang terlibat pada hari ini diharap ianya menjadi pencetus kepada kebangkitan dunia sains islam yang kini dikuasai oleh dunia barat,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri.



Program ETA Berkesan
Oleh Farezul Fadzal


YB Ahmad Razif bergambar bersama Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) pada majlis penyerahan kepada sekolah terpilih di Permai Inn. - Foto SHUHAIMI AHMAD

Program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) yang dimulakan sejak tiga tahun lalu diakui memberi kesan amat baik dikalangan para pelajar sekolah.

Malah keputusan peperiksaan pelajar yang didedahkan dengan program tersebut menunjukkan keputusan membanggakan dalam peperiksaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB. Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sekolah yang terlibat dalam program berkenaan pada tahun lalu telah menunjukkan peningkatan dalam menyertai program berbahasa Inggeris.

“Contohnya seperti perbahasan bahasa inggeris. Sudah ada keberanian kepada pelajar-pelajar kita. Kalau sebelum ini sebut sahaja program bahasa inggeris memang payah budak-budak kita nak sertai, sebab dia rasa tak yakin sedangkan dia boleh melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) 2009 di Permai Inn, Kuala Terengganu, hari ini (23 Januari).

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE), Dr, Jim Coffman dan Ketua Penolong Pengarah Matematik, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Aziz Mohd.

Program ETA anjuran Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) dengan kerjasama kerajaan negeri telah dimulakan sejak tiga tahun lalu diperkenalkan disekolah elit dan premier di seluruh negeri, kini mula dilaksanakan di sekolah menengah biasa dan sekolah rendah.


YB Ahmad Razif menyerahkan Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris kepada wakil sekolah terpilih.

Bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 bagi menempatkan 23 pelajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat (AS) akan di 23 buah sekolah seluruh negeri Terengganu selama 10 bulan.

Kumpulan tersebut akan ditempatkan di 21 buah sekolah menengah serta di dua buah sekolah rendah sebagai percubaan iaitu di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir dan di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud.

“Jika usaha kita berjaya, insya Allah kita akan menempatkan lebih ramai lagi pelajar ETA ini ke sekolah-sekolah harian biasa tambahan pula kita menerima permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan sekolah-sekolah lain,” katanya.

“Jadi dengan adanya kehadiran ETA program, ia memberikan keyakinan kepada para pelajar kita untuk berkomunikasi, jadi dia tidak rasa takut dan dia seronok hari ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, Abdullah Mamat berkata pihaknya berbesar hati menerima kedatangan guru pembantu Bahasa Inggeris tersebut.

“Pihak kami telah meyediakan kemudahan tempat tinggal kepada guru tersebut di asrama sekolah kami dan saya juga telah memberitahu kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat tentang kehadiran guru tersebut supaya diterima dalam masyarakat,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap dengan adanya guru pembantu tersebut akan dapat meningkatkan prestasi para pelajar sekolah tersebut dalam bahasa inggeris sama ada dari segi penulisan dan pertuturan.

Bagi pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, Pn. Hajah Anuar Harun, 54, berkata pihaknya mempunyai pelbagai program yang telah disediakan.

“Kita akan memberi advantage kepada budak-budak kita di tingkatan satu dan tingkatan empat. Biasanya Bahasa Inggeris kita ada lima kelas setiap minggu. Jadi satu daripada kelas tersebut akan diberikan kepada guru pembantu ETA supaya para pelajar dapat mendengar bagaimana sebutan bahasa inggeris dengan betul dan dalam masa masa, pelajar boleh belajar bercakap dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan