Jumaat, 16 Januari 2009

Nafi beri wang kepada petugas media

KUALA TERENGGANU: Kementerian Penerangan hari ini menafikan memberi sebarang imbuhan kepada petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Penerangan, Hisham Abdul Hamid, berkata kementerian tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawainya untuk berbuat demikian.

“Perkara ini bukan menjadi amalan Kementerian Penerangan,” katanya di sini hari ini.

Portal Malaysiakini versi Mandarin hari ini melaporkan bahawa seorang pegawai Kementerian Penerangan memberikan sampul berisi wang kepada petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, dua wartawan Merdekaview.com membuat laporan polis berhubung dakwaan menerima satu sampul surat putih berisi wang daripada seorang pegawai yang bertugas di Pusat Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Laporan dibuat pada jam 7.13 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. - Bernama
__________________________

Mat Razali buat laporan polis

KUALA TERENGGANU: Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim membuat laporan polis mengenai tuduhan seorang penceramah pembangkang yang mendakwa beliau mengugut akan memecat kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) jika tidak menyokong Barisan Nasional (BN).

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.55 pagi, semalam.

Beliau berkata, laporan Mat Razali itu adalah antara 25 laporan yang dibuat dalam tempoh 24 jam kelmarin, termasuk 18 kes dibuat oleh pasukan pemantau pilihan raya kecil.

Mat Razali melepaskan jawatan sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam, dua hari sebelum pengundian hari ini bagi menjaga integriti dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, Jalan Sultan Mahmud akan ditutup kepada semua kenderaan dari bulatan Batu Bersurat sehingga ke simpangan Jalan Kemarudin bagi membolehkan penyokong parti yang bertanding berkumpul di hadapan pusat penjumlahan rasmi undi di Stadium Negeri di sini, mulai jam 5 petang ini.

Katanya, berikutan penutupan jalan itu, lencongan akan dibuat secara berperingkat bagi melancarkan lalu lintas membabitkan Lorong Budiman (kenderaan ringan sahaja), Jalan Haji Abdul Rahman Limbong, Jalan Tok Adis dan Jalan Bukit Tok Kah- Kampung Undang.

Beliau berkata, bas awam akan menggunakan laluan Jalan Abdul Rahmn, Jalan Tok Adis dan Jalan Bukit Tok Kah-Kampung Undang.

Mohd Shukri berkata, pengguna dari arah Chendering/Kuantan yang ingin ke pusat bandar/Kota Bharu akan dilencongan ke Lorong Budiman- alan Panji Alam, Jalan Ibrahim- alan Pasir Panjang- pusat bandar.

Katanya, kenderaan dari arah Kota Bharu yang ingin ke Chendering/Kuantan akn dilencongan ke Jalan Pasir Panjang/Jalan Panji Alam- Jalan Kampung Laut- Jalan Tok Adis.

Mohd Shukri berkata, kenderaan dari arah Chendering/Kuantan yang ingin ke pusat bandar/Kota Bharu akan dilencong ke Jalan Haji Abdul Rahman Limbong- Jalan Panji Alam/Jalan Ibrahim-Jalan Pasir Panjang-Pusat bandar/Kota Bharu.

Katanya, orang ramai dari arah Kota Bharu yang ingin ke Chendering/Kuantan yang datang dari Jalan Sultan Mohamad akan dilencongan ke Jalan Pasir Panjang/Jalan Panji Alam-Jalan Kampung Laut-Jalan Tok Adis.

Dipetik Dari : Berita Harian Online

_________________________________________

Peluang Calon BN Semakin Cerah
Oleh: Suriati Ali


Dato' Seri Abdullah menyampaikan anugerah kepada Tokoh Belia Negeri Terengganu, Dato' Ismail Said pada majlis Himpunan Belia Bersama Perdana Menteri di Wisma Darul Iman. - Foto SHUHAIMI AHMAD

Barisan Nasional (BN) dilihat semakin cerah, sekali gus memberi peluang untuk calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mempertahankan kerusi pada pilihan raya itu kecil Parlimen Kuala Terengganu, esok (16 Januari)

Gerak kerja kempen BN kini berjalan lancar dan berkesan berbanding beberapa minggu sebelum ini, manakala pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang boleh diatasi berikutan rakyat semakin yakin dengan kepemimpinan kerajaan BN.


Dato' Seri Abdullah menandatangani plak perasmian Pusat Satelit ISN Terengganu.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Insya-Allah kita akan menang, tapi kita masih perlu kerja kuat sebab dalam tempoh beberapa hari banyak ertinya.

Katanya, sebab itu kita perlu memberi penerangan kepada pengundi mengenai apa yang BN telah dan dapat lakukan, dan penting juga ialah kemampuan dan keupayaan Wan Farid untuk berkhidmat di kawasan Parlimen ini," katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Belia Bersama Perdana Menteri di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, semalam (15 Januari)

“Saya yakin dengan kemampuan calon BN itu yang pernah menjadi setiausaha politiknya sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri.

“Mengenai dakwaan berterusan pembangkang kononnya BN membeli undi termasuk mengula-gulakan kakitangan awam,” katanya


Sebahagian belia yang hadir pada Himpunan Belia Bersama Perdana Menteri di Wisma Darul Iman.

Dato’ Seri Abdullah berkata, BN tidak perlu menggunakan taktik sebegitu kerana ia adalah sebuah parti yang kuat dan sudah terbabit dalam politik sejak negara mencapai kemerdekaan.

Beliau turut menasihatkan 80,229 pengundi di kawasan Parlimen itu supaya membuat pilihan secara rasional dengan membezakan perkhidmatan jangka panjang yang ditawarkan BN dan kempen kotor pembangkang.

Katanya, pengundi juga perlu mengambil kira rekod perkhidmatan lalu serta semasa BN dan memilih wakil rakyat yang berupaya memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.

”Tanggungjawab BN bukan saja memenangi pilihan raya kecil itu, sebaliknya menjangkau kepada perspektif jangka panjang sehingga generasi akan datang terutama yang membabitkan dasar negara.

"Sebaliknya, pembangkang hanya sibuk berkaitan hal semasa tanpa mengambil kira kesannya kepada pertimbangan jangka panjang. Itu perbezaan asas di antara BN dan pembangkang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan