Sabtu, 3 Januari 2009

Calon BN bukan disifatkan “calon pilihan”.



Kuala Lumpur: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan Datuk Wan Farid Wan Salleh, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan ini, sebagai calon "bukan pilihan."

Beliau berkata ini kerana pada pilihan raya umum lepas, BN hanya menang satu daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan Kuala Terengganu.

"Jadi 'being an underdog' (sebagai bukan pilihan), kita kena kerja lebih keras," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR dan PMR 2008 dan Sumbangan Kelengkapan Persekolahan Sesi 2009 anjuran bersama Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Cheras.

Bagaimanapun, katanya Wan Farid adalah calon yang sesuai memandangkan beliau adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang menang tanpa bertanding pada pemilihan bahagian parti.

Katanya, beliau percaya kempen berbentuk "kembali kepada asas" dan dari rumah ke rumah boleh membantu kemenangan calon BN, selain perlu memperjelas tuduhan pembangkang terhadap BN serta memberitahu hasratnya jika menang pada pilihan raya itu.

Dr Mohamad Khir juga berkata BN mempunyai kelebihan selepas kegagalan parti pembangkang, Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pada 16 Sept lepas.

"Saya lihat pada hari ini, Pakatan Rakyat rasa mereka tertipu oleh Anwar Ibrahim. Faktor Anwar Ibrahim di Kuala Terengganu dapat dikurangkan kerana populariti Anwar Ibrahim telah jatuh, melalui satu kajian baru-baru ini, di bawah 40 peratus," katanya.

Selain itu, peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual pada Mac depan juga akan memberi harapan baru kepada pengundi di Kuala Terengganu.

Katanya, PAS akan menggunakan isu agama untuk menyerang Umno, bagaimanapun perkara itu mampu ditangani BN. Beliau juga diminta mengulas peraturan Umno yang menghalang mana-mana calonnya berkempen menggunakan blog.

"Selagi blog digunakan untuk menyebarkan pandangan tidak memburukkan orang lain, berkongsi pendapat, saya rasa perlu digalakkan. Saya rasa Umno bukan sahaja kena galakkan blog, malah kena galakkan penggunaan voice mail, MMS kerana ini adalah teknologi yang digunakan oleh golongan muda pada hari ini," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, jika penggunaannya dihalang, ia akan bertentangan dengan kehendak generasi muda pada masa kini.

BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan