Ahad, 11 Januari 2009

Bantuan Bukan Berunsur Rasuah


Timbalan Perdana Menteri menyampaikan replika cek RM500,000 kepada Pengetua Sekolah Menengah Agama Khairiah, Shamsiah Mohd Kadir pada majlis Perjumpaan Bersama Imam, Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Aida Abd Rahman

Peruntukan dan bantuan yang diberikan kerajaan kepada penduduk Terengganu terutama di Parlimen Kuala Terengganu bukan berunsurkan rasuah untuk menarik pengundi pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menegaskan segala yang dibuat (bantuan) adalah sebahagian daripada pakej rangsangan fiskal.

Katanya, pakej rangsangan fiskal itu meliputi bantuan untuk seluruh negara termasuk di Kuala Terengganu dan juga Terengganu.


Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan hadirin ketika hadir pada majlis Perjumpaan Bersama Imam, Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“Jadi apa yang kita lakukan ini ialah untuk membahagikan bantuan bagi daerah Kuala Terengganu dan juga Terengganu.

“Itu bukanlah pembelian undi tetapi cuma pelaksanaan yang sudahpun kita tentukan bermula pada Januari ini, sebelum Allahyarham Dato’ Razali Ismail ( Ahli Parlimen Kuala Terengganu) meninggal dunia,”kata beliau ketika sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Mesra Bersama Imam dan Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), di Primul Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (10 Januari).

Hadir sama, Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien; Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Alimuddin Mat Dom.


Antara guru dan hadirin yang hadir pada majlis berkenaan.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kedua-dua program yang dihadiri beliau hari ini termasuk pada sebelah paginya pelancaran program PIA dan PIAS (Majlis Pelancaran Priojek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam dan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Asas Daerah Kuala Terengganu) yang melibatkan 583 kontraktor kelas F menjalankan projek kecil-kecilan juga merupakan sebahagian daripada projek rancangan fiskal.

“Jadi dengan erti katanya kita tetapkan mulai bulan Januari ini, projek itu mesti dilaksanakan dan peruntukan itu hendaklah dibelanjakan untuk tahun ini. Jangan bawa untuk tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, program kepada sekolah-sekolah agama seperti bantuan RM50 juta kepada SAKB yang disampaikan pada kali ini juga sebahagian daripada projek rangsangan fiskal.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Mohd Najib berkata, tindak balas daripada masyarakat di Kuala Terengganu amat positif untuk memilih parti Barisan Nasional dan BN berpeluang cerah untuk menang, bagaimanapun jentera parti itu harus bekerja keras sehingga hari pembuangan undi.

“Umumnya jentera berjalan dengan baik dan kita harus melihat beberapa aspek lagi yang harus diperbaiki,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan