Isnin, 5 Januari 2009

Elakkan Kekerasan, Patuhi Undang-undang

Semua parti bertanding digesa supaya tidak melakukan kekerasan sehingga mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, berkata semua pihak perlu mematuhi peraturan dan tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

"Semua pihak sama ada lawan dan juga kita (Barisan Nasional) berharap tidak melakukan kekerasan yang boleh mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita tidak mahu lagi berlaku seperti di Permatang Pauh," katanya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan ketua-ketua cawangan UMNO dalam Bahagian Kuala Terengganu, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Terdahulu, Dato’ Seri Mohd Najib memberi jaminan kepada calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid akan diberikan jawatan sebagai Timbalan Menteri jika menang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Felda Residence, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Sementara itu, calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, perkara pertama yang akan dibuatnya selepas ini adalah mengisi borang penamaan calon.

“Itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui media sejurus selepas pertemuan itu.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan