Isnin, 5 Januari 2009

Terubat Lepas Dapat Simpati

Oleh: Suriati Ali

“Walaupun jumlah saguhati yang diterima tidak seberapa berbanding kerugian kira-kira RM3,000 akibat kejadian banjir di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) baru-baru ini, saya tetap berterima kasih kepada kerajaan negeri.

“Pemberian ini mengubat rasa sedih peniaga yang kebanyakan mengalami kerugian antara RM500 hingga RM5,000 seorang,” kata Abdul Wahad Salleh, 50, selepas Majlis Pengagihan Saguhati Kepada Mangsa Banjir PBKP, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Katanya, kerajaan negeri sememangnya prihatin mengenai masalah rakyat. Oleh itu, penduduk sepatutnya berterima kasih di atas sifat cakna itu dan bukannya mengutuk setiap kebaikan yang dilakukan.

Tan Siew Geok, 50, berkata dia gembira di atas pemberian saguhati ini dan tidak kisah berapa nilainya, asalkan kerajaan negeri mengambil tahu mengenai masalah peniaga yang kebanyakannya belum hilang rasa sedih di atas apa yang berlaku.

“Kebanyakan kami terkejut kerana keadaan itu sudah lama tidak berlaku, bagaimanapun dengan memberi saguhati cukup dihargai peniaga,” katanya yang mengalami kerugian RM1,800.

Peniaga alat tulis, Zariah Che Musa, 53, dari Batu Burok, Kuala Terengganu, berkata barangan yang dijual memang tidak ada perlindungan insurans, tetapi dia redha dengan kejadian itu dan menganggap ia sebagai ujian daripada Allah s.w.t.

“Hati saya terubat kerana di sebalik kejadian itu, kami peniaga di PBKP mendapat simpati daripada kerajaan negeri yang datang menghulur sumbangan,” katanya.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri simpati dengan nasib peniaga PBKP yang mengalami kerugian akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, kejadian itu memberi pengajaran kepada semua pihak supaya mengambil sikap cakna terhadap kebersihan selain berwaspada ketika hujan.

“Bagi mengubat kesedihan peniaga, kerajaan negeri memperuntukkan RM48,000 untuk diagihkan kepada 72 peniaga.

“Setiap peniaga menerima jumlah yang berbeza bergantung kepada kerugian yang dialami. Kerajaan negeri berharap peniaga bersyukur di atas pemberian saguhati ini walaupun jumlah yang diterima tidak setimpal dengan kerugian,” katanya pada sidang sidang akhbar selepas majlis itu.



Sementara itu, Dato’ Ahmad turut meluangkan masa melawat mangsa kebakaran, Puan Zainun Omar, 52, dan mangsa ragut Puan Suhaida Abd Rahman, 34, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Simpati dengan kejadian itu, Dato’ Ahmad menghulurkan sumbangan peribadi kepada kedua-dua mangsa.

Bagi mangsa kebakaran Puan Zainun, kerajaan negeri meluluskan serta merta kemudahan membina rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di atas tapak rumah miliknya yang terbakar di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.


Dasar Pendidikan Semua Kaum
Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengamalkan dasar pendidikan untuk semua bagi memastikan rakyat mendapat akses dan ekuiti pendidikan yang adil tanpa mengira warna kulit, budaya atau status sosial.

Kerajaan juga memastikan semua pelajar menerima pemdidikan yang berkualiti dan tidak ada yang tercicir daripada arus pembangunan pendidikan akibat kemiskinan dan lokasi penempatan.

Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian di majlis penyampaian Bantuan Kewangan di Bawah Pakej Rangsangan Memperkukuhkan Daya Tahan Ekonomi Negara 2009, bagi sekolah bantuan kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Terengganu, di Dewan SJKC Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu hari ini (5 Januari).

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah SJKC, Encik Chin Kong Nam.

“Kita perlu memastikan sistem pendidikan negara berada pada landasan yang tepat dan sesuai dengan penilaian antarabangsa, berupaya menghasilkan tenaga kerja mahir yang berketrampilan, jati diri dan berpegang teguh dengan ajaran agama serta menjunjung tinggi nilai budaya bangsa,” katanya.

Katanya, bagi menghadapi era globalisasi yang merapatkan lagi jurang budaya antara benua setiap kita tanpa mengira bangsa, agama atau budaya perlu berganding bahu dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

Tambahnya, dalam konteks Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang menyeluruh dan modal intelek yang berkualiti bagi melaksana aspirasi negara.

“Menerusi enam teras strategik PIPP, kementerian sedia melakukan lonjakan perdana ke arah mempertingkatkan kualiti modal insan dan memperkasakan institusi sekolah tanpa mengira aliran,” katanya.

Menurut Dato’ Seri Hishammuddin, sebagai bukti keterbukaan dan keperihatainan terhadap sekolah bantuan kerajaan pelbagai aliran seluruh negara, sebanyak RM200 juta peruntukan tambahan diberi kepada empat sekolah pelbagai aliran yang diagih sama rata.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Mubaligh, masing-masing menerima peruntukan RM50 juta.

“Walaupun negara berhadapan dengan cabaran ekonomi yang getir akibat krisis kewangan dunia, kerajaan masih prihatin dengan tuntutan rakyat terhadap pendidikan dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada sekolah,” katanya.

Dato’ Seri Hishammuddin kemudiannya menyampaikan bantuan kepada 10 buah SJKC seluruh negeri bernilai RM2.926 juta. Setiap sekolah menerima antara RM200,000 hingga RM500,000 untuk rangsangan pendidikan, tambah nilai serta perbaiki kerosakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan