Ahad, 11 Januari 2009

Subsidi Elektrik: Kerajaan Tanggung RM12j Sebulan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan membayar kira-kira RM12 juta sebulan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai subsidi kepada 970,000 pengguna di seluruh negara yang menggunakan elektrik di bawah RM20 sebulan, kata Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Nor.

Di Terengganu, katanya TNB dibayar RM415,734 sebulan untuk subsidi 43,156 pengguna seumpamanya, yang juga 17 peratus daripada keseluruhan 273,787 pengguna elektrik di negeri itu, katanya pada sidang akhbar sempena Program Bersama Pelanggan TNB di Balai Raya Kuala Ibai Pantai di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.

Che Khalib berkata bagi kawasan Kuala Terengganu, kerajaan membayar RM133,000 kepada TNB, membabitkan 14,000 pengguna.

Ketika membentangkan Bajet 2009 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa isi rumah yang mempunyai bil elektrik RM20 ke bawah sebulan tidak akan dikenakan bayaran berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.

Che Khalib berkata hampir 60 peratus penduduk Malaysia tidak berdepan dengan kenaikan tarif elektrik sejak 20 tahun lalu kerana kenaikan tarif elektrik hanya membabitkan pengguna komersial, industri dan pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih 200kiloWatt (kW) sejam.

Beliau berkata dianggarkan lebih 80 peratus pengguna di beberapa negeri seperti Terengganu dan Kelantan menggunakan elektrik kurang 200kW sejam.

Katanya tarif elektrik tidak mempunyai kaitan dengan perubahan harga minyak dunia kerana penjanaan kuasa elektrik di Semenanjung Malaysia hanya menggunakan arang batu dan gas.

"Harga gas yang dibekalkan kerajaan melalui Petronas kepada pihak industri yang mengeluarkan tenaga elektrik ialah pada kadar RM14.31 per mmBtu (juta unit termal British)," katanya.

Beliau berkata kos penjanaan elektrik tidak turun disebabkan harga gas kekal manakala harga arang batu masih tinggi.

“Harga gas dunia pada ketika harga minyak AS140 setong adalah RM45 per mmBtu dan ketika harga minyak berada pada paras AS45 setong, harga gas berada pada paras RM22 per mmBtu, masih tinggi berbanding harga ditetapkan kerajaan RM14.31 per mmBtu,” katanya. Che Khalib. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan