Isnin, 5 Januari 2009

SPR: Jangan kempen sebelum waktu

KUALA TERENGGANU 4 Jan. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak berkempen lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tempoh berkempen yang dibenarkan mengikut undang-undang adalah selepas penamaan calon sehingga sebelum hari pengundian.

"Jika sekadar bertemu dengan orang ramai, tiada tindakan," katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat keselamatan pilihan raya kecil itu oleh Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan di sini hari ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu menunjukkan sedikit kelainan apabila Barisan Nasional (BN) dan Pas mengumumkan calon masing-masing lebih awal daripada kebiasaan.

Menurut Abdul Aziz, SPR telah memberi garis panduan mengenai kempen serta pemasangan bendera kepada parti-parti yang bertanding untuk dipatuhi dan langkah penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar peraturan akan dilakukan oleh polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"PBT akan menurunkan bendera-bendera parti yang dipasang di kawasan larangan seperti jambatan dan bulatan kerana ia mengganggu lalu lintas," ujarnya.

Mengenai tahap keselamatan semasa proses pilihan raya jelasnya, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pihak polis yang berpengalaman dalam hal berkenaan.

Justeru katanya, pengundi tidak perlu berasa takut untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi kerana keadaan adalah selamat berikutan semua kawasan dalam kawalan pihak polis.

Beliau menasihatkan pengundi supaya tidak menunggu hingga saat terakhir untuk membuat pemeriksaan nama mereka dalam daftar pengundi kerana mereka boleh berbuat demikian dengan melawat laman web SPR di alamat www.spr.gov.my.

Menurutnya, pengundi juga boleh mendapatkan maklumat dengan menghantar sistem pesanan ringkas ke nombor 15888 atau menghubungi talian 09-6236161.

Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat ini sebanyak sembilan borang penamaan calon telah dibeli daripada SPR.

''Bagaimanapun, ambil borang tidak semestinya mereka masuk bertanding pada pilihan raya kecil ini nanti," ujarnya.

Dipetik dari : Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan