Ahad, 11 Januari 2009

Polis nafi sengaja sabotaj (Jan 11, 2009 7:27 pm)

KUALA TERENGGANU: Polis menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa anggotanya sengaja melakukan sabotaj semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata dakwaan pihak berkenaan sama sekali tidak benar dan mengelirukan.

“Kita ingin menjelaskan di sini bahawa pihak polis tidak pernah melakukan sebarang sabotaj dan tidak pernah menutup pejabat walaupun pada hari cuti.

“Malah pihak polis sentiasa menerima permohonan (mendapatkan permit) daripada mana-mana pihak tanpa mengira parti politik,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata polis sentiasa menerima permohonan permit setiap hari tanpa mengira hari, termasuk semasa cuti. - Bernama


YKN Bantu Pesakit Buah Pinggang
Oleh: Esah Abdullah



Dato' Sri Dr Ng Yen Yen beramah mesra dengan seorang pesakit buah pinggang yang menerima rawatan di YKN Dialisis, Kuala Terengganu. -Foto Ihsan SINAR HARIAN



Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah membelanjakan RM4.5 juta untuk membantu 950 pesakit buah pinggang seluruh negara, sepanjang tahun ini atau RM36.6 juta sejak 1982membabitkan 7,450 pesakit.

Pelbagai perbelanjaan lain turut diberi di bawah Skim Bantuan Sosial termasuklah bantuan perubatan, kebajikan dan pelajaran dengan keseluruhan perbelanjaan RM9.5 juta dan memberi manfaat kepada 1,597 penerima.

Manakala di Terengganu, penglibatan Persatuan Pesakit Buah Pinggang membantu 226 pesakitnya sejak 2000 menggambarkan kesungguhan untuk berdikari serta lebih memahami keperluan pesakit terlibat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen terharu dengan usaha persatuan dan pada 2006 YKN membekalkan lima mesin kepada persatuan.

“Hari ini terdapat 11 mesin dialisis dan 30 pesakit yang sedang menerima rawatan,” katanya di majlis perasmian YKN Dialisis Kuala Terengganu, Jalan Hiliran, petang semalam (10 Januari).

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Noriah Kasnon; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Dato’ Syed A. Rahman Syed Mohd.

Katanya, kemudahan rawatan telah ditingkatkan bukan sahaja peralatan tetapi juga kualiti suasana rawatan yang menepati piawaian dan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Untuk terus kekal relevan dan berdaya maju YKN sedang meniliti pendekatan dalam konteks menjana modal insan dan mengisi keperluan kebajikan untuk memupuk budaya berdikari dikalangan mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, program peningkatan pengeluaran hasil kerja orang kurang upaya di bengkel-bengkel terlindung akan melengkapkan rancangan pembangunan YKN dalam bentuk perlaksanaan projek tujuh buah dialisis dan empat buah anjung kasih (rumah perantara untuk keluarga pesakit) yang akan beroperasi tahun ini.

Menurut Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen, kerajaan telah memperluaskan jaringan keselamatan sosial dengan meningkatkan kelayakan isi rumah untuk pertimbangan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM400 kepada RM720 sebulan bagi penduduk di semenanjung, manakala Sarawak RM830 dan Sabah RM960.

“Ini bermakna jumlah penerima bantuan JKM seluruh negara meningkat daripada 54,000 kepada 110,000 isi rumah,” katanya lagi.

Katanya,sehingga ini terdapat 159,483 penerima pelbagai skim bantuan daripada JKM seluruh negara dan 22,208 penerima adalah daripada Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan