oleh Aida Abd Rahman
Pusat Media yang diwujudkan sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bertempat di Bangunan EPIC, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, pada 1 Januari (Khamis), kira-kira jam 12 tengah hari.
Penubuhan pusat media berkenaan selaras dengan usaha Kerajaan Negeri membantu petugas media menggunakan kemudahan seperti talian internet, faksimili, mesin cetak, telefon .Selain itu, di situ juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat semasa, sidang akhbar serta ceramah yang dijalankan sepanjang menjelangnya pilihan raya kecil pada 17 Januari depan.
Malah, pusat media yang bakal beroperasi pada 1 Januari bermula jam 8 pagi sehingga jam 2 pagi juga menjadi medan petugas media berkumpul dan berinteraksi selain dapat bertukar maklumat dan bahan berita sebelum di paparkan menerusi media masing-masing.
Pengarah Jawatankuasa Media Pejabat Menteri Besar, Encik Hambali Abdul Latif, berkata ia juga akan menjadi platform pertemuan dan perkenalan khususnya di kalangan pelawat luar Terengganu.
Katanya, bukan hanya menyediakan kemudahan talian komunikasi secara percuma, pusat itu juga menyediakan tempat solat dan tandas untuk keselesaan penggunanya.
“Petugas media akan mendapat pelbagai keistimewaan lain termasuk disediakan pelekat khas bagi membolehkan mereka dikecualikan bayaran meletak kenderaan di kawasan Jalan Pejabat.
“Kenderaan petugas juga boleh diletakkan di dalam kawasan letak kereta Wisma Darul Iman bersebelahan Pusat Media berkenaan,”katanya.
Pada masa yang sama, Pusat Media yang diselaraskan oleh Pejabat Menteri Besar, Unit Komunikasi Negeri dan Kementerian Penerangan boleh memuatkan 20 hingga 30 petugas pada satu-satu masa.
Khamis, 1 Januari 2009
PUSAT MEDIA PARLIMEN KUALA TERENGGANU
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan