Isnin, 5 Januari 2009
Jasa BN Bawa Transformasi Felda
Oleh : Farezul Fadzal
Felda kini berjaya bergerak ke arah global dan sumbangan Felda terhadap negara tidak dapat dinafikan lagi sejak 53 tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, tansformasi Felda sejak diperkenalkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak sedekad lalu di bawah Barisan Nasional (BN) memberi erti besar kepada negara.
“Bermula 53 tahun dahulu, tanah rancangan Felda Lurah Bilut, Pahang merupakan tanah rancangan pertama diteroka..waktu itu..tak ada jentolak..tak de kontraktor…cuma membanting tulang empat kerat memerah keringat..hari ini Felda sudah melonjak ke Boston, Amerika Syarikat..,” katanya.
Menurut Dato’ Seri Mohd Najib, kini Felda mempunyai 112 ribu peneroka dalam sektor perladangan diseluruh negara juga melalui transformasi yang sama.
Jelasnya, kebanyakan peneroka yang menyertai Felda berasal dari golongan miskin tegar yang tidak memiliki harta walau sekeping tanah.
“Itulah tujuan penubuhan Felda…kita pilih orang miskin tegar…kebanyakkan rumah asal yang didiami peneroka telah berubah dari rumah kayu kepada rumah bungalow,” katanya.
Felda kini tidak sahaja memfokuskan kepada perladangan malahan memiliki perniagaan dalam pelbagai cabang termasuklah perhotelan, penyediaan makanan, pendidikan dan pelbagai lagi.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Felda Residence, Kuala Terengganu hari ini (5 Januari).
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; exco kerajaan negeri; Yang Di-Pertua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tengku Putera Tengku Awang; Timbalan Yang Di-Pertuan Speaker Dewan Negara, Datuk Wong Fong Meng; Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Tambah Najib, hotel Felda itu juga melambangkan hubungan erat diantara kerajaan negeri dengan Pusat dalam memaju sektor pelancongan negeri ini.
“Hotel Felda kini lambang pembangunan kita untuk memajukan pelancongan negara,” katanya.
Kini jumlah pelancong ke Terengganu dikatakan meningkat dari dua juta kepada tiga juta pada tahun ini hasilnya, peniaga tempatan mendapat keuntungan daripada limpahan pengunjung yang hadir ke Terengganu.
Dalam pada itu, Felda telah membelanjakan RM718 juta untuk program rakyat Terengganu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan