Oleh: Esah Abdullah
Rakyat Terengganu boleh berbangga mempunyai pemimpin seperti Dato’ Wan Ahmad Farid yang sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan rakyat dan mendengar rintihan masyarakat.
“Dia calon terbaik menggantikan Allahyarham Dato’ Razali yang begitu disenangi oleh semua golongan,” kata Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek di Majlis Penyerahan Komputer Kepada Komuniti Bestari Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu petang, semalam (4 Januari).
Katanya, penduduk dalam Parlimen Kuala Terengganu perlu pilih Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan kesinambungan tugas pemimpin terdahulu dan untuk kesejahteraan semua kaum.
Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Abdullah Morad.
Dato’ Ahmad Shabery berkata, perlunya ada kelompok masyarakat yang bestari sebagai peneraju maklumat komuniti akar umbi yang bermaklumat dan bijaksana sejajar dengan wawasan negara.
“Masyarakat bestari tidak sekadar bergantung kepada pembinaan prasarana yang bagus-bagus serta pembangunan lainnya tetapi golongan masyarakat cakna dan berpengetahuan,” katanya.
“Sebagai ahli masyarakat perlu pastikan tidak ada kalangan kita yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat dan sentiasa ambil peduli suasana keliling,” katanya.
Katanya, setiap pusat komuniti menerima RM16,000 setahun atau RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan pentadbiran dan aktiviti kemasyarakatan yang boleh memberi kebaikan kepada masyarakat sekeliling.
Dalam majlis itu, sebanyak 23 unit Komuniti Bestari dalam daerah Kuala Terengganu menerima satu set komputer untuk kemudahan penyebaran maklumat serta kegiatan lainnya.
Unit Komunikasi Negeri
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan