Sabtu, 17 Januari 2009

BN Terus Khidmat Kepada Rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman dan Farezul Fadzal


Dato' Seri Najib, Dato' Ahmad Said dan Dato' Wan Ahmad Farid pada sidang media di Kediaman Seri Iman selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini walaupun sebilangan pengundi di Kuala Terengganu menolak parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata keputusan pilihan raya itu yang tidak memihak kepada BN, tidak melemahkan semangat dan kekuatan parti komponen itu, sebaliknya pemimpin BN akan menggandakan usaha untuk memberi khidmat bakti kepada rakyat.

“Saya ingin menyatakan bahawa BN menerima keputusan yang dibuat pengundi Kuala Terengganu. Ini membuktikan sistem demokrasi berjalan lancar. Suara rakyat ialah suara keramat,” katanya pada sidang media di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Sebelum itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Mustafa Wan Hassan, mengumumkan calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi manakala calon PAS, Abdul Wahid Endut meraih 32,883 undi.

Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi, sekaligus hilang wang deposit. Undi rosak ialah 665 manakala peratus keluar mengundi ialah 79.9 peratus.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan di Stadium Negeri, jam 9.30 malam.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata, kepimpinan BN akan melakukan apa yang sepatutnya termasuk menyusun semula imej parti di samping mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

Bagaimanapun, menurut beliau kekalahan dalam pilihan raya kecil itu tidak akan memberi impak kepada pilihan raya umum dan tidak bererti rakyat menolak BN secara keseluruhannya.

Unit Komunikasi Negeri

____________________________

Mohd Abdul ikrar tunai tanggungjawab

KUALA TERENGGANU: Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, berikrar akan menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan pemilih untuk mengetengahkan pelbagai isu, terutama isu tempatan di Parlimen.

Malah, katanya tanggungjawab sebagai wakil rakyat bertambah kerana perlu menjaga empat Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding hanya DUN Wakaf Mempelam, sebelum ini.

Beliau berkata, kemenangannya pada pilihan raya itu disebabkan sudah lama mengenali pengundi, sekali gus memudahkan kempen menemui pemilih.

"Terima kasih kerana memberi kepercayaan pada saya dan saya akan laksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

"Terima kasih juga pada Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan semua petugas pilihan raya kerana menjadi pilihan raya kali ini berjalan lancar," katanya ketika ditemui selepas pengumuman rasmi di Stadium Negeri, di sini.

Dalam pertandingan tiga penjuru semalam, Mohd Abdul Wahid yang memperolehi 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, calon Barisan Nasional (BN), Wan Ahmad Farid Wan Salleh (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata, kekalahannya pada pilihan raya itu akan dijadikan landasan untuknya terus bekerja keras berkhidmat untuk rakyat.

Beliau menghormati dan menerima keputusan itu dengan rela hati dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Abdul Wahid yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi yang mengundi BN walaupun undi mereka tak cukup untuk memenangkan BN.

"Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan pengundi yang tak undi BN kali ini akan tukar fikiran memilih BN.

"Saya nak ucapkan teima kasih kepada semua jentera dalam dan luar yang banyak membantu. Saya tahu mereka kerja kuat tetapi akhirnya rakyat membuat keputusan dan keputusan ini harus dihormati," katanya.
___________________________________________

Keputusan Pilihan Raya Kecil P.036 Parlimen Kuala Terengganu



Pas rampas Parlimen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pas merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, menang dengan majoriti 2,631 undi.

Abdul Wahid yang juga Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu memperoleh 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mendapat 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, hanya menerima 193undi, sekali gus hilang deposit.

Undi rosak pula sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.73 peratus atau 63,967 pengundi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Dipetik dari Buletin Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan