(Berita awal) KUALA TERENGGANU: Medan sudah dibuka. ‘Perang’ sudah bermula.
Parlimen Kuala Terengganu (P036) menjadi medan pertarungan UMNO dan PAS. Yang lain tu hanya tempelan sahaja.
Setelah proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima kertas penamaan bagi tiga orang.
Pada kertas penamaan yang dipamerkan untuk proses bantahan, tiga calon tersebut ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat, 45.
Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk bertanding pada pilihan raya itu iaitu calon Bebas, Isma Airsath dan Maimun Yusuf tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon itu.
Wan Farid antara yang terawal sampai di pusat penamaan calon di stadium negeri, jam 9.05 minit pagi.
Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN tiba di perkarangan stadium sebelum masuk ke stadium tertutup bagi urusan pendaftaran calon yang mulai dibuka jam 9.00 sehingga 10.00 pagi ini.
Najib tiba di perkarangan Stadium Sultan Mahmud jam 8.35 pagi dan ketibaannya oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dan Wan Farid serta penyokong Umno, termasuk parti komponen BN.
Perarakan yang diketuai Najib bersama bendera dan sepanduk parti bergerak sejauh kira-kira setengah kilometer ke pusat penamaan calon di stadium negeri.
Mohd Wahid pula tiba kira-kira lima belas minit kemudian dengan diiringi kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.
Calon Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun @ Ab. Rahman Mohamad tidak bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.
Walaupun turut tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.20 pagi tetapi pada saat-saat terakhir membatalkan hasratnya untuk bertanding apabila tidak menyerahkan borang pencalonan.
Beliau tidak memberi alasan spesifik tetapi beliau akan menyokong calon Pas pada pilihan raya ini.
Keadaan di sekitar bandar raya, terutama jalan menuju ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, tenang setakat jam 7.30 pagi ini.
Orang ramai mulai berkumpul di pekarangan jalan menuju ke stadium bagi menyertai perarakan calon yang bertanding kira-kira jam 9 pagi ini.
Pasukan keselamatan terutama polis dilihat berkawal di jalan utama ke pusat penamaan calon bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.
Dipetik dari : http://www.hambali1.blogspot.com/
Yakin BN Menang
Oleh: Suriati Ali
Calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri yakin BN menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.
Beliau melahirkan rasa yakin selepas mendapat sokongan padu daripada penduduk termasuk pemuda, warga emas dan masyarakat Cina ketika mengadakan Program Mesra Rakyat di sekitar Kuala Terengganu sepanjang kempen pilihan raya itu.
Dato’ Wan Farid berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar, di pusat penamaan, calon di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.
Calon BN diiringi 10,000 penyokong dengan diketuai Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak manakala PAS seramai 7,000 penyokong ke pusat penamaan calon.
Beberapa jalan berhampiran Stadium Negeri ditutup dan dikawal polis sejak awal pagi ini bertujuan mengawal pergerakan kenderaan.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Razali Ismail pada 28 November lepas.
Pada pilihan raya umum, Allahyarham menang kerusi itu dengan majoriti 628 undi.
Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Kuala Terengganu ialah seramai 80,229 orang.
Unit Komunikasi Negeri.
Harun Buat Kejutan
Naib Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun @ Abdul Rahman Mohamad, 63, membuat kejutan apabila bertindak menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada saat-saat akhir.
Beliau yang diuar-uarkan akan bertanding dalam pilihan raya itu pada 17 Januari depan bertindak demikian ketika calon lain sedang mengisi borang pencalonan di pusat penamaan, Stadium Negeri, Kuala Terengganu, 6 Januari lalu.
Menurutnya, dia terpaksa menarik diri kerana ingin memberi laluan kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut selain mendapat pentunjuk daripada Allah s.w.t selepas menunaikan solat Istiqarah.
“Saya menyokong calon PAS kerana dia mempunyai ciri yang sama seperti Akim iaitu memperjuangkan dan menegakkan Islam. Keputusan menarik diri tidak didesak oleh mana-mana pihak,” katanya.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, PAS (Mohd Abdul Wahid) dan calon calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.Manakala calon Bebas Azharudin, 46, dari Kampung Ladang Pasar, Kuala Terengganu, melakukan kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sedangkan dia sebelum ini tidak pernah menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.
Kehadiran Azharuddin di pusat tersebut pada pukul 9.27 pagi tidak disedari sehingga beliau menyerahkan borang pencalonan.Nama Azharuddin yang juga seorang ahli perniagaan, dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan disokong Zakaria Abdullah.
“Sejumlah RM15,000 diperuntukkan untuk melancarkan kempen dari rumah ke rumah dan membuat kain rentang,” katanya. Isma Airfath Hassanuddin yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas serta mendedahkan strategi kempennya termasuk menggunakan dikir barat, bagaimanapun tidak muncul di pusat penamaan calon hari ini.
Unit Komunikasi Negeri.
Taraf Kerakyataan Kepada Warga Asing
Oleh: Esah Abdullah
Kerajaan telah menambah 46 kakitangan baru bagi memproses 33,000 permohonan rakyat asing untuk menjadi warga negara, dalam pelbagai kategori yang tertunggak sejak beberapa lama.
“Kita ingin bersihkan dulu permohonan yang tertunggak sejak sekian lama di samping melihat permohonan baru,” kata Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar di majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia dan Permit Masuk, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Chor Chee Heung; Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Dato’ Mohd Abdul Halim Muhammad; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Dato Mahmood Adam dan calon Barisan Nasional Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Dato’ Seri Syed Hamid memberi peringatan kepada mereka yang diterima sebagai kerakyataan negara ini agar tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara yang sedia ada.
“Kerajaan ada cara tersendiri untuk memantau mereka ini, sekiranya ada yang melanggar atau melakukan kes-kes jenayah dan sebagainya, tanpa ragu taraf mereka akan ditarik balik,” katanya.
Katanya, negara kita yang damai dan makmur menjadi rebutan warga asing untuk menetap di sini dan setakat ini kerajaan telah memberi taraf kerakyataan kepada warga asing daripada Cina, Vietnam, India, Thailand dan Indonesia.
Beliau seterusnya berharap, mereka yang diberi taraf kerakyatan dapat bersyukur dan boleh memberi sumbangan kepada negara, tidak melakukan jenayah, memahami budaya serta berkelakuan baik.
“Mereka ini terdiri daripada ahli perniagaan yang ada ilmu untuk lahirkan senergi baru di negara ini,” katanya.
Katanya, kerajaan hanya akan pertimbangkan permohonan untuk menjadi warga negara kepada mereka yang telah bermastautin di negara ini lebih 12 tahun dan lima tahun bagi wanita yang telah berkahwin dengan rakyat tempatan.
Beliau seterusnya menyangkal terhadap dakwaan bahawa program hari ini mempunyai kaitan dengan pilihanraya kecil 17 Januari depan, bertujuan memancing undi.
“Saya tak faham dengan dia orang ni, mereka baru terima kerakyataan hari ini, mereka tidak boleh mengundi pun, kena tunggu tahun depan baru boleh,” katanya.
Dato’ Seri Syed Hamid kemudiannya menyampaikan anugerah taraf kewarganegaraan dan permit masuk kepada 99 orang penerima yang berjaya termasuk 79 orang (permit masuk) dan 20 orang (taraf kewarganegaraan).
Unit Komunikasi Negeri.
Pilih Pemimpin Mampu Jaga Kepentingan Rakyat
Oleh: Aida/ Suriati/ Farizul Fadzal/ Haspaizi
Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menjadi kayu ukur untuk memilih pemimpin yang terbaik dan mampu menjaga kepentingan rakyat, bukannya sekadar menilai sokongan terhadap kepimpinan semata-mata.
"Mungkin ada kecenderungan nak jadikan pilihan raya kecil ini sebagai kayu ukur atau referendum kepada Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi), saya sendiri, Menteri Besar (Dato’ Ahmad Said) dan sebagainya tetapi sebenarnya pilihan raya ini untuk rakyat Terengganu," kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, pada sidang akhbar selepas selesai Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai gerakan pilihan raya Barisan Nasional (BN), berkata wakil rakyat BN adalah pilihan terbaik kerana telah terbukti kemampuan mereka membela rakyat.
Pilihan raya kecil yang dijadualkan pada 17 Januari ini menyaksikan calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh bakal ditentang calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
"Kita mesti tekankan mereka pilih seorang Ahli Parlimen yang terbaik untuk mereka, inilah yang menjadi perhitungan utama. Ini soal mereka pilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan berkesan, dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan mereka..Jangan timbulkan soal-soal lain," katanya.
Katanya, Dato’ Wan Ahmad Farid yang merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri juga akan dilantik kembali sebagai timbalan menteri jika memenangi pilihan raya kecil itu.
"Orang Kuala Terengganu beruntung kalau Ahli Parlimen nanti jadi timbalan menteri, antara timbalan menteri dan pembangkang, siapa lebih baik dari segi khidmat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, apa yang penting adalah wakil rakyat yang dipilih boleh berkhidmat dan bukan hanya pandai bercakap.
"Kita bercakap berhubung asas mengenai siapa yang boleh melaksanakan sesuatu perkara, perkataan tidak penting, label juga tidak penting kerana pada akhirnya, kita melihat kepada siapa yang boleh membawa perbezaan, siapa yang boleh melaksanakan sesuatu perkara," katanya.
Dato’ Seri Mohd Najib berkata sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin kukuh sejak tempoh sembilan bulan selepas pilihan raya umum lepas dan tidak berlaku perubahan dari segi pemikiran rakyat.
Unit Komunikasi Negeri
Pertandingan Tiga Penjuru
Oleh : Aida/ Suriati/ Farezul Fadzal/ Haspaizi
Pertandingan bagi merebut kerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan calon Bebas.
BN mengemukakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh manakala PAS mengetengahkan Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon.
Hanya seorang calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam, menyerahkan kertas pencalonan untuk bertanding pada pilihan raya itu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim mengumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pencalonan semua tiga wakil parti berkenaan.
Pengumuman itu dibuat di luar perkarangan Stadium Negeri, iaitu tempat penamaan calon, kira-kira jam 11.30 pagi, hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, kira-kira 10,000 penyokong BN membanjiri Jalan Sultan Mahmud sejak jam 7 pagi bagi memberi sokongan padu kepada Dato’ Wan Ahmad Farid.
Beliau turut diiringi Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak selaku Timbalan Pengerusi BN dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Manakala calon PAS, Abdul Wahid diiringi kira-kira 2,000 penyokong PAS yang berkumpul di sekitar Kampung Ladang.
Proses penamaan yang terkawal dan lancar menyaksikan Dato’ Wan Ahmad Farid paling awal memasuki perkarangan Stadium Negeri sebelum menyerahkan borang pencalonan 13 minit kemudian.
Dalam proses penamaan calon itu, Dato’ Wan Ahmad Farid yang lengkap berbaju Melayu biru mengemukakan sebagai Mohd Sabri Alwi pencadang, manakala Senator Dato’ Wong Foon Meng sebagai penyokong.
Sementara itu, Abdul Wahid dicadangkan oleh Datuk Mustafa Ali dan disokong oleh Md. Azmi Lop Yusuf.
Calon tunggal bebas, Azharuddin, 40, pula dicadangkan Ahmad Affendyshah Mamat @ Adam dan disokong oleh Zakaria Abdullah. Azharuddin yang menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.58 pagi pada awalnya dikatakan gagal mencari pengganti penyokongnya sebagai mematuhi syarat untuk mencalonkannya bertanding.
Dia yang berjubah dan berketayap putih serta bersandal kelihatan mundar-mandir beberapa minit selepas keluar dari perkarangan Stadium Negeri kira-kira jam 9.35 pagi dan masuk semula beberapa minit kemudian selepas berjaya mendapatkan penyokongnya, Zakaria.
Dato’ Mat Razali turut mengumumkan SPR menerima empat bantahan terhadap pencalonan sepanjang tempoh sejam bantahan dibuka bermula jam 10 pagi.
Bagaimanapun, semua empat bantahan oleh PAS ditolak dan semua calon layak bertanding.
“Saya berharap semua wakil calon setiap parti dan penyokong dapat mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan SPR sepanjang kempen dan hari pengundian,” katanya.
Unit Komunikasi Negeri
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan