Sabtu, 17 Januari 2009

Calon BN antara terawal mengundi



KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, antara yang terawal tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Ladang, di sini jam 7.45 pagi.

Beliau yang ditemani isteri, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab yang turut mengundi di tempat sama, kemudian masuk ke pusat mengundi tepat jam 8.03 pagi dan keluar dari pusat berkenaan kira-kira 10 minit kemudian.

Kehadiran Wan Ahmad Farid mendapat perhatian penyokongnya dengan Wan Farid melambai-lambai ke arah mereka sambil melaungkan "Hidup BN, Hidup Umno".

____________________________________

Calon Pas , isteri tiba di pusat undi 7.50 pagi

KUALA TERENGGANU: Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Chabang Tiga, Seberang Baruh, jam 7.50 pagi untuk mengundi di pusat itu.



Beliau ditemani isteri, Wan Fatimah Wan Abdullah bersama lima daripada sembilan anaknya yang turut mengundi di pusat sama.
________________________________________

Calon Bebas bukan pengundi di KT

KUALA TERENGGANU: Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu mempunyai sejarah tersendiri apabila seorang daripada tiga calonnya tidak mengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, 45, tidak mengundi hari ini di sini, sebaliknya beliau didaftar sebagai pengundi di Parlimen Petaling Jaya Utara.

Usaha untuk menghubunginya sejak awal pagi ini bagaimanapun gagal apabila telefon bimbitnya ditutup.

Azharudin yang dilahirkan pada 1 April 1963 juga pengundi berdaftar untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama.

Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 52, mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, di Wakaf Mempelam manakala calon Barisan Nasional (BN), Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Ladang.

________________________________________

Pusat mengundi dibuka, keadaan tenang

KUALA TERENGGANU: Semua 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dibuka jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 80,229 pemilih menunaikan hak masing-masing hari ini.

Keadaan di pusat pengundi membabitkan 143 saluran mengundi dilaporkan tenang sebaik dibuka dengan pengundi tiba seawal jam 7 pagi.

Pihak berkuasa keselamatan, terutama polis dilihat berkawal di sekitar kawasan pusat mengundi, termasuk helikopter PDRM berlegar-legar di udara bagi memastikan tiada keadaan tidak diingini berlaku.

Tiga calon menawarkan diri bertanding iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas) dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail daripada BN pada 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di situ adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Jabatan Meterologi dalam laporannya semalam meramalkan hujan di Kuala Terengganu pada sebelah petang.

Keputusan pilihan raya kecil ini dijangka diketahui sekitar jam 10.30 malam.

Hampir 42 peratus mengundi menjelang tengah hari

KUALA LUMPUR: Seramai 33,133 pengundi atau 41.84 peratus daripada 80,229 pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu sudah melaksanakan tanggungjawab di 36 pusat pembuangan undi menjelang 12 tengah hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata saluran satu dan dua yang mewakili pemilih warga emas mencatat jumlah paling tinggi, iaitu 50 peratus, manakala saluran pengundi muda masih rendah.

SPR, katanya, berpuas hati dengan peratusan pemilih yang sudah keluar mengundi.

Beliau menjangkakan lebih 90 peratus pemilih akan keluar mengundi menjelang waktu penutupan pusat pembuangan undi pada lima lima petang ini.

_________________________________

Ramalan peluang sama rata menjelang pengundian

KUALA TERENGGANU: Menjelang pengundian pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu esok, Barisan Nasional (BN) dan Pas, masing-masing diramal mempunyai peluang sama rata untuk menang.

Tidak harianlah sehingga petang ini, jentera kedua-dua parti masih meneruskan kempen sebagai usaha terakhir mendapatkan sokongan pengundi sebelum tempoh kempen tamat 12 tengah malam ini.

Sejak penamaan calon 6 Januari lalu, tumpuan pertandingan adalah antara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada BN dan Mohd Abdul Wahid Endut daripada Pas.

Turut bertanding calon Bebas, Azharudin Mamat.

Sebanyak 36 pusat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang esok.

Jabatan Meterologi meramalkan hujan pada sebelah petang.

Kawasan itu mempunyai 80,229 pengundi termasuk 838 pengundi pos.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail daripada BN pada 28 November lalu.

Dalam pilihan raya kecil ini, beberapa penganalisis membuat ramalan bahawa peluang antara calon BN dan Pas untuk menang adalah seimbang.

“Kemenangan banyak bergantung kepada pengundi atas pagar,” kata seorang penganalisis.

Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di situ adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Dalam kehangatan berkempen, tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku termasuk di beberapa kawasan yang dianggap “hitam”.

Kira-kira 6,000 anggota polis dikerah untuk memastikan tahap keselamatan.

Keputusan pilihan raya kecil itu dijangka diketahui sekitar jam 10 malam. - Bernama

____________________________________

Wan Farid nafi beri wang kepada wartawan

KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menafikan beliau terbabit dalam memberikan wang kepada dua wartawan sebuah laman web di Pusat Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, petang semalam.

Beliau berkata dalam tempoh pilihan raya kecil sekarang, pelbagai pihak akan mengambil kesempatan untuk memburukkan peribadinya.

“Saya tidak ada wang untuk ditawar kepada sesiapa...itu bukan saya punya.

"Anda tahu orang boleh buat apa sahaja terutama dalam pilihan raya kecil apabila anda menjadi perhatian.

“Yang pasti ia bukannya daripada Barisan Nasional...saya boleh pastikan. Itu bukan wang saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar di sini hari ini.

Beliau yang ditemani isterinya, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum ketika bertemu para pengundi di sekolah berkenaan selepas mengundi pada jam 8.02 pagi.

Wan Ahmad Farid menegaskan beliau mahu menang pilihan raya kecil ini dengan cara adil tanpa bersubahat dengan sesiapa atau melakukan yang menyalahi undang-undang.

Semalam, dua wartawan laman web berbahasa Mandarin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kerana mendakwa diberikan satu sampul surat berisi wang ketika berada di pusat media berkenaan. - Bernama

Dipetik Dari : Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan