Rabu, 7 Januari 2009

BAYU TIMUR

___________________________


LPT - Harapan Rakyat Terengganu




Hubungan erat antara Kerajaan Pusat dan Terengganu tidak dapat dinafikan sesiapa, malah tradisi ini cukup menyerlah ketika era pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kini pada era Dato' Ahmad bin Said, tradisi itu diperkukuhkan melalui hubungan dengan Timbalan Perdana Menteri (bakal Perdana Menteri), Datuk Seri Mohd Najid bin Tun Abdul Razak. Ini dibuktikan dengan dua langkah awal iaitu penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (LPT) dan royalti minyak.

Kerajaan Pusat secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Terengganu menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (LPT) dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion. Najib menyifatkan persetujuan sebagai gambaran kerjasama erat kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu bagi menjamin masa depan rakyat negeri berkenaan.

Kerana itu, tiada apa sebaik perkataan yang diucapkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Ahmad Said dan selain terima kasih banyak-banyak. Tindakan kedua-duanya yang berpandangan jauh demi menjamin hasil minyak dan kekayaan negeri dapat dirasai sama oleh cucu-cicit rakyat Terengganu ialah penubuhan LPT.

Pembabitan Seri Paduka dalam idea menubuhkan LPT ini menarik lebih-lebih sejak pilihan raya umum 2008 jelas Raja-Raja Melayu mula memainkan peranan semakin menyerlah dalam hal ehwal negeri. Malah kenyataan dan dan tindakan Raja-Raja Melayu mengambarkan mereka juga mahu mendapat "tempat" sewajarnya dalam isu-isu penting negeri dan negara.

Menurut sumber, cadangan mewujudkan LPT yang diilhamkan Sultan Mizan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat baru-baru ini, diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Exco negeri. Dengan sejarah yang dicipta ini, iaitu kali pertama bagi sesebuah negeri di Malaysia yang berpandangan ke hadapan, adalah sesuatu persediaan penting sekiranya hasil minyak tiada lagi.

Persetujuan dan tindakan bijak Ahmad Said dalam soal ini bukan sekadar membuktikan pentadbiran negeri Terengganu merangka masa depan dengan bijak tetapi juga melatih rakyat Terengganu di dalam pengurusan profesional. Mungkin jawapan kepada penubuhan LPT juga ialah menyekat atau menghindarkan ahli politik menggunakan sewenang-wenangnya pendapatan daripada hasil minyak apabila 'keborosan' dapat dilihat dengan nyata bagaimana wang royalti dibelanjakan dengan 'agak boros'.

Seri Paduka akan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat LPT, yang akan turut diangotai Menteri Besar sementara Lembaga Pengarahnya akan mengambilkira tokoh dengan kelulusan bersesuaian, personaliti di kalangan profesional, mempunyai integriti tinggi serta pengalaman pada peringkat antarabangsa.

Najib berkata pada 13 Disember lalu, pada prinsipnya, cadangan ini telah pun diluluskan oleh jemaah menteri. LPT adalah tindakan bersejarah bagi Kerajaan Terengganu kerana ia belum dilakukan negeri lain apabila dilaporkan akan menubuhkan LPT dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion. Matlamatnya ialah menjana pertumbuhan ekonomi mapan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.

Terengganu kini mempunyai 1.1 juta penduduk dengan tahap miskin tegar antara tertinggi di Malaysia iaitu 6.5 peratus. Bagi menjamin fungsinya bergerak untuk tujuan jangka panjang, TIA akan melabur semula keuntungan untuk mendapatkan pertumbuhan lebih tinggi. Dividen akan diumumkan dan akan dikembalikan kepada kerajaan negeri serta rakan pelaburnya.

Pengurusan serta pelaburan sumber kewangan LPT akan dilaksanakan pada peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan pendapatan berterusan untuk jangka panjang bagi Terengganu serta memberi faedah khususnya, generasi akan datang. Untuk itu, katanya, kerajaan negeri akan mengkhususkan sebahagian besar daripada royalti minyak dan gas kepada LPT untuk pembangunan ekonomi jangka panjang Terengganu.



Dalam usaha menjamin langkah mencapai pembangunan lestari jangka panjang, LPT juga akan terus melabur modal, simpanan dan keuntungannya untuk menjana kadar pertumbuhan yang tinggi manakala dividen akan diumumkan kepada kerajaan negeri.

Akhbar Berita Harian menyebut, penubuhan LPT itu juga dibuat sebagai sebahagian usaha untuk memastikan pendapatan negeri berkenaan mencukupi untuk menjana pembangunan bagi generasi akan datang terutama apabila negeri itu kehabisan sumber minyak dan gas.

Terengganu belum menggunakan sepenuhnya minyak dan gas namun kebimbangan tetap ada bahawa royalti tidak dibelanjakan sewajarnya, termasuk yang diterima oleh kerajaan Pas ketika memerintah Terengganu.

"Persetujuan dan tindakan bijak Ahmad Said dalam soal ini bukan sekadar membuktikan pentadbiran negeri Terengganu merangka masa depan dengan bijak tetapi juga melatih rakyat Terengganu di dalam pengurusan professional."

_____________________________________________________

Tabung Rawatan Dapat Tambahan


Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad

"Sejak Januari hingga November lalu, seramai 731 orang telah mendapat faedah daripada tabung tersebut yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM2.2juta,"



Tabung Kebajikan Rawatan Perubatan ditubuhkan kerajaan negeri Terengganu bagi membantu rakyat negeri ini mendapatkan bantuan kesihatan, akan ditambah.

Ini berikutan kesediaan Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan kepada tabung itu melalui Dana Khas Persekutuan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff hmad berkata baru-baru ini, Terengganu merupakan satu-satunya negeri menubuhkan tabung itu melalui peruntukan Dana Khas Persekutuan sebanyak RM2 juta setahun bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat bantuan dengan segera.

Katanya, kementerian sedia membantu jika peruntukan yang disediakan tidak mencukupi berdasarkan permohonan yang diterima.

"Sejak Januari hingga November lalu seramai 731 orang telah mendapat faedah daripada tabung tersebut yang melibatkan perbelanjaan kirakira RM2.2 juta," katanya ketika melawat seorang pesakit, Minah Mamat, 63, di Jalan Panji Alam di sini hari ini.

Turut sama hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nordiyanah Hassan.

Dalam lawatan itu, Abdul Latiff turut menyampaikan bantuan berbentuk hamper barangan keperluan kepada warga emas itu.

Minah yang terlantar sejak tiga tahun lalu kerana diserang penyakit jantung merupakan salah seorang yang menerima rawatan susulan daripada pihak hospital.

Menurut Abdul Latiff, pemberian bantuan yang telah diberikan melalui tabung itu termasuk untuk kehilangan anggota, alat bantuan pendengaran serta lampin pakai buang dan susu.

Beliau memberitahu, borang untuk mendapatkan bantuan tabung itu boleh didapati di Pejabat Kesihatan negeri dan daerah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan