`Saya Anak Terengganu’ (SAT) dan `Smart Start’ adalah dua program berbeza yang akan diperkenalkan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bermula awal Februari depan.
Program yang bertujuan mengerat dan memperkukuhkan lagi institusi kekeluargaan itu akan memberi manfaat kepada pelbagai golongan dan peringkat umur.
Program SAT bertujuan menanam semangat jati diri dan sayangkan negeri terutama di kalangan generasi muda yang dilihat semakin terhakis sehingga menyebabkan banyak gejala sosial berlaku sejak kebelakangan ini.
Program itu dirangka khusus untuk pelajar lepasan sekolah dan mahasiswa bagi membina kembali perasaan cintakan keluarga serta bangsa dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.
Pengarah YPK, Shafaruddin Mustaffa, berkata untuk program ini, YPK akan memilih seramai 100 pelajar dari setiap DUN dan mereka akan dihantar berkursus selama tiga hari dua malam di tempat yang ditetapkan.
“Mereka akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk motivasi, spiritual dan seumpamanya bagi memulihkan diri mereka.
“Manakala bagi program Smart Start pula disasarkan kepada 3,000 pasangan baru berkahwin bertujuan mendidik pasangan berkenaan supaya bersedia menempuh alam baru dan peka dengan tanggungjawab masing-masing,’ katanya.
Shafaruddin berkata, melalui program itu, setiap pasangan akan dihadiahkan pakej bulan madu selama tiga hari dua malam ke destinasi tertentu, selain beberapa lagi kursus tambahan yang berkaitan dengan alam perkahwinan.
“Secara asasnya, matlamat dan tujuan kita hampir sama dengan kursus asas perkahwinan, tetapi sebenarnya ia sedikit berbeza kerana lebih realistik.
“YPK turut mendapat nasihat daripada Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) bagi merangka modul terbaik sebagai pengisian kepada program ini,’ katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan