Jumaat, 16 Januari 2009

Projek Perumahan Hasil Sefahaman Jitu Kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Najib melakukan upacara pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Proses menukar status tanah untuk projek pembangunan yang dilakukan bagi faedah rakyat dapat dilaksanakan tanpa masalah jika kerajaan negeri dan Pusat memiliki persefahaman jitu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, berkata kini terbukti terdapat persefahaman antara dua kerajaan apabila Kementerian Penerangan meluluskan serta-merta pertukaran kegunaan tanah untuk kerajaan negeri menjalankan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Katanya, Menteri Penerangan (Dato’ Ahmad Shabery Cheek) meluluskan permohonan itu serta merta apabila Dato’ Ahmad Said (Menteri Besar) meminta tanah milik Kerajaan Pusat untuk dimajukan dengan projek PPR.

“Oleh kerana yang diminta itu Menteri Besar Barisan Nasional (BN) yang diluluskan itu Menteri Penerangan BN, maka tiada hal (masalah) untuk dilulus dengan serta merta.

“Tambah lagi yang dipohon itu Ketua UMNO Bahagian (Dato’ Ahmad) yang dimintak kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini (16 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Hamzah Zainuddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Dato’ Ahmad menulis surat kepada beliau sebagai Menteri Kewangan dan meminta supaya projek dilaksanakan segera.

Katanya, sebaik sahaja mendapat surat berkenaan, beliau membawa dalam mesyuarat dan memutuskan supaya projek berkenaan dilancarkan pada hari ini.

“Maka Kementerian Kewangan telah memberi kelulusan dan melantik kontraktor untuk melaksanakan projek ini dengan segera, supaya selepas ini kita rundingkan harga dan selepas itu projek dilaksanakan.

“Jangan pula selepas ini orang kata kita bohong ataupun kita gula-gula pada pengundi..Tidak, kita tetap akan laksanakan projek ini. Bukan sahaja buldozer ini, tetapi kawasan ini akan berubah sedikit masa lagi, insyaALLAH..,” katanya.

Beliau berkata, projek PPR itu juga ada kaitan dengan peristiwa yang akan berlaku pada hari esok dalam beberapa jam sahaja lagi dan esok amat penting.

“Kita jangan fikir lusa tetapi (fikir) hari esok. Hari esok kita kena langkah, hari esok biarlah hari esok itu hari Barisan Nasional.

“Saya harap sangat biarlah tuan-tuan dan puan-puan, sebab dah cukup contohnya, projek ini pun dah cukup contohnya. Orang kata hendak pembaharuan, tetapi pembaharuan itu, agenda pembaharuan itu, agenda transformasi itu ialah agenda Barisan Nasional,” katanya.



Dato' Seri Najib dan Dato' Ahmad Said melihat model perumahan rakyat.

Beliau juga meminta supaya rakyat tidak perlu menukar parti dan memilih parti yang ada agenda perubahan sebagaimana yang dilaksanakan parti BN.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata, pembangkang boleh mengatakan mereka mempunyai agenda tetapi mereka tidak boleh melaksanakan apa-apa kerana tidak mempunyai kuasa selain hanya mampu bersuara sahaja di dalam Parlimen.

“Yang mana penting bagi kita, yang mana boleh membantu kita, yang mana boleh membuat perbezaan untuk kita. Jawabnya ialah Barisan Nasional bukan PAS,” katanya.

Dalam pada itu, projek PPR Padang Hiliran merupakan projek yag disenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 yang akan dimulakan pembinaannya selewat-lewatya pada Jun 2009 dan dijangka siap sebelum Jun 2012.

Projek ini terdiri daripada 1,000 rumah bertingkat yang akan dibina atas tanah seluas 21.5 ekar bernilai kira-kira RM100 juta.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan