Rabu, 21 Januari 2009

Pilihan Raya Lancar

Oleh: Farezul Fadzal


Ketua Polis Terengganu, Datuk Sukri Dahlan pada sidang media mengenai rumusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Sukri Dahlan menyifatkan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PKR) Kuala Terengganu disifatkan berlangsung dalam keadaan selamat.

Menurutnya, pihak masyarakat turut banyak membantu serta memberi kerjasama kepada polis dalam menentukan suasana keamanan dapat dikekalkan sepanjang tempoh pilihan raya kecil berjalan.

Beliau berkata demikian pada sidang media tentang rumusan pilihan raya kecil di bilik mesyuarat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya, pihak polis turut berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang dengan perancangan rapi yang dibuat sejak awal lagi telah dapat dijalankan dengan teliti.

“Matlamat polis dalam merencanakan operasi ini, adalah berteraskan kepada matlamat insiden sifar (zero incidents) pada pilihan raya kecil ini,” ujarnya.

Jelasnya, seramai 3,500 polis terlibat dalam operasi kali ini dan modus operasi keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diguna pakai turut sesuai digunakan dalam pilihan raya akan datang.

“Pendekatan ini lebih kepada pendekatan bersepadu. Itulah yang menyebabkan keberkesanan tugas-tugas polis dalam mementukan tahap keselamatan berada di tahap terbaik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pihak polis turut menerima 107 kes dilaporkan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung termasuklah sembilan kes dibawah Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya (8), Akta Polis (1) dan lain-lain sebanyak 83 kes.

Selain itu, sebanyak 69 laporan polis telah dilaporkan oleh pasukan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melibatkan penurunan bendera dan poster.

“Bendera yang diturunkan adalah sebanyak 702 helai,” jelasnya.

Manakala sebanyak 617 banner dan poster diturunkan menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah 1,319 helai.

Unit Komunikasi Negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan