Khamis, 8 Januari 2009

DANA KHAS UNTUK PENGUSAHA BAS

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar menyampaikan cek RM144,000 kepada Kumpulan Utusan Malaysia untuk melanggan akhbar harian itu seterusnya diedarkan kepada pelajar seluruh negeri ini dalam memperkasakan pendidikan. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.



Kerajaan Negeri akan mewujudkan dana khusus kepada syarikat pengusaha bas di negeri ini untuk memberi peluang kepada mereka mengembangkan perniagaan, termasuk membeli bas baru.

“Setiap syarikat pengusaha bas disediakan dana RM1 juta di mana RM500,000 berbentuk pinjaman dan RM500,000 berbentuk geran yang tidak perlu dibayar,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada sidang media di pejabatnya, di Wisma Darul Iman, hari ini (7 Januari).

Katanya, kerajaan akan mengenal pasti beberapa syarikat bas henti-henti yang benar-benar memerlukan bantuan membeli bas baru dan pelbagai keperluan lain agar mereka dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik pada masa akan datang.


Dato' Ahmad Said menunjukkan keluaran khas pilihanraya `Ganu Kita' untuk edisi pertama dan siap diedarkan seluruh Terengganu.

Menurut Dato’ Ahmad, kerajaan juga akan menghidupkan semula perkhidmatan bas Cas Ligas sebagai pengangkutan awam khusus di sekitar bandar dan sehingga ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Sehingga ini terdapat enam buah bas telah mula beroperasi dan berharap ianya dapat mengurangkan rungutan orang ramai mengenai pengangkutan awam dalam bandar,” katanya.

Sebagai permulaan, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan ini secara percuma dan kerajaan belum menentukan kadar tambang dan tarikh penguatkuasaannya akan ditetapkan kemudian.


Encik Abdul Aziz menerangkan sesuatu kepada Dato' Ahmad Said mengenai sisipan bahasa jawi.

Menurut Dato’ Ahmad, dulu ada cadangan bas ini beroperasi ke daerah-daerah tetapi mendapat bantahan ramai terutama pengusaha bas yang sedia ada kerana dikatakan akan menjejaskan perniagaan mereka.

Sebelum itu Menteri Besar telah menyampaikan replika cek bernilai RM144,000 kepada Ketua Pengarah Kumpulan Utusan, Encik Abdul Aziz Ishak bagi pengagihan akhbar ke sekolah rendah dan menengah terpilih seluruh negeri.

Akhbar keluaran setiap Isnin yang diagihkan ke 120 sekolah rendah dan menengah mulai minggu depan turut memuatkan edisi jawi di samping sisipan pendidikan dan ruangan J-Qaf.

Langkah kerajaan menaja akhbar itu antara lain untuk menjadikan akhbar sebagai bahan pelajaran dalam darjah, di samping memupuk minat dan kecenderungan membaca di kalangan pelajar serta meningkatkan motivasi pelajar.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan