Isnin, 5 Januari 2009

Royalti Jana Program Mesra Rakyat

Kerajaan negeri perlu menggunakan wang hasil royalti untuk apa jua agenda pembangunan berkonsepkan mesra rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata usaha yang dibuat kerajaan negeri ini kini amat dialu-alukan dalam melaksanakan pembangunan untuk rakyat termasuklah pemberian 25,000 unit komputer riba kepada pelajar Tahun Lima pada Mac ini.

“Pencapaian Terengganu dalam ujian Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) telah mengatasi Pahang walaupun jumlah pelajar lebih ramai di Pahang yang menduduki PMR…tak ape lah…janji rakyat Terengganu untung dan BN boleh menang dalam pilihan raya ini,” katanya pada majlis Perasmian Hotel Felda, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Exco kerajaan negeri; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Fong Meng; Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kerajaan negeri baru-baru ini menerima wang royalti berjumlah RM408.6 juta yang diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Elakkan Kekerasan, Patuhi Undang-undang

Semua parti bertanding digesa supaya tidak melakukan kekerasan sehingga mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, berkata semua pihak perlu mematuhi peraturan dan tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. "Semua pihak sama ada lawan dan juga kita (Barisan Nasional) berharap tidak melakukan kekerasan yang boleh mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita tidak mahu lagi berlaku seperti di Permatang Pauh," katanya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan ketua-ketua cawangan UMNO dalam Bahagian Kuala Terengganu, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari). Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Terdahulu, Dato’ Seri Mohd Najib memberi jaminan kepada calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid akan diberikan jawatan sebagai Timbalan Menteri jika menang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Felda Residence, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Sementara itu, calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, perkara pertama yang akan dibuatnya selepas ini adalah mengisi borang penamaan calon.

“Itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui media sejurus selepas pertemuan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan