Isnin, 12 Januari 2009

Najib janji penuhi permohonan

Sumber : Utusan Malaysia Online

KUALA TERENGGANU 11 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap sebarang permintaan dan keperluan kakitangan kerajaan apabila beliau menjadi Perdana Menteri kelak.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau akan memenuhi segala permohonan mereka jika kerajaan mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

Katanya, sebelum ini kerajaan telah memenuhi pelbagai permintaan golongan itu termasuk melanjutkan tempoh bayaran pinjaman sehingga 25 tahun agar belanja bulanan mereka dapat dikurangkan melalui pakej fiskal rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini.

''Insya-Allah jika ada rezeki lagi tentu sekali pada masa akan datang, percayalah, kakitangan kerajaan akan mendapat pertimbangan sebaik-baiknya.

''Saya berazam untuk meneruskan kerja baik yang dibuat oleh Perdana Menteri sebelum ini termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memastikan Malaysia dilonjakkan dan menjadi kebanggaan dunia," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dan makan tengah hari bersama kakitangan Kerajaan Persekutuan dan negeri di sini hari ini.

Pada majlis itu Najib turut membayangkan bahawa satu 'perkara baik' menanti kakitangan kerajaan bagaimanapun menurutnya, sekarang bukan masanya untuk membuat pengumuman.

Katanya, kakitangan kerajaan tidak perlu memilih laluan sukar untuk mendapatkan kemudahan yang mereka inginkan, sebaliknya hanya perlu memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini membolehkan segala impian rakyat menjadi realiti.

Menurutnya, di bawah kerajaan BN, rakyat Malaysia terutama kakitangan kerajaan boleh mencari rezeki dengan selamat dan mereka mempunyai peluang untuk mencapai impian mengikut potensi masing-masing.

Tegasnya, perkara itu mesti dipertahankan supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

''Kita boleh buat dengan syarat pilihlah orang yang ada kemampuan. Ini adalah salah satu syarat untuk memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat.

Dalam hal ini katanya, rakyat serta kakitangan kerajaan di Kuala Terengganu mempunyai peluang untuk memilih laluan mudah bagi merealisasikan impian mereka dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada pilihan raya kecil Parlimen itu, 17 Januari ini.

''Sistem demokrasi memberi peluang kepada kita untuk membuat pilihan. Jika kena tempatnya, pilih kerajaan yang terbukti berkemampuan mentadbir, maka tiada masalah untuk kita terus maju.

''Jika hendak cari laluan yang mudah, maka pilihlah BN pada 17 haribulan ini," ujarnya.


CUEPACS kaji tangga gaji kakitangan awam

KUALA TERENGGANU 11 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengkaji semula skim perkhidmatan kakitangan kerajaan ekoran setiap gred mempunyai tangga gaji mati yang tidak sama.

Presidennya, Omar Osman berkata, pertimbangan ini dibuat kerana bimbang ia akan menjejaskan produktiviti dan prestasi kakitangan awam khususnya mereka yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang masih panjang.

"Ada yang tangga gaji mati awal dan mereka masih mempunyai tempoh berkhidmat lagi 20 atau 30 tahun. Kita fikir perkara ini perlu sebab kita nak jaga produktiviti. Kalau tidak ada kenaikan tahunan, ia akan menjejaskan prestasi.

"Secara tidak langsung juga, ia akan memberi manfaat kepada pertambahan tempoh persaraan 58 tahun," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Isu-isu Semasa Dalam Sektor Awam di sini hari ini.

Omar berkata, CUEPACS akan mengadakan satu bengkel khas penyemakan skim perkhidmatan dan gred untuk mengkaji tangga gaji Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Sokongan Gred 1 hingga 40 pada Mac depan.

Dalam perkembangan lain, Omar menggesa Kementerian Pelajaran segera mengeluarkan surat tawaran kepada 119 anggota Kumpulan Sokongan di Terengganu sebelum 17 Januari kerana sehingga hari ini, mereka masih belum menerima sebarang surat tawaran untuk melanjutkan kontrak perkhidmatan.

Pada 5 Januari lepas, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kontrak perkhidmatan anggota berkenaan akan disambung semula dalam tempoh terdekat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan