Khamis, 1 Januari 2009

Laporkan Berita Yang Tepat



Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menggunakan kemudahan di Pusat Media selepas merasmikannya di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini, media memainkan peranan yang cukup penting. Oleh itu, wartawan serta penulis bebas perlu melaporkan berita yang tepat dan tidak mengelirukan supaya terhindar daripada perselisihan faham di kalangan masyarakat.

Malah, mereka juga perlu pengamatan yang tajam dan berhati-hati ketika melaporkan berita di media masing-masing.Menteri Besar, Dato’ Ahmad said mengingatkan pengamal media supaya ada tanggungjawab sebagai orang Islam dan tidak melaporkan fakta yang salah sehingga menimbulkan fitnah yang boleh tersebar ke seluruh dunia.
“Jadi kalau kita buat berita yang berat sebelah atau tidak mendapatkan fakta yang tepat, ini mengelirukan orang dan sekali orang terkeliru untuk membetulkan balik susah.
“Katakan kebetulan pada hari itu orang tengok berita, katakan berita tidak tepat dan malam karang atau besok dia tidak tengok, jadi dia tidak tengoklah pembetulan dibuat atau sebagainya ,” kata beliau ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Media, di Bangunan Epic, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini (1 Januari).
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Abdullah Morad.
Pusat Media yang diwujudkan sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bakal beroperasi bermula 1 Januari hingga 18 Januari depan bermula jam 8 sehingga 2 pagi menyediakan pelbagai kemudahan kepada petugas media seperti talian internet, wifi, faksimili, mesin cetak dan telefon.
Selain sebagai pusat menyimpan dan mengedar pelbagai maklumat semasa, sidang akhbar serta ceramah politik, ia juga menjadi medan petugas media berkumpul, berinteraksi serta bertukar maklumat dan bahan berita sebelum di paparkan dalam media masing-masing.
Dalam pada itu, lebih 50 wartawan luar negara, 200 wartawan tempatan serta bloggers dan penulis maya dijangka membuat liputan sempena pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.
Pada masa yang sama, Pusat Media yang diselaraskan oleh Pejabat Menteri Besar, Unit Komunikasi Negeri dan Kementerian Penerangan boleh memuatkan 20 hingga 30 petugas pada satu-satu masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan