Oleh: Suriati Ali
“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu masyarakat Cina. Bantuan yang diterima dapat menampung perbelanjaan dapur serta membeli barangan untuk menyambut Tahun Baru Cina.
“Rasa gembira kerana ada pihak yang prihatin dan ambil tahu mengenai nasib kami walaupun berada dalam kelompok besar masyarakat Melayu,” kata penerima kategori Warga Miskin, Lee Kim Chuin, 60, yang ditemui pada Majlis Pengagihan Dana Tahun Baru Cina, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Katanya, Kerajaan Terengganu memang prihatin kerana tidak melupakan golongan miskin serta menambahkan keceriaan sempena sambutan Tahun Baru Cina nanti.
Penerima kategori ibu tunggal, Koh Siew Khua, 65, berkata hatinya sedikit terubat kerana bantuan yang diterima dapat digunakan untuk membeli barangan dapur yang kini harganya semakin meningkat.
“Saya sudah kematian suami, tanggungjawab mencari rezeki dan jaga anak terpaksa saya pikul sendiri. Jadi bantuan yang diterima ini sangat berharga,” katanya yang mempunyai seorang anak yang dikategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Seorang lagi penerima, Lua Bee Soon, 58, dari Kampung Rakyat, Batu Rakit, berkata sudah empat kali dia mendapat duit raya daripada kerajaan negeri. Duit ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli pelbagai keperluan termasuk pakaian sempena Tahun Baru Cina.
“Saya akan ingat jasa kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk terutama mereka kurang berkemampuan,” katanya yang bekerja sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata sejumlah RM2.72 juta DTBC diagihkan kepada 9,353 penduduk di negeri ini.
Bagi Parlimen Kuala Terengganu, seramai 4,500 penduduk menerima dana itu yang membabitkan jumlah RM1.3 juta. Ia diagihkan mengikut kategori warga miskin, warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan