Memastikan Rakyat Mendapat Manfaat
oleh : Ruslan Abdul Rahman
Pembangunan adalah suatu perkataan yang mudah diucap, tetapi sukar untuk diberi makna yang tepat. Ada yang melihat pembangunan itu dari sudut fizikal. Misalnya apabila terdapatnya bangunan yang besar dan mencakar langit, jalan raya yang bersimpang siur dan sebagainya; itu sebagai tanda negeri atau negara itu sudah membangun.
Ada juga yang melihat dari aspek spritual semata-mata dengan mengatakan pembangunan fizikal itu tidak penting, mebazir, mewah dan tidak perlu. Mereka melihat pembangunan itu dari kerohanian. Kata mereka biarlah tidak ada pembangunan, mundur dan terkebelakang, asalkan kehidupan beragama dan nilai akhlak penduduk terpelihara. Mereka ini memahami ajaran agama dalam skop yang amat terbatas dengan tidak melihat pembangunan fizikal juga adalah tuntutan agama.
Walau apapun pengertian mengenai pembangunan, kita di Terengganu sudah melalui proses perubahan dari sebuah negeri yang mundur kini mampu bersaing dengan negeri lain. Terengganu sudah membina imej yang tersendiri. Imej negeri yang sedang membangun, tetapi masih terpelihara nilai-nilai ketimurannya.
Tidak sesiapa pun boleh menafikan tentang perubahan fizikal Terengganu, berbeza dulu dan sekarang. Bukan itu sahaja, pembangunan di bidang ilmu dan pendidikan, keagamaan atau pembangunan ekonomi, sosial dan modal insan cukup hebat di Terengganu. Semuanya di bawah kepemimpinan yang bijaksana dan berpengalaman.
Dalam hal ini pimpinan Terengganu, Dato' Ahmad Said mempunyai pendekatan sendiri dalam menggalas tanggungjawab. Beliau amat berwaspada dalam memacu pembangunan dengan terlebih dahulu menilai kesan dan impak yang bakal dirasai rakyat tempatan daripada setiap projek yang akan dijalankan.
Beliau pernah melafazkan bahawa "kita bukan menolak projek pembangunan, tetapi perlu dipastikan rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan itu." Perkara ini ditegaskan dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri di Institut Tadbiran Awam Negeri (INTAN) sebulan selepas beliau dilantik mengetuai kerajaan negeri.
Beliau memberi jaminan bahawa rakyat negeri ini akan menikmati suatu kehidupan yang lebih selesa dengan program pembangunan yang diatur untuk kepentingan dan faedah rakyat. Pemimpin berjiwa besar ini menyatakan menjadi tanggungjawab beliau untuk meneruskan segala perancangan yang dibuat kepimpinan terdahulu; segala yang mendatangkan faedah dan kebaikan kepada rakyat diberi jaminan akan diteruskan.
Manakala yang mendatangkan kesan negatif akan dikaji dan dilakukan pengubahsuaian bagi memenuhi objektif perjuangan untuk berbakti kepada rakyat. Menjadi keutamaan beliau untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan kesusahan rakyat di bandar dan luar bandar.
Marilah seluruh rakyat kita bernaung dan mendokong kepemimpinan yang menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam segala perkara yang dirancang dan dilaksanakan. Kepemimpinan datangnya dari rakyat dan kepimpinan ini adalah milik rakyat semua.
Ruslan Abdul Rahman
Asal Laut Balik Ke Laut
Oleh : Cicit Laksamana dan Nan Morrisa
Lagu Ulit Mayang yang mengandungi ungkapan "Asal Laut Balik Ke Laut, Asal Darat Balik Ke Darat", begitu sinonim dengan masyarakat tempatan. Malah, gema lagu tersebut juga sering berkumandang di luar negara apabila kumpulan kebudayaan dari negeri ini mempersembahkan tarian itu kepada warga asing di pesta-pesta kebudayaan.
Maksud yang tersirat di sebalik keindahan bait-bait lagu tradisional itu, kini memberi sinar baru kepada rakyat Terengganu apabila royalti minyak sebanyak 5 peratus dikembalikan semula kepada Kerajaan Terengganu.
Ini bermakna mulai tahun 2009 terimaan bukan hasil iaitu peruntukan Dana Khas yang diberi kepada Terengganu mulai 2004 akan digantikan dengan hasil cukai royalti. Sebanyak mana hasil royalti tersebut diperolehi akan disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri Terengganu.
Mulai sekarang, kerajaan negeri berkuasa penuh menggunakan wang royalti bagi melaksanakan apa-apa projek yang difikirkan perlu untuk membela nasib rakyat.
Selepas Dato' Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, mulai kedengaran cakap-cakap bahawa kerajaan negeri akan meminta Kerajaan Pusat mengembalikan semula royalti minyak.
Menariknya, cadangan tersebut turut disokong oleh pemimpin dan pengikut Pas walaupun tradisinya mereka membangkang apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, walaupun ianya memberi kebaikan kepada mereka.
Kemuncak perjuangan Dato' Ahmad Said untuk mengembalikan semula hak rakyat Terengganu itu ialah apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pemberian tersebut sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu pada 14 Jun 2008.
Perdana Menteri menyampaikan berita gembira itu dalam satu majlis perjumpaan dengan pemimpin UMNO Terengganu dan makan tengah hari bersama pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan di Primula Beach Resort.
"Secara terperincinya, prosedur dan langkah yang akan diambil berhubung pemberian semula royalti minyak akan ditetapkan apabila perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu diadakan.
"Kerajaan Persekutuan akan mula bagi (royalti) sebaik semua telah dipersetujui," kata Perdana Menteri diiringi tepukan gemuruh para hadirin.
Berita gembira itu cepat merebak ke seluruh negeri. Baik kakitangan kerajaan, petani, penternak, nelayan, pengayuh beca, pemandu teksi, pesara atau suri rumah, mereka mengharapkan lebih banyak faedah dapat diraih hasil pemberian terus royalti kepada kerajaan negeri.
Penyokong pembangkang juga mengimpikan hasrat yang serupa kerana walaupun mereka tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi apa saja subsidi yang diberi kerajaan mereka 'sapu bersih'.
Malah ada sesetengah penyokong pembangkang tidak segan silu berjumpa dengan ketua kampung untuk menuntut hak masing-masing jika nama mereka tidak tersenarai sebagai penerima subsidi.
Sewaktu meminta subsidi tersebut golongan ini kadang-kadang lupa bahawa pada malam sebelumnya mereka berkumpul beramai-ramai di satu tempat untuk mendengar pemimpin mereka memaki hamun pemimpin kerajaan yang kerjanya membela nasib rakyat. Sikap mereka ibarat menjilat ludah sendiri.
Betapa gembira pemberian royalti kepada Terengganu, diterjemahkan secara praktikal apabila timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, menyerahkan cek RM408.6 juta kepada Menteri Besar, di Stadium Negeri pada 13 Disember 2008.
Peristiwa bersejarah tersebut disaksikan lebih 2,000 orang terdiri daripada rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan detik-detik kegembiraan itu.
"Jangan risau. Biar kita dapat dulu pitis (duit hasil royalti). Bila dah ada pitis pandailah kita belanja.Tetapi saya jamin pitis ini memang klita akan gunakan untuk rakyat,"kata Dato' Ahmad Said berulangkali dalam setiap majlis selepas pengumuman Kerajaan Pusat akan menyerahkan semula royalti kepada Terengganu.
Jaminan Menteri Besar berjiwa rakyat itu terbukti bukan cakap-cakap kosong seperti yang selalu dibuat oleh pemimpin parti pembangkang. Sebaliknya kerajaan negeri terus merangka dan mengatur pelbagai usaha berpaksikan pembangunan modal insan.
Antaranya menyediakan peruntukan RM30 juta bagi melaksanakan Program Buku Elektronik (E-Book) mulai 2009. Melalui program itu yang julung kali diperkenalkan di negara ini, 25,000 pelajar tahun lima akan dibekalkan dengan komputer riba. setiap pelajar tidak perlu lagi menggalas beg yang sarat dengan buku ke sekolah kerana E-Book akan menggantikan buku teks.
Kerajaan negeri juga akan MERAKYATKAN PENDIDIKAN dengan menyediakan peruntukan RM149.11 juta juta kepada bidang pelajaran dan latihan. Rakyat akan menerima bantuan terus daripada kerajaan bagi memastikan kecemerlangan anak-anak mereka di bidang pendidikan.
Penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) juga bakal mengukuhkan lagi ekonomi negeri ini, khususnya dalam menangani krisis ekonomi global.
Melalui perbadanan yang diilhamkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pendapatan daripada hasil royalti akan digunakan untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri di masa depan.
Seandainya tidak ada lagi minyak yang boleh disedut dari perut bumi di perairan negeri ini, hasil keuntungan daripada pelaburan TIA akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek untuk kesejahteraan rakyat.
Bagi memastikan Terengganu menerima sepenuhnya wang royalti sejak 2004, kini kerajaan negeri sedang menunggu senarai penuh perbelanjaan digunakan oleh Kerajaan Pusat.
Sewaktu menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri dari pembangkang semasa sidang DUN baru-baru ini, Menteri Besar menjelaskan kerajaan negeri belum menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti berkenaan yang difailkan oleh Pas pada 2000 ketika kerajaan pembangkang itu memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Jawapan tersebut agak mengejutkan kerana banyak pihak terutama parti pembangkang menyangka bahawa kerajaan negeri telah menarik balik saman tersebut. Inilah kebijaksanaan pemimpin negeri dalam menangani isu tersebut dan mereka tidak gopoh untuk melakukan sebarang tindakan kerana kepentingan rakyat menjadi keutamaan.
Walau apapun strategi pemimpin kita, rakyat Terengganu pastinya menaruh keyakinan bahawa kerjasama erat antara pemimpin negeri dan Persekutuan, tidak ada pihak yang akan ditindas.
Malah, dengan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Pusat, isu royalti akan diselesaikan dengan cara terbaik dan rakyat Terengganu pasti akan mendapat rahmat yang mencurah-curah. InsyaAllah..
Dapatkan naskah GANUKITA terbaru untuk mengetahuinya.
Rabu, 7 Januari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan