oleh : Faredzul Fadzal
Dato' Seri Abdullah bersama Ketua Wanita Umno Perhubungan Terengganu, YB Senator Hajah Wan Ramlah Ahmad, Dato' Ahmad Said dan calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid pada majlis perjumpaan dengan pemimpin wanita Terengganu di Wisma Darul Iman.
Jentera Barisan Nasional (BN) diminta bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata semua wakil jentera di peti undi perlu berusaha gigih bagi meraih sokongan yang lebih tinggi dari pengundi di kawasan itu.
Beliau berkata, calon BN Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat pengorbanan tinggi dengan melepaskan jawatannya sebagai senator dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkuatkuasa 5 Januari lalu.
“Saya hendak mereka (jentera parti) faham ianya risiko tinggi sebabnya saya kata kepada dia (Dato’ Wan Ahmad Farid) jika saudara tidak menang maka saudara akan hilang kedudukan sebagai ahli senat..akan hilang kedudukan sebagai timbalan menteri..dan saudara tidak boleh balik ke sana (Putrajaya) nakkan jawatan.
“Itu adalah risiko yang telah saya beritahu kepada beliau awal-awal lagi apabila saya dengar cakap-cakap yang beliau (Dato’ Wan Ahmad Farid) akan menjadi calon pilihan UMNO Bahagian Kuala Terengganu,” katanya.
Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan dengan Jentera BN Parlimen Kuala Terengganu (empat peringkat), di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.
Dato' Seri Abdullah dan Dato' Ahmad Said beramah mesra dengan pemimpin wanita yang hadir pada majlis perjumpaan dengan pemimpin wanita Terengganu di Wisma Darul Iman.
Perdana Menteri menegaskan Dato’ Wan Ahmad Farid selaku Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu kini serius untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat bagi penduduk di Kuala Terengganu.
“Ini saya terangkan kepada wakil-wakil jentera pilihan raya yang ada kita memiliki calon yang begitu serius serta memiliki kekuatan yang ada pada dirinya yang dibawa seperti wakil rakyat lain,” tambahnya.
Beliau menjelaskan pengorbanan yang dilakukan calon BN itu dilakukan dengan niat ingin menabur khidmat kepada penduduk Kuala Terengganu, seterusnya menyambung legasi Allahyarham Dato’ Razali Ismail, yang mewakili kerusi Parlimen itu sebelum ini.
Sebahagian pemimpin wanita yang hadir pada majlis perjumpaan dengan pemimpin wanita Terengganu di Wisma Darul Iman.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menasihatkan pemimpin parti itu supaya tidak memikirkan mengenai pemilihan UMNO pada Mac ini.
“Lupakan seketika….kerja kita hendaklah ditumpukan untuk memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya ini,” katanya.
UMNO Kemuka Calon Awal
Tindakan UMNO mengumumkan calon yang bakal bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, lebih awal membuktikan parti itu tiada masalah pemilihan calon.
Malah, Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, menegaskan hanya satu nama dikemukakan Badan Perhubungan UMNO Negeri, bukan dua atau tiga calon, untuk bertanding pada pilihan raya itu.
“UMNO Terengganu tidak ada masalah (menamakan calon) sebab dari awal lagi hanya ada calon tunggal, tidak ada orang lain dipilih melainkan satu sahaja yang dicadangkan kepada Badan Perhubungan UMNO dan dibawa ke Kuala Lumpur ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Kuala Terengganu, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, pada hari ini.
Pada pilihan raya itu, BN menamakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sebagai calon dan pengumumannya dilakukan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Kediaman Seri Iman pada 20 Disember.
Pas pula hanya mengumumkan calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, pada 1 Januari lalu, iaitu lima hari sebelum hari penamaan calon.
Selepas BN mengumumkan calon, pemimpin Pas berdolak-dalik mengenai calonnya dan banyak pihak percaya parti berkenaan menghadapi masalah untuk berbuat demikian disebabkan banyak nama dikemukakan puak-puak berlainan dalam parti.
Dato’ Seri Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, apa yang penting kini semua pihak perlu bekerja gigih bagi memastikan calon BN menang dalam pilihan raya itu agar tradisi UMNO dalam membela nasib rakyat diteruskan.
“Dengan kawan-kawan yang datang ramai-ramai dari negeri-negeri lain membantu, maka ini sudah tentu kekuatan bertambah..tidak ada kekuatan pada tahun 2008..tidak ada kekuatan tambahan pada 2004. Tapi (pilihan raya ini) ada kekuatan tambahan,’’ tambahnya.
Jelasnya, dalam dua pilihan raya sebelum ini (2004 dan 2008) UMNO tidak mempunyai kekuatan tambahan, tetapi kali ini dengan adanya kekuatan tambahan beliau mengharapkan strategi UMNO lebih tersusun serta erat muafakat.
Beliau turut meminta usaha-usaha memberi penerangan kepada semua golongan, termasuk minoriti perlu ditingkatkan dengan menjawab segala persoalan mereka bagi memastikan penduduk kawasan Parlimen itu terus menyokong calon BN kerana ada banyak kebaikannya.
Perdana Menteri menaruh keyakinan bahawa pengundi akan memilih calon BN pada pilihan raya ini kerana mereka sudah berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008.
“Pada saya secara logiknya dengan kekosongan itu maka perlulah (pengundi) mengisi dengan seorang calon dari parti BN,” katanya.
Tingkatkan kebersihan masjid
Oleh: Suriati Ali
Iman dan bilal seluruh negeri bersalam dengan Menteri Besar ketika hadir pada Seminar Ke Arah Penubuhkan Yayasan Masjid Malaysia di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
“Saya akan berusaha meningkatkan lagi tahap kebersihan masjid sejajar dengan saranan kerajaan negeri yang ingin melihat tempat beribadat sentiasa dalam keadaan bersih dan terurus.
“Untuk mencapai tahap itu, saya akan pastikan setiap pengunjung tidak membuang sampah merata-rata dan kekalkan kebersihan tandas,” kata Imam Masjid Duyung Besar, Kuala Terengganu, Wan Abdullah Chik.
Wan Abdullah antara 2,500 imam dan bilal dari 483 masjid di seluruh negeri.
yang menghadiri majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, ketika ditemui selepas Seminar Ke Arah Penubuhan Yayasan Masjid Malaysia, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (7 Januari).
Manakala Imam Masjid Tebakang, Bukit Payong, Zainuddin Said, 65, berkata masjid kotor dan tidak terurus adalah berpunca daripada sikap jemaah itu sendiri yang kurang gemar amalkan kebersihan.
Katanya, sebagai contoh, jemaah luar yang datang untuk menunaikan solat turut makan dan minum, sisa serta plastik makanan itu dibuang merata-rata.
“Tabiat itu sukar dibendung kerana kebanyakan mereka mengganggap perkara yang dilakukan itu remeh dan tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada mereka,” katanya
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri kesal dengan sikap masyarakat terutama umat Islam hari ini yang lebih kepada gemar kepada persekitaran kotor.
Seminar yang dianjurkan sedikit sebanyak dapat menimba maklumat terutama bagaimana menjaga kebersihan masjid.
Katanya, mereka tidak mengamal kebersihan bukan sahaja di tempat awam dan rumah malah bersikap demikian di kawasan masjid.
“Tabiat ini perlu diubah kerana masjid adalah tempat beribadat dan perlu dipandang suci daripada pelbagai aspek. Sekiranya kawasan ini sukar dijaga apatah lagi di kediaman sendiri,” katanya.
“Umum sudah tahu, sebagai umat Islam, kebersihan adalah perkara yang perlu diutamakan. Oleh itu, bermula tahun baru ini, kerajaan negeri menyeru supaya masyarakat berubah dan sentiasa amalkan kebersihan,” katanya.
Dato’ Ahmad berkata, imam dan bilal perlu memastikan masjid terutama tandas sentiasa dalam keadaan bersih dan terurus.
“Ia penting kerana sebahagian jemaah terdiri daripada pelancong luar, sekiranya masjid kotor secara tidak langsung imej Terengganu akan tercalar,” katanya.
Unit Komunikasi Negeri
Khamis, 8 Januari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan