Sabtu, 10 Januari 2009

TIADA LAGI RUMAH UZUR

Oleh: Suriati Ali


Dato' Ahmad ditemubual oleh pengacara Selamat Pagi Malaysia TV1 di Dataran Batu Buruk. -Foto SHUHAIMI AHMAD.


Kerajaan negeri yakin dalam tempoh lima tahun akan datang tiada lagi rumah uzur dan usang di Terengganu berikutan langkah kerajaan negeri menyediakan kediaman lebih selesa kepada golongan kurang bernasib baik melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), setiap tahun.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut berusaha menggantikan atap rumah penduduk miskin dengan atap asbestos, bagi mengelakkan masalah kebocoran.

Bagi, merealisasikan matlamat itu, permohonan yang dikemukakan mereka yang cukup syarat akan disegerakan pembinaannya manakala penduduk yang atap rumah mereka bocor digantikan segera dengan atap asbestos biru.

Melalui pendekatan itu, kerajaan negeri percaya masalah kemiskinan tegar dapat dikurangkan secara berperingkat di samping melaksanakan beberapa program pembangunan lain bagi meningkatkan taraf hidup golongan miskin.

“Ini termasuk melaksanakan program menanam kelapa sawit dan padi di sekeliling rumah dan pendidikan bersistematik,’’ kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika ditemubual pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, 9 Januari. Temubual itu disiarkan secara langsung menerusi TV1.



Dato’ Ahmad berkata, dari segi pembangunan kerajaan negeri merancang untuk merakyatkan pembangunan. Ia penting kerana setiap pembangunan dilaksanakan, rakyat akan menerima faedah dan bukannya menjadi penonton semata-mata.

“Mengenai perancangan masa depan pula, kerajaan negeri perlu melihat kehendak rakyat, jika tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada mereka, kita tidak akan teruskan,” katanya ketika menjawab soalan mengenai pembangunan untuk rakyat.

Menteri Besar berkata, apa yang membanggakan, pencapaian pelajar negeri ini dalam peperiksaan utama iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini terus cemerlang.

“Terengganu mampu mengekalkan tempat pertama lapan tahun berturut-turut dalam UPSR,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan