Ahad, 4 Januari 2009

Liputan Adil Untuk Semua Parti

Oleh: Farezul Fadzal


Dato' Ahmad Shabery Cheek melihat blog dan naskah `Ganu Kita' sambil diperhatikan oleh Pengarah Jawatankuasa Media Pejabat Menteri Besar Terengganu, Encik Hambali Abd. Latif


Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membawakan maklumat terkini mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P.036) sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Liputan itu merangkumi semua parti yang bertanding dalam usaha memberi lebih banyak informasi kepada orang ramai.

Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, berkata liputan berkenaan akan disiarkan dalam slot selama setengah jam setiap pukul 10.30 malam di RTM1 bermula esok.

Katanya, liputan berkenaan akan diberikan secara adil kepada semua parti yang bertanding terutama, Barisan Nasional (BN) dan Pas tanpa menyinggung mana-mana pihak.

Beliau berkata, jika diberi masa 20 minit dengan menyiarkan bahan yang menimbulkan keaiban seseorang adalah tidak adil untuk RTM berbuat demikian.

“Jadi saya serahkan kepada kebijaksanaan dan professionalism wartawan serta RTM bagi menilai `content’ yang wajar dan adil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan singkat ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (P.036) Kuala Terengganu di Bangunan Epic, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Ahmad Shabery berkata, kandungan dalam slot tersebut turut memuatkan lanskap politik di Kuala Terengganu yang turut menceritakan secara spesifik di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Misalnya hari ini kita siarkan mengenai Dun Wakaf Mempelam, ia turut memuatkan berapa jumlah pengundi di Dun tersebut, pecahan mengikut kaum dan aktiviti setiap calon.

“Kemudian esoknya kita ceritakan mengenai Dun lain dan begitulah secara kasarnya (keseluruhannya),” katanya.

Namun begitu beliau tidak mahu mencampuri secara langsung urusan RTM dan mengharapkan persembahan yang terbaik untuk mereka.

“Saya harapkan waktu setengah jam yang diberikan itu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan