Sabtu, 3 Januari 2009

BN Yakin Menang



Oleh: Suriati Ali

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) yakin calon Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu (P36), Senator Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menang dengan majoriti lebih 2,000 undi.

“Sekiranya ia menjadi kenyataan, rakyat akan mendapat pelbagai faedah melalui perutukan yang disalurkan termasuk RM2 juta untuk membaiki serta menambah infrastruktur seperti longkang, jalan raya dan sistem peparitan,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said .

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud: Dato’ Wan Ahmad Farid serta isteri To’ Puan Intan Baizura Abdul Wahab.

Katanya, rakyat mesti telus dan perlu bijak menilai kebaikan kerajaan BN yang telah banyak berjasa kepada mereka.

“Umum sudah tahu sebelum ini kerajaan BN menyediakan pelbagai bantuan termasuk pembangunan untuk kesenangan rakyat, biasiswa, peralatan serta pakaian sekolah, menghantar pelajar jurusan perubatan ke luar negara dan sebagainya.

“Jika rakyat sengaja tidak menghargai kebajikan itu, mereka adalah orang tidak tahu berterima kasih serta tidak mengenang budi,’ katanya pada sidang akhbar selepas hadir di Majlis Jamuan Rakyat Bersama Pemimpin di Shah Bandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, rakyat perlu mengundi calon yang boleh membawa perubahan pelbagai sudut dan memahami kehendak rakyat yang inginkan keselesaan hidup.

“Pembangkang hanya pandai bersuara tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan, oleh itu, rakyat boleh fikir sendiri calon mana yang terbaik atau sebaliknya,’ katanya.



Sementara itu, Dato’ Wan Ahmad Farid, yakin semua orang tahu beliau merupakan calon BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 17 Januari nanti.

Katanya, beliau merupakan orang yang bertanggungjawab menyambung khidmat Allahyarham Dato’ Razali Ismail dan berjanji akan berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat sekiranya diberi peluang menjadi Ahli Parlimen.

“Jika rakyat telus untuk mengundi kerajaan BN, dapatlah saya menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan