Ahad, 4 Januari 2009

RM3.39 Bilion Untuk Tingkat Mutu Pelajaran

Oleh: Suriati Ali

Dato’ Alimuddin Mohd Dom beramah mesra dengan pelajar SMK Bandar, Kuala Terengganu.


Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperuntukkan RM138 juta tahun ini bagi menaiktaraf mutu pendidikan Terengganu selain membantu meringankan beban ibu bapa.

Daripada jumlah itu, Parlimen Kuala Terengganu menerima RM13.2 juta yang bakal diagihkan secara berperingkat ke setiap sekolah

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Alimuddin Mohd Dom, berkata bagi sekolah di bawah KPM, sejumlah RM3.39 bilion diperuntukkan khusus untuk bantuan pelajar dan murid miskin.

“Peruntukan itu diagihkan melalui 17 saluran termasuk bantuan makanan asrama sebanyak RM1 billion, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (RM4 Juta), Rancangan Makanan Tambahan (RM270.4), Biasiswa Kecil Persekutuan (RM238 Juta), Skim Bantuan Tuisyen (RM180 Juta) dan Bantuan geran Perkapita (RM740 juta).

“Bantuan yang disalurkan itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjamin mutu pendidikan yang berkualiti,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan sempena hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Alimuddin berkata, bagi mengenang jasa baik bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang banyak memartabatkan mutu pendidikan negara kita khususnya Terengganu, pihaknya menerima cadangan untuk menukar SMK Bandar dan Institut Perguruan Kuala Terengganu (IPKT) kepada nama Razali.

Katanya, cadangan itu dikemukakan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar yang ingin mengabadikan nama Razali sebagai nama sekolah sekolah tersebut.

“Satu lagi cadangan tidak rasmi dipohon IPKT yang menyifatkan Allahyarham Dato’ Razali sebagai pembela dan penjuang nasib warga pendidik selain mempunyai hubungan erat antara mereka.

“Sebelum membenarkan cadangan ini diguna pakai, kita akan mempastikan ada permohonan rasmi daripada pihak terbabit selain mendapat kebenaran daripada keluarga Allahyarham,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan