Isnin, 4 Mei 2009

Bulan Candat Sotong Tawar Hadiah Lumayan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Kerajaan negeri menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM140,000 kepada pemenang peserta mencandat sotong selain memperkenalkan tiga sirkit bagi bulan mencandat sotong di tiga daerah mulai tahun ini.

Setiap sirkit membelanjakan RM43,000 yang akan diadakan di Marang (2 Mei), Kuala Terengganu (30 Mei) dan Dungun (4 Julai), manakala mulai tahun depan dijangkakan dapat diadakan di setiap daerah seluruh negeri.

“Aktiviti mencandat sotong adalah warisan kita dan cara kita yang diamalkan sejak berzaman,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib di majlis Pelancaran Bulan Candat Sotong dan pelepasan peserta TM Cabaran Candat Sotong di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, petang semalam (2 Mei).

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Encik Abdul Rahman Che Ali; Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Encik Azhar Omar; Pengarah Perikanan, Haji Munir Mohd Nawi dan Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Katanya, melalui aktiviti ini kita dapat memperkenalkan produk pelancongan kita kerana ianya dilakukan di perairan negeri yang dipenuhi dengan khazanah alam semulajadi anugerah tuhan yang melimpah.

“Kerajaan ingin merakyatkan pelancongan melalui penglibatan semua pihak dan faedah dapat dinikmati semua lapisan rakyat tempatan antaranya pulangan kepada pemilik bot nelayan apabila bot-bot mereka disewa untuk kegunaan peserta Fiesta Candat Sotong,” katanya.

Malah, katanya, selepas program ini berkemungkinan peserta akan kembali untuk mencandat sotong pada musim yang sesuai yang bermulai April hingga Ogos pada setiap tahun.

“Rakyat tempatan harus mengambil peluang yang ada dalam industri pelancongan bagi meningkatkan kualiti hidup dan seterusnya membangunkan ekonomi negeri,” katanya.

Pada pelancaran sirkit pertama terdapat 750 orang peserta yang berdaftar untuk menyertai cabaran kali ini ini termasuk 42 peserta daripada luar negara seperti Singapura, Taiwan, India dan Botswana.



Sebanyak 83 bot yang disewakan daripada nelayan termasuk 10 bot dikhaskan untuk kategori VIP dan ketua-ketua jabatan manakala tiga bot untuk media yang membuat liputan,

Beberapa kategori dipertandingkan iaitu kategori sotong terpanjang individu sotong terbesar dan terbanyak berkumpulan serta tekong terbaik iaitu perolehan sotong terbanyak daripada kumpulan yang dibawa.

Kumpulan Easy BSN Power telah menjadi juara kategori terbuka berkumpulan yang membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000 apabila memenangi dua kategori iaitu sotong terberat (RM5,000) dan sotong terbanyak (RM5,000) manakala kategori VIP dimenangi Bot Telekom Malaysia B.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan