Selasa, 19 Mei 2009

Institusi Guru Terus Diperkasakan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Kerajaan hari ini mengumumkan keputusan mengenai laluan kerjaya bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dengan meluluskan pertambahan kuota guru dan pengetua cemerlang bagi PPP siswazah di sekolah menengah berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran,Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin berkata kerajaan prihatin pentingnya aspek kebajikan guru serta insentif yang boleh mendorong mereka untuk terus mengamalkan budaya kerja yang cemerlang.

“Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru, kerajaan telah meluluskan pertambahan kuota guru dan pengetua cemerlang,” kata Tan SriMuhyiddin di Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Ke-38 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini (16 Mei) dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa.



Sambutan Hari Guru yang disambut meriah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti sampingan sepanjang minggu bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, Guru Cemerlang Gred (GCG) Khas C akan ditambah daripada 24 kepada 36; GCG DG54 ditambah daripada 100 kepada 134; GCG DG52 daripada 250 kepada 336; GCG DG48 daripada 1,000 kepada 1,345 dan GCG DG44 ditambah daripada 4,000 kepada 5,379 jawatan.

“Pengetua Cemerlang Gred (PCG) JUSA C pula mendapat pertambahan 100 peratus iaitu daripada 10 kepada 20 jawatan, manakala PCG DG54 pula ditambah daripada 200 kepada 475 jawatan dan PCG DG52 dikekalkan sebanyak 400 jawatan,” katanya.

Selain daripada itu katanya, kerajaan juga telah bersetuju mewujudkan beberapa jawatan guru cemerlang bagi PPP siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah iaitu GCG DG48 sebanyak 173 jawatan dan GCG DG44 sebanyak 1,737 jawatan.

Namun begitu katanya, PPP bukan siswazah juga akan menikmati elaun kerjaya yang sama apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi.

Katanya selaras dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat penyayang, kerajaan akan memanjangkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada pasangan pegawai yang berkhidmat di sekolah-sekolah pendalaman mulai 1 Mac lalu.

“Kerajaan juga menghargai pengorbanan anggota khidmat sokongan terutamanya Pembantu Pengurusan Murid (PPM) yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Intergrasi di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah,” katanya.



Katanya, bayaran insentif kepada PPM sebanyak RM200 sebulan akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2009.

Tan Sri Muhyiddin seterusnya menyeru seluruh warga pendidik supaya terus gigih berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan serta berkhidmat dengan penuh ikhlas dan jadikan profesion perguruan sebagai medan perjuangan untuk majukan anak bangsa.

Sehubungan itu Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat telah diumumkan sebagai Tokoh Khas Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2009. Allahyarham yang meninggal pada 8 Mac 2007 ketika usia 61, akibat serangan jantung telah diwakili isteri Puan Sri Fadilah Ishak.

Manakala Tan Sri Dato’ Asiah Abu Samah, 62, diumum sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan tiga lagi terpilih sebagai Tokoh Guru 2009 iaitu Dato’ Abdul Rahim Tahir (Terengganu) ; Encik Phua Seng Tiong (Johor) dan Encik Shahul Hamid Mydin Shah (Perak).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan