Ahad, 3 Mei 2009

Terengganu Menang Anugerah Antarabangsa

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Presiden LTE, Alessandro Strazzanti (tengah) menyampaikan hadiah tempat kedua anugerah Destinasi Pesisir Air Terbaik kepada Nik Mohd Syahrom. -Foto Bahagian Pelancongan SUK

Terengganu memenangi tempat kedua anugerah ”Destinasi Pesisir Air Terbaik” sempena Ekspo Pelancongan Luxury Travel Exhibition (LTE) yang diadakan di City of Lugano, Switzerland baru-baru ini.

Manakala tempat pertama dimenangi `The Sultanate of Oman' dan ketiga ialah `Destinasi Tenerife, Canary Island.'

Ekspo tiga hari bermula 16 April lalu telah menghimpunkan lebih 240 pengusaha pelancongan seluruh dunia terdiri daripada pengusaha hotel, resort, agensi pelancongan, syarikat pengangkutan darat dan udara, insurans kembara, bank, agensi kerajaan yang terlibat dengan pelancongan dan juga wakil kedutaan.

”Kejayaan kita merangkul tempat kedua membuktikan destinasi pesisir air di negeri ini telah mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Ketua Delegasi, Haji Husain Embong.

Katanya, penyertaan adalah sebagai langkah mengekalkan momentum promosi dan galakan pelancongan negeri serta mewujudkan jalinan perniagaan dua hala secara lebih efektif dan inovatif yang mensasarkan kepada pasaran pelancong mewah.

”Ianya juga turut mengukuhkan kepada penjenamaan produk serta mempromosikan kepelbagaian produk dan destinasi seperti tasik, air terjun, kesenian, tradisi dan warisan negeri serta beberapa aktiviti seperti selam skuba dan snorkeling kepada pasaran mewah yang mampu berbelanja,” katanya.

Menurut Haji Husain, pertemuan dua hala di antara pengusaha pelancongan dan badan-badan pelancongan kerajaan pada ekspo tersebut telah mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa dari seluruh dunia.

”Peluang sebegini sangat berguna bagi menyalurkan maklumat pelancongan kepada wakil pengusaha industri pelancongan seluruh dunia contohnya tentang keunikan produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di negeri ini serta kemudahan penginapan bertaraf lima bintang yang kita sediakan,” katanya.

Katanya, langkah promosi dan publisiti sempena ’Visit Terengganu’ ini merupakan langkah permulaan yang menarik dari sudut menggamit lebih ramai pelancong dan akan berterusan dari semasa ke semasa.

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh President LTE, Encik Alessandro Strazzanti dan Terengganu telah diwakili Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Nik Mohd Syahrom Nik Md Hashim pada majlis Makan Malam Gala di Hotel Splendide Royal.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan