Selasa, 12 Mei 2009

Penasihat Terbaik Demi Masa Depan Suami

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad ketika berucap menutup Kepimpinan Serikandi di Pulau Gemia, Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Isteri wakil rakyat harus memainkan peranan sebagai penasihat terbaik kepada suami dalam memartabat dan mengungguli masa depan suami sebagai pemimpin masyarakat.

Mereka sebagai individu paling dekat dengan suami perlu bijak mengambil peluang memberi teguran dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya suami mendapat gambaran yang betul serta berfikir matang dalam membuat keputusan.

“Kalau boleh, biarlah si isteri menjadi air yang mampu menyirami api atau mengubah kehangatan kepada situasi sejuk dan tenang,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, ketika berucap dalam perasmian penutup Kursus Kepimpinan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), di Gem Island Resort & Spa, Pulau Gemia, Marang, semalam (9 Mei).


Sebahagian ahli Serikandi yang menyertai Kursus Kepimpinan Serikandi di Pulau Gemia, Marang.

Dalam pada itu, isteri wakil rakyat perlu didedahkan dengan kursus kepimpinan kerana menerusinya boleh menjadi manifestasi ke arah masa depan yang lebih baik dan cemerlang.

Beliau berkata, isteri wakil rakyat juga harus sedar dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran dalam situasi politik yang tidak menentu dan menggalas tanggungjawab sebagai isteri pemimpin dengan sebaik mungkin.

Sehubungan itu juga, mereka juga harus peka dan sedar bahawa konsep merakyatkan pembangunan bukan sekadar cogan kata, sebaliknya ia harus diterjemahkan dengan tindakan yang betul supaya rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap usaha pembangunan.

“Kita harus sedar bahawa kuasa rakyat lebih besar dalam menentukan pemimpin mereka. Dalam pilihan raya, contohnya sebuah keluarga nelayan jika sepuluh orang dalam keluarga berkenaan layak mengundi, maka sepuluh undian itu memainkan peranan penting untuk menentukan kemenangan,” katanya.

Oleh itu, sebagai isteri pemimpin, mereka wajar memikul peranan dan tanggungjawab suami untuk mendekati masyarakat setempat walaupun tanpa suami di sisi bagi memastikan kebajikan dan keprihatinan rakyat tidak terabai.

“Peranan isteri masuk kampung dan keluar kampung untuk beri sumbangan mengikut kemampuan suami seperti sediakan hamper untuk masuk kampung.

“Jangan abaikan mereka walaupun mereka pembangkang, kerana harapan kita agar satu masa nanti mereka lembut hati dan memilih kita (Barisan Nasional), memberi kemenangan pada kita (pada pilihan raya),” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Norliza Mahmud, berkata menerusi kursus sedemikian, peserta mendapat input yang mampu memberi kesedaran mengenai peranan suami sebagai pemimpin serta kesan yang besar bagi memastikan perjuangan dan pelaksanaan yang digalas suami selaku wakil rakyat.

Katanya, isteri wakil rakyat harus mengamalkan sikap rendah diri, mesra dan berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja supaya disenangi semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, dalam situasi senario semasa, isteri harus mengambil langkah terbaik untuk menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan, selain bersedia menjangka perkara yang bakal berlaku serta sentiasa belajar dari masa ke semasa.

“Sebagai isteri wakil rakyat, bukan sedikit kesabaran yang dituntut bahkan perlu keikhlasan supaya setiap perlakuan kita mendapat ganjaran daripada Allah Taala selain sentiasa berdoa dan pohon keberkatan daripada Ilahi.

To’ Puan Norliza berkata, tindakan isteri juga memberi reflek atau kesan kepada perjalanan karier suami kerana suami dan isteri sentiasa saling melengkapi antara satu sama lain.

Malah katanya, jatuh bangun karier suami akan ada isteri di sisi yang harus menyokongnya sama ada ketika susah atau senang.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan