Selasa, 19 Mei 2009

Kereta Kabel Dibangunkan Di Tasik Kenyir

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Perkhidmatan kereta kabel yang pertama bakal dibina di Tasik Kenyir tahun depan mampu merancakkan lagi usaha pembangunan dan menarik lebih ramai pelawat ke tasik itu.

Kemudahan pengangkutan itu dapat menghubungkan jarak 500 meter antara Pulau Gawi dengan Pulau Poh yang akan dibangunkan sebagai Taman Tema Air.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata idea membangunkan kereta kabel berkenaan timbul selepas beliau melawat pulau yang sedang dibangunkan dengan projek Kenyir Island Hoping (KIH).



Katanya, kerajaan negeri akan mengenal pasti anggaran menyediakan kemudahan pengangkutan itu daripada syarikat perunding termasuk daripada syarikat pengendali kereta kabel di Pulau Langkawi.

“Dengan adanya kereta kabel, pelawat boleh memilih sama ada menggunakan bot atau kereta kabel.

Apabila lebuh raya siap, kita ada jalan alternatif yang boleh kita sediakan perkhidmatan lain seperti bas. Apabila ada permintaan kita akan sediakan dan itu tidak menjadi masalah,” kata Menteri Besar ketika sidang akhbar selepas meninjau Tasik Kenyir serta kemajuan KIH bersama jabatan dan agensi terlibat termasuk sekumpulan media, di Pulau Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, kelmarin (17 Mei).

Katanya, kerajaan akan memastikan Taman Orkid, Taman Burung, Taman Rama-rama, Taman Buah-buahan dan Taman Eko dapat berjalan lancar dan disiapkan pada tahun ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan menambah 20 unit chalet di Pulau Petang menjadikan jumlah keseluruhan 56 unit bagi menampung keperluan pengunjung yang menginap di Tasik Kenyir pada masa depan.



Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib, pembangunan KIH juga memberi impak kepada jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini kerana Tasik Kenyir boleh dilawati tanpa mengira musim dan masa walaupun ketika tengkujuh.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta untuk membangunkan KIH yang mana Ketengah dipertanggungjawabkan memantau usaha itu dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan