Ahad, 3 Mei 2009

Terengganu Jadi Pengeluar kambing Terbesar menjelang 2015

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Negeri Terengganu akan menjadi pembekal kambing terbesar di negara ini menjelang 2015 dan mensasarkan 25 usahawan dapat diwujudkan dalam bidang ternakan kambing di seluruh negeri.

Buat masa ini terdapat lapan lembah kaprima dan projek sokongan secara besar-besaran antaranya ialah Lembah Kaprima Peladang Setiu, Telaga Papan, Payang Kayu dan Mengabang Bakung, Hulu Terengganu, Durian Mentagau, Dungun dan Segading, Besut.

“Dengan perkembangan ini dijangkakan lebih 1,500 orang berpeluang mendapatkan pekerjaan yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah bagi menambah pendapatan keluarga,” ,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas meninjau Ladang Cosmopall Sdn Bhd di Serting Marang hari ini (29 April).

Turut hadir pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Rozi Mamat; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Azizul Mohd Sharun; Pegawai Daerah Marang, Haji Abdul Rahman Che Ali dan Pengarah Urusan Cosmopall Sdn Bhd, Haji Zainuddin Zakaria.



Dato’ Ahmad turut berpuas hati dengan kemajuan pengurusan Ladang Cosmopall yang tergolong dalam projek besar selaku pengimport, penternak, pembekal kambing baka dan pedaging yang terus berkembang sejak ianya diusahakan sejak 2005.

Beliau kemudiannya memberi tambahan kawasan 50 ekar lagi untuk membolehkan Ladang Cosmopall membuka ladang jagung dimana hasilnya nanti boleh dipasarkan manakala daun dan batang dijadikan makanan kambing.

Ladang Cosmopall yang mempunyai nilai pendapatan RM3.3 juta sehingga ini memiliki 1,400 ekor kambing serta pengimport kambing terbesar di negara ini yang didatangkan daripada Indonesia serta pengeluar baja organik kambing.

Menteri Besar seterusnya menegaskan kerajaan akan mengambil balik mana-mana kawasan yang telah diserahkan kepada peserta untuk bercucuk tanam tetapi ditinggalkan begitu sahaja tanpa diusahakan.



“Contohnya di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Serting, Marang kerana setiap peserta diberikan tanah pertanian antara 10 hingga 50 ekar untuk diusahakan tetapi hari ini banyak yang terbiar,” katanya.

Katanya, seluas 200 ekar kawasan baru berhampiran TKPM akan dibuka bagi tujuan tanaman jagung untuk peserta PPRT, tanaman ini boleh memberi pendapatan lebih kepada pengusaha kerana daun dan batangnya juga boleh dijual.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan