Selasa, 5 Mei 2009

Laksana Tugas Untuk Rakyat

Oleh : SURIATI BINTI ALI



“Kakitangan awam termasuk diri saya sebagai Menteri Besar adalah hak rakyat. Oleh itu, kita perlu laksanakan tugas sebaik mungkin dan penuh bertanggungjawab supaya disenangi pelbagai pihak.

“Walaupun dilantik Istana untuk memegang jawatan sekarang, saya menganggapnya sebagai anugerah, kepercayaan dan keyakinan terhadap dirinya, “ kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Razif Abd Rahman.

YB Razif berkata demikian ketika menjadi wakil dan membacakan teks ucapan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang tidak dapat hadir di Majlis Sambutan Hari Pekerja 2009 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (4 Mei).



Teks itu dibaca di hadapan kira-kira 2,000 kakitangan kerajaan pelbagai jabatan dan agensi. Seramai 18 kakitangan menerima anugerah pekerja cemerlang dengan memperoleh sijil dan wang tunai RM1,000 setiap individu.

Dato’ Ahmad berkata, dia akan pergunakan kepercayaan ini untuk memberikan perkhidmatan dan sumbangan terbaik demi kemajuan rakyat dan Terengganu.

“Amanah yang dilaksana akan diserahkan kepada rakyat dan Allah S.W.T bagi menilai keikhlasan saya dalam membangun serta mentadbir negeri,” katanya.

Menurutnya, bagi meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan sektor awam di Terengganu, pegawai cemerlang akan dihantar untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia.

“Hubungan antara pejawat awam peringkat negeri dan persekutuan mesti diteruskan bagi memperkukuhkan tugas yang sedia ada, selain mengelak pertindihan dan karenah birokrasi.

“Kelancaran dan kejayaan sesuatu kerja perlu bergantung kepada kemahuan serta semangat untuk bekerja dimana kepentingan rakyat wajar didahulukan,” katanya.



Katanya, marilah sama-sama bekerja bagi menjayakan visi 1Malaysia yang disuarakan Perdana Menteri dimana rakyat dan pencapaian perlu diutamakan.

“Visi 1Malaysia tidak lari daripada pendekatan kerajaan negeri untuk `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ kerana asasnya adalah untuk memakmurkan rakyat.

“Kita perlu memahami kehendak dan kepayahan rakyat dengan melaksanakan tugas seikhlas hati dan penuh komitmen,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan